ummusya

Isnin, 27 Disember 2010

terubuk masin


bahan-bahan:
ikan terubuk (hilsa)
garam

cara-cara:
ikan terubuk dibelah dua, dilumur dengan garam yang banyak.
dibungkus dengan plastik. di luarnya dibungkus lagi dengan kertas suratkhabar.
simpan dalam peti sejuk atau freezer untuk beberapa hari atau beberapa minggu (sehingga masin)
apabila sudah masin, bolehlah dipotong kecil2 dan digoreng.

MERAIKAN TAHUN BARU MASIHI BUKAN BUDAYA ORANG ISLAM

MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subahanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Sudah menjadi fitrah manusia suka berhibur dengan kesenangan dunia seperti bersenang-senang dengan kemewahan, harta benda, anak pinak, bermain, makan minum dan sebagainya. Allah Subahanahu Wata'ala berfirman dalam surah Al-Imran ayat 14 tafsirnya:

"Dihiaskan (dijadikan indah) bagi manusia kecintaan kepada keinginan-keinginan nafsu iaitu menyukainya perempuan, anak pinak dan harta benda yang banyak dari emas dan perak, kuda pilihan lagi terlatih serta binatang-binatang ternakan dan tanaman-tanaman. Semuanya itu adalah kesenangan hidup di dunia. Padahal disisi Allah ada sebaik-baik tempat kembali iaitu syurga"

Akan tetapi, sebagai orang Islam kita hendaklah memahami jalan-jalan yang mesti diikuti ketika mencari hiburan. Al-Qur'an telah mengingatkan kita bahawa orang yang mengutamakan perkara-perkara yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan, yang menyesatkan dirinya dan menyesatkan orang lain akan mendapat azab yang hina, sebagaimana firman Allah Subahanahu Wata'ala dalam surah Lukman ayat 6 tafsirnya:

"Dan ada di antara manusia, orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan, yang berakibat menyesatkan dirinya dan orang ramai dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan, dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekkan, merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan"

Hiburan atau permainan yang melalaikan itu adalah antara perkara yang menjadi kesukaan orang bukan Islam. Ini digambarkan oleh firman Allah Subahanahu Wata'ala dalam surah Al-'Araf ayat 51 tafsirnya:

"Orang-orang kafir itu ialah orang-orang yang menjadikan perkara-perkara agama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya)"

Hiburan yang mereka sukai itu bukan sahaja melalaikan dan mempesonakan, bahkan lebih banyak membawa kepada perkara-perkara maksiat dan munkar yang terang-terang menentang kehendak hukum syarak. Apa yang lebih menyedihkan hiburan sedemikian turut menjadi ikutan dan sajian orang-orang Islam yang sepatutnya menolak segala unsur-unsur munkar dan maksiat itu, contohnya pesta-pesta hiburan yang diadakan seperti sempena menyambut tahun baru masihi dan sebagainya.

Tidak dinafikan bahawa tahun masihi dijadikan tarikh utama di dalam kalendar masyarakat antarabangsa. Pada setiap tahun menjelang hendak masuk tahun baru masihi, berbagai acara sambutan secara besar-besaran diadakan oleh orang bukan Islam bagi meraikan dan membesarkan hari tersebut. Tetapi akhir-akhir ini telah didapati sesetengah masyarakat Islam juga turut meraikan awal tahun baru masihi dengan sambutan sebagaimana orang bukan Islam meraikannya.

Sebenarnya menyambut awal tahun baru masihi bukanlah budaya orang-orang Islam, dan ia bukanlah salah satu dari hari-hari kebesaran Islam sebagaimana orang-orang Islam menyambut awal tahun hijrah, Hari Maulidur Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam, Isra' dan Mi'raj, puasa Ramadhan, Nuzul Al-Qur'an, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

Awal tahun baru masihi hanya perayaan yang sering diraikan oleh orang bukan Islam di negara-negara barat. Ramai orang meniru perayaan itu sehingga ia berleluasa hingga ke negara-negara lain seluruh dunia. Perayaan itu turut menyelinap masuk ke dalam masyarakat Islam samada secara mereka sendiri atau tidak, dan jika orang Islam kurang pengetahuan agama dan leka dengan penyelinapan ini, maka sudah setentunya ia akan menjadikan satu budaya yang diamalkan oleh umat Islam sampai bila-bila. Malahan jika perkara ini dilepas pandang, ia akan semakin berakhir umbi dalam masyarakat Islam.

Bermacam-macam acara sering diadakan untuk memeriahkan kedatangan tahun baru itu. Pada malam 1 Januari, pelbagai pesta dibuat seperti pesta makan minum, diiringi dengan nyanyian, tarian dan lain-lain acara sementara menanti acara kemuncak iaitu pengiraan detik tahun baru. Apabila jam sudah menunjukkan ke angka 12 tengah malam, maka kedengaranlah teriakan dan sorak surai orang ramai tanda tahun baru sudah menjelma.

Dalam pesta yang diadakan itu, sudah setentunya banyak perkara negatif berlaku, antaranya percampuran di antara lelaki dan perempuan, terdapat bentuk hiburan yang dilarang oleh Islam dan yang tidak bersesuaian dengan akhlak Islam. Perkara-perkara yang disebutkan itu sangatlah bertentangan dengan kemuliaan Islam.

Daripada penjelasan ini, nyatalah umat Islam tidak ada kaitan langsung dengan sambutan dan perayaan seumpama itu iaitu mengalu-alukan dan membesar-besarkan kedatangan awal tahun masihi tersebut. Lebih-lebih lagi jika ia bercorak keagamaan lain daripada Islam. Oleh itu, orang Islam tidak boleh turut sama membesarkan awal tahun masihi seperti orang bukan Islam membesarkannya, kerana yang demikian itu dikhuatiri akan membawa tasyabuh (penyerupaan) terhadap mereka yang bukan beragama Islam sama ada di dalam budaya, tujuan dan akidah mereka. Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam bersabda:

"Dari Ibni Umar Radiallahu Anhuma ia berkata, telah bersabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam: Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka dia dianggap salah sorang dari kalangan mereka" (Riwayat Al-Imam Abu Daud)

Muslimin yang dirahmati Allah,
Akidah adalah perkara yang sangat penting dalam agama Islam yang mesti dipelihara dan dijaga dengan sebaik-baiknya oleh semua umat Islam. Oleh itu, sebagai umat Islam kita janganlah terikut-ikut kepada perkara-perkara yang boleh merosakkan akidah kita. Kita juga hendaklah berhati-hati dan berwaspada agar tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah Subahanahu Wata'ala.

Adapun kemurkaan Allah Subahanahu Wata'ala itu boleh mendatangkan bala bencana dan mala petaka dalam berbagai bentuk seperti bala bencana yang berupa hujan, banjir, tanah susur, ribut taufan dan sebagainya.

Bala bencana yang diturunkan adalah sebagai tanda kebesaran dan kekuasaan Allah Subahanahu Wata'ala dengan tujuan sebagai ujian dan peringatan kepada hamba-hambanya khususnya yang derhaka dan ingkar terhadap perintah dan larangan Allah Subahanahu Wata'ala.

Sesungguhnya bala bencana dan mala petaka tidak semestinya ditimpakan ke atas orang yang derhaka dan berdosa, tetapi orang awam juga akan terlibat sama menerimanya jika orang awam itu tidak berusaha untuk membenteras perbuatan-perbuatan maksiat tersebut, sebagaimana yang dijelaskan oleh Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam dalam sebuah hadith maksudnya:

"Daripada Adis bin Hatim ia berkata: Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam telah bersabda: Sesungguhnya Allah tidak akan mengazab orang ramai (orang awam) dengan perbuatan orang-orang yang sedikit sehingga orang ramai tadi melihat kemunkaran dihadapan mata mereka dan mereka berkuasa untuk mencegahnya, tetapi mereka tidak mencegahnya. Sekiranya mereka berbuat demikian, maka Allah akan menurunkan azabnya kepada orang-orang yang sedikit tadi dan orang ramai (orang awam)"

Oleh yang demikian wahai kaum muslimin, sama-samalah kita muhasabah diri, menjauhi segala bentuk maksiat dan kemunkaran serta berusaha mencegahnya agar kita semua terhindar dari kemurkaan Allah Subahanahu Wata'ala.

Sebagai umat Islam kita hendaklah sentiasa ingat kepada Allah Subahanahu Wata'ala disetiap waktu dan ketika, walau di mana kita berada iaitu dengan memperbanyakkan doa dan zikir seperti membaca Al-Qur'an, bertasbih, bertahmid, bertakbir, membaca ratib Al-Attas dan sebagainya kerana Dia dan zikir itu adalah senjata orang mukmin. Sesungguhnya Allah Subahanahu Wata'ala akan memberikan keamanan dan kesejahteraan kepada mereka yang banyak berzikir (ingat) kepada-Nya.

Oleh itu, janganlah kita terikut-ikut dengan budaya orang bukan Islam dengan meraikan apa jua perayaan dalam bentuk pesta dan hiburan yang membawa kepada perkara-perkara maksiat dan munkar. Akhirnya marilah kita muhasabah diri dengan meningkatkan keimanan iaitu dengan melakukan segala perintah Allah Subahanahu Wata'ala dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan dengan demikian kita semua terhindar dan terselamat dari kemurkaan dan segala segala bala bencana. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Al-Baqarah ayat 120 tafsirnya:

"Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan redha (setuju dan suka) kepadamu (wahai Nabi Muhammad) sehingga engkau mengikut agama mereka. Katakanlah kepada mereka: "Sesungguhnya hidayah petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar". Dan sesungguhnya jika engkau mengikut kemahuan mereka setelah datangnya wahyu yang memberi pengetahuan kepadamu mengenai kebenaran, tidak lagi akan menjadi pelindung dan penolong bagimu".

Selasa, 21 Disember 2010

sandwich goreng



bahan-bahan:
roti paun bantal
kaya / jem / nutella
telur
minyak untuk menggoreng

cara-cara:
potong kerak tepi roti
sapu inti kaya/jem/nutella
roti tadi dicelup sekejap pada telur yang telah dipukul dalam mangkuk
goreng sehingga kekuningan
potong 4 atau size kesukaan sendiri

Ahad, 19 Disember 2010

tempahan kek

selamat hari puja usia buat murdinah aka DD. mudah-mudahan panjang umur murah rezeki badan sihat dan cepat diijabkabulkan. terima kasih atas tempahannya...
kek coklat super moist + topping coklat

jauhi maksiat, banteras aids

MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subahanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Sememangnya kehidupan manusia di muka bumi ini tidak akan terlepas dari menghadapi pelbagai cubaan dan dugaan daripada Allah Subahanahu Wata?ala, baik berupa kegembiraan dan kesenangan mahupun berupa musibah dan bala bencana. Di dalam Al-Qur'an ada dinyatakan bahawa bala bencana itu ada kaitannya dengan perilaku manusia, sebagaimana firman Allah Subahanahu Wata'ala dalam surah Ar-Rum ayat 41 tafsirnya:

"Telah timbul berbagai kerosakkan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia, timbulnya yang demikian kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali insaf dan bertaubat"

Adapun Allah Subahanahu Wata'ala menurunkan bala itu adalah sebagai peringatan kepada hamba-hambanya yang dikasihi supaya tidak terus leka dan lalai serta tidak terus melakukan dosa dan maksiat. Selain itu juga, bala adalah sebagai ujian bagi mempastikan sejauh mana teguhnya iman seseorang hambanya dan bala juga adalah sebagai tanda kemurkaan Allah Subahanahu Wata'ala yang ditunjukkan kepada mereka yang derhaka kepada perintahnya.

Allah Subahanahu Wata'ala menurunkan bala bencana dan ujian itu dalam pelbagai bentuk keadaan seperti gempa bumi, kemarau, ribut taufan dan tidak terkecuali wabak penyakit yang berbahaya dan menakutkan sehingga ada di antaranya yang boleh membawa maut seperti penyakit Aids.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Sebagaimana yang kita ketahui bahawa Aids adalah berpunca dari virus HIV yang menyerang sistem pertahanan tubuh badan dan boleh berjangkit melalui hubungan seks, pemindahan darah, penggunaan jarum suntikan yang tercemar seperti melalui ibu mengandung kepada anak yang dikandungnya dan melalui penyusuan badan. Penyakit ini cepat merebak adalah disebabkan oleh perbuatan buruk manusia itu sendiri seperti perbuatan zina, liwat serta pengunaan jarum suntikan yang tercemar oleh penyakit dadah.

Penyakit Aids adalah penyakit yang sangat berbahaya, oleh kerana itu kita mesti sentiasa berusaha sedaya upaya menyelamatkan negara kita dari terus dilanda wabak virus HIV. Untuk pengetahuan para jemaah, pada tahun 2009, sejumlah 11 kes tempatan HIV dan Aids yang dilaporkan dinegara ini. Dari jumlah tersebut, 6 kes diperolehi berpunca dari hubungan seks lelaki dan perempuan, 4 kes berpunca dari hubungan homoseks dan 1 kes tidak diketahui puncanya.

Sesungguhnya Allah Subahanahu Wata'ala mengharamkan dan menghalalkan sesuatu itu sebenarnya mengandungi rahsia dan hikmah disebaliknua. Juga halnya dengan pengharaman zina, kerana zina adalah perbuatan yang sangat keji dan berdosa besar.

Allah Subahanahu Wata'ala berfirman dalam surah Al-Isra ayat 32 tafsirnya:

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah perbuatan keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakkan"

Muslimin yang dirahmati Allah,
Dari ayat tersebut jelas menunjukkan bahawa Allah Subahanahu Wata'ala melarang hamba-hambanya mendekati apa jua perbuatan yang boleh mendorong berlakunya perbuatan zina.

Di antaranya berdua-duaan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, bergaul bebas tanpa sempadan, percakapan atau perbuatan yang boleh mendorong ke arah perbuatan zina. Bayangkanlah, jika perbuatan mendekati zina pun dilarang oleh Allah Subahanahu Wata'ala, maka apatah lagi perbuatan zina itu sendiri setentunya lebih dilarang.

Sebenarnya perbuatan zina banyak menimbulkan masalah kepada keluarga, masyarakat dan negara. Perbuatan zina boleh memporak-perandakan dan memecahbelahkan keluarga, merosakan kesihatan rohani dan jasmani, menghilangkan ketenangan dan mencemarkan kesucian agama Islam.

Sesungguhnya perbuatan zina merupakan penyakit sosial yang membawa kepada kejatuhan dan kehancuran umat. Maka sudah sewajarnyalah perbuatan tersebut dijauhi, disekat dan dibenteras segera dengan sikap yang tegas, kerana dikhuatiri apabila sesuatu bala itu diturunkan Allah Subahanahu Wata'ala, bukan hanya orang yang melakukan maksiat itu sahaja yang akan ditimpa bala, malah kita semua akan turut sama menerima kesannya. Oleh kerana itu kita hendaklah memelihara diri, keluarga dan umat Islam seluruhnya dari melakukan perbuatan dosa dan maksiat.


Muslimin yang dirahmati Allah,
Agama Islam telah memberi panduan kepada kita cara hidup yang benar agar hidup kita selamat di dunia dan di akhirat. Oleh itu terdapat beberapa usaha yang sepatutnya kita lakukan dalam membenteras gejala perbuatan maksiat seperti zina dan liwat agar tidak berleluasa, antaranya ialah dengan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, iaitu mentaati perintah dan hukum Allah Subahanahu Wata'ala serta menjauhi segala larangannya.

Kita juga hendaklah mengamalkan perkara amar makruf nahi munkar, iaitu menyuruh berbuat kebaikkan dan mencegah perbuatan munkar. Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai seorang muslim, ibubapa, penjaga, keluarga, guru, jiran dan sahabat untuk memberi nasihat atau menegur jika mendapati anak-anak, pelajar-pelajar, jiran, saudara atau teman yang melakukan perkara yang menyalahi hukum agama. Jangan kerana takut, malu atau segan, perkara munkar dihadapan mata tidak diendahkan. Ingatlah bahawa sikap tidak pemedulian atau tidak acuh itulah yang menjadi punca perbuatan-perbuatan munkar dan dosa terus dilakukan seperti perbuatan zina, liwat dan penyalahgunaan dadah, sehingga tanpa disedari inilah di antara punca penyakit Aids tersebar dengan lebih meluas.

Langkah yang seterusnya pula ialah dengan mengukuhkan institusi keluarga kerana kekuatan sesebuat masyarakat, negara dan umat Islam adalah bergantung kepada kemantapan institusi keluarga. Oleh itu suami isteri, ibu bapa dan keluarga adalah sama-sama bertanggungjawab untuk mewujudkan hubungan kekeluargaan dalam suasana dan persekitaran yang sihat dan menggamalkan ajaran Islam sepenuhnya, mendidik dengan pembentukan akhlak dan peribadi yang mulia, menunjukkan teladan yang baik serta memberi perhatian, pemedulian dan kasih sayang yang secukupnya.

Ketahuilah wahai kaum muslimin, bahawa didikan ajaran agama Islam serta pendedahan awal mengenai harga diri, itika dan moral adalah faktor yang akan mengawal diri dari perbuatan munkar. Memanglah tidak dapat dinafikan bahawa pengaruh persekitaran seperti media massa, wang ringgit, rakan sebaya dan sebagainya adalah sangat mencabar dan mudah meracuni akidah dan fikiran khususnya remaja dan belia.

Oleh itu, ibubapa hendaklah menjalankan tugas mereka sebagaimana yang dipertanggungjawabkan oleh Allah Subahanahu Wata'ala kepada mereka. Amanah itu hendaklah dipikul dan dilaksanakan, bukannya diambil ringan dan mudah sahaja ada ibubapa yang sanggup melawankan anak mereka walaupun perbuatan yang dilakukan itu salah sehingga anak itu merasa megah dan bangga kerana mendapat pembelaan kedua ibubapa mereka. Tindakan ibubapa sedemikian itulah yang mendorong dan menggalakkan? anak-anak mereka terus menerus melakukan gejala tidak sihat dan tidak bermaruah yang akhirnya akan mencemarkan nama baik keluarga dan keturunan mereka sendiri. Jangan dibiarkan anak-anak terlibat dengan budaya liar dan menghayalkan seperti hiburan yang melalaikan, berpakaian mendedahkan aurat dan tidak senonoh, pergaulan bebas tanpa sempadan yang boleh mendekatkan kepada perbuatan zina.

Selain daripada itu juga, ibubapa hendaklah memberi maklumat yang secukupnya serta memberi gambaran baik buruk sesuatu kelakuan dan risiko-risiko yang akan dihadapi kepada anak-anak sesuai dengan masa dan ketikanya. Kawalan dalaman yang kuat inilah yang boleh mematangkan fikiran anak-anak dan akan dapat mengawal dirinya walau di mana pun dia berada. Ingatlah bahawa anak-anak adalah suatu amanah yang semestinya dijaga dan dipelihara dengan sebaik-baiknya.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama memelihara diri, keluarga dan masyarakat kita dengan mengikuti ajaran agama Islam sepatuhnya, kerana hanya dengan jalan demikian sahajalah kita selamat dari terjerumus kelembah dosa yang akibatnya boleh mendatangkan bala dari Allah Subahanahu Wata'ala. Sama-samalah kita berdia semoga kita dan keluarga kita terhindar dari melakukan dosa dan maksiat dan negara kita selamat dari bala dan maksiat. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah At-Tahrim ayat 6 tafsirnya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari nerakan yang bahan-bahan bakarnya manusia dan batu berhala, neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar layanannya, mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkannya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan"

Jumaat, 17 Disember 2010

sambal hati buyah


bahan2:
hati buyah/daging
bawang besar
cili kisar
sos cili life/maggi
sos tiram
serbuk kari
serbuk kunyit
garam
sedikit air

cara memasak:
rebus hati buyah, lepas tu goreng, angkat. menggorengnya jangan terlalu garing. Tumis bawang besar, cili kisar, sos cili life atau maggi, sos tiram, serbuk kari, serbuk kunyit, sedikit garam dan sedikit air, gaul rata, masukkn hati buyah, gaul sebati hingga masak. Dh selesai, siap utk masuk ke mulut..

Jumaat, 10 Disember 2010

sambutan awal tahun hijrah

ummusya celebrate tahun baru hijrah di jame' 'asr hassanil bolkiah.

alhamdulillah, ruang sembahyang dipenuhi oleh para jemaah hingga keluar pintu berdekatan tangga. hingga tak muat di bahagian dalam.

ini pula buku cenderamata sempena majlis itu

selesai majlis, ummusya & abusya dinner di times square, ummusya order nasi+sotong+fish fillet+kangkung dan makanan kegemaran dim sum, kali ini order dim sum lamb ribs

HIJRAH HATI DAN JIWA

MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subahanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Hanya beberapa hari sahaja lagi kita akan meninggalkan tahun 1431 hijrah dan akan memasuki tahun 1432 hijrah. Ini bererti hijrah Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam telah berlalu 15 abad, walaubagaimanapun hijrah tersebut tetap menjadi kenangan dan ristaan hingga ke hari ini, di mana seluruh umat Islam memperingatinya. Peristiwa ini sememangnya tidak boleh dilupakan kerana hijrah Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam merupakan sejarah agung yang telah membawa perubahan kepada kehidupan umat Islam ketika itu kepada kehidupan yang bertemadun lagi sempurna.

Jika kita kaji dan selidik hijrah Rasulullah Sallahu Alahi Wasalam dan para sahabat dari Mekah ke Madinah itu, kita akan dapati hijrah tersebut telah membawa perubahan yang besar kepada kebangkitan, kemantapan dan perkembangan agama Islam, bahkan hijrah itu sebagai titik permulaan kuasa Islam berkembang dan tersebar keseluruh dunia. Oleh itu, rahsia disebalik peristiwa hijrah itu hendaklah dihayati dan dijadikan pengajaran untuk menjalani kehidupan, kerana pengajaran dan iktibar dari peristiwa hijrah itulah antara peninggalan Rasulullah Sallahu Alahi Wasalam yang amat berharga dan berguna jika dimanfaatkan. Walaupun hijrah Rasulullah Sallahu Alahi Wasalam tidak akan berlaku lagi di zaman ini tetapi mesej hijrah tetap berterusan sehingga bila-bila masa. Rasulullah Sallahu Alahi Wasalam bersabda dalam sebuah hadith:

"Dari Muawiah Radiallahu Anhu ia berkata: Aku telah mendengar Rasulullah Sallahu Alahi Wasalam bersabda: Hijrah itu tidak akan terhenti sehinggalah tertutupnya peluang taubat dan peluang taubat itu tidak akan tertutup sehinggalah matahari terbit dari tempat terbenamnya"

Dari hadith tersebut jelas menunjukkan bahawa hijrah itu akan terus wujud dalam kehidupan umat Islam. Hijrah bukan sahaja terbatas kepada pengertian berpindah dari satu tempat atau negeri ke tempat yang lain, tetapi juga boleh meliputi kepada makna berpindah dari sifat atau perbuatan yang tidak baik kepada baik, contohnya mengerjakan segala perintah Allah Subahanahu Wata'ala dan meninggalkan segala perbuatan yang ditegah dan diharamkan untuk menuju ke arah kehidupan yang lebih baik dan sempurna serta mendapat keredhaan Allah Subahanahu Wata'ala. Hijrah seperti inilah yang wajib dilakukan oleh setiap orang Islam.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Hijrah tidak akan terlaksana sepenuhnya tanpa gandingan atau disandarkan kepada iman dan jihad, tidak kira samada hijrah pada makna sebenar iaitu berpindah ataupun hijrah hati dan jiwa dari keburukan kepada kebaikan. Malahan dalam Al-Qur'an? sendiri banyak mengandingkan antara kalimah hijrah dengan iman dan jihad, sebagaimana firman Allah Subahanahu Wata'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 218 tafsirnya:

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah untuk menegakkan agama Islam, mereka inilah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan ingatlah Allah maha pengampun lagi Maha Mengasihani".

Ini jelas kepada kita bahawa dalam setiap perjuangan terdapat tiga ansur yang saling kait-mengait dan memerlukan antara satu sama lain iaitu iman, hijrah dan jihad. Tanpa keimanan yang teguh dan kecintaan seseorang hamba kepada Allah Subahanahu Wata?ala serta semangat jihad untuk berjuang dan berkorban apa sahaja, kita tidak akan dapat membuat penghijrahan iaitu melangkah ke arah kebaikan dan meninggalkan keburukan serta kemunkaran.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Hijrah hati adalah hijrah yang tidak memerlukan perpindahan dari bentuk fizikal dan kebendaan. Hijrah tersebut hanya memerlukan kemahuan, keazaman, kesungguhan dan keikhlasan dalam melaksanakannya. Walaupun hijrah hati tidak memerlukan kepada pengorbanan fizikal dan harta benda, tetapi hijrah ini sukar untuk disempurnakan.

Hati adalah punca tercetus atau bermulanya segala amalan atau perbuatan, samada baik atau buruk, berpahala atau berdosa. Hati dicipta Allah Subahanahu Wata'ala sebagai pelengkap paling utama di dalam tubuh manusia. Hati menjadi tempat jatuhnya pandangan dan nilaian Allah Subahanahu Wata'ala terhadap hambanya. Pada hati juga berlakunya amalan niat. Niat yang tulus itulah akan dinilai pahalanya oleh Allah Subahanahu Wata'ala.

Al-Imam Ghazali menegaskan bahawa hati adalah seperti raja, sedangkan anggota lain sebagai tenteranya. Semua anggota-anggota ini akan taat dan patuh terhadap perintah rajanya ini. Rasulullah Sallahu Alahi Wasalam bersabda dalam sebuah hadith:

"Dari Nukman bin Bashir berkata: Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam bersabda: Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Apabila daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota. Dan apabila daging itu rosak, maka rosaklah seluruh anggota, ketahuilah itulah hati".

Adapun hati itu bukanlah sekadar seketul daging, malah lebih jauh dari itu, hati itu melambangkan batin dan rohani seseorang yang perlu dibersihkan, dididik, digilap dan dijaga. Jika kita meneliti peranan hati di dalam pencapaian dan peningkatan rohani seseorang, ternyata hati adalah penting dalam menjadi asas kepada keimanan dan ketakwaan.

"Sesungguhnya keterangan-keterangan dan peristiwa-peristiwa yang tersebut itu, tidak syak lagi mengandungi pengajaran bagi sesiapa yang mempunyai hati yang sedar pada masa membacanya". (Surah Kof ayat 37)

Apa yang penting, kita hendaklah sedar bahawa dengan hijrahnya hati atau jiwa kita ke arah sifat yang mulia seperti sabar, amanah, suka bersedekah dan seumpamanya serta menjauhi segala perbuatan yang munkar, mampu membentuk kita ke arah kesempurnaan hidup yang suci bersih dari sikap dan perbuatan yang buruk dalam mempamerkan sikap, akhlak dan peribadi yang mulia sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam. Jelas bahawa hati memainkan peranan penting di dalam konsep kerohanian, hati boleh digilap, dibentuk, dididik dan merupakan unsur terpenting dalam nilai seseorang disisi Allah Subahanahu Wata'ala.

Akhirnya, bersempena tahun baru ini marilah kita sama-sama mehasabah diri, bertaubat dan memohon keampunan dari segala dosa-dosa yang kita lakukan selama ini. Marilah kita hadir ke masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di negara ini pada petang hari isnin malam selasa 6 Disember 2010 bagi sama-sama membaca doa akhir tahun 1431 Hijrah dan membaca doa awal tahun 1432 Hijrah dengan harapan mudah-mudahan kita semua akan mendapat petunjuk dan rahmat daripada Allah Subahanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbal Alamin.

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya disisi Allah dan mereka itulah orang-orang yang berjaya" (Surah At-Taubah ayat 20)

Ahad, 5 Disember 2010

entry yang tertunda

ini adalah antara aktiviti bulan ramadan yang tak sempat diupload.
hampir2 nak raya, ummusya dapat seorang pembantu untuk menggulung popia kecil.

tetapi..... lepas gulung, goreng, malam tu juga habis dimakan. eh, eh, eh, ingatkan untuk raya.... menggulung beberapa jam, makan hanya beberapa minit.

dua tiga hari lagi nak raya, ummusya didatangi 2 orang anak dara (anak buah) yang hendak belajar buat kek.



antara hasil kek yang kami buat
kek tapak kuda, kek roll nutella, kek roll coklat



minggu pertama ramadan yang lalu, adalah harijadi yang pertama puteri tunggal. ummusya buat kek harijadinya lain dari kek harijadi yang biasa, kek tapak kuda dan kek roll nutella dipotong dan disusun kemudian ditulis.

okey, di sini ummusya kongsikan resipi kek yang sungguh digemari di seluruh Brunei

KEK TAPAK KUDA

Bahan2:

10 biji kuning telur, ambil 5 putih telur
225 gm gula caster
110 gm tepung gandum
½ sudu makan baking powder
1 sudu makan ovelet
10 gm tepung susu
½ sudu makan esen vanilla
1 sudu makan chocolate emulco
135 gm mentega cair

Cara2:

Pukul gula dan telur hingga kembang kemudian masukkan ovelet dan pukul lagi. Tepung gandum, tepung susu dan baking powder diayak bersama lalu masukkan ke adunan telur dan kacau rata. Akhir sekali masukkan mentega cair dan gaul rata.

Adunan dibahagi 2 bahagian. Satu bahagian dibubuh chocolate emulco. Masukkan 10 sudu makan penuh adunan ke dalam takir dan bakar selama 5 minit dengan kepanasan oven 180 darjah celcius.

Lapis lagi dengan adunan kedua sebanyak 10 sudu makan penuh. Bakar selama 10 minit.

Kek yang sudah masak dibelah dua dan sapukan coklat nutella di tengah2nya dan dilipat dua.

selamat mencuba...

Jumaat, 3 Disember 2010

air kausar

bagi menunaikan janji, ummusya kongsikan di sini resipi air kausar. resipi air kausar ada macam-macam versi. ummusya ubahsuai menjadi paling mudah.


Bahan-bahan:
2 cawan gula
3 cawan air panas
1 tin susu cair
6 – 8 cawan air masak
1 sudu makan perisa pandan
1 sudu makan esen vanila
biji selasih secukupnya

Cara membuatnya:
1. Campurkan gula dan air panas sehingga gula larut.
2. Untuk Biji Selasih – direndam didalam air panas sehingga ia kembang dan toskan. Ketepikan.
3. campurkan susu cair dan sirap gula yang telah disediakan. Masukkan air masak, perisa pandan dan esen vanila. Dikacau rata.
5. Akhir sekali masukkan biji selasih, dan sejukkan dalam peti ais.