ummusya

Sabtu, 7 Ogos 2010

KHUTBAH SEMPENA HARI KEPUTERAAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA (MINGGU KEDUA)

Wahai kaum Muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala dengan sebenar-benar takwa iaitu istiqamah dalam mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Dengan yang demikian, mudah-mudahan kita akan menjadi umat yang terbaik dan mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta'ala di dunia dan di akhirat.

Saudara-Saudara yang dirahmati Allah,
Alhamdulillah, 15hb Julai tahun ini iaitu semalam genaplah 64 tahun usia raja dan walil amri yang kita taati, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji 'Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Ulangtahun keputeraan baginda itu, seperti yang sudah menjadi kelaziman, disambut dalam suasana kera'ian dan kesyukuran bagi yang khas dan yang am.?

Kera'ian itulah perayaannya dan kesyukuran itulah doa serta harapan bahawa rakyat sekalian, yang khas dan yang am, pembesar-pembesar dan pemimpin-pemimpin, orang ramai rakyat dan penduduk di seluruh pelusuk negeri, bergembira sambil bersyukur kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana melanjutkan usia baginda, dan mengekalkan baginda memerintah sepertimana yang sentiasa didoakan iaitu dilanjutkan usia, adil berdaulat menaungi nusa,? memimpin rakyat kekal bahagia.

Sesungguhnya Brunei tanah air kita ini telah diberkati oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dengan mempunyai raja yang memerintah turun-temurun. Dan sesungguhnya pemerintahan beraja itu adalah merupakan sebahagian daripada cara-cara kita umat Islam mengurus ehwal wilayah dan penduduk negeri kita sesuai dengan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam ayat 55? surah an-Nur:

Tafsirnya: Allah Subhanahu wa Ta'ala menjanjikan kepada umat Nabi Muhammad yang beriman dan beramal saleh bahawa: -

Pertama : Allah akan menjadikan mereka sebagai khalifah-khalifah di bumi yakni mempunyai kerajaan atau pemerintahan, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka sebagai khalifah-khalifah yang berkuasa;

Kedua : Allah akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka;

Ketiga : Allah akan melimpahi mereka dengan rahmat keamanan setelah mereka mengalami ketakutan, huru-hara dan ancaman.

Syaratnya ialah : Mereka (umat Nabi Muhammad) hendaklah kekal sebagai umat yang beribadat kepada Allah dengan mentauhidkan-Nya, tidak mensyirikkan Allah, tunduk patuh kepada-Nya termasuklah dalam berkeluarga, bermasyarakat, berbangsa, berkerajaan dan bernegara.

Syukur Alhamdulillah. Janji-janji Allah itu ternyata telah dilimpahkan-Nya kepada Brunei sehingga menjadikan bangsa kita berwilayah dan berkerajaan turun-temurun dipimpin oleh raja-raja Islam yang memerintah selaku khalifah-khalifah.

Menerusi kepimpinan dan pemerintahan beraja Islam itu kita dapat memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Allah dengan menjadi bangsa yang taat beragama, memelihara dan memartabatkan agama, mentauhidkan Allah, tidak mensyirikkan-Nya, tidak menderhakai Allah, memelihara diri daripada kemurkaan-Nya?- yang mana hasilnya ialah kita menikmati keamanan dan terlepas daripada ancaman dan ketakutan-ketakutan. Itulah Brunei Darussalam.

Seterusnya di bawah pemerintahan beraja Islam yang adil serta taatkan Allah dan raja itu adalah tampuk negara, melindungi rakyat jelata, menaungi nusa bangsa, memimpin rakyat menjadi bangsa yang beriman dan bertaqwa?- yang kesemuanya itu telah menjadikan Brunei tanah air kita ini dilimpahi rezeki dari sumber-sumber yang tidak terduga berupa minyak dan gas dan hasil-mahsul lainnya, sesuai dengan firman Allah ayat 96 surah al-'Araaf:

Demikian itulah juga janji Allah kepada bangsa yang beriman dan bertaqwa: beriman dengan sesungguhnya sehingga teguh memelihara hubungan dengan Allah dan dengan sesama hamba Allah, bertaqwa dengan sesungguhnya sehingga berjaya menjadi bangsa yang kuat menghormati hak Allah dan hak sesama hamba Allah.

Daripada rezeki tersebut itulah Brunei dan rakyatnya telah dibangunkan. Brunei telah dimaju dan dikembangkan. Lihat sahajalah betapa negara mampu membelanjai keperluan bidang-bidang pendidikan, perubatan dan kesihatan. Betapa pula beberapa rancangan pembangunan dilaksanakan bagi mensejahterakan rakyat seperti dalam perkara perumahan dan pembangunan infrastruktur dengan tidak membebankan rakyat.

Kesemuanya itu adalah berkat kita sekalian, iaitu rakyat dan penduduk sentiasa bertaat setia kepada raja sebagai walil amri dalam berkerajaan dan bernegara. Berkat kita dan raja sentiasa bersatu hati berpadu tenaga menegakkan negara dan pemerintahan.

Maka sedemikian itulah kita bernegara dan berkerajaan. Kita sentiasa berpandukan ajaran Allah yang dengannya kita berhasil menegakkan pemerintahan yang adil berdaulat untuk sekalian rakyat dan penduduk, yang Islam dan bukan Islam. Dan kita sekalian?- yang Islam dan bukan Islam?- menjadi rakyat dan penduduk yang cintakan keamanan dan kesejahteraan sambil mencapai kemajuan dan menikmati kehidupan yang wajar di sebuah negara yang aman makmur iaitu Brunei Darussalam.

Inilah yang kita wajib kekalkan. Inilah yang kita akan wariskan kepada genersi keturunan kita yang mana mereka itulah yang akan kita amanahkan untuk mengekalkan Brunei Darussalam di masa hadapan: kekal sebagai sebuah negara berpemerintahan beraja yang adil berdaulat, aman makmur dan bahagia, kekal kukuh dan utuh sebagai negara yang bertuhankan Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Saudara-Saudara yang berbahagia,
Sesungguhnya pemerintahan beraja yang adil berdaulat itu telahpun serasi dengan budaya Brunei yang teguh beragama dan manis beradat. Kerana itulah menurut falsafah pemerintahan beraja bagi Brunei, sebagaimana yang dimaktubkan dalam buku Adat Isti'adat DiRaja Brunei bahawa Raja (adalah) untuk rakyat dan rakyat (adalah) untuk Raja.

Maksud slogan kata-kata itu, sepertimana dihuraikan dalam buku tersebut dengan menyatakan bahawa: "Negara Brunei berdiri adalah dengan persatuan dan perpaduan hati rakyat yang telah menyerahkan kuasa diri masing-masing kepada Raja (Sultan) untuk menjadi hak negara berdasarkan Raja tidak boleh zalim dan Rakyat tidak boleh derhaka kepada Raja".

Falsafah pemerintahan beraja menurut adat Brunei sedemikian itu sangat bertepatan dengan ajaran Islam dalam perkara taatkan Allah dan Rasul-Nya Nabi Muhammad Shallallahu ?alaihi wasallam dan taatkan ulil amri (orang-orang yang berkuasa) iaitu sepertimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala, ayat 59 surah an-Nisaa' tafsirnya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah kepada (Kitab) Allah (Al-Qur'an) dan (Sunnah) Rasul-Nya, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya".

Pengajaran daripada firman Allah dalam perkara mentaati Allah dan Rasul serta mentaati ulil amri itu telah menjadi aturan adab Islam.? Sesungguhnya adab dan aturan Islam dalam menentukan hubungan orang yang berkuasa memimpin dan memerintah dengan penasihat-penasihatnya dan seterusnya dengan rakyat jelata.

Pertama sekali semua mereka yakni pemimpin-pemimpin tertinggi yang memegang amanah kuasa memerintah bersama dengan penasihat-penasihat serta rakyat dan penduduk wajib mentaati Allah Subhanahu wa Ta'ala dan mentaati Rasul-Nya Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wasallam.

Kedua wajib ke atas penasihat-penasihat serta rakyat dan penduduk mentaati pemimpin tertinggi yang memerintah iaitu ulil amri dalam berkerajaan dan bernegara.

Demikian itulah aturan dan adab Islam.? Kemudian aturan dan adab Islam itu meresap menjadi adat turun-temurun yang terpakai dalam kehidupan bangsa kita, iaitu Raja (Sultan) dan pembesar-pembesar negara serta rakyat dan penduduk bersatu hati, berpadu tenaga menegakkan Brunei menjadi negara berdaulat dengan Raja (Sultan) menjadi pelindung yang berdaulat adil dan pembesar-pembesar serta rakyat dan penduduk sentiasa menjadi pendukung yang taat. Ketaatan mereka itu tidak berbelah bahagi.

Perkara yang sedemikian itu telah sebati dalam budaya kita. Ia terbukti dengan ketara betapa kita rakyat dan penduduk kasihkan raja, menjunjung tinggi kepimpinan baginda. Kita bersyukur kepada Allah kerana melanjutkan usia baginda, mengurniakan baginda dengan rahmat sihat sejahtera dan bahagia, mentaufiqkan hasrat dan usaha baginda untuk menjadikan? Brunei tanah air kita ini kekal aman makmur dan kita sekalian hidup sentosa.

Taatkan raja atau pemerintah itu adalah sumpah setia turun-temurun bangsa kita. Ianya sama dengan bai'ah iaitu pengakuan dan janji setia yang dibuat oleh beberapa kalangan atau kabilah untuk menjadi pengikut Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wasallam pada permulaan Islam di Madinah.? Ia juga sama dengan bai'ah orang-orang Islam kepada Sayidina Abu Bakar as-Siddiq setelah beliau itu diangkat menjadi khalifah Islam dan umat Islam selepas Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wasallam wafat. Dan begitu juga dengan beberapa bai'ah selepas itu antara umat Islam dengan khalifah-khalifah mereka dan pengganti-pengganti mereka sepanjang zaman.

Adapun bai'ah itu sangat penting kedudukannya. Ianya merupakan ikatan janji setia kepada pemimpin oleh orang-orang yang dipimpin. Hukumnya apabila telah dibuat wajib dipegang dan dikekalkan. Kalau tidak dipegang dan dikekalkan akan membawa bencana perpecahan. Oleh kerana itu ada keterangan hadits Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim radhiallahu 'anhu bahawa barang siapa yang menarik tangannya daripada bertaat setia (derhaka) kepada pemimpinnya maka matinya adalah sama dengan keadaan mati orang jahiliyah.

Maka sumpah setia turun-temurun taatkan raja itu wajiblah dipegang dengan sentiasa menyuburkan serta mengukuhkannya menerusi pendidikan, menerusi asuhan, menerusi contoh tauladan dalam semua suasana dan keadaan. Ia wajib tidak sahaja menurut hukum adat bahkan wajib menurut hukum syara', turun-temurun, dari satu keturunan kepada keturunan penyambung, generasi demi generasi yang menyusul. Sekaliannya wajib berpegang teguh kepada sumpah setia itu demi kesinambungan pemerintahan beraja Islam yang adil berdaulat. Demi keamanan yang berpanjangan, yang akan membawa rahmat kesejahteraan kepada sekalian.

Saudara-saudara yang berbahagia,
Maka dalam menyambut dan merayakan Hari Keputeraan ke 64 tahun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji 'Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sekarang ini marilah kita ketarakan sumpah setia itu.

Kita ketarakannya dengan rasa gembira dan syukur sambil berdoa dan berusaha semoga Allah Subhanahu wa Ta'ala sentiasa memberi kita kesedaran dan keinsafan untuk sentiasa memperteguh kesetiaan kepada raja selaku walil amri dalam berkerajaan dan bernegara sesuai dengan ajaran Allah Subhanhau wa Ta'ala dalam firman-Nya ayat 59 surah an-Nisaa' itu.

Perayaan tahun ini kita sambut dengan mengambil kira waktunya jatuh dalam bulan Sya'aban menjelang Ramadhan. Bulan-bulan suci untuk kita meningkatkan ibadat dan zikir kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Namun demikian kita sekalian, yang khas dan yang am, rakyat dan penduduk, yang Islam dan yang bukan Islam; masih boleh memeriahkannya. Kita semua, masih boleh sama-sama merayakannya dengan meriah dalam acara-acara yang telah disusun di seluruh negara, khasnya acara Junjung Ziarah yang merupakan tanda kasih rakyat kepada raja dan kasih raja kepada rakyat di mana acara sedemikian itu telah melekat dibibir-bibir dengan sebutan Acara Bersama Rakyat.

Itulah suatu acara yang akan menjadi ristaan zaman. Acara Peristiwa Raja Bersama Rakyat.

Demikianlah. Maka dalam sempena seluruh negara menyambut dan merayakan hari keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan, kita akhiri khutbah pertama ini dengan bertabaruk, dengan mengambil berkat firman Allah Subhanahu wa Ta'ala yang mengingatkan kita kepada gaya dan corak kepimpinan baginda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam yang mana corak dan gaya kepimpinan yang merupakan rahmat Allah kepada baginda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam itu telah jelas nyata menjadi ikutan yang baik dalam kepimpinan raja yang kita taati dan kasihi.

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam suran Ali 'Imran ayat 159 tafsirnya :

"Maka dengan sebab rahmat dari Allah, engkau (wahai Nabi Muhammad) telah berlemah lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikut-pengikutmu). Dan kalaulah engkau bersikap kasar serta keras hati (terhadap mereka), tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Oleh itu, maafkanlah mereka dan pohonkanlah keampunan bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan permasalahan keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (untuk berbuat sesuatu sesudah bermesyuarat) maka bertawakallah kepada Allah (melaksanakannya). Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan