ummusya

Sabtu, 23 Jun 2012

HAPPY BIRTHDAY TO ME



SYUKRAN jazilan ya abusya wa 5 sya.

Rabu, 13 Jun 2012

ayam goreng katok



Bahan-bahan;
Ayam
Serbuk kari
Serbuk kunyit
Garam
Sedikit air
Tepung gandum/serbaguna
Minyak masak

Cara-cara;
Satukan serbuk kari, kunyit, garam dan sedikit air dlm mangkuk, masukkan ayam, gaul rata.
Panaskan minyak dlm kuali.
Sebelum menggoreng ayam, golekkan ayam ke dlm tepung

Ahad, 10 Jun 2012

SOTONG 5 RASA


Bahan-bahan:
bawang merah
bawang putih
bawang bombay
halia
sos tiram
sos cili
sos tomato
serbuk kari
serbuk kunyit
sotong segar
sedikit garam
minyak masak
(semuanya main agak-agak, secukup rasa, tidak ada sukatan)

cara-cara:
tumis bawang merah, bawang putih, bawang bombay dan halia.
masukkan sos tiram, sos cili, sos tomato, serbuk kari dan serbuk kunyit, gaul sekejap.
masukkan sotong, gaul dan biar hingga masak.
setelah 10 minit selepas api ditutup, masukkan sedikit garam.

Khamis, 7 Jun 2012

HIKMAH PERKAHWINAN

Muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita sama-sama meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah Subhanahu Wata'ala, dengan melakukan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita tergolong dikalangan hamba-hambanya yang sentiasa melaksanakan amal makruf dan nahi mungkar dan mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wataala di dunia dan di akhirat.

Muslimin yang berbahagia,
Sudah menjadi lumrah alam, setiap makhluk yang dijadikan Allah Subhanahu Wata'ala itu berpasang-pasangan, begitu juga manusia ada lelaki dan perempuan. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Yas ayat 32, tafsirnya:
"Maha suci Allah yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan, samada dari yang ditumbuhkan oleh bumi atau dari diri mereka ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya"

Namun begitu setiap perhubungan diantara pasangan tersebut masih ada batasan sehinggalah pasangan tersebut bernikah. Pernikahan atau perkahwinan adalah salah satu sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam, sebagaimana hadis baginda yang bermaksud:
"Dari Aisyah Radiallahu Anha ia berkata: Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Perkahwinan itu adalah sunnahku, siapa yang tidak suka mengikut sunnahku maka bukanlah dia dari golongan umatku". (Riwayat Al Imam Ibnu Majah)

Adapun yang dimaksudkan perkahwinan atau pernikahan itu ialah suatu akad (Ijab dan Kabul) bagi menyatukan lelaki dan perempuan dalam satu ikatan untuk mengharuskan dan menghalalkan pergaulan dan persetubuhan menurut syarat-syarat yang ditentukan oleh syarak sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah An-Nisa ayat 1, tafsirnya:
"Wahai manusia! Bertaqwalah kepada tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu (Adam Alaihi Salam), Dia (Allah Subhanahu Wataala) menciptakan dirinya pasangannya (Hawa), Dia (Allah Subhanahu Wata'ala) mengembang biakkan dari keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan namanya kamu saling minta serta peliharalah hubungan silaturrahim kaum kerabat. Sesunggunya Allah adalah Maha Mengasihi memerhati kamu".

Muslimin yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya perkahwinan itu mempunyai banyak hikmah, di antaranya:

Pertama: Untuk mengekalkan dan meneruskan zuriat manusia dimuka bumi ini dan seterusnya meramaikan manusia, kerana baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam akan berbangga dengan umat baginda yang ramai diakhirat nanti.

Kedua: Untuk menjaga kehormatan diri kerana perkahwinan ini boleh melembutkan pandangan dan menjaga kehormatan.

Ketiga: Bertujuan untuk hidup bahagia dan aman damai, berkasih sayang dan cinta mencintai. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Ar-Rum ayat 21, tafsirnya:
"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmatnya, bahawa ia menciptakan untuk kamu wahai kaum lelaki, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri. Supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu suami isteri perasaan kasih sayang dan balas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan yang menimbulkan kesedaran bagi orang-orang yang berfikir".

Keempat: Untuk menambah dan meluaskan kaum kerabat serta mengeratkan hubungan silaturrahim.

Kelima: Untuk menghindarkan seseorang dari melakukan maksiat.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Alhamdulilah, pada masa ini masyarakat kita telah ramai yang melangsungkan pernikahan di masjid sebagaimana yang digalakkan oleh agama islam. Perkara ini adalah suatu amalan yang baik dan terpuji kerana kita telah menjadikan rumah Allah bukan sahaja untuk beribadat semata-mata bahkan kita telah memakmurkan masjid dan merebut fadhilat-fadhilat yang ada di dalamnya. Akan tetapi perlu diambil perhatian semasa majlis akad nikah diadakan dimasjid, pasangan pengantin dan para ahli keluarga, hendaklah sentiasa menjaga adab-adab dan etika ketika berada dimasjid. Mereka hendaklah dalam keadaan menutup aurat, iaitu memakai pakaian yang elok dan bersesuaian seperti tidak ketat dan tidak memakai baju yang memaparkan gambar-gambar yang tidak sesuai. Dan jika bakal pengantin perempuan atau mana-mana perempuan yang hadir dalam keadaan haid maka mereka janganlah berada di masjid kerana perempuan yang haid adalah haram hukumnya memasuki masjid. Manakala bagi mereka yang hadir di majlis tersebut eloklah menunaikan sembahyang Sunat Tahyatul Masjid dan berniat iktikaf.

Di dalam majlis tersebut juga para jemputan yang hadir hendaklah duduk secara berasingan di antara lelaki dan perempuan. Apabila khutbah nikah dan doa dibacakan, para hadirin hendaklah diam dan memberi perhatian dan tumpuan. Satu perkara yang perlu diambil perhatian juga ialah para hadirin dan hadirat hendaklah jangan membuat bising ketika berada di masjid. Para ibu bapa dan penjaga hendaklah memastikan supaya kanak-kanak tidak berlari-lari dan bekejar-kejaran.

Selain itu, pada kebiasaannya dalam majlis perkahwinan, sebilangan masyarakat kita akan mengadakan majlis malam berjaga-jaga bagi memeriahkan suasana majlis. Akan tetapi perlu diingat majlis tersebut janganlah diisi dengan acara-acara yang berbentuk hiburan yang manyalahi hukum syarak seperti nyanyian, tarian dan permainan yang berunsur judi. Perkara tersebut bukan sahaja bertentangan dengan hukum syarak tetapi juga boleh menganggu ketenteraman jiran tetangga.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya perkahwinan itu dapat menghindarkan seseorang itu daripada perbuatan zina. Dengan perkahwinan itu juga dapat mengukuhkan tali silaturrahim dan menyuburkan perasaan kasih sayang serta mententeramkan jiwa kita dalam beribadat kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Sama-samalah kita berdoa semoga rumahtangga yang bakal dibina dan rumahtangga kita semua bahagia, harmoni dan sejahtera seperti yang kita idam-idamkan iaitu rumahku syurgaku. Amin Yarrabal Alamin.
Surah Al-Furqan ayat 74, tafsirnya:
"Dan juga mereka yang diredhai Allah itu ialah orang-orang yang berdoa dengan berkata: Wahai tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang mahu bertaqwa"

Jumaat, 4 Mei 2012

AYAM MASAK ROS MADU















Sumber; RasaOnline

Bahan-bahan:

1 ekor ayam dipotong 14 -  gaul dg sikit garam dan kunyit

125ml cili kisar - guna 7 biji cili kering

6 sudu makan sos cili

6 sudu makan sos tomato

½ tin susu cair atau 1 cwn fresh milk

5gm kulit kayu manis

5gm bunga lawang

5gm buah pelaga

5gm bunga cengkih

3 batang serai diketuk

125ml tomato puri atau 4 sb

2 sb madu.

1 cwn kacang peas

Bahan kisar:

5 biji bawang besar

4 ulas bawang putih

2sm halia

Cara memasak:

1. Panaskan minyak dan goreng ayam hingga separuh masak. Ketepikan.

2. Tumiskan bahan-bahan yang dikisar bersama kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga dan bunga cengkih sehingga garing.

3. Kemudian masukkan cili kisar bersama serai dan biarkan hingga garing.

4. Apabila garing, masukkan sos cili dan sos tomato kemudian ayam yang siap digoreng. Kacau rata.

5. Tuangkan susu cair bersama tomato puri. Kacau hingga sebati dan biarkan masak hingga kuahnya agak pekat. tambah madu.
6. Perasakan dengan serbuk perasa, garam dan gula secukup rasa dan angkat.

NASI TOMATO




Sumber; CMG @ Dapur Tanpa Sempadan

BAHAN-BAHANNYA :-)

4 cawan beras basmathi, cuci dan rendam 30 minit, toskan

5 cawan air

1 cawan susu cair

1 1/2 camca besar minyak sapi

1 biji bawang besar, dadu kecil

2 ulas bawang putih, cincang halus

1 inci halia, diketuk

2 helai daun pandan

1 biji tomato masak ranum, buang biji dan cincang halus

2 1/2 camca besar sos tomato- letak 1 1/2 sb tomato + 1 sb tomato puri

1 kiub ayam "maggi"

Garam secukup rasa

Hirisan daun bawang untuk hiasan

Kismis dan kacang peas untuk hiasan

Bawang goreng untuk hiasan



BAHAN TUMIS :-)

1 kayu manis

1 kuntum bunga lawang

6 kuntum bunga cengkih

3 biji buah pelaga


CARA MEMBUATNYA :-)

Panaskan minyak sapi dalam kuali, masukkan bahan tumis, halia, bawang besar, bawang putih, 1 helai daun pandan dan tomato, masak hingga semua layu. Tambah sos tomato dan kacau rata.

Masukkan beras, gaul rata dan goreng sekejap. Alih beras tadi ke dalam rice cooker, tuang air, susu, hancurkan kiub pati ayam (jika guna) dan tambah garam secukup rasa, kacau rata dan tanak nasi seperti biasa..

Bila nasi masak, tabur kismis atasnya, bila nasi elok kering dan masak, gemburkan dengan chopstick. Hidangkan dengan menabur kacang pis, hirisan daun bawang dan bawang goreng...


Selasa, 24 April 2012

BAGAIMANA MENDAPAT HUSNUL KHATIMAH


muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah Subhanahu Wata'ala, dengan melakukan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita tergolong dikalangan hamba-hambanya yang sentiasa istiqamah melaksanakan amal makruf dan nahi mungkar dan mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala didunia dan akhirat.

Muslimin yang berbahagia,

Kehidupan didunia ini hanya sementara dan merupakan sebahagian ujian kepada kita selaku khalifah dimuka bumi ini. Semua yang hidup pasti akan mati, dan kematian adalah penghujung kehidupan manusia didunia. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Al-Aqraf ayat 34. tafsirnya:

Dan bagi tiap-tiap umat yang mendustakan rasul-rasul mereka itu ada ajal ( batas waktu kebinasaaan yang telah ditetapkan ) maka apabila datang ajal mereka itu tidaklah dapat mereka undurkan ( kemudiankan ) walau sesaat pun dan tidak dapat pula mereka dahulukan.

Sebagai umat islam sudah setentunya kita menginginkan agar kita mati dalam keadaan husnul khatimah dan bukan sebaliknya su'ul khatimah. Husnul khatimah bermaksud berakhirnya kehidupan manusia didunia dengan kesudahan yang baik, manakala su'ul khatimah pula bermaksud berakhirnya kehidupan manusia dengan penyudah yang buruk. Ketahuilah bahawa keadaan kamatian kita bergantung kepada amalan yang kita lakukan disepanjang kehidupan kita, sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam, yang bermaksud:

Dari Sahal, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam bersabda: Dan sesungguhnya amalan itu bergantung dengan penutupnya.

Oleh itu, bagi mereka yang beriman dengan al-quran dan as-sunah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam akan merasa khawatir dan bimbang dengan pengakhiran kehidupan mereka. Mereka akan sentiasa melakukan amal salih, istiqamah dalam menjalankan perintah Allah Subhanahu Wata'ala dan Rasulnya dan meninggalkan segala laranganNya. Mereka berharap agar termasuk dalam golongan yang Allah Subhanahu Wata'ala sebutkan dalam surah Al-Imran ayat 102, tafsirnya:

Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama islam.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam bersabda yang bermaksud:

Daripada Abdullah bin Amru bin Al-Ash, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam bersabda : Barangsiapa yang ingin dijauhkan dari neraka dan dimasukkan kedalam syurga, maka jagalah supaya ketika kematian tiba ia berada dalam keadaan beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendatangi orang-orang dengan cara yang ia inginkan ketika didatangi.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Husnul Khatimah adalah impian setiap orang-orang mukmin termasuk diri kita sendiri, akan tetapi tidak dinafikan bahawa kita diciptakan dalam keadaan lemah. Kita imbas kembali ketika Allah menciptakan Adam sebagai khalifah dimuka bumi ini seperti yang termaktub dalam surah Al-Baqarah ayat 30, tafsirnya:

Dan ingatlah ketika tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan dibumi seorang khalifah iaitu Nabi Adam Alaihi Salam. Malaikat-malaikat itu berkata: Adakah engkau hendak menjadikan dibumi orang yang akan membuat kerosakan dan menumpahkan darah sedangkan kami sentiasa bertasbih dengan memuji serta mensucikan engkau? Allah berfirman: Sesungguhnya aku lebih mengetahui apa yang kamu tidak ketahui.

Pernahkah kita berfikir apakah sebenarnya tujuan Allah Subhanahu Wata'ala menciptakan manusia yang mempunyai banyak kelemahan dan kekurangan. Ketahuilah bahawa Allah Subhanahu Wata'ala menciptakan manusia adalah untuk mengabdikan diri kepadaNya sebagaimana firmanNya dalam surah Al-Zariats ayat 56, tafsirnya:

Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepadaku.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Dalam kita mengharungi kehidupan didunia ini, sama-sama kita berusaha meningkatkan amal ibadat dan melakukan oerkara-perkara berkebajikan agar penghujung hayat kita dalam keadaan husnul khatimah. Adpaun diantara cara untuk mendapat husnul khatimah itu ialah:

Pertama: Melakukan ketaatan dan ketaqwaan kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan meninggalkan laranganNya.

Kedua: Sentiasa berdoa kepada Allah Subhanahu Wataala dengan bersungguh-sungguh agar pengakhiran kehidupan kita dalam beriman dan bertaqwa. Antara doa yang sebaiknya kita amalkan ialah surah As-Syura ayat 83, yang maksudnya:

Ya Tuhanku! Berikanlah kepada ku hikmah dan masukanlah aku kedalam golongan orang-orang yang salih.

Begitu juga, kita boleh mengamalkan doa yang maksudnya:

Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan husnul khatimah ( kesudahan yang baik ), dan jangan engkau akhiri hidup kami dengan su'ul khatimah ( kesudahan yang buruk )

Ketiga: Kita hendaklah sentiasa berusaha membaiki diri sama ada zahir atau batin, dan kita juga hendaklah menjaga hubungan kita dengan Allah dan juga hubungan kita dengan makhluk Allah dimuka bumi ini. Dengan itu, kita akan sentiasa mendapat rahmat dan hidayah Allah Subhanahu Wata'ala.

Selaku hamba Allah yang tidak terlepas dari melakukan kesalahan dan dosa, kita hendaklah sentiasa bertaubat. Sesungguhnya Allah menyukai mereka yang mengakui kesilapan dan memohon keampunan diatas dosa yang dilakukan.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama meningkatkan amal ibadat kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Kita berdoa semoga amalan ikhlas yang kita kerjakan akan diterima oleh Allah Subhanahu Wataala dan dengannya kita akan mendapat husnuk khatimah dan mudah-mudahan kita tergolong dikalangan mereka yang sentiasa mengharapkan redha dan rahmat Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Yarrabal Alamin.

Surah An-Nisa' ayat 110-112, tafsirnya:

Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiayai dirinya sendiri dengan melakukan maksiat, kemudian dia memohon ampun kepada Allah nescaya dia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih. Dan sesiapa yang mengerjakan suatu dosa maka sesungguhnya dia hanya mengerjakannya untuk kemudaratan dirinya sendiri. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Dan sesiapa yang melakukan suatu kesalahan atau dosa, kemudian dia menuduhkannya kepada orang yang tidak bersalah maka sesungguhnya dia telah memikul kesalahan berbuat dusta dan melakukan dosa yang nyata.