ummusya

Jumaat, 29 April 2011

AKIBAT DAN BALASAN RIBA

Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah Subahanahu Wata'ala dengan sebenar-benarnya iaitu dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi muslim yang beriman dan bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat, Amin Ya Rabbal Alamin.

Setiap manusia berkewajipan mencari rezeki bagi memenuhi keperluan kehidupan seharian seperti makanan, tempat tinggal dan keperluan-keperluan lain sama ada untuk diri sendiri mahupun orang yang berda di bawah tanggungannya. Dalam mencari rezeki, kita hendaklah memastikan rezeki yang kita perolehi itu dari sumber yang halal dan baik. Mata pencarian dari sumber yang halal dan baik itu merupakan suatu keutamaan dan perkara yang sangat penting kerana ia mampu membentuk atau mengubah keperibadian seseorang. Oleh itu, Islam menekankan agar menjauhi dan meninggalkan hasil pendapatan dari sumber yang haram seperti riba. Adapun contoh riba itu ialah seorang yang meminjamkan wang seratus ringgit, lalu dia meminta bayaran balik sebanyak seratus sepuluh ringgit.

Sesungguhnya huku mengambil dan menggunakan wang riba itu adalah haram, sama ada untuk kegunaan diri sendiri ataupun diberikan kepada orang yang lain. Itu kerana riba adalah salah satu daripada tujuh dosa-dosa besar dalam Islam. Malahan memakan hasil riba adalah sekeji-keji dosa selepas syirik kepada? Allah Subahanahu Wata'ala. Allah Subahanahu Wata'ala berfirman dalam surah Al-Imran ayat 130 tafsirnya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah supaya kamu berjaya"

Muslimin yang dirahmati Allah,
Sebagai umat Islam kita hendaklah sentiasa berwaspada dan beringat bahawa syaitan akan sentiasa menghiasi sesuatu yang haram yang menyebabkan manusia terlupa dan lalai sehingga terpedaya dengan tipu daya syaitan, lalu melakukan perkara yang haram dan mengamalkannya tanpa perasaan ragu. Allah Subahanahu Wata'ala berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 168 tafsirnya:

"Wahai sekalian manusia makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu"

Sesungguhnya orang yang melakukan riba akan ditimpa berbagai-bagai akibat dan balasan, antaranya:

Pertama: Harta atau wangnya tidak berkat, bahkan akan hilang atau habis. Manakala di akhirat akan diseksa sebagaimana firman Allah Subahanahu Wata'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 276 tafsirnya:

"Allah susutkan kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil riba dan dia pula yang mengembangkan berkat harta yang dikeluarkan, sedekah-sedekah dean zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran dan selalu melakukan dosa".

Kedua: Riba mengandungi tujuh puluh macam dosa dan dosanya yang paling ringan sekali ialah seperti seseorang berzina dengan ibunya sendiri, sebagaimana yang dijelaskan dalam sebuah hadith:

"Dari Abu Hurairah Radiallahu Anhu katanya, Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam bersabda: Riba itu mengandungi tujuh puluh macam dosa, yang paling ringan sekali umpama seorang lelaki yang menekahi (mengauli) ibunya sendiri" (Riwayat Al-Imam Ibni Majah)

Ketiga: Setiap mereka yang berurusan dengan riba atau mengamalkannya akan berada jauh dari rahmat Allah Subahanahu Wata'ala sebagaimana hadith Rasulullah Sallahu Alahi Wasalam maksudnya:

"Dari Jabir Radiallahu Anhu katanya: Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam melaknat orang yang makan riba dan orang yang memberi wakil pada riba dan penulisnya dan dua saksi. Sabda baginda: Mereka itu semuanya sama pada hukum mengambil riba" (Riwayat Al-Imam Muslim)

Keempat: Riba menjadi punca turunya bala dan bencana di dunia serta azab dan seksanya di akhirat.

Kelima: Ditakuti mati dalam kesudahan yang buruk.

Keenam: Disebutkan dalam kitab Al-Kabai'r bahawa orang yang menggamalkan riba akan terus diseksa dari mula masa kematiannya hingga dihari kiamat dengan berbagai-bagai seksaan.

Ketujuh: Pada hari kiamat, orang yang menggamalkan riba akan dibangkitkan dalam keadaan terhuyung hayang kerana Allah Subahanahu Wata'ala telah memberatkan dan membesarkan perut mereka akibat memakan benda yang haram di dunia. Oleh itu, mereka tidak dapat berdiri tetap melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan. Perkara ini telah dijelaskan dalam firman Allah Subahanahu Wata'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 275 tafsirnya:

"Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung hayang kerana sentuhan syaitan itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: "Bahawa sesungguhnya berjual beli itu sama sahaja seperti riba". Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba..."

Kelapan: Tidak akan masuk syurga dan tidak akan merasa nikmatnya.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Seseorang yang terlibat dengan mengamalah riba hendaklah segera bertaubat serta tidak mengulanginya lagi. Namun bagaimanakah dengan kedudukan faedah atau bunga yang telah diperolehinya hasil daripada mengamalah riba itu? Dan apakah tindakan yang sewajarnya dilakukan dengan wang tersebut?

Perlu diketahui bahawa wang riba merupakan wang atau harta yang tidak diketahui siapa yang empunya atau wang yang tidak bertuan. Harta yang tidak diketahui siapa empunya atau tidak bertuan itu adalah menjadi harta baitulmal. Oleh yang demikian, wang riba itu hendaklah diserahkan kepada baitulmal untuk dibelanjakan kepada kebajikan atau muslihat umat Islam. Wang tersebut tidak boleh dijadikan sebagai hebah, sedekah dan derma. Ini kerana jika seseorang mahu melakukan ke semua amalan tersebut, hendaklah harta yang disedekahkan, dihebahkan atau didermakan itu dimiliki oleh orang yang bersedekah atau menghebahkan atau mendermakan itu.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Sudah jelas bahawa hukum muamalah riba adalah haram dan telah sabit disebutkan dalam Al-Qur'an dan hadith Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam. Jika seseorang mengetahui bahawa sesuatu itu dijalankan secara riba atau mengandungi riba, maka wajib dia menjauhkan diri daripada bermuamalah dengan individu atau institusi berkenaan. Bermuamalahlah dengan berpaksikan iman dan bukan semata-mata berpaksikan keuntungan harta.

Manakala bagi mereka yang telah sedar dan mengetahui akan keharaman riba, ruang atau peluang untuk bertaubat tetap terbuka luas. Oleh yang demikian, hendaklah dia berhenti dan tidak mengulangi lagi amalan riba itu.

Akhirnya, sama-samalah kita berdoa semoga kita semya terpelihara dan terhindar dari melakukan amalan riba. Dengan yang demikan semoga negara kita akan selamat dan terhindar dari segala bala bencana. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Al-Baqarah ayat 275 tafsirnya:

"Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepada-Nya peringatan larangan dari Tuhannya lalu dia berhenti dari mengambil riba maka apa yang telah diambil dahulu sebelum pengharaman itu adalah menjadi haknya dan perkaranya terserlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi perbuatan mengambil riba itu maka mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan