ummusya

Jumaat, 29 April 2011

HARI AIR SEDUNIA

Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah Subahanahu Wata'ala dengan sebenar-benarnya iaitu dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi muslim yang beriman dan bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat, Amin Ya Rabbal Alamin.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Dalam menjalani kehidupan di dunia ini, semua makhluk ciptaan Allah Subahanahu Wata'ala seperti binatang-binatang, tumbuh-tumbuhan, buah-buahan dan termasuklah juga kita manusia sangat memerlukan kepada sumber air. Perkara ini telah dijelaskan sebagaimana firman Allah Subahanahu Wata'ala dalam surah An-Jal ayat 10-11 tafsirnya:

"Dia-lah yang menurunkan hujan dari langit, sebahagian daripadanya untuk minuman kamu dan sebahagiannya lagi menyebabkan tumbuhnya pokok-pokok (tumbuh-tumbuhan) untuk kamu melaksanakan binatang-binatang ternak makan padanya. Ia juga menumbuhkan bagi kamu dengan sebab hujan itu tanam-tanaman dan pokok-pokok zaitun dan tamar serta anggur dan juga dari segala jenis buah-buahan. Sesungguhnya yang demikian mengandungi satu tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang mahu berfikir"

Muslimin yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya air sangat berharga dan diperlukan untuk kehidupan seharian. Tanpa air, bumi tidak akan subur dan seterusnya menjadi gersang dan tandus, semua tumbuh-tumbuhan akan layu dan mati manakala haiwan dan manusia pula akan hidup sengsara dan menderita dan boleh menyebabkan kematian. Malahan pada kebiasaannya jika sesebuah tempat atau kawasan itu tidak mempunyai sumber air, maka kawasan tersebut tidak akan mempunyai ramai penghuninya ataupun tidak berpenghuni langsung. Tetapi jika sesebuah tempat itu mempunyai sumber air, maka kawasan itu akan dapat berkembang dan maju kerana sumber air tersebut dapat menjamin kehidupan bagi penghuninya.

Dalam sejarah awal kota Mekah telah diceritakan bahawa kota tersebut pada mulanya hanyalah sebuah kawasan gurun yang kering kontang dan tiada berpenghuni. Namun setelah mata air ditemui, kota tersebut mula didatangi oleh orang ramai yang lalu tinggal menetap di situ. Mata air yang ditemui itu kini dikenali sebagai air zam-zam yang terbit setelah Nabi Ismail Alaihi Salam yang ketika itu masih kecil telah menghentakkan kakinya ke tanah kerana kehausan. Lalu Allah Subahanahu Wata'ala menghantar Malaikat Jibril Alaihi Salam untuk mengeluarkan air suci (air zam-zam) dari bekas hentakkan kaki Nabi Ismail Alaihi Salam itu.

Kita selaku rakyat dan penduduk di negara ini sangat beruntung kerana negara kita telah dapat membekalkan air yang bersih dan mencukupi kepada hampir seratus peratus penduduk di negara ini, sedangkan tedapat beberapa negara luar yang masih menhadapi masalah kekurangan bekalan air bersih. Menurut statistik yang diperolehi dari Jabatan Perkhidmatan Air, pada masa ini di seluruh dunia dianggarkan lebih dari satu billion orang yang tidak mempunyai kemudahan bekalan air bersih, dan jumlah ini akan terus meningkat dari tahun ke setahun sehingga di anggarkan akan meningkat kepada dua perpuluhan enam billion orang menjelang tahun 2025.

Lebih membimbangkan lagi ialah kesan kepada mereka yang meminum dan menggunakan air yang tidak bersih bukan sahaja menyebabkan masalah kepada kesihatan tetapi juga kematian akibat wabak penyakit dan sebagainya. Oleh itu kita wajib bersyukur kepada Allah Subahanahu Wata'ala dan berterima kasih kepada pihak kerajaan yang telah membekalkan air yang bersih untuk kita nikmati.

Bukan itu sahaja, kita juga seharusnya berterima kasih kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kerana telah berupaya menyediakan bekalan air pada harga yang termurah di rantau ini dengan sabsidi yang begitu tinggi. Oleh itu kita sebagai pengguna, hendaklah bertanggungjawab untuk menjelaskan tuntutan bil air, kerana tidak dinafikan terdapat orang yang mengambil ringan atau bersikap sambil lewa untuk menjelaskan tuntutan bil air sehingga menyebabkan tunggakkan bil air secara menyeluruh di negara ini telah pun melebihi 67 juta ringgit.

Oleh yang demikian kita hendaklah membayar bil air itu pada setiap bulan dan bukannya menangguh-nangguh pembayaran tersebut. Ini kerana perbuatan menangguh-nangguhkan pembayaran hanya akan membebankan diri sendiri kerana sudah tentu jumlah tuntutan yang hendak dibayar itu semakin meningkat dan bertambah banyak sehingga akhirnya susah untuk melangsaikannya. Kita harus ingat bahawa tunggakkan bil itu akan menjadi hutang yang mesti dibayar. Ketahuilah bahawa jika seseorang itu telah meninggal dunia dan dia dalam keadaan menanggung hutang, maka rohnya akan tergantung-gantung (dihalang daripada tempat yang mulia) sebagaimana dalam sebuah hadith Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam maksudnya:

"Dari Abi Hurairah Radiallahu Anhu katanya: Telah bersabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam: Roh seseorang mukmin itu tergantung-gantung (dihalang dari tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan"

Muslimin yang dirahmati Allah,
Sebagaimana yang kita ketahui bahawa air merupakan di antara nikmat Allah Subahanahu Wata'ala yang paling berharga kepada manusia dalam menjalani kehidupan ini. Oleh itu kita selaku hambanya hendaklah sentiasa mensyukuri di atas nikmat tersebut supaya dengannya kita akan terus memilikinya buat selama-lamanya.

Walaubagaimanapun pada hakikatnya sesuatu nikmat itu boleh berkekalan dan boleh juga ditarik balik oleh Allah Subahanahu Wata'ala kerana semua itu adalah di bawah kuasa dan ketentuan Allah Subahanahu Wata'ala jua. Begitulah juga dengan nikmat air, Allah Subahanahu Wata'ala yang berkuasa menurunkannya maka Dia-lah juga berkuasa untuk melenyapkannya pada bila-bila masa saja. Firman Allah Subahanahu Wata'ala dalam surah Al-Mukminun ayat 18 tafsirnya:

"Dan Kami turunkan hujan dari langit dengan sukatan yang tertentu, serta Kami tempatkan dia tersimpan di bumi. Dan sesungguhnya Kami sudah tentu berkuasa melenyapkannya"

Maka bagi mengekalkan nikmat air yang kita nikmati pada masa ini, kita hendaklah sentiasa mensyukuri nikmat tersebut, antaranya ialah dengan mengamalkan sifat berjimat cermat dalam penggunaan air dan mengelakkan dari perbuatan membazir kerana akibatnya bukan sahaja merugikan diri sendiri tetapi juga negara. Sedarilah apabila kita membazir air bererti kita tidak mensyukuri akan nikmat yang Allah Subahanahu Wata'ala berikan kepada kita. Bahkan perbuatan membazir itu adalah dilarang oleh agama Islam kerana perbuatan itu adalah perbuatan syaitan.

Perlu diketahui bahawa pada pengguna air di negara ini adalah di antara yang tertinggi di rantau ini iaitu sebanyak 450 liter setiap seorang sehari, ini bersamaan dengan 300 botol besar air seorang untuk sehari berbanding dengan penggunaan di negara jiran yang hanya 160 liter, lebih kurang 100 botol besar air seorang sahaja. Melalui perbandingan tersebut menampakkan betapa kadar pengguna air bagi setiap penduduk di negara ini adalah amat tinggi iaitu hampir tiga kali ganda jika dibandingkan dengan negara jiran yang lain. Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama mengubah sikap dengan mengambil langkah berjimat cermat iaitu menggunakan air mengikut keperluan sahaja dan tidak berlebih-lebihan bagi mengelakkan pembaziran. Begitu juga kita hendaklah membuat pemeriksaan pada saliran paip di rumah bagi memastikan tidak ada berlakunya kebocoran dan sebagainya. Selain itu pengguna juga hendaklah sentiasa memantau penggunaan air melalui tuntutan bil air. Kita juga seharusnya peka jika mendapati terdapat paip-paip yang bocor yang dimiliki oleh pihak kerajaan dengan melaporkan perkara tersebut kepada pihak yang berkenaan dengan seberapa segera.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Memandangkan air sangat penting dan merupakan sumber kehidupan maka kita adalah bertanggungjawab untuk menjaga sumber-sumber air dari apa jua bentuk pencemaran, antaranya ialah dengan menjaga kebersihan sungai dari sampah dan kotoran lebih-lebih lagi sungai merupakan antara sumber yang paling utama kepada bekalan air untuk kita semua. Air yang bersih sangat penting sehinggakan jika tiada bekalan air yang bersih, orang akan sanggup membeli air yang dibotolkan untuk diminum walaupun pada harga yang tinggi.

Akhirnya marilah kita mensyukuri dan menghargai segala nikmat yang telah dikurniakan Allah Subahanahu Wata'ala kepada kita dengan menggamalkan sifat berjimat cermat dan menjauhi pembaziran dalam penggunaan air. Sama-samalah kita berdoa mudah-mudahan nikmat tersebut akan berkekalan dan terus kita nikmati di negara yang kita cintai ini. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Al-Waqiah ayat 68-70 tafsirnya:

"Selain dari itu, tidakkan kamu melihat air yang kamu minum? Kamukah yang menurunkannya dari awan sebagai hujan atau Kami yang menurunkannya? Kalau Kami kehendaki, kami akan jadikan dia masin, maka ada baiknya kalau kamu bersyukur"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan