ummusya

Isnin, 27 Jun 2011

Blueberry Cheese Tart



SWEET PASTRY

Bahan A
200 g mentega
100 g gula aising
1/4 sudu teh esen vanilla

Bahan B
1 biji telur

Bahan C
420 g tepung
1 sudu besar tepung susu

Cara-cara
1. Putar (A) hingga lembut dan tambahkan (B). Putar lagi hingga gebu.
2. Masukkan (C) dan gaul sehingga sempurna.
Tekankan adunan pastri manis ke dalam acuan tat. Tusukkan lubang di kulit pastri dan bakar pada suhu 190 darjah Celcius selama 15 minit atau sehingga kuning perang. Ketepikan.

* Tat akan bewarna keemasan dan rangup jika dibakar dirak bawah ketuhar (lebih kurang 1/2 inci dari bahagian bawah ketuhar.

FILLING

Bahan A
250 g cream cheese
50 g gula
25 g mentega

Bahan B
1 biji telur

Bahan C
25 g whipping kream

Bahan D
20 g tepung

Blueberry filling

Cara-cara
1. Pukul (A) sehingga licin dan gebu. Masukkan (B) dan pukul hingga sebati. Tambahkan (C) dan sebatikan hingga sempurna. Campurkan (D) dan ratakan dengan sempurna.
2. Tuangkan inti keju ke dalam kulit pastri yang telah dibakar tadi. Bubuhkan sedikit blueberry filling di permukaan atas dan bentukkan corak olakan.
4. Bakar pada suhu 200 darjah Celcius selama 10-12 minit.

Ahad, 26 Jun 2011

piknik di hutan

kali pertama memasak di kebun. setelah pondok siap dibina, kami pun mengadakan bbq bersama 4 Sya. selain untuk suka2 makan makan di kebun, tujuan kami juga adalah untuk membiasakan anak2 dengan suasana hutan atau merasakan kpd mereka menjadi "kampung boy".
waaah... sungguh meriah dan riuh sekali, betul2 suasana kampung. Syafiq berusaha cuba untuk mengait kelapa, tapi satu pun tdk berjaya dijatuhkannya, apa yang dia dapat adalah kelapa buruk yang jatuh mengenai kepalanya, aduuuuh... sakiiit...
syafiq juga menebas rumput dgn parang, membakar sampah, bermain kayu dan daun2 hutan dan sebagainya.
walaupun dalam hutan... tapi psp tetap tidak tinggal.. hehe...

acara pertama, membakar untuk sarapan = sosej dan jagung

acara kedua = membakar untuk makan tengahari = ayam. sedapnya makan nasi berlaukkan ayam bbq dan minum air kelapa yang segar baru dipetik dari pohonnya.



acara ketiga = membakar ikan untuk makan malam nanti di rumah, balik rumah tak payah masak le..

Isnin, 20 Jun 2011

MASUK HUTAN

aktiviti hari jumaat atau ahad, masuk hutan, tebas rumput, tanam pokok buah. nanti nanti ada lah jua buah-buahan kan ditunggu.

cara paling senang, bakooo... tapi takut2 jua, sebab seberang jalan ada stesen minyak, paksa dihadkan saja pembakarannya.


setelah macam2 cara digunakan, akhirnya lapang juga sedikit demi sedikit. antara caranya, menghayun parang, racun rumput, mesin pemotong rumput, mesin pemotong pokok dan api.






baru pun seminggu ditinggalkan, sudah panjang rumput, ditambah lagi hujan hari2, makin suburlah rumput2. kali ini nak bina pondok kecil.

haaa ini adalah kaki seorang petani wanita yang sedang berehat sambil tengok you tube maharaja lawak

pondok yang dibina separuh siap. terpaksa dihentikan sebab kehabisan papan. akan disambung lagi minggu hadapan lah...

BAHAYA FITNAH

Wahai kaum Muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benarnya iaitu dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi mukmin yang sejati dan mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat. Amin Yarabbal Alamin.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana melimpahkan nikmat yang tidak terkira banyaknya kepada kita. Di antara nikmat yang utama yang dikurniakan Allah Subhanahu Wata'ala kepada hambanya ialah lidah. Lidah mempunyai kebaikan dan manfaat yang amat? banyak, bagi mereka yang menjaga dan menggunakannya ke arah tujuan yang sebenar seperti berzikir kepada Allah Subhanahu Wata'ala, membaca Al-Quran, berdakwah menyeru manusia ke arah mentaati perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya dan memberi nasihat serta teguran yang berguna kepada sesama manusia. Sesungguhnya lidah itu merupakan nikmat yang amat berharga kerana itu kita hendaklah menjaga dengan sebaik-baiknya, jangan sampai disalahgunakan seperti membuat fitnah.

Namun dalam era kemajuan sains dan teknologi ini, manusia bukan sahaja menyebar fitnah menggunakan lisan, tetapi juga melalui kecanggihan teknologi maklumat, samada melalui media cetak mahupun media elektronik. Tujuan kemudahan itu dicipta adalah untuk memudahkan kita melihat, mendengar dan menyebarkan apa jua berita dan maklumat tentang keadaan yang berlaku di sekeliling kita, samada apa yang berlaku di dalam negeri mahupun di luar negeri. Oleh itu kita hendaklah menggunakan kemudahan-kemudahan tersebut dengan baik dan bijaksana. Namun apa yang membimbangkan pada masa ini terdapat segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab dan menyalahgunakannya untuk menyebarkan berita-berita yang tidak benar, khabar-khabar angin apatah lagi yang mengandungi unsur-unsur fitnah.

Ahli jumaat yang dirahmati Allah,
Kita perlu mengetahui fitnah itu adalah satu perkara yang buruk dan boleh menjejaskan maruah seseorang. Fitnah ialah tuduhan, khabar, kisah dan lain-lain yang diadakan atau dibuat-buat untuk memburukkan seseorang dan memfitnah pula ialah membuat fitnah dan mengada-adakan sesuatu untuk memburuk-burukkan sesuatu pihak yang dilakukan samada dengan perkataan atau tulisan atau isyarat dan gerakan dan sebagainya, samada perkara itu sememangnya suatu keaiban atau kekurangan mahupun bukan. Orang yang membuat fitnah itu dikatakan juga sebagai orang yang membawa mulut atau mengadu domba.

Adapun perbuatan fitnah itu hukumnya adalah haram dan termasuk dalam perkara dosa-dosa besar. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Qalam ayat 10-11 tafsirnya:

"Dan janganlah kamu menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina, yang suka mencaci, lagi yang suka menyabarkan fitnah hasutan".

Diriwayatkan daripada Huzaifah Radiallahu Anha, beliau mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam bersabda maksudnya:

"Tidak masuk syurga orang yang suka memfitnah (mengadu domba)".

Daripada dalil-dalil tersebut jelas menunjukkan bahawa fitnah itu adalah suatu perkara yang sangat dilarang dan perlu dijauhi. Oleh yang demikian, kita hendaklah memelihara diri dan keluarga kita dari perbuatan menabur fitnah. Maka apabila disampaikan kepada kita suatu berita yang memburuk-burukkan orang lain, maka kita hendaklah memelihara diri kita daripada mendengarnya dan menghebah-hebahkannya kepada orang lain.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Memang tidak dapat dinafikan, dalam kehidupan kita berkeluarga, berjiran dan bermasyarakat, sememangnya kita tidak dapat mengelakkan diri dari mendengar berita-berita atau cerita-cerita yang diperbualkan ketika bertemu, samada ketika berada di majlis-majlis keramaian seperti majlis perkahwinan, majlis kenduri atau di kedai-kedai makan dan sebagainya. Dalam hal sedemikian, jika kita mendengar perbualan yang boleh mendatangkan dosa seperti cerita yang direka-reka, memburukkan orang lain, memfitnah dan sebagainya, maka kita hendaklah berusaha mengelakkan diri kita daripadanya, seperti tidak membenarkan atau mempercayai apa yang disampaikan itu kerana orang yang membawa fitnah itu adalah termasuk dalam golongan orang-orang yang fasik dan berita yang dibawa oleh mereka itu tidak boleh dipercayai.

Selain itu, kita sepatutnya melarang orang yang membawa fitnah itu daripada meneruskan perbuatannya dan menasihatinya serta menerangkan kepadanya bahawa perbuatannya itu adalah salah di sisi agama. Janganlah pula cerita yang disampaikan oleh orang yang memfitnah itu membuatkan kita terdorong untuk menyelidiki dan mencari-cari samada benar atau sebaliknya. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al-Hujuraat ayat 21, tafsirnya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakkan dari sangkaan supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain".

Ahli jumaat yang dirahmati Allah,
Ketahuilah bahawa tidak ada orang yang suka dirinya diperkatakan atau menjadi bahan cerita orang, apatah lagi cerita itu tidak berasas, tidak benar dan hanyalah fitnah semata-mata. Oleh itu jika mendengar sesuatu cerita, berita atau khabar-khabar angin, maka hendaklah orang yang mendengar cerita, berita atau khabar-khabar angin itu tidak menceritakan atau memanjang-manjangkan lagi apa yang telah diceritakan kepadanya. Sebagaimana kita tidak suka diri kita diperkatakan orang, sepatutnya kita tidak juga memperkatakan tentang orang lain.

Jika difikirkan, apakah kebaikan yang boleh diperolehi daripada perbuatan-perbuatan sedemikian? Ia tidak lain hanyalah mengembirakan orang yang berhati busuk. Sedangkan sebenarnya mereka itu telah diperdaya oleh syaitan sehingga mereka menjadi kabur, lalu merasakan apa yang mereka lakukan seolah-olah tidak salah tetapi sebenarnya adalah buruk dan berdosa besar. Perkara ini bukan sahaja dilarang oleh agama islam, bahkan undang-undang dalam bernegara juga menegahnya dan boleh diambil tindakan, lebih-lebih lagi jika fitnah itu boleh menggugat keselamatan dan keharmonian dalam beragama, bermasyarakat dan bernegara, begitu juga dengan perbuatan mereka-reka dan menyebarkan khabar angin, baik dilakukan secara individu atau kumpulan, yang bertujuan untuk memfitnah atau mengaibkan maruah atau martabat mana-mana pihak, maka dalam hal ini, perbuatan tersebut akan diambil tindakan oleh pihak-pihak yang berkenaan sebagai langkah dalam memastikan keharmonian dan kententeraman awam.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Sebagai bahan renungan, pernah berlaku suatu perisriwa di zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam, yang lebih dikenalkan dalam kitab-kitab 'Sirah' Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam sebagai 'Hadisul Ifkhi', bila mana terjadinya fitnah ke atas isteri Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam iaitu Sayidatina Aisyah Radiallahu Anha.

Dalam peristiwa tersebut, Sayidatina Aisyah Radiallahu Anha telah difitnah oleh orang-orang 'munafik' yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai bin Salul, dan beberapa orang di kalangan Muslimin telah terpengaruh dengan cerita fitnah yang disebarkan itu. Mereka menabur fitnah mengatakan bahawa Sayidatina Aisyah Radiallahu Anha telah berlaku curang atau membuat hubungan sulit dengan seorang sahabat yang terkenal jujur dan amanah iaitu Safwan bin Al-Muathal. Akhirnya Allah Subhanahu Wata'ala menurunkan ayat Al-Quran sebagai penjelasan bersihnya Sayidatina Aisyah Radiallahu Anha di atas fitnah yang dilemparkan ke atasnya.

Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al-Nuur ayat 19, tafsirnya:

"Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebahnya tuduhan-tuduhan buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman,mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan ingatlah Allah mengetahui segala perkara sedang kamu tidak mengetahui yang demikian".

Muslimin yang berbahagia,
Membuat fitnah itu dipandang berat dan berat dan dilarang oleh agama islam sebab ia boleh menimbulkan permusuhan dan permusuhan pula boleh menimbulkan kepada perpecahan dan huru-hara. Fitnah adalah tuduhan yang tidak benar dan tidak berasas dan perbuatan itu mendatangkan azab diakhirat kelak. Ingatlah! Bahawa semua anggota tubuh badan termasuk lidah akan menjadi saksi di depan penghakiman Allah Subhanahu Wata'ala pada hari kiamat.

Akhirnya peliharalah diri dari perbuatan fitnah dan menaburnya. Didiklah diri kita, keluarga kita dan masyarakat dengan saling menasihati dan tegur menegur terhadap perbuatan yang membawa kepada dosa dan maksiat, apatah lagi membawa kepada dosa-dosa besar seperti membuat dan menabur fitnah. Semoga dengan sedemikian, kita dapat menikmati kehidupan yang aman tenteram, dan sentiasa mendapat petunjuk, hidayah dan berkat dari Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Yarabal Alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Baqarah Ayat 191 tafsirnya:

"Dan ingatlah bahawa angkara fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan".

HENTIKAN TABIAT BURUK MEROKOK

Wahai Kaum Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benarnya iaitu dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi mukmin yang sejati dan mendapat kejayaan di dunia dan akhirat. Amin Yarabbal Alamin.

Agama Islam menitikberatkan agar umatnya menjaga dan menghargai akan nikmat kesihatan. Menurut Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam, kesihatan merupakan salah satu asas bagi kebahagiaan hidup di dunia ini. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam bersabda dalam sebuah hadis yang maksudnya:

"Dari Ubaidillah bin Muhsin Al-Khutami berkata, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam bersabda: Sesiapa di kalangan kamu memasuki waktu pagi dalam keadaan aman pada jiwanya, sihat tubuh badannya, mempunyai cukup makanan hariannya, maka seolah-olah dia memiliki dunia ini". (Riwayat Al-Imam Al-Termizi)

Sesungguhnya kesihatan adalah penting dalam kehidupan, oleh itu islam melarang umatnya melakukan perkara-perkara yang boleh memberi kesan yang tidak baik atau merosakkan kesihatan. Sebagai langkah untuk menjaga kesihatan, Islam menyeru umatnya menghindari daripada melakukan apa-apa jua yang boleh memudaratkan akal dan tubuh badan. Antara amalan buruk yang memudaratkan itu ialah tabiat merokok.

Sememangnya tidak syak lagi, rokok mempunyai kesan buruk kepada kesihatan yang bukan sahaja terbatas kepada perokok itu sendiri tetapi juga kepada orang yang tidak merokok yang terhidu asap rokok.

Para pakar perubatan islam dan bukan islam menemui hasil kajian yang sama bahawa rokok adalah membahayakan kesihatan. Kajian telah menemui bahawa rokok mengandungi empat ribu unsur kimia, antaranya ialah racun yang boleh membunuh dan lain-lain yang boleh mendatangkan penyakit barah. Antara bahan yang menyebabkan terjadinya barah daripada rokok ialah racun anai-anai, racun rumput, racun serangga, pembersih lantai, cecair pemetik api, minyak roket, minyak tar jalanraya, ubat gegat dan lain-lain racun lagi. Ketahuilah, setiap hisapan yang dilakukan oleh perokok sebenarnya dia menyedut empat ribu bahan kimia yang dinyatakan tadi.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Isu rokok memang tidak wujud pada zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam, oleh itu dalil khusus yang memperuntukkan masalah rokok tidak ditemui. Para ulama mempunyai pandangan yang berbeza-beza dalam penetapan hukum syarak mengenai rokok. Walau bagaimanapun, para ulama pada masa ini lebih cenderung untuk mengharamkan rokok. Alasan yang mereka kemukakan untuk menjadi sandaran pengharaman merokok ialah dalil-dalil syarak yang bersifat umum dan penemuan-penemuan terbaru hasil kajian yang dibuat para pakar perubatan yang mungkin sebelum ini tidak ditemui atau tidak diketahui dimana merokok itu mendatangkan kemudaratan kepada perokok dan kepada orang yang berada di sekeliling perokok.

Antara dalil syarak yang dikemukakan untuk menyokong ketetapan hukum pengharaman merokok ialah firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Ahraaf Ayat 157 yang?tafsirnya:



"Dan Dia menghalalkan bagi mereka yang baik-baik dan mengharamkan ke atas mereka segala yang buruk".

Menurut ulama tafsir, perkataan Al-Khabaish yang tersebut di dalam ayat tadi ialah apa jua perkara yang menjijikan dan tidak disukai oleh manusia normal seperti bangkai dan darah yang mengalir, ataupun sesuatu yang menjadi sebab kerosakan dan bahaya kepada tubuh badan seperti babi yang boleh memberi kesan buruk kepada orang yang memakannya atau daripada sumber-sumber yang memudaratkan.

Menurut Al-Imam Al-Razi Rahimatullahi Ta'ala, setiap benda yang dipandang jijik oleh tabiat semulajadi dan dianggap kotor oleh jiwa, maka memakannya boleh menyebabkan timbul kesakitan atau kemudaratan. Hukum asal bagi segala yang memudaratkan itu adalah haram. Begitu juga, hukum asal bagi setiap benda yang dipandang jijik oleh tabiat manusia juga adalah haram. Maka tidak diragukan lagi merokok juga tentulah haram kerana telah terbukti bahawa rokok adalah memudaratkan. Allah Subhanahu Wata'ala melarang keras daripada menghampiri apa-apa yang memudaratkan. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al-Nisaa ayat 29 tafsirnya:


"Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri atau membunuh orang lain, sesungguhnya Allah Maha Pengasih terhadap kamu".

Muslimin yang berbahagia,
Ketahuilah, 90 peratus perokok mula berjinak-jinak dengan rokok semasa atau sebelum berusia 18 tahun. Hasil kajian juga menunjukkan bahawa remaja dan belia terpengaruh dengan rokok melalui persekitaran mereka. Kanak-kanak yang biasa melihat ibu bapanya atau orang-orang dirumahnya merokok akan lebih mudah menjadi perokok. Remaja juga mula berjinak-jinak untuk merokok disebabkan pengaruh dan tekanan dari kawan-kawan atau mempunyai keinginan untuk diterima oleh kawan-kawan untuk mencari keseronokan.

Kita sama-sama mengetahui, bagi melindungi orang awam daripada asap rokok, kerajaan telah memperketatkan larangan merokok di tempat-tempat tertentu dengan mengenakan denda kompoun keatas mereka yang didapati merokok. Akan tetapi kita masih melihat ada orang yang senghaja merokok di tempat-tempat tersebut dan lebih mendukacitakan lagi, kadangkala kita melihat ada orang merokok di dalam kenderaan masing-masing sedangkan di sebelahnya duduk isteri dan anak-anaknya. Dimanakah kasih sayang mereka kepada keluarga? Kenapa harus mereka didedahkan kepada asap rokok yang boleh menyebabkan keluarga mereka mendapat penyakit atau mungkin juga menyebabkan kematian?.

Begitu juga halnya jika mereka merokok jauh dari isteri dan anak-anak, ini juga menjejaskan kesihatan orang-orang yang mereka sayangi kerana kesan dari asap rokok yang melekat pada pakaian, rambut, kulit dan kenderaan orang yang merokok masih boleh menjejaskan kesihatan orang lain. Bayangkanlah seorang ayah yang merokok, dan apabila pulang ke rumah sedangkan kesan dari asap rokok masih melekat ditangannya, pada pakaiannya dan pada rambutnya. Lalu ia mengambil anaknya yang masih kecil, memeluknya dan menciumnya. Alangkah dahsyatnya pemberian si ayah yang satu hari nanti akan menyebabkan anaknya menghidap pelbagai penyakit.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Apa yang sungguh membimbangkan, akhir-akhir ini semakin ramai dikalangan wanita yang merokok. Jika kebiasaan merokok itu merupakan tabiat yang buruk di kalangan kaum lelaki, maka ia lebih buruk lagi jika dilakukan oleh kaum wanita. Menurut kajian para doktor perubatan, wanita yang merokok ketika mengandung boleh membawa bahaya kepada anak dalam kandungannya. Merokok juga boleh menyebabkan kelahiran anak-anak kurang berat badan, kurang ketinggian dan kecerdikkannya kepada penyakit? dan kematian.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terus menerus berusaha untuk melindungi kesihatan rakyatnya dari terjejas akibat kesan buruk merokok. Berbagai strategi dan cara telah dilakukan termasuk pengubalan undang-undang, menaikkan cukai dan harga rokok, malah fatwa pengajaran rokok dan merokok juga telah dikeluarkan. Oleh itu, sebagai rakyat, laksanakanlah peranan masing-masing, biasakanlah diri dari rokok dan tembakau, lindungi kesihatan keluarga yang kita sayangi dan berikanlah sokongan kepada usaha kerajaan untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai negara yang bebas rokok.

Setiap perokok perlulah mempunyai niat yang bulat dan tekad yang kuat untuk meninggalkan secara total tabiat buruk merokok. Kalau tidak berdaya meninggalkannya dengan segera, maka tindakan secara beransur-ansur atau setapak demi setapak sangatlah bermanfaat. Disamping itu jangan sekali-kali lupa untuk mengadu dan memohon kepada Allah Subhanahu Wata'ala supaya diberi kekuatan agar dapat melepaskan diri daripada belenggu rokok. Sesungguhnya rahmat Allah Subhanahu Wata'ala tetap berpihak kepada sesiapa yang ingin menuju kepada kebaikan.

Firman Allah Subhanahu dalam surah Al-Ahraaf ayat 56 yang tafsirnya:

"Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi dengan syirik dan maksiat sesudah Allah memperbaikinya dengan mengutus rasul-rasul dan menetapkan syariatnya dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan takut kalau-kalau tidak akan diterima dan penuh harapan supaya dimakbulkan. Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang berbuat kebaikan".

Selasa, 14 Jun 2011

KAMBING HITAM MANIS


BAHAN-BAHAN:
bawang putih
bawang besar
daging kambing
sos tiram
black pepper
serbuk ketumbar
serbuk jintan manis
serbuk jintan putih
serbuk kunyit
kicap lemak manis (saya guna cap kipas udang)
air
minyak masak

CARA-CARANYA:
tumis bawang putih dan bwg besar yg dihiris. Masukkan daging kambing yg dpotong kecil, sos tiram, black pepper, serbuk ketumbar, jintan manis, jintan putih, serbuk kunyit, kicap lemak manis, sedikit air. Masak hingga daging empuk.

Jumaat, 10 Jun 2011

TUGAS SEBAGAI TENTERA ADALAH TUGAS YANG MULIA

Wahai kaum Muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benarnya iaitu dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi mukmin yang sejati dan mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabbal Alamin.

Alhamdulillah, kita bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah rahmat-Nya, kita semua dapat menikmati suasana kehidupan dengan aman, damai dan sejahtera dalam menjalani kehidupan seharian. Tidak dapat dinafikan bahawa keamanan, kedamaian dan keselamatan yang kita nikmati ini adalah hasil dari usaha dan perjuangan serta pengorbanan yang telah dicurahkan oleh para pejuang yang terdahulu.

Oleh itu sebagai memperingati jasa dan bakti mereka itu, Negara Brunei Darussalam mengadakan Sambutan Hari Ulangtahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei pada setiap 31 Mei. Pengorbanan dan kesetiaan mereka diharap akan dapat memberi semangat dan kesedaran di hati kita disamping menyemai semangat perjuangan dalam diri kita dan generasi akan datang.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Alhamdulillah pada tahun ini genaplah 50 tahun usia Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, maka semestinya sambutan tersebut diisi dengan nilai-nilai murni dan penuh rasa kesyukuran dan keinsafan terutama dalam menghayati dan memahami erti keamanan dan kesejahteraan, sesuai dengan kehendak ajaran Islam. Jika kita leka dan lalai atau tidak mensyukuri nikmat keamanan ini, maka tidak mustahil nikmat ini akan hilang pada bila-bila masa. Oleh itu adalah menjadi kewajipan kita untuk mensyukuri nikmat keamanan dan kesejahteraan ini di samping mengharapkan agar nikmat Allah itu sentiasa berkekalan di sepanjang masa. Semoga dengan bersyukur, kita akan dijauhi dari sebarang malapetaka dan kemurkaan serta azab Allah Subhanahu Wata'ala, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Ibrahim ayat 7 tafsirnya:

"Dan ingatlah tatkala Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya, jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras".

Dalam usia 50 tahun, banyak perkembangan telah dicapai oleh Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, antaranya penubuhan akademi tentera dan institusi pengajian pertahanan dan Strategik Sultan Haji Hassanal Bolkiah serta kerja-kerja peningkatan kepada institut latihan. Penubuhan institut ini akan dapat memperluaskan lagi perspektif dan visi para anggota tentera dan sebagai wadah pembelajaran sepanjang hayat bagi mendapatkan pelbagai kemahiran.

Di samping itu juga, institut ini ditubuhkan bertujuan untuk mewujudkan suasana yang lebih professional, langkah-langkah menimba ilmu, mengasah kepakaran, memperoleh peralatan dan membina infrastruktur dan dalam melahirkan kepimpinan yang berkesan kerana pemimpin-pemimpin perlu mempunyai wawasan dan mempunyai disiplin yang tinggi dan keimanan yang teguh untuk melakukan peningkatan di samping turut memiliki kebolehan dan keimanan bagi mengatasi apa saja kelemahan.

