ummusya

Sabtu, 7 Ogos 2010

KEUSAHAWANAN PEMANGKIN BELIA BERDIKARI

Wahai kaum Muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya disamping kita mempertingkatkan usaha dalam mendidik anak-anak dan ahli keluarga agar menyempurnakan kewajipan masing-masing semoga dengannya kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala di dunia dan di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana negara kita sudah mencapai kemerdekaan selama 26 tahun. Dalam tempoh 26 tahun kemerdekaan ini, negara telah mencapai pembangunan yang pesat dan rakyat dapat menikmati kemakmuran. Oleh itu, sebagai rakyat adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memelihara kemakmuran yang kita kecapi sekarang dengan melahirkan golongan yang membawa kepada kebaikan dan menolak kemungkaran. Dengan yang demikian, insya Allah masa depan umat dan negara kita akan menjadi cemerlang dan selamat. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Ali 'Imran ayat 104 tafsirnya :

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan (kebaikan) dan menyuruh (berbuat) yang makruf serta melarang dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang berjaya".

Muslimin yang dirahmati Allah,
Bagi menjamin kemajuan dan kemakmuran negara kita ini berterusan, kita amat memerlukan golongan pelapis iaitu golongan belia. Belia inilah yang bakal menggantikan tempat kita. Merekalah penyambung generasi yang akan datang dan pewaris kepimpinan negara. Dari itu, para belia hendaklah mempersiapkan diri dengan membina akhlak dan menghayati nilai-nilai murni sejagat, mempunyai wawasan yang baik, mempunyai matlamat yang jelas serta mempunyai cita-cita besar demi memperjuangkan negara.

Selain itu, para belia mestilah dibimbing dan diasuh dengan melibatkan mereka kepada kegiatan-kegiatan yang positif agar mereka tahu memikul tanggungjawab masing-masing. Kegiatan-kegiatan yang positif itu mestilah menuju ke arah peringkat yang membolehkan belia berdikari sama ada mereka bekerja sendiri ataupun dengan majikan. Ini bertepatan dengan tema Hari Belia Kebangsaan pada tahun ini iaitu "Keusahawanan Pemangkin Belia Berdikari". Kita mengharapkan dengan adanya belia berdikari dan gigih berusaha, insya Allah akan lahirlah lebih ramai generasi yang aktif dan berkualiti serta mempunyai semangat untuk maju. Sesungguhnya usaha muda inilah masa yang paling sesuai bagi belia memanfaatkannya dengan sebaik-baiknya. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya :

"Dari Abni Abbas Radiaallahu Anhuma ia berkata : Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda kepada seorang lelaki dan Baginda menasihatinya : Rebutlah lima perkara sebelum kamu didatangi oleh lima perkara yang lain. Masa mudamu sebelum tuamu, masa sihatmu sebelum sakitmu, masa kayamu sebelum fakirmu, masa lapangmu sebelum kesibukanmu dan masa hidupmu sebelum matimu". (Riwayat Al-Imam Al-Hakim)

Muslimin yang berbahagia,
Dalam mendokong hasrat negara untuk melahirkan belia yang berdikari itu, para belia perlu mempunyai role model iaitu contoh terbaik sebagai ikutan mereka dan sebaik-baik contoh ialah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Al-Ahzab ayat 21 tafsirnya:

"Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu".

Sesungguhnya Rasulullah Sallalallahu Alaihi Wasallam di usia remajanya adalah seorang yang berdikari dimana Baginda pernah bekerja sebagai pengembala kambing dan begitu juga Baginda pernah diberi kepercayaan menguruskan perniagaan. Ini menunjukkan kepada kita betapa Baginda adalah seorang yang tidak bergantung kepada sesiapa bagi mendapatkan sumber pendapatan yang halal, Baginda berusaha untuk mencari rezeki, Baginda sentiasa bersikap jujur dan amanah serta sabar. Ini menunjukkan kepada kita betapa perlunya berdikari kerana nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri pernah berdikari mencari rezeki inikan pula kita.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Golongan belia merupakan generasi tamadun sesebuah masyarakat, bangsa dan negara. Merekalah harapan negara, oleh itu kita berharap agar negara kita mempunyai belia yang berkualiti dan cemerlang sehingga mampu membawa negara lebih maju dan berjaya. Ketahuilah bahawa belia yang berkualiti dan cemerlang ialah yang beriman dan bertakwa kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Selain itu mereka juga hendaklah mempunyai pengetahuan dan sentiasa meningkatkan ilmu serta mengamalkannya. Begitu juga, mereka hendaklah mempunyai kemahiran dalam apa jua bidang sama ada pertanian, pertukangan, perindustrian dan sebagainya. Dan yang paling penting berkhidmat demi agama, bangsa dan negara.

Akhirnya, sama-samalah kita berdoa semoga Allah Subhanahu Wata'ala sentiasa memberikan taufik dan hidayah-Nya kepada kita semua khususnya belia-belia negara ini agar menjadi insan yang berguna dan mampu membangun ummah dan negara dengan berlandaskan ajaran agama islam. Amin Ya Rabbal'alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Bayyinah ayat 7 tafsirnya :

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal saleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan