ummusya

Ahad, 19 Disember 2010

jauhi maksiat, banteras aids

MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subahanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Sememangnya kehidupan manusia di muka bumi ini tidak akan terlepas dari menghadapi pelbagai cubaan dan dugaan daripada Allah Subahanahu Wata?ala, baik berupa kegembiraan dan kesenangan mahupun berupa musibah dan bala bencana. Di dalam Al-Qur'an ada dinyatakan bahawa bala bencana itu ada kaitannya dengan perilaku manusia, sebagaimana firman Allah Subahanahu Wata'ala dalam surah Ar-Rum ayat 41 tafsirnya:

"Telah timbul berbagai kerosakkan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia, timbulnya yang demikian kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali insaf dan bertaubat"

Adapun Allah Subahanahu Wata'ala menurunkan bala itu adalah sebagai peringatan kepada hamba-hambanya yang dikasihi supaya tidak terus leka dan lalai serta tidak terus melakukan dosa dan maksiat. Selain itu juga, bala adalah sebagai ujian bagi mempastikan sejauh mana teguhnya iman seseorang hambanya dan bala juga adalah sebagai tanda kemurkaan Allah Subahanahu Wata'ala yang ditunjukkan kepada mereka yang derhaka kepada perintahnya.

Allah Subahanahu Wata'ala menurunkan bala bencana dan ujian itu dalam pelbagai bentuk keadaan seperti gempa bumi, kemarau, ribut taufan dan tidak terkecuali wabak penyakit yang berbahaya dan menakutkan sehingga ada di antaranya yang boleh membawa maut seperti penyakit Aids.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Sebagaimana yang kita ketahui bahawa Aids adalah berpunca dari virus HIV yang menyerang sistem pertahanan tubuh badan dan boleh berjangkit melalui hubungan seks, pemindahan darah, penggunaan jarum suntikan yang tercemar seperti melalui ibu mengandung kepada anak yang dikandungnya dan melalui penyusuan badan. Penyakit ini cepat merebak adalah disebabkan oleh perbuatan buruk manusia itu sendiri seperti perbuatan zina, liwat serta pengunaan jarum suntikan yang tercemar oleh penyakit dadah.

Penyakit Aids adalah penyakit yang sangat berbahaya, oleh kerana itu kita mesti sentiasa berusaha sedaya upaya menyelamatkan negara kita dari terus dilanda wabak virus HIV. Untuk pengetahuan para jemaah, pada tahun 2009, sejumlah 11 kes tempatan HIV dan Aids yang dilaporkan dinegara ini. Dari jumlah tersebut, 6 kes diperolehi berpunca dari hubungan seks lelaki dan perempuan, 4 kes berpunca dari hubungan homoseks dan 1 kes tidak diketahui puncanya.

Sesungguhnya Allah Subahanahu Wata'ala mengharamkan dan menghalalkan sesuatu itu sebenarnya mengandungi rahsia dan hikmah disebaliknua. Juga halnya dengan pengharaman zina, kerana zina adalah perbuatan yang sangat keji dan berdosa besar.

Allah Subahanahu Wata'ala berfirman dalam surah Al-Isra ayat 32 tafsirnya:

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah perbuatan keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakkan"

Muslimin yang dirahmati Allah,
Dari ayat tersebut jelas menunjukkan bahawa Allah Subahanahu Wata'ala melarang hamba-hambanya mendekati apa jua perbuatan yang boleh mendorong berlakunya perbuatan zina.

Di antaranya berdua-duaan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, bergaul bebas tanpa sempadan, percakapan atau perbuatan yang boleh mendorong ke arah perbuatan zina. Bayangkanlah, jika perbuatan mendekati zina pun dilarang oleh Allah Subahanahu Wata'ala, maka apatah lagi perbuatan zina itu sendiri setentunya lebih dilarang.

Sebenarnya perbuatan zina banyak menimbulkan masalah kepada keluarga, masyarakat dan negara. Perbuatan zina boleh memporak-perandakan dan memecahbelahkan keluarga, merosakan kesihatan rohani dan jasmani, menghilangkan ketenangan dan mencemarkan kesucian agama Islam.

Sesungguhnya perbuatan zina merupakan penyakit sosial yang membawa kepada kejatuhan dan kehancuran umat. Maka sudah sewajarnyalah perbuatan tersebut dijauhi, disekat dan dibenteras segera dengan sikap yang tegas, kerana dikhuatiri apabila sesuatu bala itu diturunkan Allah Subahanahu Wata'ala, bukan hanya orang yang melakukan maksiat itu sahaja yang akan ditimpa bala, malah kita semua akan turut sama menerima kesannya. Oleh kerana itu kita hendaklah memelihara diri, keluarga dan umat Islam seluruhnya dari melakukan perbuatan dosa dan maksiat.


Muslimin yang dirahmati Allah,
Agama Islam telah memberi panduan kepada kita cara hidup yang benar agar hidup kita selamat di dunia dan di akhirat. Oleh itu terdapat beberapa usaha yang sepatutnya kita lakukan dalam membenteras gejala perbuatan maksiat seperti zina dan liwat agar tidak berleluasa, antaranya ialah dengan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, iaitu mentaati perintah dan hukum Allah Subahanahu Wata'ala serta menjauhi segala larangannya.

Kita juga hendaklah mengamalkan perkara amar makruf nahi munkar, iaitu menyuruh berbuat kebaikkan dan mencegah perbuatan munkar. Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai seorang muslim, ibubapa, penjaga, keluarga, guru, jiran dan sahabat untuk memberi nasihat atau menegur jika mendapati anak-anak, pelajar-pelajar, jiran, saudara atau teman yang melakukan perkara yang menyalahi hukum agama. Jangan kerana takut, malu atau segan, perkara munkar dihadapan mata tidak diendahkan. Ingatlah bahawa sikap tidak pemedulian atau tidak acuh itulah yang menjadi punca perbuatan-perbuatan munkar dan dosa terus dilakukan seperti perbuatan zina, liwat dan penyalahgunaan dadah, sehingga tanpa disedari inilah di antara punca penyakit Aids tersebar dengan lebih meluas.

Langkah yang seterusnya pula ialah dengan mengukuhkan institusi keluarga kerana kekuatan sesebuat masyarakat, negara dan umat Islam adalah bergantung kepada kemantapan institusi keluarga. Oleh itu suami isteri, ibu bapa dan keluarga adalah sama-sama bertanggungjawab untuk mewujudkan hubungan kekeluargaan dalam suasana dan persekitaran yang sihat dan menggamalkan ajaran Islam sepenuhnya, mendidik dengan pembentukan akhlak dan peribadi yang mulia, menunjukkan teladan yang baik serta memberi perhatian, pemedulian dan kasih sayang yang secukupnya.

Ketahuilah wahai kaum muslimin, bahawa didikan ajaran agama Islam serta pendedahan awal mengenai harga diri, itika dan moral adalah faktor yang akan mengawal diri dari perbuatan munkar. Memanglah tidak dapat dinafikan bahawa pengaruh persekitaran seperti media massa, wang ringgit, rakan sebaya dan sebagainya adalah sangat mencabar dan mudah meracuni akidah dan fikiran khususnya remaja dan belia.

Oleh itu, ibubapa hendaklah menjalankan tugas mereka sebagaimana yang dipertanggungjawabkan oleh Allah Subahanahu Wata'ala kepada mereka. Amanah itu hendaklah dipikul dan dilaksanakan, bukannya diambil ringan dan mudah sahaja ada ibubapa yang sanggup melawankan anak mereka walaupun perbuatan yang dilakukan itu salah sehingga anak itu merasa megah dan bangga kerana mendapat pembelaan kedua ibubapa mereka. Tindakan ibubapa sedemikian itulah yang mendorong dan menggalakkan? anak-anak mereka terus menerus melakukan gejala tidak sihat dan tidak bermaruah yang akhirnya akan mencemarkan nama baik keluarga dan keturunan mereka sendiri. Jangan dibiarkan anak-anak terlibat dengan budaya liar dan menghayalkan seperti hiburan yang melalaikan, berpakaian mendedahkan aurat dan tidak senonoh, pergaulan bebas tanpa sempadan yang boleh mendekatkan kepada perbuatan zina.

Selain daripada itu juga, ibubapa hendaklah memberi maklumat yang secukupnya serta memberi gambaran baik buruk sesuatu kelakuan dan risiko-risiko yang akan dihadapi kepada anak-anak sesuai dengan masa dan ketikanya. Kawalan dalaman yang kuat inilah yang boleh mematangkan fikiran anak-anak dan akan dapat mengawal dirinya walau di mana pun dia berada. Ingatlah bahawa anak-anak adalah suatu amanah yang semestinya dijaga dan dipelihara dengan sebaik-baiknya.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama memelihara diri, keluarga dan masyarakat kita dengan mengikuti ajaran agama Islam sepatuhnya, kerana hanya dengan jalan demikian sahajalah kita selamat dari terjerumus kelembah dosa yang akibatnya boleh mendatangkan bala dari Allah Subahanahu Wata'ala. Sama-samalah kita berdia semoga kita dan keluarga kita terhindar dari melakukan dosa dan maksiat dan negara kita selamat dari bala dan maksiat. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah At-Tahrim ayat 6 tafsirnya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari nerakan yang bahan-bahan bakarnya manusia dan batu berhala, neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar layanannya, mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkannya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan