ummusya

Isnin, 17 Mei 2010

khutbah jumaat Brunei Darussalam

jumaat (14-May-2010)
29hb Jamadilawal 1431H

PATUHI LARANGAN MEROKOK DI TEMPAT AWAM

Wahai kaum Muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya kesihatan itu adalah nikmat kurniaan Allah Subhanahu Wata'ala yang wajib kita syukuri, akan tetapi terdapat sebilangan orang yang tidak menghiraukan dan mensyukuri akan hakikat ini. Mereka lalai dan leka daripada menghargainya sehinggalah apabila ditimpa musibah atau sakit, barulah mereka menyedari akan kerugian tidak menjaga kesihatan tubuh badannya. Sebagaimana dalam sebuah hadith Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya :

"Dari Abni Anas Radiallahu Anhuma katanya : Telah bersabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam : Dua nikmat yang dilupakan oleh kebanyakkan orang ialah kesihatan dan masa lapang". (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Islam amat menitikberatkan dalam penjagaan kesihatan tubuh badan dari sebarang perkara yang boleh memudaratkannya. Adapun di antara perkara yang boleh memudaratkan dan membahayakan kesihatan itu ialah tabiat merokok atau besigup.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Dalam usaha untuk mengurangkan kadar bilangan perokok dan ke arah menyedari masyarakat tentang bahaya rokok dan merokok, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah pun mengisytiharkan semenjak tahun 1994 lagi, akan semua bangunan-bangunan kementerian? dan jabatan-jabatan kerajaan sebagai tempat ditegah merokok. Penguatkuasaan larangan tersebut termasuklah juga premis-premis dan bangunan dibawah kawalan masing-masing seperti masjid, kantin, dewan serbaguna, hospital, pusat kesihatan dan sebagainya. Begitu juga, dengan berkuatkuasanya perintah tembakau 2005, tempat-tempat tegahan merokok juga diperluaskan dan dilaratkan ke semua kawasan di dalam sesebuah institusi pendidikan dan institusi pendidikan tinggi dan juga ke semua premis atau bangunan yang digunakan bagi maksud perdagangan, restoran, kafe internet, taman peranginan dan sebagainya. Bukan setakat itu, mana-mana kenderaan atau jenis kenderaan perkhidmatan awam seperti bas-bas awam dan teksi-teksi, turut tidak dibenarkan merokok di dalamnya.

Namun dari apa yang kita lihat, masih terdapat orang ramai yang tidak menghindarkan larangan dan undang-undang tersebut. Perokok-perokok masih saja kelihatan merokok di bangunan-bangunan kerajaan, tempat-tempat awam khasnya di tandas-tandas, restoran-restoran dan kawasan bangunan-bangunan kerajaan. Perlu diingat, bahawa merokok di tempat-tempat tegahan merokok adalah melakukan satu kesalahan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi seribu ringgit dan yang mendukacitakan lagi ialah jika perokok di bangunan-bangunan kerajaan itu adalah seorang kakitangan kerajaan, ia juga telah melanggar etika kerja perkhidmatan awam.

Kita hairan dan kesal mengapa masih ada orang yang berterusan dan enggan berhenti dari merokok. Walhal fatwa-fatwa pengharamannya telah pun dijelaskan. Kesan keburukannya terhadap kesihatan juga telah banyak kali diperingatkan bahkan kerajaan juga telahpun menubuhkan 'Klinik Berhenti Merokok' bagi mempermudahkan perokok membuang tabiat buruk ini. Jika ada di kalangan perokok yang telah sedar dan mula mengorak langkah positif untuk mengurangkan tabiat tersebut, syabas dan tahniah kita ucapkan. Walau bagaimanapun masih juga kedengaran alasan dan keluhan di kalangan perokok yang menyatakan tabiat buruk itu susah untuk dihilangkan. Memang kita akui dan akur, menghilangkan tabiat buruk merokok itu adalah susah di kalangan perokok. Tetapi bagi membuang tabiat buruk merokok sebenarnya memerlukan inisiatif dari diri perokok itu sendiri.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Ar Ra'd ayat 11 tafsirnya :

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri".

Ahli Jumaat yang dirahmati Allah,
Larangan merokok bukanlah semata-mata menitikberatkan soal kemudaratannya terhadap kesihatan perokok dan orang persekitarannya, bahkan adalah bagi mengelakkan perokok di kalangan umat Islam daripada terus berbuat dosa. Perokok-perokok tentu tertanya-tanya, mengapa merokok boleh mendatangkan dosa pada dirinya dari segi syarak? Ini kerana larangan menghindarkan mudarat atau bahaya tidak dipatuhi, sedangkan Islam sangat mementingkan keselamatan dan kesejahteraan bagi penganut-penganutnya. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 195 yang tafsirnya :

"Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan".

Meskipun dosa merokok itu tidak sama seperti dosa meminum arak atau dosa-dosa besar yang lain, perlu kita ketahui bahawa Imam Ghazali pernah mengingatkan dalam kitabnya Ihya Ulumuddin bahawa dosa kecil itu boleh menjadi besar antaranya jika ia dilakukan terus menerus tanpa henti-hentinya atau jika seseorang merasa senang ketika melakukannya. Dan dosa itu sebenarnya mempunyai unsur-unsur yang membinasakan.

Muslimin yang berbahagia,
Bagi merealisasikan hasrat kerajaan dalam membendung gejala dan tabiat buruk merokok itu, marilah kita sama-sama berganding bahu dan terus-menerus menasihati perokok agar membuang tabiat buruk tersebut. Nasihat biarlah secara hikmat dan teguran biarlah dengan ikhlas mudah-mudahan mereka sedar akan niat murni kita. Ini kerana nasihat nasihat-menasihati adalah merupakan intipati kekuatan umat Islam yang sentiasa menjaga maslahat saudara sesama Islam.

Di samping itu, kerjasama serta usaha dan pemantauan berterusan dari pelbagai pihak seperti agensi-agensi kerajaan, agensi penguatkuasaan, pemilik atau pengurus premis-premis perdagangan dan perindustrian, orang awam dan orang persendirian adalah sangat diharapkan. Mudah-mudahan dengan kerjasama dan perpaduan kepada usaha berkebajikan itu, kita mampu mencapai ke arah melahirkan masyarakat yang bebas dari merokok.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al Ashr ayat 1-3 tafsirnya :

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan