ummusya

Selasa, 24 Ogos 2010

kek princess

happy birthday to nursafura. majlis tahlil yang diadakan sebelum bulan ramadan diselajurkan dengan sambutan harijadi safura (anak angkat ayahnda).
ummusya hadiahkan kek princess.

Jumaat, 20 Ogos 2010

bertadarus ke tutong & ceramah kasar

kami diarahkan menghadiri majlis tadarus di masjid kg penanjong tutong. kena suruh menunggu bas di jame' 8.15 pagi. kami sampai di jame' sebelum jam 8.00. tunggu punya tunggu, alum jua ada bas ani, bas pelancong saja ada. suspen ku jua bas ani, pikir bas kami, rupanya bas pelancong. sejam berlalu, alum jua ada bas ani. baik jua siok cerita kami sambil duduk2 ani, inda jua terasa sejam sudah menunggu. sekali, dapat info melalui telefon dari kawan yang menunggu bas di kheu, pemandu bas kami atu salah faham, pikirnya di masjid ameerah jerudong, di sana tia menunggu. oooo... patut tah tak sampai2. sekalinya masa bas atu kan ke jame' dari masjid ameerah, tersangkut tia jua di kesesakan jalan yang diakibatkan oleh kemalangan jalanraya. hampir 9.30, bas belum jua sampai, kami pun buat keputusan kan balik ke pejabat. barupun kan melangkah ke kereta, ada tia bas. sampai ke masjid penanjong, majlis baru saja bermula (kira2 jam 10 pagi)

semasa majlis atu, ada lagi satu kisah, penceramahnya yang kasar, banyak orang terguris hati dan tersinggung. sedangkan orang hadir di majlis atu banyaknya para ustazah2 iaitu bekas guru2nya dan golongan warga tua di daerah itu. eh eh eh... apa hal pula budak ni...

Rabu, 18 Ogos 2010

musim hujan

sekarang ani, hari-hari hujan. siok pulang, jimat air dan tenaga inda payah siram pokok. berpuasa pun siok, nda panas. tapi bila hujan turun dengan lebat, hati ana kabak-kabak takut peristiwa seperti dalam gambar ini akan berulang lagi. na'uzubillahi min zalik.


kenangan banjir awal tahun 2009
piring mangkuk hanyut dari dapur ke ruang tv


betapa hancurnya hatiku melihat sofa di bilik tamu melabui.




betapa sedihnya hatiku ketika itu, hanya Allah subhanahu wataala sahaja yang tahu. kan menangis, air mata inda mau keluar, menangis dalam hati tah saja. masa tu lagi aku tengah baus, bida rasa. aduuui... nasib baik ada ayahnda dan kakanda datang menolong.

ADAB BERSUNGKAI

Wahai kaum Muslimin yang dirahmati Allah,

MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Alhamdulillah, kita telah berada di bulan Ramadan yang mubarak lagi mulia dan bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana masih memberi kita peluang dan kesempatan untuk melaksanakan ibadat puasa dan seterusnya melakukan ibadat-ibadat lain yang ganjaran pahalanya berlipat ganda di sisi Allah Subhanahu Wata'ala. Peluang dan kesempatan ini hendaklah kita rebut dan manfaatkannya dengan memperbanyakkan amal ibadat seperti bertadarus Al-Quran, membanyakkan amalan sedekah, mengeluarkan zakat, membanyakkan zikir, beristighfar, melakukan sembahyang-sembahyang sunat dan sebagainya terutamanya sembahyang sunat tarawih dan sunat witir.

Peluang dan kesempatan ini bukan sahaja direbut oleh orang-orang dewasa bahkan juga dilakukan oleh kanak-kanak atas dorongan ibu bapa ataupun atas kemahuan anak itu sendiri. Pada kebiasaannya, ibu bapa mengalakkan anak mereka yang belum baligh berpuasa. Tujuannya ialah supaya anak-anak mengenal kewajipan berpuasa dan seterusnya sebagai latihan untuk mendidik dan membiasakan anak-anak supaya berpuasa walaupun puasa mereka itu tidak sempurna seperti tidak sampai sehari penuh. Tindakan ibu bapa melatih anak-anak mereka berpuasa sedari kecil lagi adalah satu tindakan yang terpuji. Ini selaras dengan hukum syarak yang menyuruh anak-anak mereka berpuasa ketika berumur tujuh tahun, itupun jika mereka berdaya untuk melakukannya. Namun jika mereka telah mencapai sepuluh tahun dan masih meninggalkan puasa maka ibu bapa dibolehkan untuk memukul mereka dengan pukulan yang tidak mencederakan. Perkara ini dikiaskan kepada tuntutan menyuruh anak mengerjakan kewajipan sembahyang, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya :

"Dari Amru bin Syuaib daripada ayahnya, daripada datuknya, katanya telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Perintahkanlah anak-anak kamu supaya bersembahyang ketika berumur tujuh tahun dan pukullah mereka atas keengganannya ketika mereka berumur sepuluh tahun". (Riwayat Al-Imam Abi Daud)

Ahli Jumaat yang dirahmati Allah,
Sebagaimana yang kita ketahui waktu berbuka puasa atau bersungkai adalah salah satu perkara yang menggembirakan bagi mereka yang berpuasa kerana di samping bersungkai itu dapat menghilangkan rasa haus dan lapar, bersungkai itu menimbulkan rasa kegembiraan di atas sempurnanya ibadat puasa yang telah dikerjakan di siang hari. Perasaan gembira ketika bersungkai ini ada disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam An-Nasa'ie maksudnya :

"Daripada Abi Hurairah Radiallahu Anhu : Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Orang yang berpuasa memperolehi dua kegembiraan yang dia merasa gembira dengannya : Apabila bersungkai dia bergembira dan apabila menghadap Tuhan-Nya dia bergembira dengan puasanya".

Dalam bersungkai terdapat adab-adab yang telah dianjurkan dan diamalkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, antaranya ialah dengan menyegerakan bersungkai. Setelah kita yakin melihat matahari terbenam atau setelah mendengar azan Maghrib dilaungkan maka sunat menyegerakan sungkai. Jika senghaja melewat-lewatkannya maka hukumnya adalah makhruh. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda dalam sebuah hadis yang maksudnya :

"Dari Sahl bin Sahid Radiallahu Anhu, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Manusia (umat Islam) akan sentiasa berada dalam kebaikan selama mereka menyegerakan sungkai". (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Adapun hikmah di sebalik anjuran menyegerakan sungkai itu ialah supaya tidak melanjutkan waktu siang ke waktu malam sebagai belas kasihan kepada orang yang berpuasa setelah mereka merasa lapar dan dahaga di siang hari dan seterusnya akan dapat menambah kekuatan untuk melakukan ibadat. Selain daripada itu, menyegerakan bersungkai akan membezakan amalan umat Islam daripada amalan kaum Yahudi dan Nasrani yang biasa melewatkan sungkai hingga terbit bintang.

Adab yang seterusnya pula ialah bersungkai dengan buah rutab. Sunat memulakan sungkai dengan buah rutab iaitu kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar. Sekiranya tiada buah rutab, maka bolehlah bersungkai dengan buah tamar iaitu kurma yang telah kering. Adalah lebih sempurna jika bersungkai dengan tiga biji tamar. Jika tiada juga buah tamar, bersungkailah dengan beberapa teguk air.

Ketahuilah bahawa bersungkai dengan memakan buah kurma mempunyai banyak hikmat, antaranya ialah untuk mendapat khasiat daripada kemanisan buah kurma itu sendiri kerana sesuatu yang manis itu lebih mudah dicerna oleh perut yang kosong. Tambahan lagi makanan yang manis akan menambahkan kekuatan, ini termasuklah menguatkan kembali pandangan mata yang lemah disebabkan berpuasa.

Setelah bersungkai, ada baiknya juga menyegerakan sembahyang Maghrib sebagaimana yang diamalkan oleh Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, akan tetapi jika sekiranya makanan telah sedia terhidang maka makruh meninggalkan makanan untuk menunaikan sembahyang. Ini berdasarkan sebuah hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya : "Dari Anas Radiallahu Anhu bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Apabila makan malam telah dihidangkan maka makanlah dahulu sebelum menunaikan sembahyang Maghrib dan janganlah makan dengan terburu-buru terhadap makan malam kamu itu". (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Perkara mendahulukan makan daripada sembahyang apabila makanan telah sedia terhidang ini sebenarnya bukan khusus semasa bersungkai atau sembahyang Maghrib sahaja bahkan hukum sunat ini meliputi semua sembahyang dan waktu makan kerana dikhuatiri akan menghilangkan perasaan khusyuk.

Adab bersungkai yang selanjutnya pula ialah bersungkai ataupun makan dengan sederhana iaitu tidak berlebihan hingga terlalu kekenyangan atau dalam istilah kitani kebungkayangan. Makan dengan berlebihan boleh membawa kemudharatan kepada kesihatan dan boleh menyukarkan kita dalam mengerjakan ibadat.

Imam Ghazali Rahimahullah Ta'ala dalam Kitab Ihya Ulumuddin ada berkata : Bagaimanakah orang yang berpuasa mendapat faedah berpuasa untuk melawan musuh Allah dan mengalahkan syahwat sekiranya ketika bersungkai dia mengisi perutnya dengan pelbagai macam makanan yang ditinggalkannya di siang hari? Sehingga berterusan pula menjadi kebiasaan menghidang dan memakan pelbagai macam makanan di bulan Ramadan apa yang tidak pernah dihidangkan di bulan-bulan yang lain.

Perlu diketahui bersungkai secara sederhana dapat melatih diri kita mengawal selera dan nafsu makan. Alangkah ruginya jika kita hanya mampu mengawal hawa nafsu di siang hari namun kita gagal mengawal hawa nafsu ketika bersungkai. Apa yang hendak diingatkan juga ialah dalam penyediaan juadah untuk bersungkai biarlah sederhana, bukan berlebihan sehingga berlaku pembaziran kerana juadah yang disediakan tidak habis dimakan. Ingatlah bahawa perbuatan membazir dilarang oleh Allah Subhanahu Wata'ala, sebagaimana firman-Nya dalam surah Al-Israa' ayat 27 tafsirnya :

"Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhan-Nya".

Ahli Jumaat yang dirahmati Allah,
Dengan kedatangan bulan Ramadan ini, kita rebutlah peluang yang ada dan memanfaatkannya dengan sebaik-baiknya, kita hendaklah menumpukan dan mempertingkatkan diri untuk beribadat kepada Allah Subhanahu Wata'ala sebanyak-banyaknya dengan berzikir, membaca Al-Quran, mengerjakan sembahyang-sembahyang sunat dan sebagainya terutama sunat tarawih dan sunat witir yang amat dituntut dan afdhal dilakukan secara berjemaah dan lebih elok lagi jika dikerjakan di masjid. Selain itu perlu diingatkan bahawa dalam mengerjakan sembahyang sunat tarawih dan sembahyang sunat witir secara berjemaah biarlah dengan cara yang sederhana iaitu tidak terlalu cepat dan tidak terlalu lambat, yang penting sembahyang itu dikerjakan dengan sempurna mengikut rukun-rukun dan sunat-sunat serta syarat-syarat sah sembahyang mengikut hukum syarak. Ketahuilah bahawa sembahyang tarawih yang kita kerjakan dengan sempurna akan dibalas dengan ganjaran pengampunan dari Allah Subhanahu Wata'ala.

Akhirnya sama-samalah kita menjaga adab-adab berpuasa dan bersungkai bagi kesempurnaan ibadat puasa yang kita kerjakan. Kita berharap dan berdoa mudah-mudahan ibadat puasa dan amal ibadat yang kita lakukan di bulan Ramadan ini akan diterima dan mendapat ganjaran Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbal'alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 183 tafsirnya :

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang sebelum kamu supaya kamu bertakwa".

Jumaat, 13 Ogos 2010

kenangan ramadan tahun lalu


ramadan tahun lepas adalah ramadan pertama tanpa syazwan, dan pada ramadan itu adalah ulangtahunnya yang ke 9 tahun. hari jadinya itu tetap kami sambut sewaktu sungkai dengan sederhana, kami anak beranak sahaja. kebetulan hari itu hari khamis malam jumaat, pada petang itu abusya pergi ke kuburnya dan mengajak syazwan pulang ke rumah untuk meraikan harijadinya. bila tiba waktu sungkai, kami pun nyanyikan lagu happy birthday untuknya dan potong kek birthdaynya. kami yakin syazwan ada bersama kami di meja makan itu. yang lucunya, syahmi tiba-tiba menyanyikan lagu "panjang umurnya... panjang umurnya..." terus ku becakap "indada lagi panjang umurnya tu lai..."

alhamdulillah, pada ramadan tahun lepas itu juga kami dapat pengganti syazwan iaitu syazwana. muka mereka pun sama, bagai difotocopy.

insya Allah, pada ramadan tahun ini, kami akan sambut harijadi syazwan sekaligus dengan harijadi syazwana yang pertama secara ramai-ramai dengan menjemput sepupu-sepupu mereka. inilah hajat syazwan yang tidak kesampaian, dia ingin menyambut harijadinya dengan menjemput ramai orang. beberapa minggu sebelum tarikh yang dirancang untuk menyambut harijadinya (2008), dia telah meninggalkan kami. mudah-mudahan majlis yang dirancang pada ramadan ini akan terlaksana, insya Allah.

Selasa, 10 Ogos 2010

KEDATANGAN BULAN RAMADAN

Wahai kaum Muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subahanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Alhamdulillah segala puji bagi Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kerana atas limpah kurnia-Nya jua telah memberikan umur yang panjang dan kesihatan kepada kita sehingga dengan-Nya kita berpeluang untuk bertemu lagi dengan bulan Ramadan. Bulan Ramadan adalah bulan yang mulia dan sangat dinantikan oleh seluruh umat Islam yang beriman dan bertakwa. Dalam bulan ini Al-Qur'an telah diturunkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam sebagai petunjuk bagi umat manusia. Di bulan ini juga kita dituntut untuk melaksanakan rukun Islam yang ketiga iaitu berpuasa. Perkara ini disebutkan oleh Allah Subahanahu Wata'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 185
tafsirnya :
"Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah pada bulan Ramadan yang diturunkannya pada-Nya Al-Qur'an sebagai petunjuk kepada manusia dan sebagai keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk itu dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan salah. Oleh itu sesiapa di antara kamu yang berada dalam bulan itu dan menyaksikan anak bulan Ramadan atau mengetahuinya maka hendaklah dia berpuasa".

Muslimin yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya dalam bulan Ramadan ini telah berlaku banyak peristiwa bersejarah di zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam antaranya ialah berlakunya perang Badar pada tahun kedua hijrah iaitu peperangan di antara tentera Muslimin menentang kaum Musyrikin. Dalam peperangan itu tentera Muslimin telah dapat mengalahkan kaum Musyrikin.

Dalam bulan ini juga Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersama umat Islam telah berjaya menakluki kota suci Mekah dari kaum Musyrikin sehingga dapat mengubah akidah Jahiliah yang sesat kepada akidah Islam yang benar.

Perlu kita ketahui, bulan Ramadan adalah lebih istimewa berbanding bulan-bulan yang lain kerana di bulan ini Allah Subahanahu Wata'ala memberikan rahmat dan pengampunan kepada hamba-Nya dan di bulan ini juga segala pintu-pintu Syurga terbuka luas manakala pintu-pintu neraka ditutup rapat dan semua syaitan dibelenggu, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam yang maksudnya :

"Dari Abi Hurairah Radiallahu Anhu berkata : Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam : Ketika bulan Ramadan tiba, maka semua pintu-pintu Syurga dibuka, kesemua pintu neraka akan tertutup, semua syaitan akan dibelenggu". (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Muslimin yang dirahmati Allah,
Kesempurnaan seseorang Islam itu berdasarkan atas ketaatan dalam melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadan disamping ibadah-ibadah fardhu yang lain. Ini jelas sebagaimana dalam sebuah hadis maksudnya :

"Abdullah bin Umar berkata : Sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda : Agama Islam dibangunkan di atas lima perkara : Bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, mendirikan sembahyang, berpuasa di bulan Ramadan, mengeluarkan zakat dan menunaikan ibadah haji ke Baitullah bagi orang yang mampu mengerjakannya". (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Sesungguhnya semua perintah Allah Subhanahu Wata'ala yang disyariatkan pasti ada manfaat dan tujuannya. Begitulah juga dengan puasa Ramadan yang akan kita jalani, pasti mengandungi manfaat dan tujuannya yang tersendiri. Adapun kelebihan berpuasa itu amat besar dan banyak, antaranya ialah : puasa bukan hanya sekadar menahan diri dari makan dan minum dan bersetubuh di siang hari tetapi juga menahan diri dari nafsu-nafsu pancaindera, anggota badan yang lain dan juga hati. Selain itu puasa adalah antara cara untuk mencapai darjat takwa iaitu takut kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya serta takarrub iaitu mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan amalan yang mulia.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Ibadat puasa di bulan Ramadan ini turut memberi sumbangan terbesar dalam membantu mengatasi masalah merokok di negara ini. Perokok sering kali memikirkan cara yang terbaik untuk berhenti merokok walaupun telah mencubanya beberapa kali. Inilah masanya yang sesuai bagi seseorang untuk berhenti merokok. Suasana harian berubah pada bulan Ramadan. Suasana di tempat kerja, di pejabat, di rumah pada waktu siang berbeza jika dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain kerana tiada lagi suasana dimana perokok sering merokok seperti selepas sarapan dan makan tengahari. Maka di bulan inilah peluang dan keadaan yang sesuai untuk berhenti merokok.

Selain itu amalan-amalan yang mendekatkan diri dengan Allah Subhanahu Wata'ala di bulan yang mulia ini juga berkesan mengatasi masalah merokok itu seperti amalan memperbanyakkan doa, zikir, melakukan solat-solat fardhu dan sunat, berselawat, bertaubat, bertadarus Al-Qur'an dan sebagainya. Dengan yang demikian, perokok bukan sahaja dapat menghilangkan tabiat merokok malah juga mendapat pahala berpuasa. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam :

"Dari Abi Hurairah Radiallahu Anhu berkata : Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda : Sesiapa yang berpuasa Ramadan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, akan diampunkan dosanya yang terdahulu". (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Mudah-mudahan dengan menghayati tujuan dan kelebihan puasa Ramadan ini kita dapat lebih memahami erti Ramadan dan ibadah puasa yang sebenarnya. Sama-samalah kita berdoa semoga kita dapat menjalani ibadah puasa nanti dengan lebih sabar dan penuh keikhlasan dan semoga Allah Subhanahu Wata'ala menerima ibadah puasa kita dan segala amalan yang kita kerjakan di bulan Ramadan yang mubarak ini dengan sempurna. Amin Ya Rabbal'alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 183 tafsirnya :

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa".

hari jadi ahli lajnah

happy belated birthday to hj sham. oleh kerana hj sham sibuk saja, inda dapat hadir lajnah dalam beberapa minggu, tepaksa tah belated birthday. lajnah kali ini kami order nene catering dengan menu nasi putih, ikan mangga, sayur lodeh, buah dan kuih, minuman panas dan air mineral.

wartawan bebas sedang mengambil gambar


ummusya hadiahkan kek coklat super moist.