ummusya

Selasa, 1 Februari 2011

SEMPENA HARI POLIS YANG KE-90 TAHUN

Muslimin yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, kita bersyukur kehadrat Allah Subahanahu Wata'ala kerana telah mengurniakan nikmat keamanan dan kemakmuran kepada negara kita. Nikmat tersebut merupakan satu anugerah yang amat besar kepada umat manusia kerana dengannya rakyat dapat hidup dengan selamat dan bahagia. Tiada seorang pun yang mahu negaranya tidak aman kerana kita sedia maklum bahawa negara yang tidak aman rakyatnya hidup dalam keadaan tidak tenteram dan menghadapi banyak masalah dalam menjalani kehidupan seharian, bahkan negara yang tidak aman juga akan mengalami kacau-bilau, huru-hara dan seterusnya boleh menyebabkan kemunduran dan kemerosotan ekonomi.

Oleh yang demikian, adalah sangat penting bagi sesebuah negara itu mempunyai pasukan keselamatan untuk memastikan keamanan dan kemakmuran sentiasa terpelihara dan terjamin. Negara Brunei Darussalam seperti juga negara-negara lain ada mempunyai pasukan keselamatan yang telah sekian lama ditubuhkan, antaranya ialah pasukan Polis Diraja Brunei. Pasukan polis tersebut adalah antara agensi kerajaan yang tertua di negara ini, di mana pada tahun ini genaplah usia 90 tahun selepas ditubuhkan pada 1 Januari 1921.

Pasukan polis ditubuhkan adalah untuk memperkukuhkan undang-undang yang telah sedia digubal bagi tujuan keadilan dan kebaikan penduduk rakyat negara ini. Sepanjang penubuhan pasukan Polis Diraja Brunei, pasukan itu telah banyak menempuh cabaran dan dugaan dalam memerangi pelbagai jenayah yang berlaku di negara ini. Pasukan polis juga telah banyak menabur bakti dalam memastikan suasana kehidupan rakyat dan penduduk negara ini sentiasa dalam keadaan aman dan makmur. Pasukan polis sentiasa bersedia berkhidmat untuk masyarakat untuk kestabilan dan pembangunan serta pertubuhan sosio ekonomi negara yang kita nikmati selama ini.

Ahli jemaah yang dirahmati Allah,

Sememangnya Pasukan Polis Diraja Brunei dalam usaha untuk mengekalkan keamanan negara sentiasa berhadapan dengan pelbagai situasi yang sukar dan berbahaya, kita juga melihat ada di kalangan anggota pasukan polis yang telah terkorban nyawa semasa menjalankan tugas semata-mata untuk mempertahankan kedaulatan raja? dan kemakmuran negara. Pengorbanan mereka ini hendaklah kita hargai dan sanjungi.

Tidak dinafikan pasukan polis juga adakalanya? menerima pandangan yang kurang elok terutama dalam menjalankan tugas penguatkuasaan undang-undang dan penyaluran khidmat masyarakat. Dalam hal ini, masyarakat perlu faham bahawa tugas sebagai anggota polis bukannya untuk membebankan dan menyusahkan masyarakat tetapi adalah untuk menegakkan undang-undang dan peraturan negara.

Kerjaya sebagai anggota polis adalah satu khidmat yang mulia disisi agama kerana kerjaya itu adalah satu amalan yang mulia. Oleh itu sebagai anggota polis hendaklah memperwatakkan iman, kerana hanya dengan iman yang kuat sahaja dapat memupuk dan membudayakan nilai-nilai kerohanian dan keagamaan dalam kehidupan dan tugas-tugas harian seperti bersifat jujur, amanah dan ikhlas semata-mata kerana Allah Subahanahu Wata'ala. Rasulullah Sallahu Alahi Wasalam memberi amaran kepada sesiapa yang tidak menunaikan amanah, sepertimana dalam sebuah hadith baginda maksudnya:

"Dari Abu Hurairah Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam bersabda: Apabila amanah telah disia-siakan, maka tunggulah kehancuran".

Muslimin yang dirahmati Allah,

Khidmat bantuan pasukan polis kepada masyarakat hendaklah diberikan dengan professional, adil dan tidak pilih kasih serta memperalatkan orang lain demi kepentingan sendiri. Berkhidmatlah dengan tidak mengunakan kuasa yang diberikan dengan sewenang-wenangnya seperti melakukan rasuah, penyelewengan, penipuan dan sebagainya. Perlu diingat, bahawa kuasa dan tanggungjawab yang diberikan adalah satu amanah yang tidak boleh disalahgunakan. Bekerjasamalah untuk menjaga dan menanai imej dan kredibiliti pasukan polis demi maruah negara, bangsa dan rakyat. Kita hendaklah sedar bahawa setiap kegiatan dan pekerjaan di dunia ini akan dihitung di akhirat nanti. Firman Allah Subahanahu Wata'ala dalam surah Am-Mudathir ayat 38 tafsirnya:

"Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada balasan buruk bagi amal jahat yang dikerjakan"

Dengan adanya pasukan polis yang amanah dan sentiasa bekerja keras secara profesional menjaga keamanan negara, maka masyarakat tidak akan ada sebarang keraguan dalam mengharapkan bantuan daripada pasukan polis sebagai benteng utama keamanan dan kesejahteraan negara ini.

Dalam menjalankan tugas pasukan juga hendaklah meningkatkan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang lain khususnya dengan Biro Mencegah Rasuah, Biro Kawalan Narkotik, Institusi Perkhidmatan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Imegrisen dan Pendaftaran Kebangsaan serta agensi-agensi keselamatan yang lain.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Perlu diketahui bahawa Pasukan Polis Diraja Brunei sememangnya mengamalkan sikap terbuka dan menghargai sebarang maklum balas daripada orang awam dalam sama-sama membenteras jenayah. Itulah yang kita mahukan dan harapkan iaitu adanya kerjasama yang erat dan padu serta saling bantu membantu di antara pasukan polis dan orang ramai, bukannya saling benci membenci dan menaruh perasaan dendam antara satu sama yang lain. Firman Allah Subahanahu Wata'ala dalam surah Al-Maidah ayat 2 tafsirnya:

"Dan tolong menolonglah kamu dalam kebajikan dan ketakwaan dan janganlah tolong menolong dalam dosa dan permusuhan (melanggar hukum-hukum Allah Subahanahu Wata'ala) dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat berat siksanya"

Akhirnya, sebagai rakyat dan penduduk yang cintakan negara ini, marilah kita sama-sama berganding bahu dalam menjaga keamanan, keselamatan dan kesejahteraan negara. Sama-samalah kita berdoa semoga negara kita bebas daripada sebarang jenayah, kekal menjadi negara yang aman sejahtera dan sentiasa mendapat perlindungan Allah Subahanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Saba' ayat 15 tafsirnya:

"Negeri kamu ini adalah negeri yang baik aman dan makmur, dan Tuhan kamu adalah Tuhan yang Maha Pengampun"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan