Salam perkenalan dari saya buat geng blogger:
Delima
Bicara kak Noor
qaseh tia
zurairatul
biehaDminhat
sk_isyraq
terima kasih setaman kembang mewangi buat kalian semua.
Sapa yang ketagihan kopi macam aku ?
6 hari yang lalu
|
Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH
kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan
penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhanNya, dan
meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang
bertaqwa dan beriman serta selamat didunia dan selamat diakhirat.
Sesungguhnya
Allah Subhanahu Wataala mengurniakan kepada kita berbagi nikmat yang
tidak terhitung banyaknya samada berbentuk kesihatan, umur yang
panjang, kebahagiaan, kekayaan, kesejahteraan, keamanan dan sebagainya.
Benarlah sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah An-Nahl
ayat 18, tafsirnya:
"Dan
jika kamu menghitung nikmat Allah tentulah kamu tidak terkira
banyaknya. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih".
Perlu
diingat bahawa ujian bukan sahaja berbentuk kesusahan tetapi termasuk
juga kesenangan dan nikmat. Ada kalanya nikmat yang kita perolehi itu
boleh menyebabkan kita lalai dan lupa. Kerana itulah baginda Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasallam telah mengingatkan kepada kita supaya
memanfaatkan segala nikmat yang kita perolehi itu dengan sebaik-baiknya
sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya:
"Dari
Ibnu Abas Radiallahu Anhuma ia berkata: Rasulullah Sallallahu Alaihi
Wasallam bersabda kepada seorang lelaki dan baginda menasihatinya:
Rabutlah lima perkara sebelum kamu didatangi oleh lima perkara yang
lain. Masa mudamu sebelum tua mu, masa sihat mu sebelum sakit mu, masa kaya mu sebelum fakir mu, masa lapang mu sebelum kesibukan mu dan masa hidup mu sebelum mati mu".
Muslimin yang dirahmati Allah,
Adapun
diantara nikmat yang boleh melalaikan sehingga kita lupa bahawa nikmat
itu hanyalah merupakan ujian dari Allah Subhanahu Wataala ialah nikmat
harta. Setentunya bagi kita yang dikurniakan harta pasti akan merasa
bersyukur diatas nikmat tersebut. Persoalannya sejauh manakah kita
mensyukuri nikmat harta itu? Adakah kita telah membelanjakannya pada
tempat yang betul seperti mengeluarkan zakat, membelanjakan pada jalan
Allah dan memberikannya kepada orang-orang yang dibawah tanggungan kita
seperti ibu bapa, isteri, anak-anak dan lain-lain. Ataupun kita terlupa
untuk bersyukur diatas limpahan nikmat tersebut? Kita pasti ramai
diantara kita yang tahu melafazkan dan mengucapkan kata syukur diatas
limpahan rezeki yang diperolehi seperti para peniaga merasa bersyukur
apabila barang jualannya habis terjual dan membawa keuntungan, para
petani dan pekebun mengucapkan syukur tanam-tanaman tumbuh dengan
subur, begitu juga kepada para pekerja yang mengucapkan syukur apabila
menerima gaji dari majikannya. Sememangnya menzahirkan rasa terima
kasih dengan ucapan syukur atau Alhamdulilah melalui lisan adalah suatu
yang terpuji, akan tetapi yang demikian itu belumlah cukup dan memadai.
Ia hendaklah juga disertai dengan perbuatan dan tindakan, antaranya
ialah dengan memanfaatkan rezeki yang diperolehi itu dengan cara yang
betul dan sewajarnya.
Dalam
hubungan ini agama Islam telah mengajarkan kepada kita cara mengurus
harta dengan betul iaitu membelanjakannya untuk keperluan hidup seperti
nafkah kepada orang yang berada dibawah tanggungannya kita selain itu,
jika masih ada mempunyai wang yang lebih adalah juga digalakkan untuk
membelanjakannya pada perkara-perkara yang berkebajikan seperti
bersedekah, berwakaf, membantu fakir miskin dan orang yang ditimpa
bencana dan sebagainya. Manakala jika rezeki atau harta yang kita
perolehi itu telah memenuhi syarat-syarat untuk mengeluarkan zakat
seperti hasil dagangan, tanaman, ternakan dan sebagainya, maka
bersegeralah kita untuk mengeluarkan zakat kerana didalam harta yang
kita miliki itu terdapat hak-hak orang lain yang mesti kita segera
tunaikan.
Selain
itu, dalam kita berbelanja mestilah seimbang diantara kadar pendapatan
dan perbelanjaan. Sebagai contoh, tidak wajar jika seseorang yang
mempunyai pendapatan sebanyak $20.00 sehari tetapi berbelanja lebih
daripada pendapatan yang diterima. Amalan tersebut boleh menyebabkan
krisis kedudukan ekonomi keluarga yang tidak terkawal dimana
kadang-kadang boleh menyebabkannya menjadi berhutang. Walaupun
berhutang hukumnya harus tetapi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam
sendiri tidak mengalakkan umatnya berhutang dan selalu meminta
perlindungan Allah Subhanahu Wataala agar dijauhkan diri dari beban
hutang. Sebenarnya, berhutang itu adalah perkara yang senang dan mudah,
akan tetapi ia adalah perkara yang sukar apabila hendak membayar balik.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Sebenarnya
agama Islam telah mengingatkan umatnya supaya tidak boros dalam
berbelanja dan mengelakkan pembaziran. Allah Subhanahu Wataala
berfirman dalam surah Al-Furqan ayat 67, tafsirnya:
"Dan
mereka yang apabila membelanjakan harta, mereka tidak berlebih-lebih
dan tidak juga bakhil, dan sebaliknya perbelanjaan mereka itu adalah
sederhana diantara keduanya".
Oleh
yang demikian, kita hendaklah berbelanja secara berhimah iaitu dengan
memberi keutamaan kepada perkara-perkara yang penting sahaja tanpa
melakukan pembaziran, apatah lagi sampai berbelanja melebihi had
kemampuan.
Sememangnya
kita menyedari bahawa sifat berjimat cermat dalam berbelanja amat
dituntut dalam Islam kerana ianya menjadi asas bagi kesejahteraan hidup
masyarakat dan kemakmuran sesebuah negara. Biasanya amalan tersebut
meliputi perbelanjaan untuk keperluan kehidupan kita seharian sesuai
dengan fitrah kita sebagai manusia. Oleh itu jika kita mahu ekonomi
diri kita, keluarga dan masyarakat stabil dan terjamin tidak ada jalan
lain selain mengamalkan cara berbelanja yang bijak dan berperancangan
seperti mengutamakan barang-barang yang benar-benar yang diperlukan,
mengamalkan tabiat menyimpan wang (menabung), tidak mengamalkan gaya
hidup mewah dan boros tetapi sebaliknya mengamalkan cara hidup yang
sederhana.
Oleh
yang demikian, wahai kaum muslimin, kita hendaklah merancang segala
perbelanjaan dengan teratur dan berjimat cermat. Lebih-lebih lagi pada
masa ini, banyak promosi jualan-jualan murah telah diadakan ditambah
pula bagi pekerja yang berkhidmat dibawah perkhidmatan awam akan
menerima gaji dan bonus tidak lama lagi.
Maka
dengan nikmat yang bakal diterima itu InsyaAllah, kita manfaatkanlah
dengan cara yang baik lagi bijaksana. Berbelanja mengikut keutamaan dan
keperluan, janganlah terpedaya untuk membeli barang-barang yang tidak
diperlukan, apatah lagi pada bulan ini pasti banyak barang keperluan
sekolah anak-anak untuk dibeli, dari pakaian hinggalah kepada buku-buku
pelajaran. Kita hendaklah berusaha mengelakkan sebarang pembaziran
ketika berbelanja, barang yang hendak dibeli itu biarlah berbalui
dengan harga dan kualitinya. Barang yang lama, jika masih dalam keadaan
baik dan elok, bukankah lebih bagus jika ia terus dipakai dan digunakan
ataupun bolehlah juga jika dihadiahkan kepada orang-orang yang
memerlukan. Tidak dinafikan ramai dikalangan ibu bapa yang mampu untuk
membelikan anak-anak mereka barang-barang keperluan yang serba baru,
tetapi ia bukanlah suatu kemestian.
Sebenarnya
banyak faedah yang dapat diperolehi dari tabiat menyimpan atau
menabung, antaranya ialah untuk meningkatkan ekonomi dan sebagai
persediaan menghadapi keadaan-keadaan seperti ketika menghadapi
sebarang kesusahan, kecemasan dan juga sebagai persediaan dimasa
hadapan.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Kita
amat bersyukur kerana kita dapat menkmati banyak kemudahan dan
kesenangan di negara yang berdaulat ini. Inilah nikmat yang kita kecapi
hasil pertumbuhan ekonomi negara yang baik dan pesat. Dan sudah menjadi
tanggungjawab kita untuk sama membantu mengekalkan kestabilan ekonomi
dinegara kita dengan berbelanja dinegara sendiri. Dalam berbelanja pula
hendaklah dengan sederhana, utamakan keperluan dan juga amalan
menabung. Ingatlah bahawa kita hanyalah sebagai pengurus harta yang
dipinjamkan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada kita, yang pasti kita
akan ditanya dari mana harta itu diperolehi dan bagaimanakah ia
dibelanjakan.
Oleh
itu sama-samalah kita mengurus harta kita mengikut lunas-lunas Islam
demi mencapai kebahagiaan, kesenangan dan kesejahteraan hidup.
Amalkanlah sikap sederhana dalam berbelanja dan mensyukuri
nikmat-nikmat yang dikurniakan Allah Subhanahu Wataala. Mudah-mudahan
dengan cara demikian kita akan dapat mengukuhkan ekonomi keluarga,
menjamin masa hadapan yang lebih baik dan sekali gus dapat memantapkan
ekonomi negara. Dan sama-samalah kita berdoa semoga Allah Subhanahu
Wataala akan sentiasa melimpahkan rahmat dan nikmat yang berkekalan dan
memberikan petunjuk serta hidayahnya supaya kita dapat hidup dengan
bahagia dan selamat didunia dan diakhirat. Amin Yarrabal Alamin.
Surah Al-Kahfi ayat 46, tafsirnya:
"Harta
dan anak pinak itu adalah perhiasan kehidupan dunia dan amalan-amalan
salih dan kekal itu lebih baik pahalanya disisi Tuhanmu dan lebih baik
menjadi harapan untuk kebahagian hidup akhirat".
|
MARILAH
kita sama-sama meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah
Subhanahu Wataala, dengan melakukan segala suruhanNya dan meninggalkan
segala laranganNya. Mudah-mudahan kita tergolong dikalangan hamba-hamba
yang sentiasa melaksanakan amar makruf dan nahi munkar dan mendapat
keredhaan Allah Subhanahu Wataala di dunia dan akhirat.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Pembangunan
dan kemajuan sesebuah negara akan dapat dicapai jika sistem pentadbiran
dan pengurusan berkualiti dan efisien. Dan sesungguhnya islam telah
menunjukkan cara dan jalan bagi mencapai kualiti tersebut iaitu melalui
prinsip dan nilai-nilai murni yang telah dikerjakan oleh agama islam.
Oleh itu sebagai sebuah negara islam, kita amat bersyukur kerana Negara
Brunei Darussalam telah meletakkan dasar pentadbiran negara menurut
ajaran islam iaitu berpegang kepada Al-Quran dan sunnah Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasallam. Ini dapat dilihat melalui wawasan
perkhidmatan awam abad 21 iaitu untuk menjadikan perkhidmatan awam
Negara Brunei Darussalam yagng sentiasa membangun dan berusaha dengan
gayanya tersendiri menurut celak islam dan persekitaran yang sihat dan
selamat dibawah inayah dan petunjuk Allah Subhanahu Wataala.
Berbagai
strategi telah dilaksanakan bagi mencapai wawasan tersebut antaranya
ialah dengan menyediakan buku panduan mengenai rukun akhlak dan etika
bekerja perkhidmatan awam. Kita sedar bahawa setiap pentadbiran dan
pengurusan yang berkualiti dan cemerlang akan memerlukan kepada
peraturan dan etika kerja kerana tanpanya sudah setentunya warga kerja
yang menjalankan tugas dalam pentadbiran sesebuah organisasi akan
bertindak sesuka hati tanpa mengikut peraturan dan undang-undang
sehingga boleh menyebabkan berlakunya perkara-perkara seperti khianat,
pecah amanah, penyelewengan, salah guna kuasa dan lain-lain lagi.
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Anfaal ayat 27, tafsirnya:
"Wahai
orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati amanah Allah dan
RasulNya dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang
kamu mengetahui (salahnya)".
Justeru,
setiap orang tidak kira mereka yang memegang jawatan dalam perkhidmatan
awam mahupun mereka yang bekerja dengan pihak swasta atau persendirian
hendaklah mematuhi peraturan dan mengamalkan etika kerja yang murni.
Antara etika kerja yang penting bagi setiap warga kerja ialah bersifat
ikhlas dalam melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan.
Sesungguhnya orang yang ikhlas bekerja kerana Allah Subhanahu Wataala
akan menerima tangungjawab dengan penuh keredhaan dan akan sentiasa
berusaha bersungguh-sungguh bagi menghasilkan prestasi kerja yang
terbaik.
Orang
yang ikhlas adalah orang yang bijaksana. Mereka bijak menggunakan masa
dan waktu kerja secara produktif dan berkesan, tidak menlengah-lengah
kan kerja yang diberikan dan tidak akan melakukannya sambil lewa atau
asal siap sahaja. Bahkan mereka juga tidak akan mengambil kesempatan
membazirkan masa kerja dengan banyak berbual losong, ponteng kerja,
datang akhir tetapi cepat hendak pulang dan sebagainya.
Muslimin
yang dirahmati Allah, sebenarnya pekerjaan yang dilakukan itu juga
merupakan suatu ibadat dengan syarat ianya dilakukan dengan niat yang
ikhlas, kerana kerja yang dilakukan tanpa keihlasan hanyalah sia-sia
dan tidak akan mendapat ganjaran pahala. Perkara ini telah dijelaskan
dalam sebuah hadis riwayat Imam An-Nasaie daripada Umamah Al-Bahili
katanya: Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang
maksudnya:
"Sesungguhnya
Allah tidak menerima suatu amalan melainkan dilakukan dengan ikhlas
semata-mata kerana Allah Subhanahu Wataala sahaja".
Orang
yang ikhlas dalam pekerjaannya tidak akan berkira dalam melaksanakan
tugas dan tidak mengharapkan pujian atau ganjaran duniawi semata-mata.
Orang yang ikhlas juga akan bersikap terbuka, suka membantu rakan
sekerja bahkan mereka akan bersifat jujur dan amanah dalam pekerjaan
mereka. Sifat jujur dan amanah itu sangat penting kerana sifat tersebut
akan dapat memelihara diri seseorang itu daripada berbuat khianat,
pilih kasih, hasad dengki, zalim, melakukan rasuah, penipuan dan
penyelewengan dalam pekerjaan, menyalahgunakan kuasa dan kedudukan bagi
kepentingan peribadi dan sebagainya.
Keikhlasan
dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan dan dipertanggungjawabkan
dapat melahirkan sifat mahmudah seperti bersifat sabar, tabah dan
berbudi bahasa dimana melalui sifat-sifat tersebut mereka akan
mempunyai daya ketahanan hati atau perasaan dalam menghadapi sebarang
tekanan, desakan disekeliling atau menerima sebarang kesulitan. Dalam
keadaan seperti ini, mereka tidak akan terburu membuat sesuatu
keputusan, tidak akan mudah berputus asa apatah lagi berkasar bahasa
dan tingkah laku, sebaliknya mereka akan sentiasa tenang menghadapi
masalah, bersikap terbuka apabila menerima kritikan, tidak cepat marah
malahan bersifat pemaaf dan berhemah tinggi.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Semua
negara di dunia ini menginginkan agar sistem perkhidmatan awamnya
berfungsi dengan sempurna dan lancar, serta setiap warga kerjanya
menghasilkan kesempurnaan dan kecemerlangan dalam tugas masing-masing.
Apabila wawasan ini terlaksana, masyarakat dan negara insyaAllah akan
berjaya mencapai hasrat menjadi sebuah negara yang berkemampuan tinggi
dalam semua aspek perkhidmatan dan sekali gus menjadikan negara mampu
menjana kehidupan rakyatnya menjadi makmur, sejahtera dan harmoni.
Akhirnya
marilah kita sama-sama berdoa semoga warga kerja perkhidmatan awam
dapat meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan yang lebih baik dan
efisyen dalam mencapai hasrat untuk meningkatkan lagi kualiti kerja
bagi menuju kearah kecemerlangan duniawi dan ukhrawi. Seterusnya kita
juga berdoa semoga semua warga kerja perkhidmatan awam dan seluruh
rakyat serta penduduk negara ini mendapat taufik, hidayah dan keredhaan
Allah Subhanahu Wataala. Amin Yarrabal Alamin.
Surah Fusilat ayat 46, tafsirnya:
"Sesiapa
yang mengerjakan amal saleh maka faedahnya akan terpulang kepada
dirinya sendiri dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan
menimpa dirinya sendiri. Dan tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim
kepada hamba-hambanya".
|