Ini bertepatan dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Wadaulah, Sultan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam di Majlis Hari Ulangtahun Angkatan Bersenjata DiRaja Brunei ke-47 pada 25 JamadilAwal 1429 bersamaan 31 Mei 2008:

Dalam institut ketenteraan, ciri-ciri kepimpinan seperti ini adalah amat mustahak untuk membezakannya dari institut-institut yang lain. Semua lapisan kepimpinan dalam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei perlu menjadi CENTRE OF GRAVITY, dimana semua kebajikan atau kepentingan angkatan ini banyak bergantung. Para pemimpin mestilah menjadi teladan kepada yang dipimpin, baik dari segi STANDARD, disiplin, mahupun hubungan dengan Allah Subhanahu Wata'ala. Pimpinan yang berjaya ialah bila mana pimpinan itu berjaya membawa anggota pimpinannya memenuhi tanggungjawab-tanggungjawab asa yang dipikul kepada mereka.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Sememangnya seorang pimpinan atau ketua adalah amat diperlukan bagi memastikan pasukan atau kumpulan yang diketuainya itu dapat menjalankan fungsi dan tanggungjawab yang telah diamanahkan itu dengan baik, begitulah juga dalam ketenteraan yang menjaga keamanan negara. Ketaatan adalah merupakan kunci kejayaan dan kemenangan sesebuah misi dalam ketenteraan, lebih-lebih lagi ketika menghadapi peperangan. Sudah tentu kita masih ingat sejarah yang menimpa tentera Muslimin dalam peperangan Uhud. Ketika Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menyuruh tentera pemanah untuk tetap bertahan diatas puncak bukit bagi mempertahankan tentera kaum Muslimin yang sedang bertempur. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam memperingatkan mereka untuk tidak berganjak dari tempat mereka walaupun ketika melihat tentera musuh sedang berundur. Akan tetapi tidak lama setelah pertempuran berlaku, pihak musuh mula melarikan diri dan meninggalkan harta yang sangat banyak. Melihat kepada harta rampasan yang bakal diperolehi itu, tentera pemanah melanggar perintah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan turun meninggalkan tempat mereka bertahan untuk ikut sama mengumpulkan harta rampasan. Kesempatan telah diambil oleh kaum musyrikin dan menyerang balik dari belakang hingga menyebabkan pertempuran yang sengit dan mengorbankan banyak tentera dari kalangan Muslimin. Inilah contoh akibat tidak mentaati perintah ketua.

Selain itu, apa yang penting juga pasukan tentera hendaklah memiliki kepimpinan dan pengawasan yang cekap dan bijaksana. Semua itu akan melahirkan sesebuah pasukan tentera yang saling bersatu padu serta mempunyai persefahaman yang kukuh dan mantap.

Sesungguhnya keselamatan dan kesejahteraan sesebuah negara adalah perkara yang menjadi keutamaan dalam aspek bernegara, terutama dalam sesebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Islam merupakan agama yang memandang berat terhadap aspek keselamatan dan kesejahteraan umatnya serta alam seluruhnya. Ini sesuai dengan pengertian yang terungkap didalam istilah 'Al-Islam' itu sendiri yang bermaksud : 'selamat' atau 'sejahtera'. Islam menganggap tugas berjuang dijalan Allah (berjihad) dan menjaga keamanan dan keselamatan negara sebagai tugas yang amat mulia dan amat besar ganjarannya di sisi Allah Subhanahu Wata'ala. Firman Allah Subhanahu Wata'ala?dalam surah At- Taubah Ayat 111 tafsirnya:

"Sesungguhnya Allah membeli daripada orang-orang beriman, jiwa dan harta benda mereka dengan mengurniakan bagi mereka syurga disebabkan mereka berperang dapa jalan Allah lalu mereka membunuh dan bertaubat".

Tugas sebagai tentera adalah tugas yang sangat murni lagi mulia, ia bukan tugas yang mudah tetapi banyak risiko dan berat tanggungjawabnya. Anggota tentera yang menjalankan tugas dengan amanah dan penuh dedikasi sangatlah kita sanjungi dan hormati. Kerana jasa mereka itulah negara kita selamat dari ancaman musuh. Mereka tidak menjalankan tugas dengan sambil lewa kerana mereka tahu akan akibat dari kelalaian boleh membahayakan keselamatan rakyat dan membuka peluang kepada pihak musuh untuk menceroboh negara.

Sememangnya diketahui bahawa kejayaan dalam menjaga keamanan negara atau ketika berada dalam medan pertahanan atau pertempuran adalah terletak pada kekuatan ketenteraan seperti mempunyai bilangan tentera yang ramai, mempunyai peralatan ketenteraan yang moden dan canggih, dan tentera yang mempunyai kesihatan dan fizikal yang baik. Akan tetapi semua itu bolehlah mencukupi bagi mencapai kekuatan ketenteraan dan kejayaan cemerlang, kerana apa yang lebih penting para tentera perlulah juga memiliki kekuatan rohani dan memantapkan lagi keimanan dan ketakwaan mereka kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Di samping itu mereka juga hendaklah cekal, tabah, sabar, berani dan mempunyai semangat rela berkorban. Inilah sebenarnya kualiti yang mesti ada pada diri seorang perajurit negara.

Selain itu, mereka hendaklah ikhlas dalam menjalankan tugas kerana sifat itulah yang membakar semangat untuk berjuang, menjadikannya orang yang berani dan tidak gentar berhadapan dengan musuh. Inilah contoh yang banyak dipamerkan oleh pejuang-pejuang islam pada zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam menegakkan syiar islam yang sememangnya mengharapkan agar mereka gugur sebagai seorang syahid kerana mereka tahu betapa besarnya ganjaran yang telah dijanjikan oleh Allah Subhanahu Wata'ala sebagaimana dalam sebuah hadisnya yang maksudnya:

"Dari Mikdam bin Makdi Yakariba katanya: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Bagi orang yang syahid akan mendapat enam perkara di sisi Allah Subhanahu Wata'ala: diampunkan dosanya ketika ia mula dikebumikan, diperlihatkan tempatnya di syurga, dijauhkan dari azab kubur, diamankan dari kesusahan yang besar pada hari kiamat, diletakkan atas kepalanya mahkota yang hebat, yang batu permatanya adalah lebih baik daripada dunia dan segala isinya, dikahwinkan dengan 72 bidadari dan diberi syafaat 70 orang dari kaum kerabatnya". (Riwayat Al-Imam Al-Tirmizi)

Muslimin yang dirahmati Allah,
Kita perlu sedar bahawa agama islam memandang tinggi kepada umatnya yang berjuang mempertahankan agama, bangsa dan negara kerana ia merupakan sifat mulia yang disanjung tinggi oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala melebihkan kedudukan orang-orang yang berjuang di jalan Allah.

Akhirnya marilah kita sama-sama berdoa semoga anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei akan sentiasa mendapat taufik dan hidayah serta sentiasa mendapat perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala dan kita memohon kepada Allah Subhanahu Wata'ala agar tertanam dalam jiwa mereka semangat cintakan agama, bangsa dan negara dan semangat rela berkorban. Semoga Allah Subhanahu Wata'ala akan sentiasa melindungi negara kita daripada ancaman musuh dan musibah. Amin Yarabbal Alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Anfaal ayat 60 yang tafsirnya:

"Dan sediakanlah untuk menentang mereka ( musuh yang menceroboh ) dengan apa jua kekuatan yang kamu termampu dan daripada kedua-dua yang disediakan untuk berperang, supaya kamu dapat mengerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta orang-orang lain selain daripada mereka itu yang kamu tidak mengetahuinya sedangkan Allah mengetahui mereka. Dan apa jua yang kamu belanjakan pada jalan Allah, akan disempurnakan ganjaran pahalanya kepada kamu dan kamu pula tidak? dianiayai (tidak dikurangkan pahala)".

Isnin, 6 Jun 2011

hari jadi anak buah / anak saudara


happy 15th birthday to nurin sakinatul hayati aka kaka baby.


hadiah untuk kaka baby, rajin2 buat cup cake yeee

anniversary


alhamdulillah.. 16 tahun bersama menghasilkan 5 putra dan 1 putri. semoga akan berkekalan hingga ke syurga, amin ya rabbal alamin.