MARILAH
kita sama-sama meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah
Subhanahu Wataala, dengan melakukan segala suruhanNya dan meninggalkan
segala laranganNya. Mudah-mudahan kita tergolong dikalangan hamba-hamba
yang sentiasa melaksanakan amar makruf dan nahi munkar dan mendapat
keredhaan Allah Subhanahu Wataala di dunia dan akhirat.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Pembangunan
dan kemajuan sesebuah negara akan dapat dicapai jika sistem pentadbiran
dan pengurusan berkualiti dan efisien. Dan sesungguhnya islam telah
menunjukkan cara dan jalan bagi mencapai kualiti tersebut iaitu melalui
prinsip dan nilai-nilai murni yang telah dikerjakan oleh agama islam.
Oleh itu sebagai sebuah negara islam, kita amat bersyukur kerana Negara
Brunei Darussalam telah meletakkan dasar pentadbiran negara menurut
ajaran islam iaitu berpegang kepada Al-Quran dan sunnah Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasallam. Ini dapat dilihat melalui wawasan
perkhidmatan awam abad 21 iaitu untuk menjadikan perkhidmatan awam
Negara Brunei Darussalam yagng sentiasa membangun dan berusaha dengan
gayanya tersendiri menurut celak islam dan persekitaran yang sihat dan
selamat dibawah inayah dan petunjuk Allah Subhanahu Wataala.
Berbagai
strategi telah dilaksanakan bagi mencapai wawasan tersebut antaranya
ialah dengan menyediakan buku panduan mengenai rukun akhlak dan etika
bekerja perkhidmatan awam. Kita sedar bahawa setiap pentadbiran dan
pengurusan yang berkualiti dan cemerlang akan memerlukan kepada
peraturan dan etika kerja kerana tanpanya sudah setentunya warga kerja
yang menjalankan tugas dalam pentadbiran sesebuah organisasi akan
bertindak sesuka hati tanpa mengikut peraturan dan undang-undang
sehingga boleh menyebabkan berlakunya perkara-perkara seperti khianat,
pecah amanah, penyelewengan, salah guna kuasa dan lain-lain lagi.
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Anfaal ayat 27, tafsirnya:
"Wahai
orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati amanah Allah dan
RasulNya dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang
kamu mengetahui (salahnya)".
Justeru,
setiap orang tidak kira mereka yang memegang jawatan dalam perkhidmatan
awam mahupun mereka yang bekerja dengan pihak swasta atau persendirian
hendaklah mematuhi peraturan dan mengamalkan etika kerja yang murni.
Antara etika kerja yang penting bagi setiap warga kerja ialah bersifat
ikhlas dalam melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan.
Sesungguhnya orang yang ikhlas bekerja kerana Allah Subhanahu Wataala
akan menerima tangungjawab dengan penuh keredhaan dan akan sentiasa
berusaha bersungguh-sungguh bagi menghasilkan prestasi kerja yang
terbaik.
Orang
yang ikhlas adalah orang yang bijaksana. Mereka bijak menggunakan masa
dan waktu kerja secara produktif dan berkesan, tidak menlengah-lengah
kan kerja yang diberikan dan tidak akan melakukannya sambil lewa atau
asal siap sahaja. Bahkan mereka juga tidak akan mengambil kesempatan
membazirkan masa kerja dengan banyak berbual losong, ponteng kerja,
datang akhir tetapi cepat hendak pulang dan sebagainya.
Muslimin
yang dirahmati Allah, sebenarnya pekerjaan yang dilakukan itu juga
merupakan suatu ibadat dengan syarat ianya dilakukan dengan niat yang
ikhlas, kerana kerja yang dilakukan tanpa keihlasan hanyalah sia-sia
dan tidak akan mendapat ganjaran pahala. Perkara ini telah dijelaskan
dalam sebuah hadis riwayat Imam An-Nasaie daripada Umamah Al-Bahili
katanya: Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang
maksudnya:
"Sesungguhnya
Allah tidak menerima suatu amalan melainkan dilakukan dengan ikhlas
semata-mata kerana Allah Subhanahu Wataala sahaja".
Orang
yang ikhlas dalam pekerjaannya tidak akan berkira dalam melaksanakan
tugas dan tidak mengharapkan pujian atau ganjaran duniawi semata-mata.
Orang yang ikhlas juga akan bersikap terbuka, suka membantu rakan
sekerja bahkan mereka akan bersifat jujur dan amanah dalam pekerjaan
mereka. Sifat jujur dan amanah itu sangat penting kerana sifat tersebut
akan dapat memelihara diri seseorang itu daripada berbuat khianat,
pilih kasih, hasad dengki, zalim, melakukan rasuah, penipuan dan
penyelewengan dalam pekerjaan, menyalahgunakan kuasa dan kedudukan bagi
kepentingan peribadi dan sebagainya.
Keikhlasan
dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan dan dipertanggungjawabkan
dapat melahirkan sifat mahmudah seperti bersifat sabar, tabah dan
berbudi bahasa dimana melalui sifat-sifat tersebut mereka akan
mempunyai daya ketahanan hati atau perasaan dalam menghadapi sebarang
tekanan, desakan disekeliling atau menerima sebarang kesulitan. Dalam
keadaan seperti ini, mereka tidak akan terburu membuat sesuatu
keputusan, tidak akan mudah berputus asa apatah lagi berkasar bahasa
dan tingkah laku, sebaliknya mereka akan sentiasa tenang menghadapi
masalah, bersikap terbuka apabila menerima kritikan, tidak cepat marah
malahan bersifat pemaaf dan berhemah tinggi.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Semua
negara di dunia ini menginginkan agar sistem perkhidmatan awamnya
berfungsi dengan sempurna dan lancar, serta setiap warga kerjanya
menghasilkan kesempurnaan dan kecemerlangan dalam tugas masing-masing.
Apabila wawasan ini terlaksana, masyarakat dan negara insyaAllah akan
berjaya mencapai hasrat menjadi sebuah negara yang berkemampuan tinggi
dalam semua aspek perkhidmatan dan sekali gus menjadikan negara mampu
menjana kehidupan rakyatnya menjadi makmur, sejahtera dan harmoni.
Akhirnya
marilah kita sama-sama berdoa semoga warga kerja perkhidmatan awam
dapat meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan yang lebih baik dan
efisyen dalam mencapai hasrat untuk meningkatkan lagi kualiti kerja
bagi menuju kearah kecemerlangan duniawi dan ukhrawi. Seterusnya kita
juga berdoa semoga semua warga kerja perkhidmatan awam dan seluruh
rakyat serta penduduk negara ini mendapat taufik, hidayah dan keredhaan
Allah Subhanahu Wataala. Amin Yarrabal Alamin.
Surah Fusilat ayat 46, tafsirnya:
"Sesiapa
yang mengerjakan amal saleh maka faedahnya akan terpulang kepada
dirinya sendiri dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan
menimpa dirinya sendiri. Dan tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim
kepada hamba-hambanya".
|
Guna steroid baru badan jadi ??
16 jam yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan