KESELAMATAN JALAN RAYA TANGGUNGJAWAB SEMUA PENGGUNA |
Muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita sama-sama meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah Subhanahu Wataala dengan melakukan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Disamping itu kita bersyukur kepada Allah Subhanahu Wataala diatas limpah kurniaNya yang tidak terhingga banyaknya kepada kita supaya dapat menikmati kurniaan Allah Subhanahu Wataala itu dan dapat mengerjakan amal ibadat dan segala suruhanNya� sehingga kita menjadi hamba-hambaNya yang dikasihi didunia dan diakhirat. Muslimin yang dirahmati Allah, Alhamdulilah, kita bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wataala yang telah melimpahkan nikmat yang amat banyak kepada kita. Semenjak negara kita mencapai kemerdekaan, banyak kemajuan telah dapat kita kecapi. Pembangunan infrastruktur semakin pesat berkembang mengikut dengan kemajuan tersebut, pihak kerajaan telah menyediakan kemudahan-kemudahan yang dapat dinikmati oleh kita semua, antaranya sekolah, bangunan kerajaan, hospital, masjid dan termasuklah juga jalan raya. Jalan raya adalah merupakan salah satu kemudahan yang sangat penting. Dengan adanya jalan raya kita dapat menuju kesuatu tempat atau destinasi yang dikehendaki dengan mudah dan cepat. Oleh itu, kita sebagai pengguna jalan raya adalah tanggungjawab untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya supaya dengannya kita dapt menjadikan jalan raya itu sebagai tempat yang selamat dan aman bagi kegunaan dan manfaat semua orang dan seterusnya dapat mengelakkan dari sebarang kemungkinan yang boleh menyebabkan berlakunya perkara yang tidak diingini seperti kemalangan jalan raya. Tidak dinafikan bahawa mematuhi peraturan tersebut bukanlah bermakna para pengguna jalan raya akan sentiasa terjamin keselamatannya, tetapi dengan mematuhi peraturan tersebut setidak-tidaknya dapat mengurangkan risiko kemalangan. Kita sebagai pengguna jalan raya hendaklah sentiasa berusaha dan berikhtiar untuk menjaga keselamatan dijalan raya. Ini kerana kemalangan dijalan raya bukan sahaja boleh menyebabkan kerugian pada harta benda, tetapi juga boleh mendatangkan kecederaan dan lebih buruk lagi boleh menyebabkan kematian. Ahli Jumaat yang dirahmati Allah, Perlu diketahui bahawa jumlah kemalangan jalan raya diNegara Brunei Darussalam telah meningkat dari setahun ke setahun. Pada tahun 2007, jumlah kesa kemalangan jalan raya ialah sebanyak� 2035 kes dan jumlah itu terus meningkat dimana pada tahun 2011, sebanyak 2761 kes telah dicatatkan, dan pada tahun ini sahaja, jumlah kes yang dicatatkan dari bulan Januari hingga September ialah sebanyak 2419 kes. Memandangkan bilangan kemalangan� dinegara kita yang semakin meningkat itu, pihak berkuasa telah giat melakukan berbagai usaha bagi mengelakkan berlakunya kemalangan jalan raya, antaranya dengan mengadakan sektan jalan raya dan pemeriksaan kenderaan bagi memastikan tiada berlaku sebarang pengubahusaian yang bertentangan dengan peraturan dan undang-undang lalu lintas. Selain itu mereka juga sering berusaha menigkatkan kesedaran dengan memberikan nasihat dan panduan kepada orang ramai khususnya para pemandu agar sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya seperti menasihatkan para pemandu untuk memeriksa kenderaan sebelum menggunakannya dan lain-lain melalui kempen-kempen, iklan-iklan dan sebagainya. Bahkan pihak kerajaan juga telah memperkenalkan sistem mata demerit dengan tujuan untuk memastikan pemandu dinegara ini memandu kenderaan dengan lebih berdisiplin, berhati-hati dan mematuhi setiap peraturan lalu lintas. Muslimin yang dirahmati Allah, Memang tidak dinafikan bahawa terdapat banyak punca kepada berlakunya kemalangan dijalan raya, antaranya samada disebabkan oleh faktor kenderaan itu sendiri yang tidak selamat untuk digunakan seperti tayar yang tidak berbunga, brek yang tidak berfungsi dan sebagainya, ataupun disebabkan oleh sikap pengguna jalan raya itu sendiri yang bersifat mementingkan diri sendiri dan cuai tanpa memikirkan keselamatan pengguna-pengguna jalan raya yang lain. Sikap buruk sebilangan pengguna jalan raya yang tidak mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya boleh menyebabkan kemudaratan bukan sahaja kepada dirinya sendiri bahkan juga orang lain. Adapun antara kesalahan jalan raya yang sering dilakukan ialah memandu laju dengan tidak mengikut had yang ditetapkan, menggunakan telefon bimbit semasa memandu samada membuat dan menjawab panggilan atau membuat pesanan ringkas, mengekori kereta dihadapan dengan jarak yang dekat, tidak mengikut sebarang amaran tegahan tanda jalan raya seperti memotong ditempat yang tidak selamat seperti selekoh, meletakkan kereta ditempat yang dilarang, menggunakan lorong yang tidak betul termasuklah juga menggunakan lorong yang salah ketika berada dipusing keliling, dan tidak mematuhi peraturan lampu isyarat dan sebagainya. Sebagai pengguna jalan raya, kita hendaklah mematuhi semua peraturan lalu lintas. Ini termasuklah juga peraturan pemakaian tali pinggang keselamatan. Namun terdapat sebilangan pemandu masih mengabaikan pemakaian tali pinggang keselamatan sedangkan peraturan pemakaian tali pinggang keselamatan tersebut tidak lain adalah untuk keselamatan mereka sendiri juga. Memakai tali pinggang keselamatan itu Insya Allah akan dapat mengurangkan risiko mendapat kecederaan berbanding dengan jika tidak memakai tali pinggang keselamatan tersebut. Di antara kesalahan lalu lintas lain yang sering dilakukan ialah tidak menggunakan tempat khas untuk menyeberang jalan seperti zebra crossing ataupun jejantas bagi pejalan kaki. Perbuatan tersebut jelas membahayakan keselamatan diri mereka sendiri. Para pemandu juga hendaklah bertolak ansur dengan pejalan kaki terutama ketika hendak menyeberang jalan seperti memberhentikan kereta bagi memberi laluan kepada pejalan kaki yang menghampiri atau berdiri dijalur lintas untuk melintas jalan raya. Muslimin yang dirahmati Allah, Sikap tidak bertanggungjawab dijalan raya bukan sahaja membahayakan jiwa tetapi juga dilarang oleh agama islam yang telah menyeru umatnya supaya menjauhkan diri daripada segala perkara yang boleh merosakkan dan membawa kebinasaan. Perkara ini jelas dinyatakan dalam surah Al-Baqarah ayat 195, tafsirnya: "....dan janganlah kamu senghaja mencampakkan diri kamu dengan tangan kamu sendiri kedalam bahaya kebinasaan...". Tidak dinafikan bahawa kadang kala kesabaran seseorang teruji ketika memandu lebih-lebih lagi ketika jalan raya penuh sesak. Oleh itu sebagai pengguna hendaklah menanamkan dalam diri mereka sifat-sifat mulia sebagaimana yang telah diajarkan dalam islam seperti hormat menghormati, bertolak ansur, bertimbang rasa dan paling utama ialah bersifat sabar. Orang yang sabar akan berfikir dengan waras dan bijak ketika dijalan raya, mereka akan mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya tanpa keluh kesah, mereka tidak akan memotong laluan atau barisan dijalan raya tetapi menantikan giliran dengan penuh kesabaran dan redha dimana perbuatan sedemikian akan dapat mengelakkan pengguna yang lain dari merasa marah atau tidak berpuas hati. Selain itu orang yang sabar juga akan sentiasa bersedia untuk memberikan laluan dan ruang kepada pengguna lain terutama ketika berada dalam kesesakan lalu lintas, dan itulah sikap yang baik kerana bertolak ansur dan menolong pengguna yang lain ketika berada dijalan raya. Sesungguhnya jika kita menolong meringankan kesusahan orang lain, maka Allah Subhanahu Wataala juga akan menolong kita, sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya: "Dari Abu Hurairah Radiallahu Anha ia berkata: Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Dan sesiapa yang menolong memudahkan orang yang susah, Allah Subhanahu Wataala akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Allah Subhanahu Wataala menolong hambanya selama mana hamba itu mahu menolong saudaranya". (Riwayat Al-Imam Muslim) Muslimin yang dirahmati Allah, Selain dari mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya serta memandu dengan berhati-hati, bersabar dan berwaspada, kita juga hendaklah sentiasa ingat kepada Allah Subhanahu Wataala dan sentiasa berdoa memohon perlindungan Allah Subhanahu Wataala seperti ketika keluar dari rumah dengan terlebih dahulu membaca doa tersebut iaitu ertinya: "Dengan nama Allah aku bertawakal kepadaNya dan tiada daya serta upaya kecuali dengan keizinan Allah". Selain itu kita juga dianjurkan membaca doa ketika menaiki kenderaan sebagaimana yang terdapat didalam surah Al-Zukhruf ayat 13-14, tafsirnya: "Maha suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali". Di samping itu adalah lebih baik juga kita berzikir dengan zikir-zikir yang mudah seperti, Subhanallah, Alhamdulilah, Allahu Akbar dan sebagainya. Ini kerana agama islam sangat menganjurkan umatnya agar sentiasa berdoa dan berzikir dalam semua keadaan dan tempat, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah An-Nisa ayat 103, tafsirnya: "...maka ingatlah ketika kamu berdiri dan duduk serta ketika kamu berbaring...". Muslimin yang dirahmati Allah, Mematuhi peraturan dan undang-undang sangat penting bagi menjamin keharmonian dan keselamatan kita bersama. Dan keselamatan dijalan raya itu tidak akan tercapai jika pengguna jalan raya tidak mempunyai rasa tanggungjawabdan tidak mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas berkenaan. Akhirnya marilah kita menanamkan sifat sabar dan sentiasa berhati-hati dan berwaspada semasa berada dijalan raya dan seterusnya berdoa semoga kita berada dalam lindungan Allah Subhanahu Wataala dan terhindar dari sebarang mara bahaya. Amin Yarrabal Alamin. Surah Ar-Raad ayat 11, tafsirnya: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan apa yang ada pada suatu kaum sehinggalah mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan keburukkan (azab) kepada suatu kaum, maka tidak ada ayng dapat menolaknya, dan mereka tidak memperolehi pelindung selain daripadanya". |
Selasa, 8 Januari 2013
Jumaat, 4 Januari 2013
SELAMAT BERKENALAN
Salam perkenalan dari saya buat geng blogger:
Delima
Bicara kak Noor
qaseh tia
zurairatul
biehaDminhat
sk_isyraq
terima kasih setaman kembang mewangi buat kalian semua.
Delima
Bicara kak Noor
qaseh tia
zurairatul
biehaDminhat
sk_isyraq
terima kasih setaman kembang mewangi buat kalian semua.
BERJIMAT CERMAT DALAM BERBELANJA
Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH
kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan
penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhanNya, dan
meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang
bertaqwa dan beriman serta selamat didunia dan selamat diakhirat.
Sesungguhnya
Allah Subhanahu Wataala mengurniakan kepada kita berbagi nikmat yang
tidak terhitung banyaknya samada berbentuk kesihatan, umur yang
panjang, kebahagiaan, kekayaan, kesejahteraan, keamanan dan sebagainya.
Benarlah sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah An-Nahl
ayat 18, tafsirnya:
"Dan
jika kamu menghitung nikmat Allah tentulah kamu tidak terkira
banyaknya. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih".
Perlu
diingat bahawa ujian bukan sahaja berbentuk kesusahan tetapi termasuk
juga kesenangan dan nikmat. Ada kalanya nikmat yang kita perolehi itu
boleh menyebabkan kita lalai dan lupa. Kerana itulah baginda Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasallam telah mengingatkan kepada kita supaya
memanfaatkan segala nikmat yang kita perolehi itu dengan sebaik-baiknya
sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya:
"Dari
Ibnu Abas Radiallahu Anhuma ia berkata: Rasulullah Sallallahu Alaihi
Wasallam bersabda kepada seorang lelaki dan baginda menasihatinya:
Rabutlah lima perkara sebelum kamu didatangi oleh lima perkara yang
lain. Masa mudamu sebelum tua mu, masa sihat mu sebelum sakit mu, masa kaya mu sebelum fakir mu, masa lapang mu sebelum kesibukan mu dan masa hidup mu sebelum mati mu".
Muslimin yang dirahmati Allah,
Adapun
diantara nikmat yang boleh melalaikan sehingga kita lupa bahawa nikmat
itu hanyalah merupakan ujian dari Allah Subhanahu Wataala ialah nikmat
harta. Setentunya bagi kita yang dikurniakan harta pasti akan merasa
bersyukur diatas nikmat tersebut. Persoalannya sejauh manakah kita
mensyukuri nikmat harta itu? Adakah kita telah membelanjakannya pada
tempat yang betul seperti mengeluarkan zakat, membelanjakan pada jalan
Allah dan memberikannya kepada orang-orang yang dibawah tanggungan kita
seperti ibu bapa, isteri, anak-anak dan lain-lain. Ataupun kita terlupa
untuk bersyukur diatas limpahan nikmat tersebut? Kita pasti ramai
diantara kita yang tahu melafazkan dan mengucapkan kata syukur diatas
limpahan rezeki yang diperolehi seperti para peniaga merasa bersyukur
apabila barang jualannya habis terjual dan membawa keuntungan, para
petani dan pekebun mengucapkan syukur tanam-tanaman tumbuh dengan
subur, begitu juga kepada para pekerja yang mengucapkan syukur apabila
menerima gaji dari majikannya. Sememangnya menzahirkan rasa terima
kasih dengan ucapan syukur atau Alhamdulilah melalui lisan adalah suatu
yang terpuji, akan tetapi yang demikian itu belumlah cukup dan memadai.
Ia hendaklah juga disertai dengan perbuatan dan tindakan, antaranya
ialah dengan memanfaatkan rezeki yang diperolehi itu dengan cara yang
betul dan sewajarnya.
Dalam
hubungan ini agama Islam telah mengajarkan kepada kita cara mengurus
harta dengan betul iaitu membelanjakannya untuk keperluan hidup seperti
nafkah kepada orang yang berada dibawah tanggungannya kita selain itu,
jika masih ada mempunyai wang yang lebih adalah juga digalakkan untuk
membelanjakannya pada perkara-perkara yang berkebajikan seperti
bersedekah, berwakaf, membantu fakir miskin dan orang yang ditimpa
bencana dan sebagainya. Manakala jika rezeki atau harta yang kita
perolehi itu telah memenuhi syarat-syarat untuk mengeluarkan zakat
seperti hasil dagangan, tanaman, ternakan dan sebagainya, maka
bersegeralah kita untuk mengeluarkan zakat kerana didalam harta yang
kita miliki itu terdapat hak-hak orang lain yang mesti kita segera
tunaikan.
Selain
itu, dalam kita berbelanja mestilah seimbang diantara kadar pendapatan
dan perbelanjaan. Sebagai contoh, tidak wajar jika seseorang yang
mempunyai pendapatan sebanyak $20.00 sehari tetapi berbelanja lebih
daripada pendapatan yang diterima. Amalan tersebut boleh menyebabkan
krisis kedudukan ekonomi keluarga yang tidak terkawal dimana
kadang-kadang boleh menyebabkannya menjadi berhutang. Walaupun
berhutang hukumnya harus tetapi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam
sendiri tidak mengalakkan umatnya berhutang dan selalu meminta
perlindungan Allah Subhanahu Wataala agar dijauhkan diri dari beban
hutang. Sebenarnya, berhutang itu adalah perkara yang senang dan mudah,
akan tetapi ia adalah perkara yang sukar apabila hendak membayar balik.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Sebenarnya
agama Islam telah mengingatkan umatnya supaya tidak boros dalam
berbelanja dan mengelakkan pembaziran. Allah Subhanahu Wataala
berfirman dalam surah Al-Furqan ayat 67, tafsirnya:
"Dan
mereka yang apabila membelanjakan harta, mereka tidak berlebih-lebih
dan tidak juga bakhil, dan sebaliknya perbelanjaan mereka itu adalah
sederhana diantara keduanya".
Oleh
yang demikian, kita hendaklah berbelanja secara berhimah iaitu dengan
memberi keutamaan kepada perkara-perkara yang penting sahaja tanpa
melakukan pembaziran, apatah lagi sampai berbelanja melebihi had
kemampuan.
Sememangnya
kita menyedari bahawa sifat berjimat cermat dalam berbelanja amat
dituntut dalam Islam kerana ianya menjadi asas bagi kesejahteraan hidup
masyarakat dan kemakmuran sesebuah negara. Biasanya amalan tersebut
meliputi perbelanjaan untuk keperluan kehidupan kita seharian sesuai
dengan fitrah kita sebagai manusia. Oleh itu jika kita mahu ekonomi
diri kita, keluarga dan masyarakat stabil dan terjamin tidak ada jalan
lain selain mengamalkan cara berbelanja yang bijak dan berperancangan
seperti mengutamakan barang-barang yang benar-benar yang diperlukan,
mengamalkan tabiat menyimpan wang (menabung), tidak mengamalkan gaya
hidup mewah dan boros tetapi sebaliknya mengamalkan cara hidup yang
sederhana.
Oleh
yang demikian, wahai kaum muslimin, kita hendaklah merancang segala
perbelanjaan dengan teratur dan berjimat cermat. Lebih-lebih lagi pada
masa ini, banyak promosi jualan-jualan murah telah diadakan ditambah
pula bagi pekerja yang berkhidmat dibawah perkhidmatan awam akan
menerima gaji dan bonus tidak lama lagi.
Maka
dengan nikmat yang bakal diterima itu InsyaAllah, kita manfaatkanlah
dengan cara yang baik lagi bijaksana. Berbelanja mengikut keutamaan dan
keperluan, janganlah terpedaya untuk membeli barang-barang yang tidak
diperlukan, apatah lagi pada bulan ini pasti banyak barang keperluan
sekolah anak-anak untuk dibeli, dari pakaian hinggalah kepada buku-buku
pelajaran. Kita hendaklah berusaha mengelakkan sebarang pembaziran
ketika berbelanja, barang yang hendak dibeli itu biarlah berbalui
dengan harga dan kualitinya. Barang yang lama, jika masih dalam keadaan
baik dan elok, bukankah lebih bagus jika ia terus dipakai dan digunakan
ataupun bolehlah juga jika dihadiahkan kepada orang-orang yang
memerlukan. Tidak dinafikan ramai dikalangan ibu bapa yang mampu untuk
membelikan anak-anak mereka barang-barang keperluan yang serba baru,
tetapi ia bukanlah suatu kemestian.
Sebenarnya
banyak faedah yang dapat diperolehi dari tabiat menyimpan atau
menabung, antaranya ialah untuk meningkatkan ekonomi dan sebagai
persediaan menghadapi keadaan-keadaan seperti ketika menghadapi
sebarang kesusahan, kecemasan dan juga sebagai persediaan dimasa
hadapan.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Kita
amat bersyukur kerana kita dapat menkmati banyak kemudahan dan
kesenangan di negara yang berdaulat ini. Inilah nikmat yang kita kecapi
hasil pertumbuhan ekonomi negara yang baik dan pesat. Dan sudah menjadi
tanggungjawab kita untuk sama membantu mengekalkan kestabilan ekonomi
dinegara kita dengan berbelanja dinegara sendiri. Dalam berbelanja pula
hendaklah dengan sederhana, utamakan keperluan dan juga amalan
menabung. Ingatlah bahawa kita hanyalah sebagai pengurus harta yang
dipinjamkan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada kita, yang pasti kita
akan ditanya dari mana harta itu diperolehi dan bagaimanakah ia
dibelanjakan.
Oleh
itu sama-samalah kita mengurus harta kita mengikut lunas-lunas Islam
demi mencapai kebahagiaan, kesenangan dan kesejahteraan hidup.
Amalkanlah sikap sederhana dalam berbelanja dan mensyukuri
nikmat-nikmat yang dikurniakan Allah Subhanahu Wataala. Mudah-mudahan
dengan cara demikian kita akan dapat mengukuhkan ekonomi keluarga,
menjamin masa hadapan yang lebih baik dan sekali gus dapat memantapkan
ekonomi negara. Dan sama-samalah kita berdoa semoga Allah Subhanahu
Wataala akan sentiasa melimpahkan rahmat dan nikmat yang berkekalan dan
memberikan petunjuk serta hidayahnya supaya kita dapat hidup dengan
bahagia dan selamat didunia dan diakhirat. Amin Yarrabal Alamin.
Surah Al-Kahfi ayat 46, tafsirnya:
"Harta
dan anak pinak itu adalah perhiasan kehidupan dunia dan amalan-amalan
salih dan kekal itu lebih baik pahalanya disisi Tuhanmu dan lebih baik
menjadi harapan untuk kebahagian hidup akhirat".
|