ummusya

Rabu, 18 Ogos 2010

ADAB BERSUNGKAI

Wahai kaum Muslimin yang dirahmati Allah,

MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Alhamdulillah, kita telah berada di bulan Ramadan yang mubarak lagi mulia dan bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana masih memberi kita peluang dan kesempatan untuk melaksanakan ibadat puasa dan seterusnya melakukan ibadat-ibadat lain yang ganjaran pahalanya berlipat ganda di sisi Allah Subhanahu Wata'ala. Peluang dan kesempatan ini hendaklah kita rebut dan manfaatkannya dengan memperbanyakkan amal ibadat seperti bertadarus Al-Quran, membanyakkan amalan sedekah, mengeluarkan zakat, membanyakkan zikir, beristighfar, melakukan sembahyang-sembahyang sunat dan sebagainya terutamanya sembahyang sunat tarawih dan sunat witir.

Peluang dan kesempatan ini bukan sahaja direbut oleh orang-orang dewasa bahkan juga dilakukan oleh kanak-kanak atas dorongan ibu bapa ataupun atas kemahuan anak itu sendiri. Pada kebiasaannya, ibu bapa mengalakkan anak mereka yang belum baligh berpuasa. Tujuannya ialah supaya anak-anak mengenal kewajipan berpuasa dan seterusnya sebagai latihan untuk mendidik dan membiasakan anak-anak supaya berpuasa walaupun puasa mereka itu tidak sempurna seperti tidak sampai sehari penuh. Tindakan ibu bapa melatih anak-anak mereka berpuasa sedari kecil lagi adalah satu tindakan yang terpuji. Ini selaras dengan hukum syarak yang menyuruh anak-anak mereka berpuasa ketika berumur tujuh tahun, itupun jika mereka berdaya untuk melakukannya. Namun jika mereka telah mencapai sepuluh tahun dan masih meninggalkan puasa maka ibu bapa dibolehkan untuk memukul mereka dengan pukulan yang tidak mencederakan. Perkara ini dikiaskan kepada tuntutan menyuruh anak mengerjakan kewajipan sembahyang, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya :

"Dari Amru bin Syuaib daripada ayahnya, daripada datuknya, katanya telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Perintahkanlah anak-anak kamu supaya bersembahyang ketika berumur tujuh tahun dan pukullah mereka atas keengganannya ketika mereka berumur sepuluh tahun". (Riwayat Al-Imam Abi Daud)

Ahli Jumaat yang dirahmati Allah,
Sebagaimana yang kita ketahui waktu berbuka puasa atau bersungkai adalah salah satu perkara yang menggembirakan bagi mereka yang berpuasa kerana di samping bersungkai itu dapat menghilangkan rasa haus dan lapar, bersungkai itu menimbulkan rasa kegembiraan di atas sempurnanya ibadat puasa yang telah dikerjakan di siang hari. Perasaan gembira ketika bersungkai ini ada disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam An-Nasa'ie maksudnya :

"Daripada Abi Hurairah Radiallahu Anhu : Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Orang yang berpuasa memperolehi dua kegembiraan yang dia merasa gembira dengannya : Apabila bersungkai dia bergembira dan apabila menghadap Tuhan-Nya dia bergembira dengan puasanya".

Dalam bersungkai terdapat adab-adab yang telah dianjurkan dan diamalkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, antaranya ialah dengan menyegerakan bersungkai. Setelah kita yakin melihat matahari terbenam atau setelah mendengar azan Maghrib dilaungkan maka sunat menyegerakan sungkai. Jika senghaja melewat-lewatkannya maka hukumnya adalah makhruh. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda dalam sebuah hadis yang maksudnya :

"Dari Sahl bin Sahid Radiallahu Anhu, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Manusia (umat Islam) akan sentiasa berada dalam kebaikan selama mereka menyegerakan sungkai". (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Adapun hikmah di sebalik anjuran menyegerakan sungkai itu ialah supaya tidak melanjutkan waktu siang ke waktu malam sebagai belas kasihan kepada orang yang berpuasa setelah mereka merasa lapar dan dahaga di siang hari dan seterusnya akan dapat menambah kekuatan untuk melakukan ibadat. Selain daripada itu, menyegerakan bersungkai akan membezakan amalan umat Islam daripada amalan kaum Yahudi dan Nasrani yang biasa melewatkan sungkai hingga terbit bintang.

Adab yang seterusnya pula ialah bersungkai dengan buah rutab. Sunat memulakan sungkai dengan buah rutab iaitu kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar. Sekiranya tiada buah rutab, maka bolehlah bersungkai dengan buah tamar iaitu kurma yang telah kering. Adalah lebih sempurna jika bersungkai dengan tiga biji tamar. Jika tiada juga buah tamar, bersungkailah dengan beberapa teguk air.

Ketahuilah bahawa bersungkai dengan memakan buah kurma mempunyai banyak hikmat, antaranya ialah untuk mendapat khasiat daripada kemanisan buah kurma itu sendiri kerana sesuatu yang manis itu lebih mudah dicerna oleh perut yang kosong. Tambahan lagi makanan yang manis akan menambahkan kekuatan, ini termasuklah menguatkan kembali pandangan mata yang lemah disebabkan berpuasa.

Setelah bersungkai, ada baiknya juga menyegerakan sembahyang Maghrib sebagaimana yang diamalkan oleh Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, akan tetapi jika sekiranya makanan telah sedia terhidang maka makruh meninggalkan makanan untuk menunaikan sembahyang. Ini berdasarkan sebuah hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya : "Dari Anas Radiallahu Anhu bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Apabila makan malam telah dihidangkan maka makanlah dahulu sebelum menunaikan sembahyang Maghrib dan janganlah makan dengan terburu-buru terhadap makan malam kamu itu". (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Perkara mendahulukan makan daripada sembahyang apabila makanan telah sedia terhidang ini sebenarnya bukan khusus semasa bersungkai atau sembahyang Maghrib sahaja bahkan hukum sunat ini meliputi semua sembahyang dan waktu makan kerana dikhuatiri akan menghilangkan perasaan khusyuk.

Adab bersungkai yang selanjutnya pula ialah bersungkai ataupun makan dengan sederhana iaitu tidak berlebihan hingga terlalu kekenyangan atau dalam istilah kitani kebungkayangan. Makan dengan berlebihan boleh membawa kemudharatan kepada kesihatan dan boleh menyukarkan kita dalam mengerjakan ibadat.

Imam Ghazali Rahimahullah Ta'ala dalam Kitab Ihya Ulumuddin ada berkata : Bagaimanakah orang yang berpuasa mendapat faedah berpuasa untuk melawan musuh Allah dan mengalahkan syahwat sekiranya ketika bersungkai dia mengisi perutnya dengan pelbagai macam makanan yang ditinggalkannya di siang hari? Sehingga berterusan pula menjadi kebiasaan menghidang dan memakan pelbagai macam makanan di bulan Ramadan apa yang tidak pernah dihidangkan di bulan-bulan yang lain.

Perlu diketahui bersungkai secara sederhana dapat melatih diri kita mengawal selera dan nafsu makan. Alangkah ruginya jika kita hanya mampu mengawal hawa nafsu di siang hari namun kita gagal mengawal hawa nafsu ketika bersungkai. Apa yang hendak diingatkan juga ialah dalam penyediaan juadah untuk bersungkai biarlah sederhana, bukan berlebihan sehingga berlaku pembaziran kerana juadah yang disediakan tidak habis dimakan. Ingatlah bahawa perbuatan membazir dilarang oleh Allah Subhanahu Wata'ala, sebagaimana firman-Nya dalam surah Al-Israa' ayat 27 tafsirnya :

"Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhan-Nya".

Ahli Jumaat yang dirahmati Allah,
Dengan kedatangan bulan Ramadan ini, kita rebutlah peluang yang ada dan memanfaatkannya dengan sebaik-baiknya, kita hendaklah menumpukan dan mempertingkatkan diri untuk beribadat kepada Allah Subhanahu Wata'ala sebanyak-banyaknya dengan berzikir, membaca Al-Quran, mengerjakan sembahyang-sembahyang sunat dan sebagainya terutama sunat tarawih dan sunat witir yang amat dituntut dan afdhal dilakukan secara berjemaah dan lebih elok lagi jika dikerjakan di masjid. Selain itu perlu diingatkan bahawa dalam mengerjakan sembahyang sunat tarawih dan sembahyang sunat witir secara berjemaah biarlah dengan cara yang sederhana iaitu tidak terlalu cepat dan tidak terlalu lambat, yang penting sembahyang itu dikerjakan dengan sempurna mengikut rukun-rukun dan sunat-sunat serta syarat-syarat sah sembahyang mengikut hukum syarak. Ketahuilah bahawa sembahyang tarawih yang kita kerjakan dengan sempurna akan dibalas dengan ganjaran pengampunan dari Allah Subhanahu Wata'ala.

Akhirnya sama-samalah kita menjaga adab-adab berpuasa dan bersungkai bagi kesempurnaan ibadat puasa yang kita kerjakan. Kita berharap dan berdoa mudah-mudahan ibadat puasa dan amal ibadat yang kita lakukan di bulan Ramadan ini akan diterima dan mendapat ganjaran Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbal'alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 183 tafsirnya :

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang sebelum kamu supaya kamu bertakwa".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan