ummusya

Rabu, 20 Februari 2013

SEMANGAT PATRIOTISME

Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhanNya, dan meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Alhmdulilah, pada tahun ini negara kita telah mencapai kemerdekaan selama 29 tahun. Selaku rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam, kita hendaklah memiliki semangat patriotisma. Patriotisma adalah perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air. Seseorang yang memiliki semangat patriotisma sebenarnya mendukung nilai-nilai kesetiaan bagi mempertahankan dan memelihara suatu hak yang dipunyai dan yang dimilikinya, dan termasuklah hak keatas tanah air yang diwarisinya.

Bagi memperteguhkan negara sememangnya berkehendak kepada berbagai-bagai sumbangan dari berbagai-bagai sudut dan jurusan, umpamanya taat kepada perintah Allah Subhanahu Wataala dan RasulNya, bertaqwa, berusaha mengekalkan keamanan dan kemakmuran negara serta keharmonian hidup bermasyarakat, mempertahankan dan memelihara hak kepunyaan, meningkatkan ekonomi, bijaksana dalam perundingan dan diplomasi, berilmu dan berkemahiran, menerima takdir Allah dengan tidak mengurangkan keteguhan akidah, amanah dalam menjalankan tanggungjawab dan sebagainya.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Patriotisma juga dapat diertikan suatu nilai kesetiaan bagi mempertahankan dan memelihara sesuatu hak kepunyaan. Antara contohnya sebagaimana yang diceritakan dalam sirah, apabila tentera yang diketuai oleh Abrahah dari negeri Yaman berhasrat ingin meruntuhkan kaabah, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Fiil ayat 1-5, tafsirnya:
"Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera yang dipimpin oleh pembawa gajah, yang hendak meruntuhkan kaabah? Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang merugi dan memusnahkan mereka? Dan Ia telah menghantarkan kepada mereka rombongan burung berpasuk-pasuk yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras. Lalu ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat".

Dalam kisah tersebut, tentera yang diketuai oleh Abrahah telah merampas ternakan penduduk Mekah, sebelum mereka bergerak untuk melakukan kerja meruntuhkan kaabah itu, Abrahah telah memanggil ketua-ketua Quraish dan berkata: "Kami datang bukan untuk berperang, tetapi datang untuk meruntuhkan kaabah". Ketua kaum Quraish, Abdul Mutalib, iaitu datok kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab, "Kami tidak mahu berperang".

Sebenarnya mereka tidak berdaya untuk melawan dan menentang tentera Abrahah yang gagah dan mempunyai kekuatan yang hebat. Abdul Mutalib berkata lagi: "Tuan-tuan telah merampas harta benda penduduk Mekah termasuk dua ratus ekor unta kepunyaan saya, binatang itu kepunyaan saya. "Abrahah yang sebelumnya cukup memuliakan dan menghormati Abdul Mutalib menjadi hairan kenapa orang ini tidak mempertahankan kaabah, tetapi sebaliknya meminta dikembalikan dua ratus ekor untanya yang dirampas. Kemudian Abdul Mutalib berkata: "Unta itu hak saya, kepunyaan saya, jadi saya bertanggungjawab mempertahankannya. Adapun kaabah itu ada pemiliknya, pemilik itulah yang akan mempertahankannya, tanpa perlu kami masuk campur".

Dari kisah tersebut, kita dapat melihat semangat patriotisma yang ditunjukkan oleh Abdul Mutalib dalam mempertahankan hartanya. Sesungguhnya tanahair adalah harta yang amat bernilai. Negara Brunei Darussalam adalah kepunyaan kita, milik kita dan adalah menjadi kewajipan kita untuk mempertahankan dan memeliharanya.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Sewaktu pemahsyuran kemerdekaan negara kita pada malam 1 Januari 1984, suara takbir "Allahu Akbar" sebanyak tiga kali telah dikumandangkan dibawah pimpinan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Begawan Sultan Sir Muda Haji Omar Ali Saifuddien Saadul Khairi Waddien. Kalimah takbir tersebut bermaksud "Allah Yang Maha Besar" dengan segala sifatnya ayng sempurna. Sesungguhnya takbir "Allahu Akbar" yang dilaungkan tiga kali dimalam kemerdekaan yang bersejarah itu mempunyai contoh sandaran sejarah yang dilalui oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Kalimah takbir "Allahu Akbar" pernah dikumandangkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebanyak tiga kali iaitu semasa umat Islam menggali parit yang kira-kira lebarnya sehingga kuda tidak boleh menyeberang ketika membuat persediaan menghadapi perang Khandak. Strategi perang ini diusulkan oleh Salman Al-Farisi, sahabat yang berasal dari Parsi (Iran), berdasarkan pengalaman negara Parsi dalam peperangan. Para sahabat menjumpai seketul batu besar yang pejal, mereka tidak berdaya memecahkannya. Perkara itu disampaikan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, lalu baginda mencapai cangkul dan turun ketempat berkenaan. Baginda mengucapkan : "Bismillah" dan kemudian mengcangkul batu tersebut, sesudah itu baginda melaungkan takbir "Allahu Akbar". Sebahagian batu itu pecah berkeping-keping menjadi pasir. Baginda menyatakan bahawa Allah telah memberikan kepada baginda kunci-kunci Syam, dan baginda telah diperlihatkan istana-istana Syam yang bercat merah. Baginda mencangkul kali kedua, sesudah itu baginda melaungkan takbir "Allahu Akbar", kemudian baginda menyatakan bahawa Allah memberikan kepada baginda tanah Parsi, dan baginda telah diperlihatkan istana Madain yang bercat putih. Baginda mencangkul kali ketiga, kemudian diikuti dengan takbir "Allahu Akbar", maka habis hancurlah batu tersebut. Kemudian baginda menyatakan bahawa Allah Memberikan kepada baginda kunci-kunci Yaman, dan baginda telah diperlihatkan pintu-pintu gerbang Sona'.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Di negara kita banyak contoh patriotisma yang tercatat dalam sejarah Brunei. Antaranya ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang berjaya mengembalikan kedaulatan Negara Brunei Darussalam sepenuhnya sehingga Negara Brunei Darussalam menikmati kemerdekaannya pada 1 Januari 1984 dengan mendukung falsafah "Melayu Islam Beraja".
Maka sebagai menunjukkan semangat patriotisma, marilah kita mengibarkan bendera sebagai tanda membesarkan dan memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan yang ke-29 tahun ini.
Bendera merupakan lambang dan simbol negara, maka sebagai rakyat seharusnya menghormati bendera kita sebagai salah satu tanda cinta kita kepada negara. Contohnya pada setiap kali sambutan Hari Kebangsaan, maka akan diadakan upacara menaikkan bendera besar di Bandar Seri Begawan, begitu juga disekolah-sekolah diadakan upacara menaikkan bendera bagi membakar semangat patriotik dan semangat kenegeraan.
Pelu diingatkan kepada orang awam agar bendera yang dikibarkan itu hendaklah dijaga kesempurnaannya, jangan sampai bendera tersebut ada yang koyak dan pudar warnanya. Janganlah camah mata jika ternampak bendera negara yang tercicir, bendera tersebut hendaklah diselamatkan, jangan dibiarkan martabat bendera itu tercemar.

Muslimin yang diramati Allah,
Mudah-mudahan dalam masa menyambut dan merayakan Hari Kebangsaan tahun ini dan tahun-tahun berikutnya akan sentiasa bersemangat untuk mengisi dan menyempurnakan sambutan kemerdekaan itu dengan bijak. Kemerdekaan yang telah dicapai ini hendaklah dinikmati dengan penuh kesyukuran dan diwariskan dengan tetap utuh sebagaimana ia dimahsyurkan bahawa ia akan selamanya kekal sebagai negara Melayu Islam Beraja yang merdeka, berdaulat dan demokratik dengan berdendikan ajaran agama Islam menurut Ahli Sunnah Wal-Jamaah.
Sama-samalah kita berdoa semoga Allah Subhanahu Wataala sentiasa melindungi negara kita dari sebarang bala bencana melimpahkan serta mengurniakan rahmat dan kemakmuran yang berkekalan kepada negara yang kita cintai ini. Amin Yarrabal Alamin.

Surah Al-Ahzab ayat 41-43, tafsirnya:
"Wahai orang-orang yang beriman, untuk bersyukur kepada Allah ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sambutan yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kamu kepadanya pada waktu pagi dan petang. Dialah yang memberi rahmat kepada kamu dan malaikatNya pula berdoa bagi kamu untuk mengeluarkan kamu dari gelap-gelita (kufur dan maksiat) kepada cahaya yang terang benderang (iman dan taat) dan adalah ia sentiasa melimpah-limpah rahmatnya kepada orang-orang yang beriman di dunia dan di akhirat".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan