ummusya

Sabtu, 7 Ogos 2010

KHUTBAH SEMPENA HARI KEPUTERAAN KDYMM

Muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan? melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Di samping itu kita bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata'ala di atas limpah kurnia-Nya yang tidak terhingga baiknya kepada kita. Mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata'ala akan mengurniakan umur yang panjang kepada kita supaya dapat lagi kita menikmati kurniaan Allah itu dan membolehkan kita untuk mengerjakan amal ibadah dan segala suruhan-Nya sehingga kita menjadi hamba-hamba-Nya yang dikasihi-Nya di dunia dan di akhirat nanti serta sentiasa pula mendapat taufik dan hidayah ke jalan yang lurus.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Bersyukur kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah rahmat-Nya, kita semua dapat menikmati suasana kehidupan aman damai dan sejahtera di dalam sebuah negara yang dipimpin oleh seorang raja sebagaimana ketua negara. Sistem pemerintahan beraja sebenarnya telah wujud semenjak sekian lama dan sehingga kini negara kita masih mengamalkan sistem pemerintahan beraja yang telah wujud sejak ratusan tahun lalu.

Raja yang dilantik adalah kepala negara yang memegang tompok kerajaan. Para ulama-ulama menyebutkan bahawa tujuan melantik raja dalam Islam adalah untuk menjalankan amanah Allah Subhanahu Wata'ala bagi memelihara agama Islam dan mengawal maslahat serta kepentingan umat-Nya di dunia berdasarkan tuntutan dan hukum-hukum Islam. Oleh itu selaku rakyat dan penduduk negara ini hendaklah bersyukur kerana raja yang kita kasihi sememangnya telah memiliki kriteria-kriteria sebagai seorang pemimpin Islam yang bertanggungjawab, yang melaksanakan amanah-amanah Allah Subhanahu Wata'ala serta sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat agar menikmati keamanan, keharmonian dan hidup rukun damai.

Sebenarnya tanggungjawab dan amanah yang dipikul oleh seorang raja memang sungguh berat. Raja yang melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik akan beroleh jaminan kemuliaan dan kedudukan yang istimewa dari Allah Subhanahu Wata'ala, merekalah juga orang-orang yang sangat dikasihi Allah Subhanahu Wata'ala. Itulah kelebihan yang akan diperolehi oleh seorang raja berbanding dengan orang lain.

Muslimin yang berbahagia,
Adapun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bukan hanya setakat seorang raja dan ketua negara, bahkan juga baginda sebagai ketua agama, ketua adat istiadat dan ketua pentadbiran. Baginda sentiasa peka dan komited bekerja untuk kepentingan negara dan kebajikan rakyat baginda. Kita juga beruntung kerana raja yang kita kasihi adalah seorang pemimpin yang mengutamakan pelaksanaan Islam dalam apa jua situasi sama ada pembangunan, kemajuan dan kesejahteraan masyarakat. Berkat kepimpinan dan kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia sejak 34 tahun yang lalu, telah membawa dan menempatkan Negara Brunei Darussalam diperseda yang gilang gemilang. Negara kita telah terus bertambah maju, pembangunan negara terus dipergiatkan di seluruh ceruk rantau dan pelusuk tanah air. Taraf hidup rakyat terus meningkat dan lebih utama ialah keazaman baginda untuk menjadikan negara kita ini sebagai sebuah negara zikir iaitu dengan sentiasa menyebut dan mengingati Allah Subhanahu Wata'ala bagi menghasilkan sebuah negara yang baik, diberkati, penuh keamanan dan mendapat perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala. Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala menjanjikan bagi sesiapa yang berzikir, nescaya Allah Subhanahu Wata'ala akan sentiasa mengingati-Nya, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 152 tafsirnya :

"Maka ingatlah kamu kepada-Ku dengan melakukan sembahyang, berzikir dan lain-lain perbuatan taat nescaya Aku akan mengingati kamu".

Wahai kaum Muslimin yang dirahmati Allah,
Selaku rakyat dan penduduk yang bernaung di bawah payung mahkota baginda, sudah sepatutnya kita bersyukur kerana mempunyai seorang raja yang bijaksana, pengasih dan pemedulian. Kita zahirkan kesyukuran itu dengan menumpahkan kasih dan taat setia yang tidak berbelah bahagia kepada baginda. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah An-Nisaa' ayat 59 tafsirnya :

"Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu".

Manakala dalam perkara taat setia kepada raja itu termasuklah dengan mematuhi dan menerima segala arahan kerajaan selagi arahan yang diberikan itu tidak bertentangan dengan hukum syarak. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda dalam sebuah hadis maksudnya :

"Dari Abdullah Radiaallahu Anha, dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam Baginda bersabda : Mendengar dan taat kepada ketua adalah menjadi kewajipan ke atas orang Islam sama ada yang disukainya dan yang tidak disukainya selagi ia tidak diperintahkan untuk membuat sesuatu maksiat, maka jika ia diperintahkan untuk membuat sesuatu maksiat, tiadalah boleh mendengar dan taat". (Riwayat Al-Imam Bukhari)

Mentaati raja itu adalah wajib manakala menderhaka kepada raja itu pula hukumnya adalah haram dan berdosa. Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada menyatakan dalam sebuah hadis akan balasan orang yang tidak mentaati perintah Allah Subhanahu Wata'ala yang maksudnya :

"Dari Abni Abbas Radiaallahu Anhuma, dari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Sesiapa bencikan sesuatu dari ketuanya maka hendaklah ia bersabar kerana siapa yang tidak mentaati perintah Sultan walaupun sejengkal lalu ia mati, maka kematiannya seperti kematian orang-orang yang di zaman jahililah". (Riwayat Al-Imam Muslim)

Muslimin yang dirahmati Allah,
Sebagaimana yang kita sedia maklum, pada 15 Julai 2010 akan datang, genaplah usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam 64 tahun.

Oleh itu, sebagai menzahirkan rasa syukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala dan taat setia kita kepada raja, marilah kita sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala semoga raja kita yang dikasihi dilanjutkan usia, sihat walafiat dan kekal karar memerintah negara dengan adil dan saksama di bawah perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala dan negara kita akan terus aman makmur di bawah kepimpinan baginda. Seterusnya marilah kita hadir ke Masjid-masjid, Surau-surau dan Balai-balai ibadat di seluruh negara bagi sama-sama membaca surah Yaasin, Tahlil dan Do'a Kesyukuran pada petang hari Rabu, 14 Julai 2010 dengan niat mudah-mudahan agama, raja dan negara kita akan selamat dan kita mendapat berkat dan pahala daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Yarabbal'alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Ali 'Imran ayat 28 tafsirnya :

"Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi aulia-aulia (pemerintah) dengan meningkatkan orang-orang mukmin. Barangsiapa berbuat demikian, nescaya lepaslah ia dari pertolongan Allah kecuali kerana memelihara diri dari sesuatu yang ditakuti dari mereka. Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap Kekuasaan dirinya (menyiksa kamu) dan kepada Allah jualah tempat kembali".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan