Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH
kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan
penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhanNya, dan
meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang
bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.
Alhmdulilah,
pada tahun ini negara kita telah mencapai kemerdekaan selama 29 tahun.
Selaku rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam, kita hendaklah
memiliki semangat patriotisma. Patriotisma adalah perasaan cinta yang
kuat terhadap tanah air. Seseorang yang memiliki semangat patriotisma
sebenarnya mendukung nilai-nilai kesetiaan bagi mempertahankan dan
memelihara suatu hak yang dipunyai dan yang dimilikinya, dan
termasuklah hak keatas tanah air yang diwarisinya.
Bagi
memperteguhkan negara sememangnya berkehendak kepada berbagai-bagai
sumbangan dari berbagai-bagai sudut dan jurusan, umpamanya taat kepada
perintah Allah Subhanahu Wataala dan RasulNya, bertaqwa, berusaha
mengekalkan keamanan dan kemakmuran negara serta keharmonian hidup
bermasyarakat, mempertahankan dan memelihara hak kepunyaan,
meningkatkan ekonomi, bijaksana dalam perundingan dan diplomasi,
berilmu dan berkemahiran, menerima takdir Allah dengan tidak
mengurangkan keteguhan akidah, amanah dalam menjalankan tanggungjawab
dan sebagainya.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Patriotisma
juga dapat diertikan suatu nilai kesetiaan bagi mempertahankan dan
memelihara sesuatu hak kepunyaan. Antara contohnya sebagaimana yang
diceritakan dalam sirah, apabila tentera yang diketuai oleh Abrahah
dari negeri Yaman berhasrat ingin meruntuhkan kaabah, sebagaimana
firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Fiil ayat 1-5, tafsirnya:
"Tidakkah
engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan
tentera yang dipimpin oleh pembawa gajah, yang hendak meruntuhkan
kaabah? Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam
keadaan yang merugi dan memusnahkan mereka? Dan Ia telah menghantarkan
kepada mereka rombongan burung berpasuk-pasuk yang melontar mereka
dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras. Lalu ia
menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan
ulat".
Dalam
kisah tersebut, tentera yang diketuai oleh Abrahah telah merampas
ternakan penduduk Mekah, sebelum mereka bergerak untuk melakukan kerja
meruntuhkan kaabah itu, Abrahah telah memanggil ketua-ketua Quraish dan
berkata: "Kami datang bukan untuk berperang, tetapi datang untuk
meruntuhkan kaabah". Ketua kaum Quraish, Abdul Mutalib, iaitu datok
kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab, "Kami tidak
mahu berperang".
Sebenarnya
mereka tidak berdaya untuk melawan dan menentang tentera Abrahah yang
gagah dan mempunyai kekuatan yang hebat. Abdul Mutalib berkata lagi:
"Tuan-tuan telah merampas harta benda penduduk Mekah termasuk dua ratus
ekor unta kepunyaan saya, binatang itu kepunyaan saya. "Abrahah yang
sebelumnya cukup memuliakan dan menghormati Abdul Mutalib menjadi
hairan kenapa orang ini tidak mempertahankan kaabah, tetapi sebaliknya
meminta dikembalikan dua ratus ekor untanya yang dirampas. Kemudian
Abdul Mutalib berkata: "Unta itu hak saya, kepunyaan saya, jadi saya
bertanggungjawab mempertahankannya. Adapun kaabah itu ada pemiliknya,
pemilik itulah yang akan mempertahankannya, tanpa perlu kami masuk
campur".
Dari
kisah tersebut, kita dapat melihat semangat patriotisma yang
ditunjukkan oleh Abdul Mutalib dalam mempertahankan hartanya.
Sesungguhnya tanahair adalah harta yang amat bernilai. Negara Brunei
Darussalam adalah kepunyaan kita, milik kita dan adalah menjadi
kewajipan kita untuk mempertahankan dan memeliharanya.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Sewaktu pemahsyuran kemerdekaan negara kita pada malam 1 Januari 1984, suara takbir "Allahu Akbar"
sebanyak tiga kali telah dikumandangkan dibawah pimpinan Al-Marhum Duli
Yang Teramat Mulia Paduka Seri Begawan Sultan Sir Muda Haji Omar Ali
Saifuddien Saadul Khairi Waddien. Kalimah takbir tersebut bermaksud "Allah Yang Maha Besar" dengan segala sifatnya ayng sempurna. Sesungguhnya takbir "Allahu Akbar"
yang dilaungkan tiga kali dimalam kemerdekaan yang bersejarah itu
mempunyai contoh sandaran sejarah yang dilalui oleh Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasallam.
Kalimah takbir "Allahu Akbar"
pernah dikumandangkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam
sebanyak tiga kali iaitu semasa umat Islam menggali parit yang
kira-kira lebarnya sehingga kuda tidak boleh menyeberang ketika membuat
persediaan menghadapi perang Khandak. Strategi perang ini diusulkan
oleh Salman Al-Farisi, sahabat yang berasal dari Parsi (Iran),
berdasarkan pengalaman negara Parsi dalam peperangan. Para sahabat
menjumpai seketul batu besar yang pejal, mereka tidak berdaya
memecahkannya. Perkara itu disampaikan kepada Rasulullah Sallallahu
Alaihi Wasallam, lalu baginda mencapai cangkul dan turun ketempat
berkenaan. Baginda mengucapkan : "Bismillah" dan kemudian mengcangkul batu tersebut, sesudah itu baginda melaungkan takbir "Allahu Akbar".
Sebahagian batu itu pecah berkeping-keping menjadi pasir. Baginda
menyatakan bahawa Allah telah memberikan kepada baginda kunci-kunci
Syam, dan baginda telah diperlihatkan istana-istana Syam yang bercat
merah. Baginda mencangkul kali kedua, sesudah itu baginda melaungkan
takbir "Allahu Akbar", kemudian baginda menyatakan
bahawa Allah memberikan kepada baginda tanah Parsi, dan baginda telah
diperlihatkan istana Madain yang bercat putih. Baginda mencangkul kali
ketiga, kemudian diikuti dengan takbir "Allahu Akbar",
maka habis hancurlah batu tersebut. Kemudian baginda menyatakan bahawa
Allah Memberikan kepada baginda kunci-kunci Yaman, dan baginda telah
diperlihatkan pintu-pintu gerbang Sona'.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Di
negara kita banyak contoh patriotisma yang tercatat dalam sejarah
Brunei. Antaranya ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri
Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang
berjaya mengembalikan kedaulatan Negara Brunei Darussalam sepenuhnya
sehingga Negara Brunei Darussalam menikmati kemerdekaannya pada 1
Januari 1984 dengan mendukung falsafah "Melayu Islam Beraja".
Maka
sebagai menunjukkan semangat patriotisma, marilah kita mengibarkan
bendera sebagai tanda membesarkan dan memeriahkan sambutan Hari
Kebangsaan yang ke-29 tahun ini.
Bendera
merupakan lambang dan simbol negara, maka sebagai rakyat seharusnya
menghormati bendera kita sebagai salah satu tanda cinta kita kepada
negara. Contohnya pada setiap kali sambutan Hari Kebangsaan, maka akan
diadakan upacara menaikkan bendera besar di Bandar Seri Begawan, begitu
juga disekolah-sekolah diadakan upacara menaikkan bendera bagi membakar
semangat patriotik dan semangat kenegeraan.
Pelu
diingatkan kepada orang awam agar bendera yang dikibarkan itu hendaklah
dijaga kesempurnaannya, jangan sampai bendera tersebut ada yang koyak
dan pudar warnanya. Janganlah camah mata jika ternampak bendera negara
yang tercicir, bendera tersebut hendaklah diselamatkan, jangan
dibiarkan martabat bendera itu tercemar.
Muslimin yang diramati Allah,
Mudah-mudahan
dalam masa menyambut dan merayakan Hari Kebangsaan tahun ini dan
tahun-tahun berikutnya akan sentiasa bersemangat untuk mengisi dan
menyempurnakan sambutan kemerdekaan itu dengan bijak. Kemerdekaan yang
telah dicapai ini hendaklah dinikmati dengan penuh kesyukuran dan
diwariskan dengan tetap utuh sebagaimana ia dimahsyurkan bahawa ia akan
selamanya kekal sebagai negara Melayu Islam Beraja yang merdeka,
berdaulat dan demokratik dengan berdendikan ajaran agama Islam menurut
Ahli Sunnah Wal-Jamaah.
Sama-samalah
kita berdoa semoga Allah Subhanahu Wataala sentiasa melindungi negara
kita dari sebarang bala bencana melimpahkan serta mengurniakan rahmat
dan kemakmuran yang berkekalan kepada negara yang kita cintai ini. Amin
Yarrabal Alamin.
Surah Al-Ahzab ayat 41-43, tafsirnya:
"Wahai
orang-orang yang beriman, untuk bersyukur kepada Allah ingatlah serta
sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sambutan yang
sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kamu kepadanya pada waktu pagi dan
petang. Dialah yang memberi rahmat kepada kamu dan malaikatNya pula
berdoa bagi kamu untuk mengeluarkan kamu dari gelap-gelita (kufur dan
maksiat) kepada cahaya yang terang benderang (iman dan taat) dan adalah
ia sentiasa melimpah-limpah rahmatnya kepada orang-orang yang beriman
di dunia dan di akhirat".