ummusya

Jumaat, 4 Januari 2013

BERJIMAT CERMAT DALAM BERBELANJA

Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhanNya, dan meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat didunia dan selamat diakhirat.

Sesungguhnya Allah Subhanahu Wataala mengurniakan kepada kita berbagi nikmat yang tidak terhitung banyaknya samada berbentuk kesihatan, umur yang panjang, kebahagiaan, kekayaan, kesejahteraan, keamanan dan sebagainya. Benarlah sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah An-Nahl ayat 18, tafsirnya:
"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah tentulah kamu tidak terkira banyaknya. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih".
Perlu diingat bahawa ujian bukan sahaja berbentuk kesusahan tetapi termasuk juga kesenangan dan nikmat. Ada kalanya nikmat yang kita perolehi itu boleh menyebabkan kita lalai dan lupa. Kerana itulah baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah mengingatkan kepada kita supaya memanfaatkan segala nikmat yang kita perolehi itu dengan sebaik-baiknya sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya:
"Dari Ibnu Abas Radiallahu Anhuma ia berkata: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda kepada seorang lelaki dan baginda menasihatinya: Rabutlah lima perkara sebelum kamu didatangi oleh lima perkara yang lain. Masa mudamu sebelum tua mu, masa sihat mu sebelum sakit mu, masa kaya mu sebelum fakir mu, masa lapang mu sebelum kesibukan mu dan masa hidup mu sebelum mati mu".

Muslimin yang dirahmati Allah,
Adapun diantara nikmat yang boleh melalaikan sehingga kita lupa bahawa nikmat itu hanyalah merupakan ujian dari Allah Subhanahu Wataala ialah nikmat harta. Setentunya bagi kita yang dikurniakan harta pasti akan merasa bersyukur diatas nikmat tersebut. Persoalannya sejauh manakah kita mensyukuri nikmat harta itu? Adakah kita telah membelanjakannya pada tempat yang betul seperti mengeluarkan zakat, membelanjakan pada jalan Allah dan memberikannya kepada orang-orang yang dibawah tanggungan kita seperti ibu bapa, isteri, anak-anak dan lain-lain. Ataupun kita terlupa untuk bersyukur diatas limpahan nikmat tersebut? Kita pasti ramai diantara kita yang tahu melafazkan dan mengucapkan kata syukur diatas limpahan rezeki yang diperolehi seperti para peniaga merasa bersyukur apabila barang jualannya habis terjual dan membawa keuntungan, para petani dan pekebun mengucapkan syukur tanam-tanaman tumbuh dengan subur, begitu juga kepada para pekerja yang mengucapkan syukur apabila menerima gaji dari majikannya. Sememangnya menzahirkan rasa terima kasih dengan ucapan syukur atau Alhamdulilah melalui lisan adalah suatu yang terpuji, akan tetapi yang demikian itu belumlah cukup dan memadai. Ia hendaklah juga disertai dengan perbuatan dan tindakan, antaranya ialah dengan memanfaatkan rezeki yang diperolehi itu dengan cara yang betul dan sewajarnya.
Dalam hubungan ini agama Islam telah mengajarkan kepada kita cara mengurus harta dengan betul iaitu membelanjakannya untuk keperluan hidup seperti nafkah kepada orang yang berada dibawah tanggungannya kita selain itu, jika masih ada mempunyai wang yang lebih adalah juga digalakkan untuk membelanjakannya pada perkara-perkara yang berkebajikan seperti bersedekah, berwakaf, membantu fakir miskin dan orang yang ditimpa bencana dan sebagainya. Manakala jika rezeki atau harta yang kita perolehi itu telah memenuhi syarat-syarat untuk mengeluarkan zakat seperti hasil dagangan, tanaman, ternakan dan sebagainya, maka bersegeralah kita untuk mengeluarkan zakat kerana didalam harta yang kita miliki itu terdapat hak-hak orang lain yang mesti kita segera tunaikan.

Selain itu, dalam kita berbelanja mestilah seimbang diantara kadar pendapatan dan perbelanjaan. Sebagai contoh, tidak wajar jika seseorang yang mempunyai pendapatan sebanyak $20.00 sehari tetapi berbelanja lebih daripada pendapatan yang diterima. Amalan tersebut boleh menyebabkan krisis kedudukan ekonomi keluarga yang tidak terkawal dimana kadang-kadang boleh menyebabkannya menjadi berhutang. Walaupun berhutang hukumnya harus tetapi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri tidak mengalakkan umatnya berhutang dan selalu meminta perlindungan Allah Subhanahu Wataala agar dijauhkan diri dari beban hutang. Sebenarnya, berhutang itu adalah perkara yang senang dan mudah, akan tetapi ia adalah perkara yang sukar apabila hendak membayar balik.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Sebenarnya agama Islam telah mengingatkan umatnya supaya tidak boros dalam berbelanja dan mengelakkan pembaziran. Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam surah Al-Furqan ayat 67, tafsirnya:
"Dan mereka yang apabila membelanjakan harta, mereka tidak berlebih-lebih dan tidak juga bakhil, dan sebaliknya perbelanjaan mereka itu adalah sederhana diantara keduanya".
Oleh yang demikian, kita hendaklah berbelanja secara berhimah iaitu dengan memberi keutamaan kepada perkara-perkara yang penting sahaja tanpa melakukan pembaziran, apatah lagi sampai berbelanja melebihi had kemampuan.

Sememangnya kita menyedari bahawa sifat berjimat cermat dalam berbelanja amat dituntut dalam Islam kerana ianya menjadi asas bagi kesejahteraan hidup masyarakat dan kemakmuran sesebuah negara. Biasanya amalan tersebut meliputi perbelanjaan untuk keperluan kehidupan kita seharian sesuai dengan fitrah kita sebagai manusia. Oleh itu jika kita mahu ekonomi diri kita, keluarga dan masyarakat stabil dan terjamin tidak ada jalan lain selain mengamalkan cara berbelanja yang bijak dan berperancangan seperti mengutamakan barang-barang yang benar-benar yang diperlukan, mengamalkan tabiat menyimpan wang (menabung), tidak mengamalkan gaya hidup mewah dan boros tetapi sebaliknya mengamalkan cara hidup yang sederhana.
Oleh yang demikian, wahai kaum muslimin, kita hendaklah merancang segala perbelanjaan dengan teratur dan berjimat cermat. Lebih-lebih lagi pada masa ini, banyak promosi jualan-jualan murah telah diadakan ditambah pula bagi pekerja yang berkhidmat dibawah perkhidmatan awam akan menerima gaji dan bonus tidak lama lagi.
Maka dengan nikmat yang bakal diterima itu InsyaAllah, kita manfaatkanlah dengan cara yang baik lagi bijaksana. Berbelanja mengikut keutamaan dan keperluan, janganlah terpedaya untuk membeli barang-barang yang tidak diperlukan, apatah lagi pada bulan ini pasti banyak barang keperluan sekolah anak-anak untuk dibeli, dari pakaian hinggalah kepada buku-buku pelajaran. Kita hendaklah berusaha mengelakkan sebarang pembaziran ketika berbelanja, barang yang hendak dibeli itu biarlah berbalui dengan harga dan kualitinya. Barang yang lama, jika masih dalam keadaan baik dan elok, bukankah lebih bagus jika ia terus dipakai dan digunakan ataupun bolehlah juga jika dihadiahkan kepada orang-orang yang memerlukan. Tidak dinafikan ramai dikalangan ibu bapa yang mampu untuk membelikan anak-anak mereka barang-barang keperluan yang serba baru, tetapi ia bukanlah suatu kemestian.

Sebenarnya banyak faedah yang dapat diperolehi dari tabiat menyimpan atau menabung, antaranya ialah untuk meningkatkan ekonomi dan sebagai persediaan menghadapi keadaan-keadaan seperti ketika menghadapi sebarang kesusahan, kecemasan dan juga sebagai persediaan dimasa hadapan.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Kita amat bersyukur kerana kita dapat menkmati banyak kemudahan dan kesenangan di negara yang berdaulat ini. Inilah nikmat yang kita kecapi hasil pertumbuhan ekonomi negara yang baik dan pesat. Dan sudah menjadi tanggungjawab kita untuk sama membantu mengekalkan kestabilan ekonomi dinegara kita dengan berbelanja dinegara sendiri. Dalam berbelanja pula hendaklah dengan sederhana, utamakan keperluan dan juga amalan menabung. Ingatlah bahawa kita hanyalah sebagai pengurus harta yang dipinjamkan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada kita, yang pasti kita akan ditanya dari mana harta itu diperolehi dan bagaimanakah ia dibelanjakan.

Oleh itu sama-samalah kita mengurus harta kita mengikut lunas-lunas Islam demi mencapai kebahagiaan, kesenangan dan kesejahteraan hidup. Amalkanlah sikap sederhana dalam berbelanja dan mensyukuri nikmat-nikmat yang dikurniakan Allah Subhanahu Wataala. Mudah-mudahan dengan cara demikian kita akan dapat mengukuhkan ekonomi keluarga, menjamin masa hadapan yang lebih baik dan sekali gus dapat memantapkan ekonomi negara. Dan sama-samalah kita berdoa semoga Allah Subhanahu Wataala akan sentiasa melimpahkan rahmat dan nikmat yang berkekalan dan memberikan petunjuk serta hidayahnya supaya kita dapat hidup dengan bahagia dan selamat didunia dan diakhirat. Amin Yarrabal Alamin.
Surah Al-Kahfi ayat 46, tafsirnya:
"Harta dan anak pinak itu adalah perhiasan kehidupan dunia dan amalan-amalan salih dan kekal itu lebih baik pahalanya disisi Tuhanmu dan lebih baik menjadi harapan untuk kebahagian hidup akhirat".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan