ummusya

Jumaat, 30 Julai 2010

"MALAIKAT KECIL". Renungkanlah....

Pada setiap Jumaat, selepas selesai menunaikan solat Jumaat, seorang
Imam dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di
kota itu dan menyebarkan risalah bertajuk "Jalan-jalan Syurga" dan
beberapa karya Islamik yang lain.

Pada satu Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak
keluar seperti biasa meghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu
menjadi amat dingin dan hujan mulai turun.

Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan
seraya berkata "Ayah! Saya dah bersedia"

Ayahnya terkejut dan berkata "Bersedia untuk apa?". "Ayah bukankah ini
masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah"

"Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat"

"Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika
hujan turun"

Ayahnya menambah "Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca
sebegini"

Dengan merintih anaknya merayu "Benarkan saya pergi ayah?"

Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu
kepada anaknya "Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama
kamu!"

"Terima kasih Ayah" Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi
meredah hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan
itu.

Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa
pun yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan
memberikan risalah itu kepada penghuninya.

Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah "Jalan-jalan Syurga"
ada pada tangannya. DIa berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai
jika masih ada risalah di tangannya. Dia berpusing-pusing ke sana dan ke
mari mencari siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun
gagal.

Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan
mula mengatur langkah menghampiri rumah itu. Apabila sampai sahaja anak
itu di rumah itu, lantas ditekannya loceng rumah itu sekali. Ditunggunya
sebentar dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan. Diketuk pula pintu
itu namun sekali lagi tiada jawapan. Ada sesuatu yang memegangnya
daripada pergi, mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini
diserahkan. Dia mengambil keputusan menekan loceng sekali lagi. Akhirnya
pintu rumah itu dibuka.

Berdiri di depan pintu adalah seorang perempuan dalam lingkungan 50an.
Mukanya suram dan sedih. "Nak, apa yang makcik boleh bantu?"

Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit.
"Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH
amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik. Saya datang ini
hanya hendak menyerahkan risalah akhir ini dan makcik adalah orang yang
paling bertuah". Dia senyum dan tunduk hormat sebelum melangkah pergi.

"Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu" dalam nada yang lembut

Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam
memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia bertanya " Ada sesiapa nak
menyatakan sesuatu"

Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah
perempuan separuh umur itu. "Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan
ini yang kenal saya. Saya tak pernah hadir ke majlis ini walaupun
sekali. Untuk pengetahuan anda, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan
seorang Muslim.
Suami saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya
keseorangan dalam dunia ini" Air mata mulai bergenang di kelopak
matanya.

"Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri.
Jadi saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga
menghadap anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan
hujung satu lagi diketatkan di leher. Apabila tiba saat saya untuk
terjun, tiba-tiba loceng rumah saya berbunyi. Saya tunggu sebentar, pada
anggapan saya, siapa pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab.
Kemudian ia berbunyi lagi. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng
ditekan sekali lagi".

"Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada orang yang tekan loceng
ini setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan
terus pergi ke pintu"

"Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak yang comel itu.
Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat". "Makcik,
maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat
sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik" itulah kata-kata yang
paling indah yang saya dengar".

"Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan. Saya kemudian menutup
pintu dan terus baca risalah itu setiap muka surat . Akhirnya kerusi dan
tali yang hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat
asal mereka.
Aku tak perlukan itu lagi".

"Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang bahagia, yang
menjadi hamba kepada Tuhan yang satu ALLAH. Di belakang risalah terdapat
alamat ini dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak
disebabkan malaikat kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya
ini akan berada selama-lamanya di dalam neraka"

Tiada satu pun anak mata di masjid itu yang masih kering. Ramai pula
yang berteriak dan bertakbir ALLAHUAKBAR!

Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas terus memeluk anaknya
yang berada di kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya.

Jumaat ini dikira Jumaat yang paling indah dalam hidupnya. Tiada
anugerah yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu
anugerah yang sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang
seumpama malaikat.

Biarkanlah air mata itu menitis. Air mata itu anugerah ALLAH kepada
makhlukNya yang penyayang. ALLAHUAKBAR!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan