ummusya

Selasa, 24 April 2012

BAGAIMANA MENDAPAT HUSNUL KHATIMAH


muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah Subhanahu Wata'ala, dengan melakukan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita tergolong dikalangan hamba-hambanya yang sentiasa istiqamah melaksanakan amal makruf dan nahi mungkar dan mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala didunia dan akhirat.

Muslimin yang berbahagia,

Kehidupan didunia ini hanya sementara dan merupakan sebahagian ujian kepada kita selaku khalifah dimuka bumi ini. Semua yang hidup pasti akan mati, dan kematian adalah penghujung kehidupan manusia didunia. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Al-Aqraf ayat 34. tafsirnya:

Dan bagi tiap-tiap umat yang mendustakan rasul-rasul mereka itu ada ajal ( batas waktu kebinasaaan yang telah ditetapkan ) maka apabila datang ajal mereka itu tidaklah dapat mereka undurkan ( kemudiankan ) walau sesaat pun dan tidak dapat pula mereka dahulukan.

Sebagai umat islam sudah setentunya kita menginginkan agar kita mati dalam keadaan husnul khatimah dan bukan sebaliknya su'ul khatimah. Husnul khatimah bermaksud berakhirnya kehidupan manusia didunia dengan kesudahan yang baik, manakala su'ul khatimah pula bermaksud berakhirnya kehidupan manusia dengan penyudah yang buruk. Ketahuilah bahawa keadaan kamatian kita bergantung kepada amalan yang kita lakukan disepanjang kehidupan kita, sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam, yang bermaksud:

Dari Sahal, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam bersabda: Dan sesungguhnya amalan itu bergantung dengan penutupnya.

Oleh itu, bagi mereka yang beriman dengan al-quran dan as-sunah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam akan merasa khawatir dan bimbang dengan pengakhiran kehidupan mereka. Mereka akan sentiasa melakukan amal salih, istiqamah dalam menjalankan perintah Allah Subhanahu Wata'ala dan Rasulnya dan meninggalkan segala laranganNya. Mereka berharap agar termasuk dalam golongan yang Allah Subhanahu Wata'ala sebutkan dalam surah Al-Imran ayat 102, tafsirnya:

Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama islam.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam bersabda yang bermaksud:

Daripada Abdullah bin Amru bin Al-Ash, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam bersabda : Barangsiapa yang ingin dijauhkan dari neraka dan dimasukkan kedalam syurga, maka jagalah supaya ketika kematian tiba ia berada dalam keadaan beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendatangi orang-orang dengan cara yang ia inginkan ketika didatangi.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Husnul Khatimah adalah impian setiap orang-orang mukmin termasuk diri kita sendiri, akan tetapi tidak dinafikan bahawa kita diciptakan dalam keadaan lemah. Kita imbas kembali ketika Allah menciptakan Adam sebagai khalifah dimuka bumi ini seperti yang termaktub dalam surah Al-Baqarah ayat 30, tafsirnya:

Dan ingatlah ketika tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan dibumi seorang khalifah iaitu Nabi Adam Alaihi Salam. Malaikat-malaikat itu berkata: Adakah engkau hendak menjadikan dibumi orang yang akan membuat kerosakan dan menumpahkan darah sedangkan kami sentiasa bertasbih dengan memuji serta mensucikan engkau? Allah berfirman: Sesungguhnya aku lebih mengetahui apa yang kamu tidak ketahui.

Pernahkah kita berfikir apakah sebenarnya tujuan Allah Subhanahu Wata'ala menciptakan manusia yang mempunyai banyak kelemahan dan kekurangan. Ketahuilah bahawa Allah Subhanahu Wata'ala menciptakan manusia adalah untuk mengabdikan diri kepadaNya sebagaimana firmanNya dalam surah Al-Zariats ayat 56, tafsirnya:

Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepadaku.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Dalam kita mengharungi kehidupan didunia ini, sama-sama kita berusaha meningkatkan amal ibadat dan melakukan oerkara-perkara berkebajikan agar penghujung hayat kita dalam keadaan husnul khatimah. Adpaun diantara cara untuk mendapat husnul khatimah itu ialah:

Pertama: Melakukan ketaatan dan ketaqwaan kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan meninggalkan laranganNya.

Kedua: Sentiasa berdoa kepada Allah Subhanahu Wataala dengan bersungguh-sungguh agar pengakhiran kehidupan kita dalam beriman dan bertaqwa. Antara doa yang sebaiknya kita amalkan ialah surah As-Syura ayat 83, yang maksudnya:

Ya Tuhanku! Berikanlah kepada ku hikmah dan masukanlah aku kedalam golongan orang-orang yang salih.

Begitu juga, kita boleh mengamalkan doa yang maksudnya:

Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan husnul khatimah ( kesudahan yang baik ), dan jangan engkau akhiri hidup kami dengan su'ul khatimah ( kesudahan yang buruk )

Ketiga: Kita hendaklah sentiasa berusaha membaiki diri sama ada zahir atau batin, dan kita juga hendaklah menjaga hubungan kita dengan Allah dan juga hubungan kita dengan makhluk Allah dimuka bumi ini. Dengan itu, kita akan sentiasa mendapat rahmat dan hidayah Allah Subhanahu Wata'ala.

Selaku hamba Allah yang tidak terlepas dari melakukan kesalahan dan dosa, kita hendaklah sentiasa bertaubat. Sesungguhnya Allah menyukai mereka yang mengakui kesilapan dan memohon keampunan diatas dosa yang dilakukan.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama meningkatkan amal ibadat kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Kita berdoa semoga amalan ikhlas yang kita kerjakan akan diterima oleh Allah Subhanahu Wataala dan dengannya kita akan mendapat husnuk khatimah dan mudah-mudahan kita tergolong dikalangan mereka yang sentiasa mengharapkan redha dan rahmat Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Yarrabal Alamin.

Surah An-Nisa' ayat 110-112, tafsirnya:

Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiayai dirinya sendiri dengan melakukan maksiat, kemudian dia memohon ampun kepada Allah nescaya dia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih. Dan sesiapa yang mengerjakan suatu dosa maka sesungguhnya dia hanya mengerjakannya untuk kemudaratan dirinya sendiri. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Dan sesiapa yang melakukan suatu kesalahan atau dosa, kemudian dia menuduhkannya kepada orang yang tidak bersalah maka sesungguhnya dia telah memikul kesalahan berbuat dusta dan melakukan dosa yang nyata.