ummusya

Jumaat, 4 Mac 2011

MEMPERINGATI KELAHIRAN RASULULLAH DENGAN PERASAAN CINTA TERHADAP BAGINDA

Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,

MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subahanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Kita sedang berada di bulan Rabiulawal, dan pada setiap tahun apabila tibanya 12 Rabiulawal umat Islam diseluruh dunia akan sama-sama memperingati hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wasalam. Baginda yang diutuskan sebagai rasul yang terakhir telah membawa sinar kebahagiaan kepada manusia dan rahmat kepada seluruh alam. Firman Allah Subahanahu Wata'ala dalam surah Al-Anbiya ayat 107 tafsirnya:

"Dan tiadalah kami mengutuskan kamu melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam"

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam telah membawa perubahan kepada tamadun manusia. Sebelum kelahiran baginda, dunia berada dalam kegelapan dan kacau-bilau. Peradaban manusia telah menjadi rosak kerana bersandarkan kepada hawa nafsu dan kuasa. Yang kaya dan berkuasa menindas yang miskin dan lemah. Kehidupan manusia ketika itu bergelumang dengan noda dan maksiat sehingga pelbagai bentuk penganiyaan, kezaliman, ketidak adilan dan penindasan dilakukan secara berleluasa seperti arak, rompak, judi, zina, rogol, bunuh, riba, rasuah dan pelbagai lagi jenis kejahatan. Masyarakat pada ketika itu juga hidup dalam kesesatan kerana mensyirikkan Allah Subahanahu Wata?ala sehingga ada yang sanggup menyembah patung-patung dan batu-batu berhala yang dibuat oleh tangan mereka sendiri. Lalu Allah Subahanahu Wata?ala mengutuskan Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wasalam kepada umat manusia untuk membimbing mereka supaya menjadi orang yang beriman kepada Allah Subahanahu Wata'ala, Tuhan pencipta alam. Sebagaimana firman Allah Subahanahu Wata'ala dalam surah Al-Jumuah ayat 2 tafsirnya:

"Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang arab yang umiyin, seorang rasul (Nabi Sallahu Alaihi Wasalam) dari bangsa mereka sendiri yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaannya dan membersihkan mereka dari iktiqad yang sesat serta mengajar mereka kitab Allah (Al-Qur'an) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum kedatangan Nabi Muhammad itu adalah dalam kesesatan yang nyata"

Ahli jemaah yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya perjuangan Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam dalam menyebarkan agama Islam telah menempuh banyak cabaran dan dugaan antaranya penghinaan, ejekkan, cemuhan, bantaha, penyiksaan, ancaman untuk dibunuh dan sebagainya. Namun baginda tetap tabah dan sabar menghadapinya. Baginda tidak pernah jemu dalam menyebarkan agama Islam jauh sekali untuk berputus asa. Bukan itu sahaja, bahkan apa yang menimpa diri baginda turut juga dirasai oleh keluarga, para sahabat dan pengikut yang menyahut dakwah baginda, mereka menempuh segala penderitaan dan kepayahan dalam berjuang bersama-sama baginda dengan rela hati tanpa sebarang penyesalan apatah lagi untuk mengkhianati baginda ataupun meninggalkan agama yang dibawa oleh baginda. Semua itu di lakukan atas dasar keimanan yang teguh serta kecintaan sangat mendalam terhadap Rasulullah Sallahu Alahi Wasalam.

Sememangnya baginda dicintai oleh keluarga, sahabat dan para pengikut baginda. Kecintaan mereka sangat mendalam hingga sanggup berkorban harta dan nyawa demi berjuang bersama-sama pemimpin yang mereka sanjungi. Bukti kecintaan mereka banyak diceritakan dalam kitab sejarah, antaranya sebagaimana kisah pemulauan kaum Musyrikin Quraish terhadap keluarga nabi iaitu Bani Hashim dan Bani Mutalib serta para pengikutnya yang telah beriman. Dalam pemulauan tersebut, mereka disisihkan, mereka tidak boleh bernikah, tidak boleh berjualbeli, tidak dibenarkan mengadakan persahabatan atau pergaulan dengan mereka. Pemulauan itu akan terus berlaku selagi kaum keluarga Bani Hashim dan Bani Mutalib belum menyerahkan Nabi Muhammad kepada kaum Quraish untuk dibunuh. Peristiwa itu berlanjutan selama tiga tahun. Dalam tempoh tersebut, Rasulullah Sallahu Alahi Wasalam melihat kaum kerabat serta pengikut baginda berhadapan dengan penyiksaan dan penganiyaan, mereka hidup dalam kesempitan, kelaparan dan kesengsaraan. Baginda merasa kesihan dan sedih namun situasi tersebut sedikit pun tidak melemahkan semangat juang baginda untuk terus berdakwah. Bahkan kaum kerabat dan muslimin yang tertindas juga tetap sabar dan setia bersama Nabi Muhammad Sallahu Alahi Wasalam, melindungi dan membela baginda walaupun terpaksa mengharungi hidup dalam kesulitan dan penderitaan.

Dalam peristiwa lain, ketika dalam peperangan Uhud, semasa tentera Muslimin dihujani anak panah dari tentera musuh, para sahabat dengan segera berusaha melindungi Nabi Muhammad Sallahu Alahi Wasalamdenga menjadikan diri mereka sebagai perisai sehingga menyebabkan di antara mereka yang syahid. Lihatlah betapa tingginya kecintaan mereka terhadap Rasulullah Sallahu Alahi Wasalam sehinggakan sanggup mengorbankan nyawa demi mempertahankan baginda.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya kecintaan, kepercayaan, pembelaan dan kesetiaan para sahabat dan pengikut baginda amat mengkagumkan kita. Semua itu adalah kerana mereka sangat sayang dan kasih kepada baginda Rasulullah Sallahu Alahi Wasalam sehingga sanggup berkorban nyawa dan harta pada jalan Allah Subahanahu Wata'ala. Oleh itu sudah sepatutnya kita turut mencontohi kecintaan dan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh para sahabat kepada Rasulullah Sallahu Alahi Wasalam. Mengasihi baginda bukan sekadar ucapan di mulut sahaja tetapi buktikanlah dengan mentaati ajaran yang dibawa oleh Rasulullah Sallahu Alahi Wasalam. Firman Allah Subahanahu Wata?ala dalam surah Ahsyar ayat 7 tafsirnya:

"Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah Sallahu Alahi Wasalam kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksanya bagi orang-orang yang melanggar perintahnya"

Sebagai tanda cinta kita kepada Rasulullah Sallahu Alahi Wasalam, kita hendaklah menjadikan baginda sebagai tauladan untuk dicontohi kerana akhlak baginda adalah Al-Qur'an dan merupakan Uswah Hasanah iaitu contoh ikutan yang baik kepada umatnya. Baginda adalah seorang yang bijaksana, murah hati, ramah, tegas, penyayang, merendah diri, pemaaf dan menghormati orang lain. Baginda sentiasa bersikap adil dan tidak membalas kejahatan orang terhadapnya dengan kejahatan tetapi dengan kebaikan. Bagitulah di antara sifat dan sikap terpuji yang dimiliki oleh Rasulullah Sallahu Alahi Wasalam sehingga dengannya dapat menawan hati masyarakat disekelilingnya termasuk orang yang baru mengenali baginda. Dengan keperibadian yang tinggi dan luhur itulah juga yang menjadikan baginda insan mulia uang sangat istimewa dan sangat dicintai oleh umatnya serta merupakan antara faktor utama di atas kecintaan dakwah baginda. Dalam sebuah hadith, Saidatina Aisyah Radiaallahu Anha menyatakan di antara akhlak baginda maksudnya:

"Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam bukanlah seorang yang keji (dalam percakapan dan perbuatan) dan bukan seorang yang senghaja membuat keji, bukan seorang yang ada suka berteriak di pasar dan baginda tidak membalas kejahatan dengan kejahatan melainkan dengan kebaikan. Akan tetapi baginda seorang yang suka memaafkan dan menzahirkannya dengan berjabat tangan"

Selain itu juga, sebagai kecintaan kita kepada Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam ialah dengan memperbanyakkan selawat kepada baginda. Berkata Syiekh Al-Fasi dalam syarah Dalailul Khairats: Terdapat beberapa keramat (kemuliaan) bagi orang-orang yang berselawat ke atas Nabi Sallahu Alaihi Wasalam itu antaranya:

Pertama: Allah Subahanahu Wata'ala akan berselawat (memberi rahmat, cahaya dan hidayah) kepada orang yang berselawat.

Kedua: Mendapat syafaat Nabi Sallahu Alahi Wasalam.

Ketiga: Bersama-sama dengan melangkah kerana para malaikat itu sentiasa berselawat ke atas Nabi Sallahu Alaihi Wasalam.

Keempat: Menyalahi kelakuan orang-orang munafik dan kufur kerana orang-orang munafik dan kufur itu tidak mengiktiraf Nabi Sallahu Alaihi Wasalam.

Kelima: Menolong menyampaikan segala hajat.

Manakala disebut juga dalam kitab Hadaikul Anwar, bahawa faedah berselawat ke atas Nabi Sallahu Alaihi Wasalam ada empat puluh satu faedah, di antaranya diangkat baginya sepuluh darjat dicatatkan baginya sepuluh kebajikan, dihapuskan daripadanya sepuluh kejahatan, dimakbulkan doanya, ditunaikan segala hajatnya, ditutup segala aibnya, terlepas daripada huru hara hari kiamat dan lain-lain lagi.

Melihat betapa besarnya kelebihan berselawat, maka alangkah beruntungnya umat Islam yang mengamalkan selawat pada setiap masa dan ketika, tanpa mengira banyak atau sedikit dan bukannya hanya sekali dalam setahun, iaitu pada masa memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wasalam sahaja, kerana apa yang lebih penting ialah keikhlasan dan istiqamah kita dalam mengamalkan selawat.

Ahli jemaah yang dirahmati Allah,

Bersempena sambutan Maulidur Rasul yang diadakn setiap tahun, marilah kita sama-sama menghayati dan mencontohi ketabahan serta kesabaran baginda dalam menegakkan syiar Islam sehingga terpancar kecemerlangan dan kegemilangan Islam di seluruh pelusuk dunia. Dan marilah juga kita mendidik anak-anak kita supaya mencintai baginda antaranya dengan menceritakan kepada mereka akan kisah-kisah kemuliaan peribadi baginda supaya mereka dapat lebih mengenali baginda, mengkagumi serta mengasihi baginda. Bawalah juga anak-anak untuk berselawat bersama-sama dengan kita semoga dengan amalan tersebut dapat mempertingkatkan lagi rasa cinta dan kasih kepada Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam, dan amalkanlah juga sunah-sunah baginda mudah-mudahan kita akan tergolong dikalangan mereka yang akan mendapat syafaat baginda diakhirat nanti. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Al-Ahzab ayat 56 tafsirnya:

"Sesugguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat memberi segala perhormatan dan kebaikan kepada Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wasalam. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepada-Nya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan