ummusya

Rabu, 1 September 2010

NUZUL AL-QUR'AN DAN LAILATUL QADAR

Muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya, lebih-lebih lagi ketika kita berada di bulan Ramadan yang mubarak ini. Mudah-mudahan segala amal ibadah kita diterima, dan seterusnya kita menjadi insan yang beriman dan bertakwa serta selamat di dunia dan di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Alhamdulilah, kita bersyukir kepada Allah Subhanahu Wata'ala kerana telah mentakdirkan kita menjadi orang Islam yang dikurniakan kitab suci Al-Qur'an yang menjadi cahaya dan petunjuk bagi membimbing kita semua ke jalan yang benar.

Al-Qur'an ialah mukjizat agung Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wasalam yang kekal terpelihara sehingga kehari kiamat. Al-Qur'an ialah kitab yang terdiri dariapda ayat-ayat yang diturunkan kepada baginda Sallahu Alaihi Wasalam. Al-Qur?an ini makna asalnya ialah bacaan dan disebut juga sebagai Kalamullah yakni kitab Allah.

Allah Subhanahu Wata'ala menurunkan ayat-ayat Al-Qur'an melalui malaikat Jibril Alaihi Salam untuk disampaikan kepada Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wasalam. Jibril Alaihi Salam akan membacakannya kepada Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wasalam dan menyuruh baginda membacakan ayat-ayat yang telah diturunkan sehinggalah ayat-ayat itu terkumpul dan menetap di dalam dada baginda. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Kiamah ayat 17-18 tafsirnya:

"Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Qur?an itu dalam dadamu, dan menetapkan bacaannya pada lidahmu. Oleh itu apabila kamu telah menyempurnakan bacaannya kepadamu dengan perantaraan Jibril, maka bacalah menurut bacaan itu"

Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wasalam menerima Al-Qur'an daripada malaikat Jibril secara berperingkat-peringkat, sedikit demi sedikit, terdiri daripada beberapa ayat, atau kadang-kadang juga surah yang pendek. Al-Qur'an diturunkan terus menerus selama dua puluh tiga tahun iaitu tiga belas tahun di Mekah dan sepuluh tahun di Madinah sehinggalah terhimpun kesemuanya tiga puluh jarak. Ayat yang turun di Mekah dinamakan Makiah dan yang turun di Madinah pula dinamakan Madaniah.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Al-Qur'an itu dinamakan juga wahyu daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Selain daripada Al-Qur'an, ada pula beberapa perkara lain yang juga dinamakan wahyu, seperti ada kalanya wahyu itu berupa ilham yang diletakan Allah Subhanahu Wata'ala di dalam hati para nabi, atau ada kalanya dengan menyampai seperti menyampai Nabi Ibrahim Alaihi Salam yang mendapat perintah Allah Subhanahu Wata'ala supaya mengorbankan puteranya Nabi Ismail Alaihi Salam. Demikian juga wahyu itu adalah hadith-hadith nabi atau sunah Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam yang meliputi segala percakapan berupa hukum, perintah dan larangan Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Najam ayat 3-4 tafsirnya:

"Dan ia tidak memperkatakan sesuatu yang berhubung dengan agama Islam menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu samada Al-Qur'an atau hadith tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya"

Oleh itu wahai kaum muslimin, janganlah dianggap hadith-hadith Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wasalam itu sebagai kata-kata dan pertuturan yang keluar daripada hati dan pemikiran biasa, tetapi ia adalah wahyu Allah Subhanahu Wata'ala. Maka kedudukannya sangatlah tinggi selepas Al-Qur'an. Hadith-hadith tersebut tidaklah boleh disamakan dengan kata-kata falsafah, karya-karya sastera dan ucapan-ucapan para sarjana. Kerana itulah hadith-hadith tidak boleh dibahas, dipertikai atau diragui.

Pada zaman sekarang ini, kita ada mendapati perkataan dan kelakuan segelintir orang-orang kafir yang menghina Al-Qur'an dan hadith-hadith Nabi Sallahu Alaihi Wasalam. Dalam perkara ini kita hendaklah berhati-hati supaya jangan sekali-kali terpedaya atau terpengaruh dengan apa jua propaganda yang cuba mencemarkan kesucian dan kebenaran Al-Qur'an dan hadith. Sesungguhnya Al-Qur'an dan hadith itu adalah wahyu daripada Allah Subhanahu Wata'ala yang benar, yang terpelihara keasliannya dan tidak boleh ditolak dan dibantah lagi.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Beberapa hari lagi kita akan memasuki sepuluh malam terakhir bulan Ramadan. Maka apabila memasuki sepuluh malam terakhir bulan Ramadan, kita pasti akan membicarakan tentang Lailatul Qadar iaitu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Adapun jalan terbaik untuk memperolehi Lailatul Qadar itu ialah dengan menghidupkan tiap-tiap malam sepuluh yang terakhir dari bulan Ramadan dengan ibadah dan ketaatan kepada Allah Subhanahu Wata?ala, tanpa menunggu-menunggu malam ganjil seperti disebutkan oleh kebayakan para ulama. Dengan berbuat taat kepada Allah Subhanahu Wata?ala pada setiap malam, nescaya akan terkandunglah di dalamnya Lailatul Qadar.

Sabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam dalam sebuah hadith maksudnya:

"Dari Aswad bin Yazid, berkata Aisyah Radiallahu Anha: Adalah Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam bersungguh-sungguh mengerjakan amal ibadah di sepuluh yang terakhir bulan Ramadan, apa yang baginda tidak kerjakan di sepuluh terakhir bulan-bulan yang lain" (Riwayat Al-Imam Muslim)

Perlu diingat bahawa Lailatul Qadar yang dikatakan lebih baik daripada seribu bulan itu bukanlah kata-kata biasa atau ucapan slogan, sehingga kita memperlakukannya atau melaluinya seperti malam-malam yang lain tanpa memperbanyakkan amalan, atau memadai dengan sembahyang terawih dan sembahyang witir. Janganlah dibiarkan malam-malam itu berlalu dengan kekosongan, kerugian dan penyesalan, sedangkan Ramadan yang akan datang belum tentu kita berpeluang bertemu lagi kerana umur dan kekuatan jasmani tidak kita ketahui.

Sabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam dalam sebuah hadith maksudnya:

"Dari Abi Hurairah Radiallahu Anh, dari Nabi Sallahu Alaihi Wasalam baginda bersabda: Barangsiapa mengerjakan ibadah di malam Lailatul Qadar kerana imannya kepada Allah dan kerana mengharapkan keredaannya nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu" (Riwayat Al-Imam Bukhari)

Mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata'ala memberi kita kesihatan tubuh badan dan kekuatan azam untuk melakukan amal soleh sepanjang hari dan malam di bulan yang mulia ini. Amatlah rugi jika kita mengisi malam-malam tersebut dengan urusan-urusan keduniaan seperti membuat persiapan dan persediaan menyambut hari raya.

Marilah kita mempertingkatkan amal ibadah kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan memperbanyakan melakukan sembahyang sunat, membaca Al-Qur'an, berdoa dan berzikir dengan penuh rasa keimanan dan ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Maka beruntunglah bagi orang-orang yang memperolehi apa yang dikurniakan Allah Subhanahu Wata?ala pada malam Lailatul Qadar itu.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Di bulan Ramadan yang mulia ini juga, kita rebutlah peluang bersedekah, kerana amalan bersedekah, tidak kira kecil atau besar, banyak atau sedikit adalah amalan mulia yang sangat dianjurkan oleh agama Islam dan dijanjikan ganjaran yang sangat besar dan berlipat ganda.

Sesungguhnya bersedekah itu menzahirkan rasa syukur kita terhadap nikmat rezeki kurniaan Allah Subhanahu Wata'ala, sekaligus dapat menjauhkan kita dari bersifat kedekut, bakhil dan tamak. Bahkan dengan bersedekah dapat meringankan beban orang yang berhajat dan memerlukan bantuan. Oleh itu memperbanyakkanlah amalan bersedekah, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang mulia ini. Marilah kita contohi keperibadian baginda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam yang sangat pemurah dalam kebaikan dan lebih pemurah lagi dalam bulan Ramadan.

Pada masa ini terdapat banyak kemudahan ataupun cara untuk kita menghulurkan sedekah, antaranya melalui perkhidmatan pesanan ringkas (sms), melalui potongan akaun bank atau melalui tabung-tabung yang disediakan seperti tabung masjid, tabung untuk anak-anak yatim dan sebagainya, termasuklah tabung kemanusiaan mangsa bencana banjir Pakistan yang telah dilacarkan baru-baru ini yang ditempatkan di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat seluruh negara selama dua bulan mulai 16 Ogos 2010 yang lalu hingga 15 Oktober 2010. Oleh itu, marilah kita sama-sama menghulurkan bantuan bagi meringankan beban dan penderitaan yang dihadapi oleh mangsa banjir di Pakistan.

Perlu diketahui bahawa orang-orang yang suka bersedekah itu adalah orang yang beruntung dan bukannya orang yang rugi, kerana dengan bersedekah rezekinya akan bertambah dan akan mendapat ganti yang lebih baik dari apa yang telah dibelanjakannya untuk bersedekah itu. Sama-samalah kita berdoa mudah-mudahan kita semua dimurahkan rezeki dan tergolong dikalangan orang-orang yang pemurah dan suka bersedekah. Amin Ya Rabal Alamin.

Surah Al-Baqarah ayat 245 tafsirnya:

"Siapakah orang yang mahu memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik dengan membelanjakan harta pada jalan Allah secara ikhlas, supaya Allah akan melipat gandakan baginya ganjaran yang berganda-ganda banyaknya? Dan Allah jua lah yang menyempitkan dan meluaskan pemberian rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan kepada-Nya kamu semua dikembalikan".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan