ummusya

Sabtu, 7 Ogos 2010

KELEBIHAN WAKAF

Wahai Kaum Muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan? penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya semua umat Islam mengharapkan keselesaan dan kebahagiaan hidup di dunia ini, lebih-lebih lagi di akhirat kelak. Selaku hamba Allah Subhanahu Wata'ala, seorang Muslim tidak akan mencapai kebahagiaan yang hakiki kecuali dengan melalui jalan yang telah digariskan oleh Allah Subhanahu Wata'ala melalui Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Antara cara atau usaha untuk meraih kebahagiaan di akhirat kelak ialah dengan memperbanyakkan amalan sedekah. Sedekah itu ada yang berupa wajib seperti zakat harta, zakat fitrah dan sebagainya manakala sedekah sunat itu pula ialah seperti wakaf, hadiah, hibah dan sebagainya.

Adapun sedekah dan wakaf itu mempunyai perbezaan dari segi syariat, rukun dan cara pelaksanaannya, akan tetapi tujuan dan maksud di antara keduanya itu adalah sama, ianya adalah sebagai cara kita untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Sedekah atau hibah itu ialah memberi sesuatu barang secara mutlak tanpa ada tukaran atau balasan. Manakala wakaf menurut bahasa bererti menahan. Menurut istilah syarak pula bererti menahan harta benda yang dapat dimanfaatkan serta kekal bendanya (ain) dengan cara memutuskan hak pengelolaan yang dimiliki oleh orang berwakaf (wakaf) untuk diserahkan kepada nazhir yang dibolehkan oleh syariat. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Al-Hajj ayat 77 tafsirnya :

"Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah mengerjakan sembahyang dan beribadatlah kepada Tuhan kamu dengan mentauhidkannya serta kerjakanlah amal-amal kebajikan supaya kamu berjaya di dunia dan di akhirat".

Muslimin yang dirahmati Allah,
Menyebut tentang wakaf, syarat sahnya hendaklah orang yang mewakafnya itu orang yang salih, tulus dan memiliki sesuatu yang akan diwakafkannya. Hendaklah orang yang mewakafkan itu mengatakan dengan kata-kata 'mewakafkan' yang jelas dan difahami. Wakaf itu sah dengan diumumkan atau diserahkan kepada yang berhak menerimanya. Setelah akad wakaf itu sah maka orang yang memberi wakaf tidak boleh membatalkannya manakala orang yang menerima wakaf itu tidak boleh menjual atau menghibahkan (menghadiahkan) kepada orang lain.

Sementara syarat sah barang wakaf itu pula hendaklah barang itu lengkap, tidak rosak sesudah dimanfaatkan. Hendaklah benda itu yang tetap, tidak berubah walaupun telah diambil hasilnya seperti rumah, tanah atau pokok yang dapat diambil buahnya, perabot yang boleh dipindahkan, mushaf, kitab dan senjata. Adapun benda-benda yang rosak kerana dimanfaatkan seperti makanan, minuman, minyak wangi, lilin dan sesuatu yang cepat rosak seperti bau-bauan dan tumbuh-tumbuhan aroma yang cepat rosak, maka semuanya itu tidak sah wakafnya. Semuanya itu hanyalah sebagai sedekah biasa sahaja. Barang wakaf itu juga tidak boleh berupa barang yang dilarang dan diharamkan oleh agama. Manakala barang yang diwakafkan hendaklah boleh digunakan faedahnya secara berpanjangan seperti Al-Quran, buku, kereta jenazah dan sebagainya.

Maka jelaslah kepada kita, apabila wakaf itu sah dengan syarat-syaratnya maka wajiblah nazhir atau pemegang amanah barang wakaf itu melaksanakan segala ketentuan dari pewakaf.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Bercakap mengenai syarat sedekah atau hibah pula antaranya ialah :

Pertama : Setiap barang yang boleh diperjual belikan adalah boleh dihibahkan. Dan barang yang tidak sah diperjual belikan tidak sah pula untuk dihibahkan.

Kedua : Jika pemberian itu ditujukan kepada salah seorang anaknya maka sangat dianjurkan untuk diberikan juga kepada anak-anaknya yang lain. Sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya : "Dari Nukman bin Basyir Radiallahu Anhuma : Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :? Bertakwalah kalian kepada Allah dan berlaku adillah antara anak-anakmu". (Riwayat Al-Imam Bukhari)

Ketiga : Makruh memberi sedekah kepada orang lain dengan tujuan ingin mendapat balasan daripada orang yang diberikan sedekah atau hadiah. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Ar Ruum ayat 39 tafsirnya :

"Dan ketahuilah bahawa sesuatu pemberian atau tambahan yang kamu berikan, supaya bertambah kembangnya dalam pusingan harta manusia maka ia tidak sekali-kali akan kembang di sisi Allah (tidak mendatangkan kebaikan). Dan sebaliknya sesuatu pemberian sedekah yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, maka mereka yang melakukannya itulah orang-orang yang beroleh pahala berganda-ganda".

Muslimin yang dirahmati Allah,
Dari penerangan itu jelas kepada kita bahawa terdapat perbezaan wakaf dengan sedekah, antaranya ialah :

Pertama : Sedekah itu diberikan kepada golongan yang memerlukan manakala wakaf pula ditujukan bagi kegunaan seluruh masyarakat secara umum.

Kedua : Sedekah adalah sesuatu yang boleh dipindah milik. Manakala harta wakaf itu hendaklah kekal dimana ia diwakafkan dan tidak boleh dipindah tempat dan pindah milik.

Ketiga : Sedekah boleh diberikan dalam apa bentuk sekalipun manakala wakaf adalah terhad kepada sesuatu harta dan seterusnya boleh mendatangkan hasil atau manfaat secara berterusan.

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,
Amalan sedekah dan wakaf sudah menjadi kelaziman masyarakat kita di Brunei, maka amalan ini perlulah diteruskan. Apa yang penting kita melakukannya ikhlas kerana Allah Subhanahu Wata'ala, bukan untuk mendapat nama, pujian manusia, pangkat dan sebagainya. Ketahuilah bahawa balasan orang bersedekah itu banyak disebutkan di dalam Al-Quran dan hadis-hadis, antaranya firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Ali 'Imran ayat 115 tafsirnya :

"Dan apa sahaja kebajikan yang mereka kerjakan maka mereka sekali-kali tidak akan dihalangi daripada mendapat pahalanya. Dan Allah Maha Mengetahui orang yang bertakwa".

Manakala dalam hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pula maksudnya :

"Dari Anas bin Malik Radiallahu Anhu bahawa Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Seorang Muslim yang menanam tumbuh-tumbuhan kemudian buahnya dimakan oleh manusia atau binatang, maka demikian itu bernilai sebagai sedekahnya". (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Muslimin yang dirahmati Allah,
Sebagai seorang Muslim, kita hendaklah memanfaatkan setiap detik dari usia yang kita lalui dengan beramal saleh. Ketahuilah bahawa setiap amal saleh yang kita kerjakan semasa hidup akan mendatangkan hasil di akhirat kelak.

Oleh itu marilah kita merebut peluang dengan meraih pahala yang berlipat ganda dengan amalan bersedekah dan berwakaf semata-mata kerana Allah Subhanahu Wata'ala. Mudah-mudahan dengan demikian kita dapat mensyukuri nikmat rezeki yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala kepada kita dan seterusnya Allah akan menambah rezeki dan nikmatnya kepada kita. Amin Ya Rabbal'alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Ibrahim ayat 7 tafsirnya :

"Dan ingatlah ketika Tuhan kamu memberitahu : Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan