ummusya

Selasa, 1 Februari 2011

AMALAN BERJIMAT CERMAT DAN MENABUNG MENJAMIN MASA DEPAN YANG CERAH

Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,

MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subahanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Allah Subahanahu Wata'ala mencipta manusia hidup di atas muka bumi ini adalah semata-mata untuk beribadah kepada-Nya. Pengertian ibadah itu sebenarnya amat luas, bukan hanya khusus terhadap ibadah sembahyang, puasa, zakat dan haji sahaja, akan tetapi ibadah itu menrangkumi segala bidang dan aspek kehidupan termasuklah menuntut ilmu, berniaga, bekerja mencari rezeki dan sebagainya, dengan syarat semua itu dilakukan dengan niat yang ikhlas berlandaskan iman dan takwa kepada Allah Subahanahu Wata'ala.

Mencari rezeki adalah salah satu kewajipan keatas manusia bagi memenuhi keperluan kehidupan seharian samada untuk diri sendiri mahupun orang yang berada di bawah tanggungannya. Rezeki tersebut hendaklah diperolehi dari sumber yang halal, baik serta diberkati Allah Subahanahu Wata'ala. Ketahuilah bahawa tiada makanan yang lebih baik selain yang diperolehi dari hasil usahanya sendiri sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari maksudnya:

"Dari Al-Miqdam Radiallahu Anhu, dari Rasulullah Sallahu Alahi Wasalam bersabda: Tiada ada makanan yang lebih baik bagi seseorang daripada makanan yang dihasilkan oleh kerja keras sendiri, sesungguhnya Nabi Daud Alaihi Salam makan dari hasil kerjanya sendiri"

Muslimin yang drahmati Allah,

Sebagai umat Islam kita hendaklah membelanjakan rezeki yang diperolehi itu dengan bijak. Agama Islam juga telah mengajar umatnua bagaimana seseorang itu harus membelanjakan wang dan hartanya, antaranya hendaklah kita membelanjakannya bagi keperluan diri, keluarga dan orang-orang di bawah tanggungan kita. Harta itu juga hendaklah dibelanjakan dalam menunaikan hak-hak wajib yang tertanggung ke atas pemilik harta seperti mengeluarkan zakat, memberi bantuan atau pertolongan kepada orang yang ditimpa musibah dan sebagainya. Perbelanjaan juga hendaklah seimbang antara kadar pendapatan dan perbelanjaan. Dalam hal ini, sebagai contoh adalah tidak munasabah jika seseorang yang mempunyai pendapatan $700 sebulan tetapi berbelanja lebih daripada pendapatan yang diperolehi itu kerana perbuatan sedemikian akan mengakibatkan masalah kewangan dalam keluarga dan lebih buruk lagi boleh mengundang amalan berhutang. Selain itu kita juga dilarang dari membelanjakan rezeki yang diperolehi kepada perkara haram dan maksiat. Apa yang penting juga ialah kita dituntut untuk bersikap sederhana dalam perbelanjaan, iaitu tidak bersikap bakhil dan tidak juga bersikap boros. Firman Allah Subahanahu Wata'ala dalam surah Al-Furqan ayat 67 tafsrinya:

"Dan juga mereka diredhai Allah itu ialah yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut, dan sebaliknya perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu"

Mengamalkan sikap bersederhana dalam kehidupan dapat mengelakkan diri dari bersikap boros dan membazir dan kita juga akan dapat menyimpan atau menabung pendapatan yang diperolehi. Amalan menabung adalah tindakan orang yang bijak merancang perbelanjaan mereka.

Sesungguhnya banyak kelebihan yang boleh kita dapat dari amalan menabung, antaranya ekonomi seseorang itu akan lebih teratur dan terancang dan dapat membantu kita membuat persediaan bagi menghadapi keadaan-keadaan yang tertentu di masa akan datang seperti keperluan bagi perbelanjaan pendidikan anak-anak dan sebagainya. Selain itu amalan menabung juga dapat membantu kita ketika menghadapi situasi kecemasan seperti perbelanjaan bagi masalah kesihatan ataupun bagi keperluan yang mendesak seperti membaiki kereta rosak dan sebagainya. Wang yang disimpan juga boleh digunakan sebagai modal pelaburan atau perniagaan di masa hadapan seperti bagi keperluan membeli rumah, tanah dan sebagainya, bahkan wang itu juga boleh digunakan sebagai jaminan di hari tua atau apabila bersara kelak bagi menyara perbelanjaan kehidupan. Selain itu dengan adanya wang simpanan juga membolehkan kita menunaikan ibadah kepada Allah Subahanahu Wata'ala seperti memberi sumbangan wakaf ataupun sedekah, lebih-lebih lagi untuk menyempurnakan rukun Islam yang ke-lima iaitu menunaikan fardhu haji.

Oleh itu kita hendaklah memupuk amalan menabung bagi faedah diri dan keluarga, apatah lagi pada masa ini untuk menabung atau menyimpan wang sangat mudah dan selamat iaitu melalui institusi kewangan yang banyak menawarkan pelbagai khidmat bagi tujuan tersebut. Amalan tersebut bukan sahaja mendidik kita untuk berjimat cermat, tetapi yang paling penting dapat menjamin kita sewaktu menghadapi kesukaran dari segala kewangan tanpa perlu meminta-minta bantuan dari orang lain ataupun berhutang, bak kata pepatah "Sediakan Payung Sebelum Hujan". Selain itu kita juga hendaklah mendidik anak-anak supaya suka menabung agar amalan tersebut akan menjadi satu kebiasaan apabila mereka dewasa kelak. Kita juga perlu menjelaskan kepada anak-anak akan tujuan dan pentingnya amalan menabung agar mereka berminat untuk menabung dan dengan sikap itu juga dapat menanamkan sifat berjimat cermat dan mengelakkan mereka dari bersikap boros di masa akan datang.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Kita harus ingat bahawa harta yang kita miliki sebenarnya adalah hak milik Allah Subahanahu Wata'ala, kita hanya sebagai penerima amanah yang pasti akan ditanya dari mana harta yang kita perolehi dan kemana kita membelanjakan harta tersebut. Oleh itu rancanglah perbelanjaan supaya dapat mengelakkan pembaziran dan sikap boros dan berusahalah untuk menabung walaupun sedikit, bak kata pepatah "Sikit-Sikit Lama-Lama Jadi Bukit" dan marilah kita sama-sama mengamalkan sikap berbelanja dan kaya hidup yang berhemah atau berjimat sepanjag masa, semoga dengan amalan sedemikian dapat membantu ekonomi negara semakin teguh dan mantap dan seterusnya negara menjadi lebih makmur dan maju. Akhirnya sama-samalah kita bersyukur atas apa pun jua rezeki yang diperolehi, mudah-mudahan dengan demikian kita akan menjadi hamba yang dikasihi dan sentiasa mendapat perlindungan dan rahmat dari Allah Subahanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Ibrahim ayat 7 tafsirnya:

"Dan ingatlah tatkala Tuhan kamu memberitahu, demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguh-Nya jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan