Muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH
kita sama-sama meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah
Subhanahu Wata'ala, dengan melakukan segala suruhanNya dan meninggalkan
segala laranganNya. Mudah-mudahan kita tergolong dikalangan
hamba-hambanya yang sentiasa melaksanakan amal makruf dan nahi mungkar
dan mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wataala di dunia dan di akhirat.
Muslimin yang berbahagia,
Sudah
menjadi lumrah alam, setiap makhluk yang dijadikan Allah Subhanahu
Wata'ala itu berpasang-pasangan, begitu juga manusia ada lelaki dan
perempuan. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Yas ayat 32,
tafsirnya:
"Maha
suci Allah yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan,
samada dari yang ditumbuhkan oleh bumi atau dari diri mereka ataupun
dari apa yang mereka tidak mengetahuinya"
Namun
begitu setiap perhubungan diantara pasangan tersebut masih ada batasan
sehinggalah pasangan tersebut bernikah. Pernikahan atau perkahwinan
adalah salah satu sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam,
sebagaimana hadis baginda yang bermaksud:
"Dari
Aisyah Radiallahu Anha ia berkata: Telah bersabda Rasulullah Sallallahu
Alaihi Wasallam: Perkahwinan itu adalah sunnahku, siapa yang tidak suka
mengikut sunnahku maka bukanlah dia dari golongan umatku". (Riwayat Al
Imam Ibnu Majah)
Adapun
yang dimaksudkan perkahwinan atau pernikahan itu ialah suatu akad (Ijab
dan Kabul) bagi menyatukan lelaki dan perempuan dalam satu ikatan untuk
mengharuskan dan menghalalkan pergaulan dan persetubuhan menurut
syarat-syarat yang ditentukan oleh syarak sebagaimana firman Allah
Subhanahu Wata'ala dalam surah An-Nisa ayat 1, tafsirnya:
"Wahai
manusia! Bertaqwalah kepada tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dari
diri yang satu (Adam Alaihi Salam), Dia (Allah Subhanahu Wataala)
menciptakan dirinya pasangannya (Hawa), Dia (Allah Subhanahu Wata'ala)
mengembang biakkan dari keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan
yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan namanya kamu saling
minta serta peliharalah hubungan silaturrahim kaum kerabat. Sesunggunya
Allah adalah Maha Mengasihi memerhati kamu".
Muslimin yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya perkahwinan itu mempunyai banyak hikmah, di antaranya:
Pertama:
Untuk mengekalkan dan meneruskan zuriat manusia dimuka bumi ini dan
seterusnya meramaikan manusia, kerana baginda Rasulullah Sallallahu
Alaihi Wasallam akan berbangga dengan umat baginda yang ramai diakhirat
nanti.
Kedua: Untuk menjaga kehormatan diri kerana perkahwinan ini boleh melembutkan pandangan dan menjaga kehormatan.
Ketiga:
Bertujuan untuk hidup bahagia dan aman damai, berkasih sayang dan cinta
mencintai. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Ar-Rum ayat 21,
tafsirnya:
"Dan
di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmatnya, bahawa
ia menciptakan untuk kamu wahai kaum lelaki, isteri-isteri dari jenis
kamu sendiri. Supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan
dijadikannya di antara kamu suami isteri perasaan kasih sayang dan balas
kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi
keterangan-keterangan yang menimbulkan kesedaran bagi orang-orang yang
berfikir".
Keempat: Untuk menambah dan meluaskan kaum kerabat serta mengeratkan hubungan silaturrahim.
Kelima: Untuk menghindarkan seseorang dari melakukan maksiat.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Alhamdulilah,
pada masa ini masyarakat kita telah ramai yang melangsungkan pernikahan
di masjid sebagaimana yang digalakkan oleh agama islam. Perkara ini
adalah suatu amalan yang baik dan terpuji kerana kita telah menjadikan
rumah Allah bukan sahaja untuk beribadat semata-mata bahkan kita telah
memakmurkan masjid dan merebut fadhilat-fadhilat yang ada di dalamnya.
Akan tetapi perlu diambil perhatian semasa majlis akad nikah diadakan
dimasjid, pasangan pengantin dan para ahli keluarga, hendaklah sentiasa
menjaga adab-adab dan etika ketika berada dimasjid. Mereka hendaklah
dalam keadaan menutup aurat, iaitu memakai pakaian yang elok dan
bersesuaian seperti tidak ketat dan tidak memakai baju yang memaparkan
gambar-gambar yang tidak sesuai. Dan jika bakal pengantin perempuan atau
mana-mana perempuan yang hadir dalam keadaan haid maka mereka janganlah
berada di masjid kerana perempuan yang haid adalah haram hukumnya
memasuki masjid. Manakala bagi mereka yang hadir di majlis tersebut
eloklah menunaikan sembahyang Sunat Tahyatul Masjid dan berniat iktikaf.
Di
dalam majlis tersebut juga para jemputan yang hadir hendaklah duduk
secara berasingan di antara lelaki dan perempuan. Apabila khutbah nikah
dan doa dibacakan, para hadirin hendaklah diam dan memberi perhatian dan
tumpuan. Satu perkara yang perlu diambil perhatian juga ialah para
hadirin dan hadirat hendaklah jangan membuat bising ketika berada di
masjid. Para ibu bapa dan penjaga hendaklah memastikan supaya
kanak-kanak tidak berlari-lari dan bekejar-kejaran.
Selain
itu, pada kebiasaannya dalam majlis perkahwinan, sebilangan masyarakat
kita akan mengadakan majlis malam berjaga-jaga bagi memeriahkan suasana
majlis. Akan tetapi perlu diingat majlis tersebut janganlah diisi dengan
acara-acara yang berbentuk hiburan yang manyalahi hukum syarak seperti
nyanyian, tarian dan permainan yang berunsur judi. Perkara tersebut
bukan sahaja bertentangan dengan hukum syarak tetapi juga boleh
menganggu ketenteraman jiran tetangga.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya
perkahwinan itu dapat menghindarkan seseorang itu daripada perbuatan
zina. Dengan perkahwinan itu juga dapat mengukuhkan tali silaturrahim
dan menyuburkan perasaan kasih sayang serta mententeramkan jiwa kita
dalam beribadat kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Sama-samalah kita
berdoa semoga rumahtangga yang bakal dibina dan rumahtangga kita semua
bahagia, harmoni dan sejahtera seperti yang kita idam-idamkan iaitu
rumahku syurgaku. Amin Yarrabal Alamin.
Surah Al-Furqan ayat 74, tafsirnya:
"Dan
juga mereka yang diredhai Allah itu ialah orang-orang yang berdoa
dengan berkata: Wahai tuhan kami, berilah kami beroleh dari
isteri-isteri dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan
hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang
mahu bertaqwa"
|
Guna steroid baru badan jadi ??
16 jam yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan