ummusya

Sabtu, 22 Mei 2010

khutbah jumaat

jumaat (21-May-2010)
07hb Jamadilakhir 1431H

HARGAI TENAGA KITANI

Wahai kaum Muslimin yang dirahmati Allah,

MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Agama Islam sangat mengambil berat soal berjimat cermat kerana ia merupakan asas bagi kesejahteraan hidup dan kemakmuran negara. Oleh itu Islam mengharapkan setiap umatnya berjimat cermat dalam setiap apa yang dilakukan seperti berjimat cermat dalam berbelanja, berjimat cermat ketika menggunakan air, elektrik dan sebagainya. Pepatah melayu ada mengatakan 'Beringat sebelum kena berjimat sebelum habis'.

Adapun jika menggunakan sesuatu melebihi batas keperluan seharian kita maka itu adalah membazir, contohnya menggunakan air dan elektrik yang berlebihan sehingga ke tahap yang sia-sia, memasak makanan yang berlebihan dan tidak habis dimakan sehingga terbuang begitu sahaja dan sebagainya. Semua ini tidak seharusnya menjadi kelakuan Muslim sejati kerana perbuatan membazir ini tidak disukai oleh Allah Subhanahu Wata'ala, sebagaimana firman-Nya dalam surah Al-A'raaf ayat 31 tafsirnya :

"Dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan".

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sebagai rakyat Negara Brunei Darussalam kita amat beruntung kerana dapat menikmati hasil minyak dan gas serta menikmati kemudahan-kemudahan yang disediakan seperti bekalan tenaga elektrik. Oleh itu wajarlah kita mensyukuri dan memanfaatkannya dengan cara yang betul, bukannya dengan membazir. Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala akan menambah nikmat-Nya kepada kita jika kita mensyukuri nikmat-Nya, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Ibrahim ayat 7 tafsirnya :

"Dan ingatlah tatkala Tuhan kamu memberitahu, demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras".

Muslimin yang dirahmati Allah,

Adapun di antara cara kita mensyukuri nikmat tersebut adalah dengan menjimatkan penggunaan sumber tenaga yang kita miliki iaitu minyak, gas dan bekalan elektrik. Maka ke arah penjimatan tenaga tersebut, kita sama-sama berperanan ke arah membendung masalah ini dan hendaklah peka akan pentingnya penjimatan penggunaannya.

Justeru itu, dalam usaha untuk menjimatkan penggunaan tenaga, kerajaan telah mengisytiharkan 24 Mei setiap tahun sebagai Hari Tenaga dan tahun ini kali ke-empat kita meraikannya dengan tema 'Hargai Tenaga Kitani'. Tema ini bertujuan untuk menyedarkan setiap pengguna di negara ini betapa pentingnya tenaga dalam kehidupan seharian disamping untuk sama-sama mempratikkan kecekapan dan penjimatan dalam penggunaan tenaga. Rakyat dan penduduk di negara ini hendaklah tahu berjimat, bijaksana serta berjimat dalam menggunakan tenaga, bukannya membazir sewenang-wenangnya setiap hari.

Adalah menjadi kewajipan kita bersama, sama ada pihak kerajaan, swasta mahupun persendirian untuk sama-sama menjimatkan penggunaan tenaga agar ianya akan terus dinikmati hingga ke generasi akan datang. Penjimatan tenaga boleh dilakukan melalui beberapa cara, antaranya seperti berikut :

Pertama : Melalui pendidikan yang bermula dari rumah atau sekolah dengan melatih anak-anak kita berjimat cermat dengan cara menutup suis alat-alat elektrik seperti lampu, alat penghawa dingin, kipas angin, televisyen, komputer dan lain-lain lagi apabila kita telah selesai menggunakannya, begitu juga ketika kita tidak menggunakannya dalam tempoh waktu yang lama atau panjang contohnya kita hendak berpergian keluar negeri dan sebagainya.

Alhamdulillah, pada ketika ini ada sebahagian sekolah kerajaan dan swasta dengan kerjasama Bahagian Tenaga, Jabatan Perdana Menteri telah pun menubuhkan kelab tenaga di sekolah masing-masing yang mana tujuannya adalah untuk mendidik pelajar-pelajar akan perimustahaknya menggamalkan penjimatan tenaga elektrik dan sebagainya.

Kedua : Melalui penjimatan penggunaan minyak kenderaan dengan membuat perancangan terlebih dahulu ke mana destinasi yang hendak kita tuju agar ianya lebih teratur dan terarah. Perlu diketahui, dalam tahun 2007 sahaja, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah membiayai subsidi bagi gasolin dan diesel sebanyak dua ratus dua juta ringgit.

Ketiga : Mendidik diri dan keluarga hidup dalam keadaan sederhana meskipun tergolong sebagai orang yang berkemampuan.

Kita menyedari bahawa kita tidak mampu mengubah pendirian ke semua orang kerana akan masih ada segelintir yang masih kurang memahami atau enggan menerima adanya keperluan untuk kita mengamalkan budaya berjimat cermat. Ini jelas jika kita lihat pada masa ini masih terdapat bangunan-bangunan kerajaan, swasta, sekolah-sekolah, tempat-tempat membeli-belah dan sebagainya membiarkan lampu-lampu bilik, kawasan atau lampu cucul menyala pada masa yang difikirkan tidak diperlukan. Perkara ini hendaklah perlu kita tangani sekarang, elakkan sikap mengatakan 'Saya mampu membayar berapa banyak jumlah tuntutan penggunaan tenaga, orang lain tidak boleh menghalang' atau 'Bukan saya sahaja yang banyak menggunakan elektrik ada lagi orang lain yang lebih banyak penggunaannya'. Sikap seperti ini tidak patut diamalkan, bukannya kemampuan yang dipersoalkan tetapi penggunaan yang berlebihan dan tidak sepatutnya yang boleh menyebabkan pembaziran dan pengunaan yang sia-sia.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Adalah menjadi tanggungjawab setiap lapisan masyarakat di negara ini supaya bekerjasama ke arah mengamalkan penjimatan tenaga. Perlu disedari, setiap bulan, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia menanggung beban tunggakkan penjualan elektrik sehingga mencecah ratusan juta ringgit Brunei dan ianya meningkat dari sebulan ke sebulan. Dalam tahun 2009 sahaja, tunggakan para pengguna tarif A domestik yakni rumah-rumah persendirian dan tarif B komersial mencecah satu billion ringgit Brunei. Di samping itu, para pemilik hotel di negara ini juga disarankan menggamalkan penjimatan tenaga elektrik di hotel-hotel mereka kerana tunggakan penjualan tenaga elektrik bagi bangunan-bangunan hotel sehingga Mac 2010 sahaja mencecah empat juta ringgit Brunei.

Menyentuh mengenai program EARTH HOUR yang diasaskan oleh negara Australia yang bermula pada tahun 2007, Alhamdulillah pada tahun ini negara kita telah pun secara rasmi ikut serta berganding bahu bersama lebih 100 buah negara-negara yang lain bagi sama-sama menjayakan program 60 minit mematikan segala bekalan elektrik di kesemua premis kerajaan, swasta dan rumah-rumah persendirian yang mana melalui usaha yang berkebajikan ini, pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia melalui Jabatan Perkhidmatan Elektrik telah berjaya menjimatkan penggunaan bekalan tenaga elektrik sebanyak 38.5 megawatt bersamaan penggunaannya dengan 1.7 juta biji bulb jimat tenaga atau bersamaan dengan lima kali penggunaan tertinggi bagi daerah Temburong. Apa yang diharapkan, usaha penjimatan ini akan terus diamalkan dan dipraktikkan bukan sahaja ketika program EARTH HOUR berlangsung yang diadakan setahun sekali akan tetapi akan lebih banyak lagi usaha-usaha penambahbaikan dan penjimatan sedemikian dilakukan.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sebagai inisiatif satu program yang dipanggil 'E-SAVING DAY' akan diadakan pada 24 Mei 2010 bermula dari jam 9 pagi hingga 9 malam iaitu menyeru semua individu, pihak kerajaan dan swasta untuk secara proaktif ikut serta dalam usaha-usaha ke arah penggunaan tenaga yang lebih bijaksana iaitu cekap lagi jimat dengan membuat tiga perkara sahaja :

1)Mematikan lampu-lampu yang tidak diperlukan
2)Letakkan suhu alat hawa dingin kepada 24 darjah celcius
3)Mematikan semua alat pemanas air (WATER HEATER)

Semoga usaha-usaha sedemikian ini akan dapat kitani laksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab sesuai? dengan kedewasaan kitani bernegara merdeka agar kesannya nanti berpanjangan demi kesejahteraan dan kenikmatan penduduk dan rakyat Negara Brunei Darussalam yang akan datang yang sama-sama kita cintai ini jua. Oleh itu marilah kita sama-sama menyahut seruan kerajaan agar kita sama-sama menghargai sumber tenaga kitani dengan berjimat cermat dalam penggunaan tenaga dan menjadikan ia sebagai salah satu cara hidup kitani seharian.

Oleh yang demikian, sama-samalah kita menyemai, mendidik dan membudayakan diri kita ke arah kecekapan dan penjimatan tenaga, semoga dengan berbuat demikian kita akan terus menikmati kemakmuran dan keselesaan dengan rahmat Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbal'alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al Israa' ayat 26-27 tafsirnya :

"Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing dan janganlah engkau belanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhan-Nya".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan