ummusya

Jumaat, 8 Februari 2013

BAHAYA FAHAMAN ISLAM LIBERAL

Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhanNya, dan meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat didunia dan selamat diakhirat.

Alhamdulilah, kita bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wataala kerana telah menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara Islam yang sentiasa berpandukan kepada Al-Quran dan As-Sunah mengikut pahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah sejak sekian lama. Sungguh pun demikian, negara kita juga tidak terlepas dari ancaman-ancaman penyelewengan akidah dan pemikiran sesat yang dibawa oleh musuh-musuh Islam yang bertujuan untuk menyesatkan dan memecah-belahkan umat Islam serta mencemarkan kesucian dan keharmonian agama Islam. Baru-baru ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah bertitah meningatkan kita bahaya kefahaman atau pemikiran yang berbau Islam tetapi ianya bukan Islam seperti Islam liberal, pluralisma agama dan lain-lain. Umat Islam dinegara ini diingatkan supaya tidak terbawa-bawa untuk menceduk sebarang kefahaman atau pemikiran yang menyalahi akidah yang telah dipegang selama ini.

Perlu diketahui bahawa Islam liberal adalah salah satu bentuk pemikiran yang berasal dari berat. Ia bertujuan untuk meruntuhkan sendi-sendi kefahaman agama Islam. Mereka yang terpengaruh dengan modal pemikiran seperti ini telah berani melanggar perkara-perkara asasi dan prinsip dalam ajaran Islam.
Mereka yang berfahaman Islam liberal menganggap kitab suci Al-Quran hanya sebagai buku rujukan sejarah yang perlu dikritik, baik dari sudut kesahihan ayat-ayatnya dan juga pentafsirannya. Hukum hakam yang dihasilkan oleh agama Islam atau fuqaha, seperti Abu Hanifah, Malik bin Anas, Imam Syafie dan lain-lain dianggap sudah ketinggalan zaman. Mereka tidak mempercayai hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam kerana mereka menganggap bahawa hadis-hadis Nabi itu bercampur-baur dengan hadis-hadis yang dipalsukan.
Mereka yang berfahaman Islam liberal sememangnya tidak pernah berhenti berusaha untuk memadamkan cahaya agama Islam, tetapi Allah Subhanahu Wataala tetap akan memelihara agama Islam walaupun mereka membencinya. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah At-Taubah ayat 32, tafsirnya:
"Mereka hendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan perkataan-perkataan yang mereka ucapkan dengan mulut mereka tetapi Allah menolaknya bahkan menyempurnakan cahaya agamanya itu walaupun orang-orang kafir tidak menyukai".

Ulama tafsir menjelaskan bahawa maksud "cahaya Allah" ialah hidayah dan agama yang dibawa oleh Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam iaitu agama Islam. Maksud dengan perkataan-perkataan yang mereka ucapkan" yakni usaha mereka itu diumpamakan seperti hendak memadamkan cahaya matahari atau bulan dengan cara meniupnya. Mereka tidak akan pernah berjaya dan tidak mungkin menemui jalan untuk itu. Demikianlah, agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam setentunya telah sempurna dan akan terpelihara sepanjang zaman.

Istilah "Islam Liberal" banyak digunakan oleh penulis-penulis barat mahupun orang-orang Islam yang terkesan dengan pemikiran-pemikiran mereka. Misalnya Leonald Binder menggunakan istilah "Islamic Liberalism" dan Charles Kurzman memakai istilah "Liberal Islam". Mereka menggunakan istilah itu untuk menjelaskan bahawa agama Islam itu sama dengan agama-agama lain, ia bebas ditafsirkan mengikut perkembangan masyarakatnya. Mereka cuba memesongkan pemikiran umat Islam bahawa agama Islam adalah produk masyarakat yang perlu dikritik dan dinilai semula. Mereka mahu melihat ajaran agama Islam sentiasa berubah-rubah mengikut zaman yang dilaluinya. Jadi agama Islam menurut mereka hanyalah rekaan umat Islam sendiri.
Apa yang lebih dahsyat lagi, mereka telah menyebarkan fahaman sesat tersebut, iaitu semua agama didunia ini adalah sama dan semuanya adalah benar. Setiap orang adalah bebas untuk memilih agama yang disukainya dan boleh bertukar agama bila-bila masa, kerana ia adalah hak asasi manusia. Kefahaman sesat ini mereka labelkan sebagai "pluralisme agama".

Perkara ini jelas bercanggah dengan firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Imran ayat 85, tafsirnya:
"Dan sesiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-sekali tidaklah akan diterima itu daripadanya dan dia diakhirat termasuk orang-orang yang rugi".
Kefahaman ini sangat dikhuatiri boleh meracuni minda generasi muda yang mudah terpengaruh kepada perkara-perkara baru yang memesongkan akidah dan pemikiran Islam yang sebenar.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Golongan ini juga menyalahgunakan konsep "ijtihad" dalam Islam, dengan membuka pintu ijtihad seluas-luasnya dan sebebas-bebasnya. Sudah tentu ia memberi peluang kepada orang-orang jahil melakukan ijtihad sendiri untuk menghasilkan pemikiran-pemikiran songsang yang bercanggah dengan ajaran agama Islam sebenar. Dan inilah yang membawa "Irsyad Manji" seorang aktibis yang beragama Islam dan menerima pendidikan aliran agama dan aliran skolar dari barat mengasaskan "Projek Ijtihad" di Kanada, kononnya akan melahirkan pemikiran baru tentang Islam yang tidak mengikut tradisi lama. Akan tetapi hasil kajiannya menunjukkan bahawa ia seorang pembawa ideologi yang menghina Al-Quran dan menghina Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam serta ingin mengubah tata cara ibadah agama Islam. Sebenarnya, amalan ijtihad dalam Islam adalah amalan mulia dan terbuka bagi alim ulama yang memiliki syarat dan mengikuti garis panduan yang sudah pun dikaji secara mendalam dan ditetapkan oleh ulama dalam Ilmu Usul Fiqh. Imam Syafie Rahmatullahi Taala adalah ulama terawal telah merumus ilmu ini dalam kitab "Ar-Risalah" sebagai konsep dan panduan bagi ulama yang berkebolehan untuk berijtihad, lalu kemudian diteruskan oleh ulama selepasnya hingga ke hari ini.
Kita umat Islam, janganlah terpengaruh dan terlibat dengan ijtihad Irsyad Manji tersebut, kerana dia bukan orang yang berkelayakkan dan tidak memiliki syarat dalam pengajian Islam. Malahan dia sebenarnya seorang jahil, perosak akidah dan peracun pemikiran Islam.

Mereka yang terjerumus dengan dakwah "Islam Liberal" dan ideologi tersebut hendaklah segera bertaubat dan kembali kepangkal jalan, serta segera berhenti menyebarkan pemikiran dan fahaman yang menyimpang dari ajaran agama Islam sebenar.

Sesungguhnya "Islam Liberal" yang mendakwa kefahaman agama baru yang sesuai dengan kemajuan hari ini adalah sesat dan menyesatkan. Islam liberal sama sekali bercanggah dengan nilai dan ajaran agama Islam yang dibawa oleh baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Begitu juga ideologi tersebut adalah hasil pemikiran golongan Islam liberal yang jauh berbeza dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, malah boleh membawa individu muslim terkeluar dari pegangan agamanya. Nauzubillahi Minzalik.
Oleh itu, umat Islam janganlah terpedaya dengan muslihat golongan Islam liberal ini yang kini sudah mula tersebar buku-bukunya yang diterjemahkan kedalam bahasa melayu dinegara-negara jiran. Aliran ini telah ditentang dan diharamkan oleh ppihak-pihak yang berwajib dinegara jiran, kerana telah dipastikan ianya bercanggah dengan kefahaman Islam yang tulin.

Akhirnya sama-samalah kita menjaga kesucian agama Islam dengan berpegang teguh kepada ajaran agama Islam berpandukan Al-Quran dan As-Sunah. Mudah-mudahan kita semua mendapat rahmat dan perlindungan dari Allah Subhanahu Wataala. Amin Yarrab Alamin.
Surah Al-Imran ayat 103 tafsirnya:
"Dan berpegang teguhlah kamu kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan semasa jahiliah dahulu lalu Allah menyatukan antara hati kamu (dengan nikmat agama Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmatnya itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan dahulunya kamu berada ditepi jurang neraka lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya dengan sebab nikmat Islam. Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangannya supaya kamu mendapat hidayah".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan