ummusya

Isnin, 20 Jun 2011

HENTIKAN TABIAT BURUK MEROKOK

Wahai Kaum Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benarnya iaitu dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi mukmin yang sejati dan mendapat kejayaan di dunia dan akhirat. Amin Yarabbal Alamin.

Agama Islam menitikberatkan agar umatnya menjaga dan menghargai akan nikmat kesihatan. Menurut Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam, kesihatan merupakan salah satu asas bagi kebahagiaan hidup di dunia ini. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam bersabda dalam sebuah hadis yang maksudnya:

"Dari Ubaidillah bin Muhsin Al-Khutami berkata, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam bersabda: Sesiapa di kalangan kamu memasuki waktu pagi dalam keadaan aman pada jiwanya, sihat tubuh badannya, mempunyai cukup makanan hariannya, maka seolah-olah dia memiliki dunia ini". (Riwayat Al-Imam Al-Termizi)

Sesungguhnya kesihatan adalah penting dalam kehidupan, oleh itu islam melarang umatnya melakukan perkara-perkara yang boleh memberi kesan yang tidak baik atau merosakkan kesihatan. Sebagai langkah untuk menjaga kesihatan, Islam menyeru umatnya menghindari daripada melakukan apa-apa jua yang boleh memudaratkan akal dan tubuh badan. Antara amalan buruk yang memudaratkan itu ialah tabiat merokok.

Sememangnya tidak syak lagi, rokok mempunyai kesan buruk kepada kesihatan yang bukan sahaja terbatas kepada perokok itu sendiri tetapi juga kepada orang yang tidak merokok yang terhidu asap rokok.

Para pakar perubatan islam dan bukan islam menemui hasil kajian yang sama bahawa rokok adalah membahayakan kesihatan. Kajian telah menemui bahawa rokok mengandungi empat ribu unsur kimia, antaranya ialah racun yang boleh membunuh dan lain-lain yang boleh mendatangkan penyakit barah. Antara bahan yang menyebabkan terjadinya barah daripada rokok ialah racun anai-anai, racun rumput, racun serangga, pembersih lantai, cecair pemetik api, minyak roket, minyak tar jalanraya, ubat gegat dan lain-lain racun lagi. Ketahuilah, setiap hisapan yang dilakukan oleh perokok sebenarnya dia menyedut empat ribu bahan kimia yang dinyatakan tadi.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Isu rokok memang tidak wujud pada zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam, oleh itu dalil khusus yang memperuntukkan masalah rokok tidak ditemui. Para ulama mempunyai pandangan yang berbeza-beza dalam penetapan hukum syarak mengenai rokok. Walau bagaimanapun, para ulama pada masa ini lebih cenderung untuk mengharamkan rokok. Alasan yang mereka kemukakan untuk menjadi sandaran pengharaman merokok ialah dalil-dalil syarak yang bersifat umum dan penemuan-penemuan terbaru hasil kajian yang dibuat para pakar perubatan yang mungkin sebelum ini tidak ditemui atau tidak diketahui dimana merokok itu mendatangkan kemudaratan kepada perokok dan kepada orang yang berada di sekeliling perokok.

Antara dalil syarak yang dikemukakan untuk menyokong ketetapan hukum pengharaman merokok ialah firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Ahraaf Ayat 157 yang?tafsirnya:



"Dan Dia menghalalkan bagi mereka yang baik-baik dan mengharamkan ke atas mereka segala yang buruk".

Menurut ulama tafsir, perkataan Al-Khabaish yang tersebut di dalam ayat tadi ialah apa jua perkara yang menjijikan dan tidak disukai oleh manusia normal seperti bangkai dan darah yang mengalir, ataupun sesuatu yang menjadi sebab kerosakan dan bahaya kepada tubuh badan seperti babi yang boleh memberi kesan buruk kepada orang yang memakannya atau daripada sumber-sumber yang memudaratkan.

Menurut Al-Imam Al-Razi Rahimatullahi Ta'ala, setiap benda yang dipandang jijik oleh tabiat semulajadi dan dianggap kotor oleh jiwa, maka memakannya boleh menyebabkan timbul kesakitan atau kemudaratan. Hukum asal bagi segala yang memudaratkan itu adalah haram. Begitu juga, hukum asal bagi setiap benda yang dipandang jijik oleh tabiat manusia juga adalah haram. Maka tidak diragukan lagi merokok juga tentulah haram kerana telah terbukti bahawa rokok adalah memudaratkan. Allah Subhanahu Wata'ala melarang keras daripada menghampiri apa-apa yang memudaratkan. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al-Nisaa ayat 29 tafsirnya:


"Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri atau membunuh orang lain, sesungguhnya Allah Maha Pengasih terhadap kamu".

Muslimin yang berbahagia,
Ketahuilah, 90 peratus perokok mula berjinak-jinak dengan rokok semasa atau sebelum berusia 18 tahun. Hasil kajian juga menunjukkan bahawa remaja dan belia terpengaruh dengan rokok melalui persekitaran mereka. Kanak-kanak yang biasa melihat ibu bapanya atau orang-orang dirumahnya merokok akan lebih mudah menjadi perokok. Remaja juga mula berjinak-jinak untuk merokok disebabkan pengaruh dan tekanan dari kawan-kawan atau mempunyai keinginan untuk diterima oleh kawan-kawan untuk mencari keseronokan.

Kita sama-sama mengetahui, bagi melindungi orang awam daripada asap rokok, kerajaan telah memperketatkan larangan merokok di tempat-tempat tertentu dengan mengenakan denda kompoun keatas mereka yang didapati merokok. Akan tetapi kita masih melihat ada orang yang senghaja merokok di tempat-tempat tersebut dan lebih mendukacitakan lagi, kadangkala kita melihat ada orang merokok di dalam kenderaan masing-masing sedangkan di sebelahnya duduk isteri dan anak-anaknya. Dimanakah kasih sayang mereka kepada keluarga? Kenapa harus mereka didedahkan kepada asap rokok yang boleh menyebabkan keluarga mereka mendapat penyakit atau mungkin juga menyebabkan kematian?.

Begitu juga halnya jika mereka merokok jauh dari isteri dan anak-anak, ini juga menjejaskan kesihatan orang-orang yang mereka sayangi kerana kesan dari asap rokok yang melekat pada pakaian, rambut, kulit dan kenderaan orang yang merokok masih boleh menjejaskan kesihatan orang lain. Bayangkanlah seorang ayah yang merokok, dan apabila pulang ke rumah sedangkan kesan dari asap rokok masih melekat ditangannya, pada pakaiannya dan pada rambutnya. Lalu ia mengambil anaknya yang masih kecil, memeluknya dan menciumnya. Alangkah dahsyatnya pemberian si ayah yang satu hari nanti akan menyebabkan anaknya menghidap pelbagai penyakit.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Apa yang sungguh membimbangkan, akhir-akhir ini semakin ramai dikalangan wanita yang merokok. Jika kebiasaan merokok itu merupakan tabiat yang buruk di kalangan kaum lelaki, maka ia lebih buruk lagi jika dilakukan oleh kaum wanita. Menurut kajian para doktor perubatan, wanita yang merokok ketika mengandung boleh membawa bahaya kepada anak dalam kandungannya. Merokok juga boleh menyebabkan kelahiran anak-anak kurang berat badan, kurang ketinggian dan kecerdikkannya kepada penyakit? dan kematian.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terus menerus berusaha untuk melindungi kesihatan rakyatnya dari terjejas akibat kesan buruk merokok. Berbagai strategi dan cara telah dilakukan termasuk pengubalan undang-undang, menaikkan cukai dan harga rokok, malah fatwa pengajaran rokok dan merokok juga telah dikeluarkan. Oleh itu, sebagai rakyat, laksanakanlah peranan masing-masing, biasakanlah diri dari rokok dan tembakau, lindungi kesihatan keluarga yang kita sayangi dan berikanlah sokongan kepada usaha kerajaan untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai negara yang bebas rokok.

Setiap perokok perlulah mempunyai niat yang bulat dan tekad yang kuat untuk meninggalkan secara total tabiat buruk merokok. Kalau tidak berdaya meninggalkannya dengan segera, maka tindakan secara beransur-ansur atau setapak demi setapak sangatlah bermanfaat. Disamping itu jangan sekali-kali lupa untuk mengadu dan memohon kepada Allah Subhanahu Wata'ala supaya diberi kekuatan agar dapat melepaskan diri daripada belenggu rokok. Sesungguhnya rahmat Allah Subhanahu Wata'ala tetap berpihak kepada sesiapa yang ingin menuju kepada kebaikan.

Firman Allah Subhanahu dalam surah Al-Ahraaf ayat 56 yang tafsirnya:

"Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi dengan syirik dan maksiat sesudah Allah memperbaikinya dengan mengutus rasul-rasul dan menetapkan syariatnya dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan takut kalau-kalau tidak akan diterima dan penuh harapan supaya dimakbulkan. Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang berbuat kebaikan".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan