ummusya

Jumaat, 10 Disember 2010

HIJRAH HATI DAN JIWA

MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subahanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Hanya beberapa hari sahaja lagi kita akan meninggalkan tahun 1431 hijrah dan akan memasuki tahun 1432 hijrah. Ini bererti hijrah Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam telah berlalu 15 abad, walaubagaimanapun hijrah tersebut tetap menjadi kenangan dan ristaan hingga ke hari ini, di mana seluruh umat Islam memperingatinya. Peristiwa ini sememangnya tidak boleh dilupakan kerana hijrah Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam merupakan sejarah agung yang telah membawa perubahan kepada kehidupan umat Islam ketika itu kepada kehidupan yang bertemadun lagi sempurna.

Jika kita kaji dan selidik hijrah Rasulullah Sallahu Alahi Wasalam dan para sahabat dari Mekah ke Madinah itu, kita akan dapati hijrah tersebut telah membawa perubahan yang besar kepada kebangkitan, kemantapan dan perkembangan agama Islam, bahkan hijrah itu sebagai titik permulaan kuasa Islam berkembang dan tersebar keseluruh dunia. Oleh itu, rahsia disebalik peristiwa hijrah itu hendaklah dihayati dan dijadikan pengajaran untuk menjalani kehidupan, kerana pengajaran dan iktibar dari peristiwa hijrah itulah antara peninggalan Rasulullah Sallahu Alahi Wasalam yang amat berharga dan berguna jika dimanfaatkan. Walaupun hijrah Rasulullah Sallahu Alahi Wasalam tidak akan berlaku lagi di zaman ini tetapi mesej hijrah tetap berterusan sehingga bila-bila masa. Rasulullah Sallahu Alahi Wasalam bersabda dalam sebuah hadith:

"Dari Muawiah Radiallahu Anhu ia berkata: Aku telah mendengar Rasulullah Sallahu Alahi Wasalam bersabda: Hijrah itu tidak akan terhenti sehinggalah tertutupnya peluang taubat dan peluang taubat itu tidak akan tertutup sehinggalah matahari terbit dari tempat terbenamnya"

Dari hadith tersebut jelas menunjukkan bahawa hijrah itu akan terus wujud dalam kehidupan umat Islam. Hijrah bukan sahaja terbatas kepada pengertian berpindah dari satu tempat atau negeri ke tempat yang lain, tetapi juga boleh meliputi kepada makna berpindah dari sifat atau perbuatan yang tidak baik kepada baik, contohnya mengerjakan segala perintah Allah Subahanahu Wata'ala dan meninggalkan segala perbuatan yang ditegah dan diharamkan untuk menuju ke arah kehidupan yang lebih baik dan sempurna serta mendapat keredhaan Allah Subahanahu Wata'ala. Hijrah seperti inilah yang wajib dilakukan oleh setiap orang Islam.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Hijrah tidak akan terlaksana sepenuhnya tanpa gandingan atau disandarkan kepada iman dan jihad, tidak kira samada hijrah pada makna sebenar iaitu berpindah ataupun hijrah hati dan jiwa dari keburukan kepada kebaikan. Malahan dalam Al-Qur'an? sendiri banyak mengandingkan antara kalimah hijrah dengan iman dan jihad, sebagaimana firman Allah Subahanahu Wata'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 218 tafsirnya:

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah untuk menegakkan agama Islam, mereka inilah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan ingatlah Allah maha pengampun lagi Maha Mengasihani".

Ini jelas kepada kita bahawa dalam setiap perjuangan terdapat tiga ansur yang saling kait-mengait dan memerlukan antara satu sama lain iaitu iman, hijrah dan jihad. Tanpa keimanan yang teguh dan kecintaan seseorang hamba kepada Allah Subahanahu Wata?ala serta semangat jihad untuk berjuang dan berkorban apa sahaja, kita tidak akan dapat membuat penghijrahan iaitu melangkah ke arah kebaikan dan meninggalkan keburukan serta kemunkaran.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Hijrah hati adalah hijrah yang tidak memerlukan perpindahan dari bentuk fizikal dan kebendaan. Hijrah tersebut hanya memerlukan kemahuan, keazaman, kesungguhan dan keikhlasan dalam melaksanakannya. Walaupun hijrah hati tidak memerlukan kepada pengorbanan fizikal dan harta benda, tetapi hijrah ini sukar untuk disempurnakan.

Hati adalah punca tercetus atau bermulanya segala amalan atau perbuatan, samada baik atau buruk, berpahala atau berdosa. Hati dicipta Allah Subahanahu Wata'ala sebagai pelengkap paling utama di dalam tubuh manusia. Hati menjadi tempat jatuhnya pandangan dan nilaian Allah Subahanahu Wata'ala terhadap hambanya. Pada hati juga berlakunya amalan niat. Niat yang tulus itulah akan dinilai pahalanya oleh Allah Subahanahu Wata'ala.

Al-Imam Ghazali menegaskan bahawa hati adalah seperti raja, sedangkan anggota lain sebagai tenteranya. Semua anggota-anggota ini akan taat dan patuh terhadap perintah rajanya ini. Rasulullah Sallahu Alahi Wasalam bersabda dalam sebuah hadith:

"Dari Nukman bin Bashir berkata: Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam bersabda: Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Apabila daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota. Dan apabila daging itu rosak, maka rosaklah seluruh anggota, ketahuilah itulah hati".

Adapun hati itu bukanlah sekadar seketul daging, malah lebih jauh dari itu, hati itu melambangkan batin dan rohani seseorang yang perlu dibersihkan, dididik, digilap dan dijaga. Jika kita meneliti peranan hati di dalam pencapaian dan peningkatan rohani seseorang, ternyata hati adalah penting dalam menjadi asas kepada keimanan dan ketakwaan.

"Sesungguhnya keterangan-keterangan dan peristiwa-peristiwa yang tersebut itu, tidak syak lagi mengandungi pengajaran bagi sesiapa yang mempunyai hati yang sedar pada masa membacanya". (Surah Kof ayat 37)

Apa yang penting, kita hendaklah sedar bahawa dengan hijrahnya hati atau jiwa kita ke arah sifat yang mulia seperti sabar, amanah, suka bersedekah dan seumpamanya serta menjauhi segala perbuatan yang munkar, mampu membentuk kita ke arah kesempurnaan hidup yang suci bersih dari sikap dan perbuatan yang buruk dalam mempamerkan sikap, akhlak dan peribadi yang mulia sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam. Jelas bahawa hati memainkan peranan penting di dalam konsep kerohanian, hati boleh digilap, dibentuk, dididik dan merupakan unsur terpenting dalam nilai seseorang disisi Allah Subahanahu Wata'ala.

Akhirnya, bersempena tahun baru ini marilah kita sama-sama mehasabah diri, bertaubat dan memohon keampunan dari segala dosa-dosa yang kita lakukan selama ini. Marilah kita hadir ke masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di negara ini pada petang hari isnin malam selasa 6 Disember 2010 bagi sama-sama membaca doa akhir tahun 1431 Hijrah dan membaca doa awal tahun 1432 Hijrah dengan harapan mudah-mudahan kita semua akan mendapat petunjuk dan rahmat daripada Allah Subahanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbal Alamin.

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya disisi Allah dan mereka itulah orang-orang yang berjaya" (Surah At-Taubah ayat 20)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan