ummusya

Jumaat, 18 Jun 2010

CORETAN BUAT ANAKKU



Anakku…
Setiap pagi mama membangunkanmu dari tidur
Setiap pagi mama menyediakan sarapan untukmu
Setiap pagi mama menyediakan bekal untuk kau bawa ke sekolah
Setiap pagi mama mendengar bunyi tapak kakimu menuruni tangga
Setiap pagi kau bertanya "mama masak apa?"
Setiap pagi mama menghantarmu ke sekolah

Tapi kini...
Siapakah yang membangunkanmu dari tidur?
Siapakah yang menyediakan sarapan untukmu?
Siapakah yang menyediakan bekal untuk kau bawa ke sekolah?
Siapakah yang menghantarmu ke sekolah?

Tapi kini...
Tiada lagi mama dengar bunyi tapak kakimu menuruni tangga
Tiada lagi mama dengar kau bertanya "mama masak apa?"

Anakku...
Setiap tengahari mama menjemputmu pulang sekolah
Setiap tengahari kau akan makan masakan mama
Setiap tengahari mama akan menghantarmu ke sekolah agama

Tapi kini...
Siapakah yang menjemputmu pulang sekolah?
Masakan siapakah yang kau makan?
Siapakah yang menghantarmu ke sekolah agama?

Anakku...
Setiap petang mama menjemputmu pulang sekolah agama
Setiap petang kau ikut ke pejabat mama
Setiap petang kita singgah shopping di pasaraya
Setiap petang kita pulang ke rumah bersama

Tapi kini...
Siapakah yang menjemputmu pulang sekolah agama?
Siapakah yang menemanimu shopping di pasaraya?

Tapi kini...
Tiada lagi kau menemani mama di pejabat
Tiada lagi kau bermain game di komputer mama
Tiada lagi kau pulang ke rumah bersama mama

Anakku...
Setiap petang mama mengarahkanmu mandi
Setiap malam kau minta ajarkan cara berwudu'
Setiap malam kau ikut mama sembahyang fardu
Setiap malam mama menemanimu membuat kerja sekolah
Setiap malam kau berebut chanel tv dengan mama
Setiap malam kau minta mama membelai rambutmu
Setiap malam kau mengurut kaki mama

Tapi kini...
Siapakah yang mengarahkanmu mandi?
Siapakah yang mengajarmu berwudu'?
Siapakah yang kau ikuti sembahyang fardu?
Siapakah yang menemanimu membuat kerja sekolah?
Siapakah yang membelai rambutmu?

Tapi kini...
Adakah kau masih menonton tom & jerry?

Tapi kini...
Tiada lagi tangan montel yang mengurut kaki mama

Anakku...
Mama sering mengawal pemakananmu kerana kemontelanmu

Tapi kini...
Siapakah yang mengawal pemakananmu?

Anakku...
Kau tahu membuat pilihan di kala mama rambang mata nak beli yang mana satu
Kau sering memberi mama idea nak masak apa pada hari itu

Tapi kini...
Tiada lagi yang tahu membuat pilihan di kala mama nak beli sesuatu
Tiada lagi pencetus idea nak masak apa pada hari itu

Tetapi anakku...
Hakikatnya mama tidak perlu risau
Mama tidak perlu bertanya siapa? dan siapa?
Kerana mama yakin dan pasti kau dipelihara dan dijaga dengan sempurna oleh Nabi Ibrahim alaihissalam
Dan mama yakin dan pasti kau di bawah lindungan Allah subhanahu wataala
Tiada alasan untuk mama risau akan keadaan dirimu
Kerana Allah subhanahu wataala adalah sebaik-baik pelindung dan pemelihara

Tetapi anakku...
Hanya satu yang tidak mampu mama lenyapkan
Mama terlalu merinduimu
Mama sentiasa mengenangmu di setiap waktu
Tidak tertunggu rasanya saat kita bertemu di alam sana
Mama akan tetap sabar menunggu saat itu tiba
Tika itu nanti segala kerinduan mama akan terlerai jua
Kita akan bahagia bersama buat selamanya

Amin ya rabbal alamin...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan