Wahai kaum Muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benarnya iaitu dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi mukmin yang sejati dan mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabbal Alamin.
Alhamdulillah, kita bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah rahmat-Nya, kita semua dapat menikmati suasana kehidupan dengan aman, damai dan sejahtera dalam menjalani kehidupan seharian. Tidak dapat dinafikan bahawa keamanan, kedamaian dan keselamatan yang kita nikmati ini adalah hasil dari usaha dan perjuangan serta pengorbanan yang telah dicurahkan oleh para pejuang yang terdahulu.
Oleh itu sebagai memperingati jasa dan bakti mereka itu, Negara Brunei Darussalam mengadakan Sambutan Hari Ulangtahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei pada setiap 31 Mei. Pengorbanan dan kesetiaan mereka diharap akan dapat memberi semangat dan kesedaran di hati kita disamping menyemai semangat perjuangan dalam diri kita dan generasi akan datang.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Alhamdulillah pada tahun ini genaplah 50 tahun usia Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, maka semestinya sambutan tersebut diisi dengan nilai-nilai murni dan penuh rasa kesyukuran dan keinsafan terutama dalam menghayati dan memahami erti keamanan dan kesejahteraan, sesuai dengan kehendak ajaran Islam. Jika kita leka dan lalai atau tidak mensyukuri nikmat keamanan ini, maka tidak mustahil nikmat ini akan hilang pada bila-bila masa. Oleh itu adalah menjadi kewajipan kita untuk mensyukuri nikmat keamanan dan kesejahteraan ini di samping mengharapkan agar nikmat Allah itu sentiasa berkekalan di sepanjang masa. Semoga dengan bersyukur, kita akan dijauhi dari sebarang malapetaka dan kemurkaan serta azab Allah Subhanahu Wata'ala, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Ibrahim ayat 7 tafsirnya:
"Dan ingatlah tatkala Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya, jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras".
Dalam usia 50 tahun, banyak perkembangan telah dicapai oleh Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, antaranya penubuhan akademi tentera dan institusi pengajian pertahanan dan Strategik Sultan Haji Hassanal Bolkiah serta kerja-kerja peningkatan kepada institut latihan. Penubuhan institut ini akan dapat memperluaskan lagi perspektif dan visi para anggota tentera dan sebagai wadah pembelajaran sepanjang hayat bagi mendapatkan pelbagai kemahiran.
Di samping itu juga, institut ini ditubuhkan bertujuan untuk mewujudkan suasana yang lebih professional, langkah-langkah menimba ilmu, mengasah kepakaran, memperoleh peralatan dan membina infrastruktur dan dalam melahirkan kepimpinan yang berkesan kerana pemimpin-pemimpin perlu mempunyai wawasan dan mempunyai disiplin yang tinggi dan keimanan yang teguh untuk melakukan peningkatan di samping turut memiliki kebolehan dan keimanan bagi mengatasi apa saja kelemahan.
Ini bertepatan dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Wadaulah, Sultan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam di Majlis Hari Ulangtahun Angkatan Bersenjata DiRaja Brunei ke-47 pada 25 JamadilAwal 1429 bersamaan 31 Mei 2008:
Dalam institut ketenteraan, ciri-ciri kepimpinan seperti ini adalah amat mustahak untuk membezakannya dari institut-institut yang lain. Semua lapisan kepimpinan dalam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei perlu menjadi CENTRE OF GRAVITY, dimana semua kebajikan atau kepentingan angkatan ini banyak bergantung. Para pemimpin mestilah menjadi teladan kepada yang dipimpin, baik dari segi STANDARD, disiplin, mahupun hubungan dengan Allah Subhanahu Wata'ala. Pimpinan yang berjaya ialah bila mana pimpinan itu berjaya membawa anggota pimpinannya memenuhi tanggungjawab-tanggungjawab asa yang dipikul kepada mereka.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Sememangnya seorang pimpinan atau ketua adalah amat diperlukan bagi memastikan pasukan atau kumpulan yang diketuainya itu dapat menjalankan fungsi dan tanggungjawab yang telah diamanahkan itu dengan baik, begitulah juga dalam ketenteraan yang menjaga keamanan negara. Ketaatan adalah merupakan kunci kejayaan dan kemenangan sesebuah misi dalam ketenteraan, lebih-lebih lagi ketika menghadapi peperangan. Sudah tentu kita masih ingat sejarah yang menimpa tentera Muslimin dalam peperangan Uhud. Ketika Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menyuruh tentera pemanah untuk tetap bertahan diatas puncak bukit bagi mempertahankan tentera kaum Muslimin yang sedang bertempur. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam memperingatkan mereka untuk tidak berganjak dari tempat mereka walaupun ketika melihat tentera musuh sedang berundur. Akan tetapi tidak lama setelah pertempuran berlaku, pihak musuh mula melarikan diri dan meninggalkan harta yang sangat banyak. Melihat kepada harta rampasan yang bakal diperolehi itu, tentera pemanah melanggar perintah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan turun meninggalkan tempat mereka bertahan untuk ikut sama mengumpulkan harta rampasan. Kesempatan telah diambil oleh kaum musyrikin dan menyerang balik dari belakang hingga menyebabkan pertempuran yang sengit dan mengorbankan banyak tentera dari kalangan Muslimin. Inilah contoh akibat tidak mentaati perintah ketua.
Selain itu, apa yang penting juga pasukan tentera hendaklah memiliki kepimpinan dan pengawasan yang cekap dan bijaksana. Semua itu akan melahirkan sesebuah pasukan tentera yang saling bersatu padu serta mempunyai persefahaman yang kukuh dan mantap.
Sesungguhnya keselamatan dan kesejahteraan sesebuah negara adalah perkara yang menjadi keutamaan dalam aspek bernegara, terutama dalam sesebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Islam merupakan agama yang memandang berat terhadap aspek keselamatan dan kesejahteraan umatnya serta alam seluruhnya. Ini sesuai dengan pengertian yang terungkap didalam istilah 'Al-Islam' itu sendiri yang bermaksud : 'selamat' atau 'sejahtera'. Islam menganggap tugas berjuang dijalan Allah (berjihad) dan menjaga keamanan dan keselamatan negara sebagai tugas yang amat mulia dan amat besar ganjarannya di sisi Allah Subhanahu Wata'ala. Firman Allah Subhanahu Wata'ala?dalam surah At- Taubah Ayat 111 tafsirnya:
"Sesungguhnya Allah membeli daripada orang-orang beriman, jiwa dan harta benda mereka dengan mengurniakan bagi mereka syurga disebabkan mereka berperang dapa jalan Allah lalu mereka membunuh dan bertaubat".
Tugas sebagai tentera adalah tugas yang sangat murni lagi mulia, ia bukan tugas yang mudah tetapi banyak risiko dan berat tanggungjawabnya. Anggota tentera yang menjalankan tugas dengan amanah dan penuh dedikasi sangatlah kita sanjungi dan hormati. Kerana jasa mereka itulah negara kita selamat dari ancaman musuh. Mereka tidak menjalankan tugas dengan sambil lewa kerana mereka tahu akan akibat dari kelalaian boleh membahayakan keselamatan rakyat dan membuka peluang kepada pihak musuh untuk menceroboh negara.
Sememangnya diketahui bahawa kejayaan dalam menjaga keamanan negara atau ketika berada dalam medan pertahanan atau pertempuran adalah terletak pada kekuatan ketenteraan seperti mempunyai bilangan tentera yang ramai, mempunyai peralatan ketenteraan yang moden dan canggih, dan tentera yang mempunyai kesihatan dan fizikal yang baik. Akan tetapi semua itu bolehlah mencukupi bagi mencapai kekuatan ketenteraan dan kejayaan cemerlang, kerana apa yang lebih penting para tentera perlulah juga memiliki kekuatan rohani dan memantapkan lagi keimanan dan ketakwaan mereka kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Di samping itu mereka juga hendaklah cekal, tabah, sabar, berani dan mempunyai semangat rela berkorban. Inilah sebenarnya kualiti yang mesti ada pada diri seorang perajurit negara.
Selain itu, mereka hendaklah ikhlas dalam menjalankan tugas kerana sifat itulah yang membakar semangat untuk berjuang, menjadikannya orang yang berani dan tidak gentar berhadapan dengan musuh. Inilah contoh yang banyak dipamerkan oleh pejuang-pejuang islam pada zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam menegakkan syiar islam yang sememangnya mengharapkan agar mereka gugur sebagai seorang syahid kerana mereka tahu betapa besarnya ganjaran yang telah dijanjikan oleh Allah Subhanahu Wata'ala sebagaimana dalam sebuah hadisnya yang maksudnya:
"Dari Mikdam bin Makdi Yakariba katanya: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Bagi orang yang syahid akan mendapat enam perkara di sisi Allah Subhanahu Wata'ala: diampunkan dosanya ketika ia mula dikebumikan, diperlihatkan tempatnya di syurga, dijauhkan dari azab kubur, diamankan dari kesusahan yang besar pada hari kiamat, diletakkan atas kepalanya mahkota yang hebat, yang batu permatanya adalah lebih baik daripada dunia dan segala isinya, dikahwinkan dengan 72 bidadari dan diberi syafaat 70 orang dari kaum kerabatnya". (Riwayat Al-Imam Al-Tirmizi)
Muslimin yang dirahmati Allah,
Kita perlu sedar bahawa agama islam memandang tinggi kepada umatnya yang berjuang mempertahankan agama, bangsa dan negara kerana ia merupakan sifat mulia yang disanjung tinggi oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala melebihkan kedudukan orang-orang yang berjuang di jalan Allah.
Akhirnya marilah kita sama-sama berdoa semoga anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei akan sentiasa mendapat taufik dan hidayah serta sentiasa mendapat perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala dan kita memohon kepada Allah Subhanahu Wata'ala agar tertanam dalam jiwa mereka semangat cintakan agama, bangsa dan negara dan semangat rela berkorban. Semoga Allah Subhanahu Wata'ala akan sentiasa melindungi negara kita daripada ancaman musuh dan musibah. Amin Yarabbal Alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Anfaal ayat 60 yang tafsirnya:
"Dan sediakanlah untuk menentang mereka ( musuh yang menceroboh ) dengan apa jua kekuatan yang kamu termampu dan daripada kedua-dua yang disediakan untuk berperang, supaya kamu dapat mengerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta orang-orang lain selain daripada mereka itu yang kamu tidak mengetahuinya sedangkan Allah mengetahui mereka. Dan apa jua yang kamu belanjakan pada jalan Allah, akan disempurnakan ganjaran pahalanya kepada kamu dan kamu pula tidak? dianiayai (tidak dikurangkan pahala)".
Guna steroid baru badan jadi ??
16 jam yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan