ummusya

Selasa, 8 Januari 2013

KESELAMATAN JALAN RAYA TANGGUNGJAWAB SEMUA PENGGUNA
Muslimin yang dirahmati Allah,

MARILAH kita sama-sama meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah Subhanahu Wataala dengan melakukan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Disamping itu kita bersyukur kepada Allah Subhanahu Wataala diatas limpah kurniaNya yang tidak terhingga banyaknya kepada kita supaya dapat menikmati kurniaan Allah Subhanahu Wataala itu dan dapat mengerjakan amal ibadat dan segala suruhanNya� sehingga kita menjadi hamba-hambaNya yang dikasihi didunia dan diakhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Alhamdulilah, kita bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wataala yang telah melimpahkan nikmat yang amat banyak kepada kita. Semenjak negara kita mencapai kemerdekaan, banyak kemajuan telah dapat kita kecapi. Pembangunan infrastruktur semakin pesat berkembang mengikut dengan kemajuan tersebut, pihak kerajaan telah menyediakan kemudahan-kemudahan yang dapat dinikmati oleh kita semua, antaranya sekolah, bangunan kerajaan, hospital, masjid dan termasuklah juga jalan raya.

Jalan raya adalah merupakan salah satu kemudahan yang sangat penting. Dengan adanya jalan raya kita dapat menuju kesuatu tempat atau destinasi yang dikehendaki dengan mudah dan cepat. Oleh itu, kita sebagai pengguna jalan raya adalah tanggungjawab untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya supaya dengannya kita dapt menjadikan jalan raya itu sebagai tempat yang selamat dan aman bagi kegunaan dan manfaat semua orang dan seterusnya dapat mengelakkan dari sebarang kemungkinan yang boleh menyebabkan berlakunya perkara yang tidak diingini seperti kemalangan jalan raya.

Tidak dinafikan bahawa mematuhi peraturan tersebut bukanlah bermakna para pengguna jalan raya akan sentiasa terjamin keselamatannya, tetapi dengan mematuhi peraturan tersebut setidak-tidaknya dapat mengurangkan risiko kemalangan. Kita sebagai pengguna jalan raya hendaklah sentiasa berusaha dan berikhtiar untuk menjaga keselamatan dijalan raya. Ini kerana kemalangan dijalan raya bukan sahaja boleh menyebabkan kerugian pada harta benda, tetapi juga boleh mendatangkan kecederaan dan lebih buruk lagi boleh menyebabkan kematian.

Ahli Jumaat yang dirahmati Allah,

Perlu diketahui bahawa jumlah kemalangan jalan raya diNegara Brunei Darussalam telah meningkat dari setahun ke setahun. Pada tahun 2007, jumlah kesa kemalangan jalan raya ialah sebanyak� 2035 kes dan jumlah itu terus meningkat dimana pada tahun 2011, sebanyak 2761 kes telah dicatatkan, dan pada tahun ini sahaja, jumlah kes yang dicatatkan dari bulan Januari hingga September ialah sebanyak 2419 kes.

Memandangkan bilangan kemalangan� dinegara kita yang semakin meningkat itu, pihak berkuasa telah giat melakukan berbagai usaha bagi mengelakkan berlakunya kemalangan jalan raya, antaranya dengan mengadakan sektan jalan raya dan pemeriksaan kenderaan bagi memastikan tiada berlaku sebarang pengubahusaian yang bertentangan dengan peraturan dan undang-undang lalu lintas. Selain itu mereka juga sering berusaha menigkatkan kesedaran dengan memberikan nasihat dan panduan kepada orang ramai khususnya para pemandu agar sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya seperti menasihatkan para pemandu untuk memeriksa kenderaan sebelum menggunakannya dan lain-lain melalui kempen-kempen, iklan-iklan dan sebagainya. Bahkan pihak kerajaan juga telah memperkenalkan sistem mata demerit dengan tujuan untuk memastikan pemandu dinegara ini memandu kenderaan dengan lebih berdisiplin, berhati-hati dan mematuhi setiap peraturan lalu lintas.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Memang tidak dinafikan bahawa terdapat banyak punca kepada berlakunya kemalangan dijalan raya, antaranya samada disebabkan oleh faktor kenderaan itu sendiri yang tidak selamat untuk digunakan seperti tayar yang tidak berbunga, brek yang tidak berfungsi dan sebagainya, ataupun disebabkan oleh sikap pengguna jalan raya itu sendiri yang bersifat mementingkan diri sendiri dan cuai tanpa memikirkan keselamatan pengguna-pengguna jalan raya yang lain. Sikap buruk sebilangan pengguna jalan raya yang tidak mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya boleh menyebabkan kemudaratan bukan sahaja kepada dirinya sendiri bahkan juga orang lain.

Adapun antara kesalahan jalan raya yang sering dilakukan ialah memandu laju dengan tidak mengikut had yang ditetapkan, menggunakan telefon bimbit semasa memandu samada membuat dan menjawab panggilan atau membuat pesanan ringkas, mengekori kereta dihadapan dengan jarak yang dekat, tidak mengikut sebarang amaran tegahan tanda jalan raya seperti memotong ditempat yang tidak selamat seperti selekoh, meletakkan kereta ditempat yang dilarang, menggunakan lorong yang tidak betul termasuklah juga menggunakan lorong yang salah ketika berada dipusing keliling, dan tidak mematuhi peraturan lampu isyarat dan sebagainya.

Sebagai pengguna jalan raya, kita hendaklah mematuhi semua peraturan lalu lintas. Ini termasuklah juga peraturan pemakaian tali pinggang keselamatan. Namun terdapat sebilangan pemandu masih mengabaikan pemakaian tali pinggang keselamatan sedangkan peraturan pemakaian tali pinggang keselamatan tersebut tidak lain adalah untuk keselamatan mereka sendiri juga. Memakai tali pinggang keselamatan itu Insya Allah akan dapat mengurangkan risiko mendapat kecederaan berbanding dengan jika tidak memakai tali pinggang keselamatan tersebut.

Di antara kesalahan lalu lintas lain yang sering dilakukan ialah tidak menggunakan tempat khas untuk menyeberang jalan seperti zebra crossing ataupun jejantas bagi pejalan kaki. Perbuatan tersebut jelas membahayakan keselamatan diri mereka sendiri. Para pemandu juga hendaklah bertolak ansur dengan pejalan kaki terutama ketika hendak menyeberang jalan seperti memberhentikan kereta bagi memberi laluan kepada pejalan kaki yang menghampiri atau berdiri dijalur lintas untuk melintas jalan raya.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sikap tidak bertanggungjawab dijalan raya bukan sahaja membahayakan jiwa tetapi juga dilarang oleh agama islam yang telah menyeru umatnya supaya menjauhkan diri daripada segala perkara yang boleh merosakkan dan membawa kebinasaan. Perkara ini jelas dinyatakan dalam surah Al-Baqarah ayat 195, tafsirnya:

"....dan janganlah kamu senghaja mencampakkan diri kamu dengan tangan kamu sendiri kedalam bahaya kebinasaan...".

Tidak dinafikan bahawa kadang kala kesabaran seseorang teruji ketika memandu lebih-lebih lagi ketika jalan raya penuh sesak. Oleh itu sebagai pengguna hendaklah menanamkan dalam diri mereka sifat-sifat mulia sebagaimana yang telah diajarkan dalam islam seperti hormat menghormati, bertolak ansur, bertimbang rasa dan paling utama ialah bersifat sabar. Orang yang sabar akan berfikir dengan waras dan bijak ketika dijalan raya, mereka akan mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya tanpa keluh kesah, mereka tidak akan memotong laluan atau barisan dijalan raya tetapi menantikan giliran dengan penuh kesabaran dan redha dimana perbuatan sedemikian akan dapat mengelakkan pengguna yang lain dari merasa marah atau tidak berpuas hati. Selain itu orang yang sabar juga akan sentiasa bersedia untuk memberikan laluan dan ruang kepada pengguna lain terutama ketika berada dalam kesesakan lalu lintas, dan itulah sikap yang baik kerana bertolak ansur dan menolong pengguna yang lain ketika berada dijalan raya. Sesungguhnya jika kita menolong meringankan kesusahan orang lain, maka Allah Subhanahu Wataala juga akan menolong kita, sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya:

"Dari Abu Hurairah Radiallahu Anha ia berkata: Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Dan sesiapa yang menolong memudahkan orang yang susah, Allah Subhanahu Wataala akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Allah Subhanahu Wataala menolong hambanya selama mana hamba itu mahu menolong saudaranya". (Riwayat Al-Imam Muslim)

Muslimin yang dirahmati Allah,

Selain dari mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya serta memandu dengan berhati-hati, bersabar dan berwaspada, kita juga hendaklah sentiasa ingat kepada Allah Subhanahu Wataala dan sentiasa berdoa memohon perlindungan Allah Subhanahu Wataala seperti ketika keluar dari rumah dengan terlebih dahulu membaca doa tersebut iaitu ertinya:

"Dengan nama Allah aku bertawakal kepadaNya dan tiada daya serta upaya kecuali dengan keizinan Allah".

Selain itu kita juga dianjurkan membaca doa ketika menaiki kenderaan sebagaimana yang terdapat didalam surah Al-Zukhruf ayat 13-14, tafsirnya:

"Maha suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali".

Di samping itu adalah lebih baik juga kita berzikir dengan zikir-zikir yang mudah seperti, Subhanallah, Alhamdulilah, Allahu Akbar dan sebagainya. Ini kerana agama islam sangat menganjurkan umatnya agar sentiasa berdoa dan berzikir dalam semua keadaan dan tempat, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah An-Nisa ayat 103, tafsirnya:

"...maka ingatlah ketika kamu berdiri dan duduk serta ketika kamu berbaring...".

Muslimin yang dirahmati Allah,

Mematuhi peraturan dan undang-undang sangat penting bagi menjamin keharmonian dan keselamatan kita bersama. Dan keselamatan dijalan raya itu tidak akan tercapai jika pengguna jalan raya tidak mempunyai rasa tanggungjawabdan tidak mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas berkenaan. Akhirnya marilah kita menanamkan sifat sabar dan sentiasa berhati-hati dan berwaspada semasa berada dijalan raya dan seterusnya berdoa semoga kita berada dalam lindungan Allah Subhanahu Wataala dan terhindar dari sebarang mara bahaya. Amin Yarrabal Alamin.

Surah Ar-Raad ayat 11, tafsirnya:

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan apa yang ada pada suatu kaum sehinggalah mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan keburukkan (azab) kepada suatu kaum, maka tidak ada ayng dapat menolaknya, dan mereka tidak memperolehi pelindung selain daripadanya".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan