Wahai kaum Muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subahanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Alhamdulillah segala puji bagi Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kerana atas limpah kurnia-Nya jua telah memberikan umur yang panjang dan kesihatan kepada kita sehingga dengan-Nya kita berpeluang untuk bertemu lagi dengan bulan Ramadan. Bulan Ramadan adalah bulan yang mulia dan sangat dinantikan oleh seluruh umat Islam yang beriman dan bertakwa. Dalam bulan ini Al-Qur'an telah diturunkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam sebagai petunjuk bagi umat manusia. Di bulan ini juga kita dituntut untuk melaksanakan rukun Islam yang ketiga iaitu berpuasa. Perkara ini disebutkan oleh Allah Subahanahu Wata'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 185
tafsirnya :
"Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah pada bulan Ramadan yang diturunkannya pada-Nya Al-Qur'an sebagai petunjuk kepada manusia dan sebagai keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk itu dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan salah. Oleh itu sesiapa di antara kamu yang berada dalam bulan itu dan menyaksikan anak bulan Ramadan atau mengetahuinya maka hendaklah dia berpuasa".
Muslimin yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya dalam bulan Ramadan ini telah berlaku banyak peristiwa bersejarah di zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam antaranya ialah berlakunya perang Badar pada tahun kedua hijrah iaitu peperangan di antara tentera Muslimin menentang kaum Musyrikin. Dalam peperangan itu tentera Muslimin telah dapat mengalahkan kaum Musyrikin.
Dalam bulan ini juga Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersama umat Islam telah berjaya menakluki kota suci Mekah dari kaum Musyrikin sehingga dapat mengubah akidah Jahiliah yang sesat kepada akidah Islam yang benar.
Perlu kita ketahui, bulan Ramadan adalah lebih istimewa berbanding bulan-bulan yang lain kerana di bulan ini Allah Subahanahu Wata'ala memberikan rahmat dan pengampunan kepada hamba-Nya dan di bulan ini juga segala pintu-pintu Syurga terbuka luas manakala pintu-pintu neraka ditutup rapat dan semua syaitan dibelenggu, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam yang maksudnya :
"Dari Abi Hurairah Radiallahu Anhu berkata : Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam : Ketika bulan Ramadan tiba, maka semua pintu-pintu Syurga dibuka, kesemua pintu neraka akan tertutup, semua syaitan akan dibelenggu". (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)
Muslimin yang dirahmati Allah,
Kesempurnaan seseorang Islam itu berdasarkan atas ketaatan dalam melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadan disamping ibadah-ibadah fardhu yang lain. Ini jelas sebagaimana dalam sebuah hadis maksudnya :
"Abdullah bin Umar berkata : Sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda : Agama Islam dibangunkan di atas lima perkara : Bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, mendirikan sembahyang, berpuasa di bulan Ramadan, mengeluarkan zakat dan menunaikan ibadah haji ke Baitullah bagi orang yang mampu mengerjakannya". (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)
Sesungguhnya semua perintah Allah Subhanahu Wata'ala yang disyariatkan pasti ada manfaat dan tujuannya. Begitulah juga dengan puasa Ramadan yang akan kita jalani, pasti mengandungi manfaat dan tujuannya yang tersendiri. Adapun kelebihan berpuasa itu amat besar dan banyak, antaranya ialah : puasa bukan hanya sekadar menahan diri dari makan dan minum dan bersetubuh di siang hari tetapi juga menahan diri dari nafsu-nafsu pancaindera, anggota badan yang lain dan juga hati. Selain itu puasa adalah antara cara untuk mencapai darjat takwa iaitu takut kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya serta takarrub iaitu mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan amalan yang mulia.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Ibadat puasa di bulan Ramadan ini turut memberi sumbangan terbesar dalam membantu mengatasi masalah merokok di negara ini. Perokok sering kali memikirkan cara yang terbaik untuk berhenti merokok walaupun telah mencubanya beberapa kali. Inilah masanya yang sesuai bagi seseorang untuk berhenti merokok. Suasana harian berubah pada bulan Ramadan. Suasana di tempat kerja, di pejabat, di rumah pada waktu siang berbeza jika dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain kerana tiada lagi suasana dimana perokok sering merokok seperti selepas sarapan dan makan tengahari. Maka di bulan inilah peluang dan keadaan yang sesuai untuk berhenti merokok.
Selain itu amalan-amalan yang mendekatkan diri dengan Allah Subhanahu Wata'ala di bulan yang mulia ini juga berkesan mengatasi masalah merokok itu seperti amalan memperbanyakkan doa, zikir, melakukan solat-solat fardhu dan sunat, berselawat, bertaubat, bertadarus Al-Qur'an dan sebagainya. Dengan yang demikian, perokok bukan sahaja dapat menghilangkan tabiat merokok malah juga mendapat pahala berpuasa. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam :
"Dari Abi Hurairah Radiallahu Anhu berkata : Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda : Sesiapa yang berpuasa Ramadan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, akan diampunkan dosanya yang terdahulu". (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)
Mudah-mudahan dengan menghayati tujuan dan kelebihan puasa Ramadan ini kita dapat lebih memahami erti Ramadan dan ibadah puasa yang sebenarnya. Sama-samalah kita berdoa semoga kita dapat menjalani ibadah puasa nanti dengan lebih sabar dan penuh keikhlasan dan semoga Allah Subhanahu Wata'ala menerima ibadah puasa kita dan segala amalan yang kita kerjakan di bulan Ramadan yang mubarak ini dengan sempurna. Amin Ya Rabbal'alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 183 tafsirnya :
"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa".
Guna steroid baru badan jadi ??
16 jam yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan