ummusya

Selasa, 8 Januari 2013

KESELAMATAN JALAN RAYA TANGGUNGJAWAB SEMUA PENGGUNA
Muslimin yang dirahmati Allah,

MARILAH kita sama-sama meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah Subhanahu Wataala dengan melakukan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Disamping itu kita bersyukur kepada Allah Subhanahu Wataala diatas limpah kurniaNya yang tidak terhingga banyaknya kepada kita supaya dapat menikmati kurniaan Allah Subhanahu Wataala itu dan dapat mengerjakan amal ibadat dan segala suruhanNya� sehingga kita menjadi hamba-hambaNya yang dikasihi didunia dan diakhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Alhamdulilah, kita bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wataala yang telah melimpahkan nikmat yang amat banyak kepada kita. Semenjak negara kita mencapai kemerdekaan, banyak kemajuan telah dapat kita kecapi. Pembangunan infrastruktur semakin pesat berkembang mengikut dengan kemajuan tersebut, pihak kerajaan telah menyediakan kemudahan-kemudahan yang dapat dinikmati oleh kita semua, antaranya sekolah, bangunan kerajaan, hospital, masjid dan termasuklah juga jalan raya.

Jalan raya adalah merupakan salah satu kemudahan yang sangat penting. Dengan adanya jalan raya kita dapat menuju kesuatu tempat atau destinasi yang dikehendaki dengan mudah dan cepat. Oleh itu, kita sebagai pengguna jalan raya adalah tanggungjawab untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya supaya dengannya kita dapt menjadikan jalan raya itu sebagai tempat yang selamat dan aman bagi kegunaan dan manfaat semua orang dan seterusnya dapat mengelakkan dari sebarang kemungkinan yang boleh menyebabkan berlakunya perkara yang tidak diingini seperti kemalangan jalan raya.

Tidak dinafikan bahawa mematuhi peraturan tersebut bukanlah bermakna para pengguna jalan raya akan sentiasa terjamin keselamatannya, tetapi dengan mematuhi peraturan tersebut setidak-tidaknya dapat mengurangkan risiko kemalangan. Kita sebagai pengguna jalan raya hendaklah sentiasa berusaha dan berikhtiar untuk menjaga keselamatan dijalan raya. Ini kerana kemalangan dijalan raya bukan sahaja boleh menyebabkan kerugian pada harta benda, tetapi juga boleh mendatangkan kecederaan dan lebih buruk lagi boleh menyebabkan kematian.

Ahli Jumaat yang dirahmati Allah,

Perlu diketahui bahawa jumlah kemalangan jalan raya diNegara Brunei Darussalam telah meningkat dari setahun ke setahun. Pada tahun 2007, jumlah kesa kemalangan jalan raya ialah sebanyak� 2035 kes dan jumlah itu terus meningkat dimana pada tahun 2011, sebanyak 2761 kes telah dicatatkan, dan pada tahun ini sahaja, jumlah kes yang dicatatkan dari bulan Januari hingga September ialah sebanyak 2419 kes.

Memandangkan bilangan kemalangan� dinegara kita yang semakin meningkat itu, pihak berkuasa telah giat melakukan berbagai usaha bagi mengelakkan berlakunya kemalangan jalan raya, antaranya dengan mengadakan sektan jalan raya dan pemeriksaan kenderaan bagi memastikan tiada berlaku sebarang pengubahusaian yang bertentangan dengan peraturan dan undang-undang lalu lintas. Selain itu mereka juga sering berusaha menigkatkan kesedaran dengan memberikan nasihat dan panduan kepada orang ramai khususnya para pemandu agar sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya seperti menasihatkan para pemandu untuk memeriksa kenderaan sebelum menggunakannya dan lain-lain melalui kempen-kempen, iklan-iklan dan sebagainya. Bahkan pihak kerajaan juga telah memperkenalkan sistem mata demerit dengan tujuan untuk memastikan pemandu dinegara ini memandu kenderaan dengan lebih berdisiplin, berhati-hati dan mematuhi setiap peraturan lalu lintas.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Memang tidak dinafikan bahawa terdapat banyak punca kepada berlakunya kemalangan dijalan raya, antaranya samada disebabkan oleh faktor kenderaan itu sendiri yang tidak selamat untuk digunakan seperti tayar yang tidak berbunga, brek yang tidak berfungsi dan sebagainya, ataupun disebabkan oleh sikap pengguna jalan raya itu sendiri yang bersifat mementingkan diri sendiri dan cuai tanpa memikirkan keselamatan pengguna-pengguna jalan raya yang lain. Sikap buruk sebilangan pengguna jalan raya yang tidak mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya boleh menyebabkan kemudaratan bukan sahaja kepada dirinya sendiri bahkan juga orang lain.

Adapun antara kesalahan jalan raya yang sering dilakukan ialah memandu laju dengan tidak mengikut had yang ditetapkan, menggunakan telefon bimbit semasa memandu samada membuat dan menjawab panggilan atau membuat pesanan ringkas, mengekori kereta dihadapan dengan jarak yang dekat, tidak mengikut sebarang amaran tegahan tanda jalan raya seperti memotong ditempat yang tidak selamat seperti selekoh, meletakkan kereta ditempat yang dilarang, menggunakan lorong yang tidak betul termasuklah juga menggunakan lorong yang salah ketika berada dipusing keliling, dan tidak mematuhi peraturan lampu isyarat dan sebagainya.

Sebagai pengguna jalan raya, kita hendaklah mematuhi semua peraturan lalu lintas. Ini termasuklah juga peraturan pemakaian tali pinggang keselamatan. Namun terdapat sebilangan pemandu masih mengabaikan pemakaian tali pinggang keselamatan sedangkan peraturan pemakaian tali pinggang keselamatan tersebut tidak lain adalah untuk keselamatan mereka sendiri juga. Memakai tali pinggang keselamatan itu Insya Allah akan dapat mengurangkan risiko mendapat kecederaan berbanding dengan jika tidak memakai tali pinggang keselamatan tersebut.

Di antara kesalahan lalu lintas lain yang sering dilakukan ialah tidak menggunakan tempat khas untuk menyeberang jalan seperti zebra crossing ataupun jejantas bagi pejalan kaki. Perbuatan tersebut jelas membahayakan keselamatan diri mereka sendiri. Para pemandu juga hendaklah bertolak ansur dengan pejalan kaki terutama ketika hendak menyeberang jalan seperti memberhentikan kereta bagi memberi laluan kepada pejalan kaki yang menghampiri atau berdiri dijalur lintas untuk melintas jalan raya.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sikap tidak bertanggungjawab dijalan raya bukan sahaja membahayakan jiwa tetapi juga dilarang oleh agama islam yang telah menyeru umatnya supaya menjauhkan diri daripada segala perkara yang boleh merosakkan dan membawa kebinasaan. Perkara ini jelas dinyatakan dalam surah Al-Baqarah ayat 195, tafsirnya:

"....dan janganlah kamu senghaja mencampakkan diri kamu dengan tangan kamu sendiri kedalam bahaya kebinasaan...".

Tidak dinafikan bahawa kadang kala kesabaran seseorang teruji ketika memandu lebih-lebih lagi ketika jalan raya penuh sesak. Oleh itu sebagai pengguna hendaklah menanamkan dalam diri mereka sifat-sifat mulia sebagaimana yang telah diajarkan dalam islam seperti hormat menghormati, bertolak ansur, bertimbang rasa dan paling utama ialah bersifat sabar. Orang yang sabar akan berfikir dengan waras dan bijak ketika dijalan raya, mereka akan mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya tanpa keluh kesah, mereka tidak akan memotong laluan atau barisan dijalan raya tetapi menantikan giliran dengan penuh kesabaran dan redha dimana perbuatan sedemikian akan dapat mengelakkan pengguna yang lain dari merasa marah atau tidak berpuas hati. Selain itu orang yang sabar juga akan sentiasa bersedia untuk memberikan laluan dan ruang kepada pengguna lain terutama ketika berada dalam kesesakan lalu lintas, dan itulah sikap yang baik kerana bertolak ansur dan menolong pengguna yang lain ketika berada dijalan raya. Sesungguhnya jika kita menolong meringankan kesusahan orang lain, maka Allah Subhanahu Wataala juga akan menolong kita, sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya:

"Dari Abu Hurairah Radiallahu Anha ia berkata: Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Dan sesiapa yang menolong memudahkan orang yang susah, Allah Subhanahu Wataala akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Allah Subhanahu Wataala menolong hambanya selama mana hamba itu mahu menolong saudaranya". (Riwayat Al-Imam Muslim)

Muslimin yang dirahmati Allah,

Selain dari mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya serta memandu dengan berhati-hati, bersabar dan berwaspada, kita juga hendaklah sentiasa ingat kepada Allah Subhanahu Wataala dan sentiasa berdoa memohon perlindungan Allah Subhanahu Wataala seperti ketika keluar dari rumah dengan terlebih dahulu membaca doa tersebut iaitu ertinya:

"Dengan nama Allah aku bertawakal kepadaNya dan tiada daya serta upaya kecuali dengan keizinan Allah".

Selain itu kita juga dianjurkan membaca doa ketika menaiki kenderaan sebagaimana yang terdapat didalam surah Al-Zukhruf ayat 13-14, tafsirnya:

"Maha suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali".

Di samping itu adalah lebih baik juga kita berzikir dengan zikir-zikir yang mudah seperti, Subhanallah, Alhamdulilah, Allahu Akbar dan sebagainya. Ini kerana agama islam sangat menganjurkan umatnya agar sentiasa berdoa dan berzikir dalam semua keadaan dan tempat, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah An-Nisa ayat 103, tafsirnya:

"...maka ingatlah ketika kamu berdiri dan duduk serta ketika kamu berbaring...".

Muslimin yang dirahmati Allah,

Mematuhi peraturan dan undang-undang sangat penting bagi menjamin keharmonian dan keselamatan kita bersama. Dan keselamatan dijalan raya itu tidak akan tercapai jika pengguna jalan raya tidak mempunyai rasa tanggungjawabdan tidak mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas berkenaan. Akhirnya marilah kita menanamkan sifat sabar dan sentiasa berhati-hati dan berwaspada semasa berada dijalan raya dan seterusnya berdoa semoga kita berada dalam lindungan Allah Subhanahu Wataala dan terhindar dari sebarang mara bahaya. Amin Yarrabal Alamin.

Surah Ar-Raad ayat 11, tafsirnya:

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan apa yang ada pada suatu kaum sehinggalah mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan keburukkan (azab) kepada suatu kaum, maka tidak ada ayng dapat menolaknya, dan mereka tidak memperolehi pelindung selain daripadanya".

Jumaat, 4 Januari 2013

SELAMAT BERKENALAN

Salam perkenalan dari saya buat geng blogger:

Delima
Bicara kak Noor
qaseh tia
zurairatul
biehaDminhat
sk_isyraq

terima kasih setaman kembang mewangi buat kalian semua.

BERJIMAT CERMAT DALAM BERBELANJA

Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhanNya, dan meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat didunia dan selamat diakhirat.

Sesungguhnya Allah Subhanahu Wataala mengurniakan kepada kita berbagi nikmat yang tidak terhitung banyaknya samada berbentuk kesihatan, umur yang panjang, kebahagiaan, kekayaan, kesejahteraan, keamanan dan sebagainya. Benarlah sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah An-Nahl ayat 18, tafsirnya:
"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah tentulah kamu tidak terkira banyaknya. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih".
Perlu diingat bahawa ujian bukan sahaja berbentuk kesusahan tetapi termasuk juga kesenangan dan nikmat. Ada kalanya nikmat yang kita perolehi itu boleh menyebabkan kita lalai dan lupa. Kerana itulah baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah mengingatkan kepada kita supaya memanfaatkan segala nikmat yang kita perolehi itu dengan sebaik-baiknya sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya:
"Dari Ibnu Abas Radiallahu Anhuma ia berkata: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda kepada seorang lelaki dan baginda menasihatinya: Rabutlah lima perkara sebelum kamu didatangi oleh lima perkara yang lain. Masa mudamu sebelum tua mu, masa sihat mu sebelum sakit mu, masa kaya mu sebelum fakir mu, masa lapang mu sebelum kesibukan mu dan masa hidup mu sebelum mati mu".

Muslimin yang dirahmati Allah,
Adapun diantara nikmat yang boleh melalaikan sehingga kita lupa bahawa nikmat itu hanyalah merupakan ujian dari Allah Subhanahu Wataala ialah nikmat harta. Setentunya bagi kita yang dikurniakan harta pasti akan merasa bersyukur diatas nikmat tersebut. Persoalannya sejauh manakah kita mensyukuri nikmat harta itu? Adakah kita telah membelanjakannya pada tempat yang betul seperti mengeluarkan zakat, membelanjakan pada jalan Allah dan memberikannya kepada orang-orang yang dibawah tanggungan kita seperti ibu bapa, isteri, anak-anak dan lain-lain. Ataupun kita terlupa untuk bersyukur diatas limpahan nikmat tersebut? Kita pasti ramai diantara kita yang tahu melafazkan dan mengucapkan kata syukur diatas limpahan rezeki yang diperolehi seperti para peniaga merasa bersyukur apabila barang jualannya habis terjual dan membawa keuntungan, para petani dan pekebun mengucapkan syukur tanam-tanaman tumbuh dengan subur, begitu juga kepada para pekerja yang mengucapkan syukur apabila menerima gaji dari majikannya. Sememangnya menzahirkan rasa terima kasih dengan ucapan syukur atau Alhamdulilah melalui lisan adalah suatu yang terpuji, akan tetapi yang demikian itu belumlah cukup dan memadai. Ia hendaklah juga disertai dengan perbuatan dan tindakan, antaranya ialah dengan memanfaatkan rezeki yang diperolehi itu dengan cara yang betul dan sewajarnya.
Dalam hubungan ini agama Islam telah mengajarkan kepada kita cara mengurus harta dengan betul iaitu membelanjakannya untuk keperluan hidup seperti nafkah kepada orang yang berada dibawah tanggungannya kita selain itu, jika masih ada mempunyai wang yang lebih adalah juga digalakkan untuk membelanjakannya pada perkara-perkara yang berkebajikan seperti bersedekah, berwakaf, membantu fakir miskin dan orang yang ditimpa bencana dan sebagainya. Manakala jika rezeki atau harta yang kita perolehi itu telah memenuhi syarat-syarat untuk mengeluarkan zakat seperti hasil dagangan, tanaman, ternakan dan sebagainya, maka bersegeralah kita untuk mengeluarkan zakat kerana didalam harta yang kita miliki itu terdapat hak-hak orang lain yang mesti kita segera tunaikan.

Selain itu, dalam kita berbelanja mestilah seimbang diantara kadar pendapatan dan perbelanjaan. Sebagai contoh, tidak wajar jika seseorang yang mempunyai pendapatan sebanyak $20.00 sehari tetapi berbelanja lebih daripada pendapatan yang diterima. Amalan tersebut boleh menyebabkan krisis kedudukan ekonomi keluarga yang tidak terkawal dimana kadang-kadang boleh menyebabkannya menjadi berhutang. Walaupun berhutang hukumnya harus tetapi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri tidak mengalakkan umatnya berhutang dan selalu meminta perlindungan Allah Subhanahu Wataala agar dijauhkan diri dari beban hutang. Sebenarnya, berhutang itu adalah perkara yang senang dan mudah, akan tetapi ia adalah perkara yang sukar apabila hendak membayar balik.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Sebenarnya agama Islam telah mengingatkan umatnya supaya tidak boros dalam berbelanja dan mengelakkan pembaziran. Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam surah Al-Furqan ayat 67, tafsirnya:
"Dan mereka yang apabila membelanjakan harta, mereka tidak berlebih-lebih dan tidak juga bakhil, dan sebaliknya perbelanjaan mereka itu adalah sederhana diantara keduanya".
Oleh yang demikian, kita hendaklah berbelanja secara berhimah iaitu dengan memberi keutamaan kepada perkara-perkara yang penting sahaja tanpa melakukan pembaziran, apatah lagi sampai berbelanja melebihi had kemampuan.

Sememangnya kita menyedari bahawa sifat berjimat cermat dalam berbelanja amat dituntut dalam Islam kerana ianya menjadi asas bagi kesejahteraan hidup masyarakat dan kemakmuran sesebuah negara. Biasanya amalan tersebut meliputi perbelanjaan untuk keperluan kehidupan kita seharian sesuai dengan fitrah kita sebagai manusia. Oleh itu jika kita mahu ekonomi diri kita, keluarga dan masyarakat stabil dan terjamin tidak ada jalan lain selain mengamalkan cara berbelanja yang bijak dan berperancangan seperti mengutamakan barang-barang yang benar-benar yang diperlukan, mengamalkan tabiat menyimpan wang (menabung), tidak mengamalkan gaya hidup mewah dan boros tetapi sebaliknya mengamalkan cara hidup yang sederhana.
Oleh yang demikian, wahai kaum muslimin, kita hendaklah merancang segala perbelanjaan dengan teratur dan berjimat cermat. Lebih-lebih lagi pada masa ini, banyak promosi jualan-jualan murah telah diadakan ditambah pula bagi pekerja yang berkhidmat dibawah perkhidmatan awam akan menerima gaji dan bonus tidak lama lagi.
Maka dengan nikmat yang bakal diterima itu InsyaAllah, kita manfaatkanlah dengan cara yang baik lagi bijaksana. Berbelanja mengikut keutamaan dan keperluan, janganlah terpedaya untuk membeli barang-barang yang tidak diperlukan, apatah lagi pada bulan ini pasti banyak barang keperluan sekolah anak-anak untuk dibeli, dari pakaian hinggalah kepada buku-buku pelajaran. Kita hendaklah berusaha mengelakkan sebarang pembaziran ketika berbelanja, barang yang hendak dibeli itu biarlah berbalui dengan harga dan kualitinya. Barang yang lama, jika masih dalam keadaan baik dan elok, bukankah lebih bagus jika ia terus dipakai dan digunakan ataupun bolehlah juga jika dihadiahkan kepada orang-orang yang memerlukan. Tidak dinafikan ramai dikalangan ibu bapa yang mampu untuk membelikan anak-anak mereka barang-barang keperluan yang serba baru, tetapi ia bukanlah suatu kemestian.

Sebenarnya banyak faedah yang dapat diperolehi dari tabiat menyimpan atau menabung, antaranya ialah untuk meningkatkan ekonomi dan sebagai persediaan menghadapi keadaan-keadaan seperti ketika menghadapi sebarang kesusahan, kecemasan dan juga sebagai persediaan dimasa hadapan.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Kita amat bersyukur kerana kita dapat menkmati banyak kemudahan dan kesenangan di negara yang berdaulat ini. Inilah nikmat yang kita kecapi hasil pertumbuhan ekonomi negara yang baik dan pesat. Dan sudah menjadi tanggungjawab kita untuk sama membantu mengekalkan kestabilan ekonomi dinegara kita dengan berbelanja dinegara sendiri. Dalam berbelanja pula hendaklah dengan sederhana, utamakan keperluan dan juga amalan menabung. Ingatlah bahawa kita hanyalah sebagai pengurus harta yang dipinjamkan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada kita, yang pasti kita akan ditanya dari mana harta itu diperolehi dan bagaimanakah ia dibelanjakan.

Oleh itu sama-samalah kita mengurus harta kita mengikut lunas-lunas Islam demi mencapai kebahagiaan, kesenangan dan kesejahteraan hidup. Amalkanlah sikap sederhana dalam berbelanja dan mensyukuri nikmat-nikmat yang dikurniakan Allah Subhanahu Wataala. Mudah-mudahan dengan cara demikian kita akan dapat mengukuhkan ekonomi keluarga, menjamin masa hadapan yang lebih baik dan sekali gus dapat memantapkan ekonomi negara. Dan sama-samalah kita berdoa semoga Allah Subhanahu Wataala akan sentiasa melimpahkan rahmat dan nikmat yang berkekalan dan memberikan petunjuk serta hidayahnya supaya kita dapat hidup dengan bahagia dan selamat didunia dan diakhirat. Amin Yarrabal Alamin.
Surah Al-Kahfi ayat 46, tafsirnya:
"Harta dan anak pinak itu adalah perhiasan kehidupan dunia dan amalan-amalan salih dan kekal itu lebih baik pahalanya disisi Tuhanmu dan lebih baik menjadi harapan untuk kebahagian hidup akhirat".

Ahad, 16 Disember 2012

mabuk durian

sana sini durian. melambak-lambak durian, juntrah banar. durian sudah turun harga, jatuh merudum. 50¢ & 20¢ sebiji pun ada. durian dah tak mahu naik atau masuk dlm timbangan. tak pandang timbangan dah.

Wah... kalau begini sepanjang tahun kan enak. hari-hari dah masak bubur durian, masih tak pandai jemu. nyaman kali aaaah!

Dalam rumah pun dah jadi mcm pesta buah... mcm2 buah ada...
Durian, rambutan, tarap, langsat, kembayau, mata kucing....

Ahad, 18 November 2012

MUSIM BUAH

musim buah tiba lagi..... bererti musim demam pun tiba juga.  hadoooi... tak dmakan rugi, dimakan... demam, selsema, pening. lawan saja lah dgn panadol, adem sari dan madu.

Sekarang, tak perlu pening nak masak sarapan apa. cucur saja tarap, durian, cempedak... asal jgn cucur kembayau.... sudaaah...

OLE-OLE DARI JAME' ASR HASSANIL BOLKIAH



hari jumat dulu menghadiri jemputan majlis korban anjuran jame asr. bukan setakat dpt daging korban saja tapi dpt juga ole2  bunga2 segar yg dgunakan utk menghiasi majlis korban kdymm sultan pd hari raya aidil adha yg lalu. so bawa baliklah 2 jambangan bunga segar hari tu. bermunge2 hatiku jadinya...

Sempat pula cabut sedikit dan bawa ke opis utk hiasan meja buat tatapan sambil buat kerja pjbt. sejuk dn damai mata memandang.

AMALKAN KEIKHLASAN DALAM PEKERJAAN

MARILAH kita sama-sama meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah Subhanahu Wataala, dengan melakukan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita tergolong dikalangan hamba-hamba yang sentiasa melaksanakan amar makruf dan nahi munkar dan mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wataala di dunia dan akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Pembangunan dan kemajuan sesebuah negara akan dapat dicapai jika sistem pentadbiran dan pengurusan berkualiti dan efisien. Dan sesungguhnya islam telah menunjukkan cara dan jalan bagi mencapai kualiti tersebut iaitu melalui prinsip dan nilai-nilai murni yang telah dikerjakan oleh agama islam. Oleh itu sebagai sebuah negara islam, kita amat bersyukur kerana Negara Brunei Darussalam telah meletakkan dasar pentadbiran negara menurut ajaran islam iaitu berpegang kepada Al-Quran dan sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Ini dapat dilihat melalui wawasan perkhidmatan awam abad 21 iaitu untuk menjadikan perkhidmatan awam Negara Brunei Darussalam yagng sentiasa membangun dan berusaha dengan gayanya tersendiri menurut celak islam dan persekitaran yang sihat dan selamat dibawah inayah dan petunjuk Allah Subhanahu Wataala.

Berbagai strategi telah dilaksanakan bagi mencapai wawasan tersebut antaranya ialah dengan menyediakan buku panduan mengenai rukun akhlak dan etika bekerja perkhidmatan awam. Kita sedar bahawa setiap pentadbiran dan pengurusan yang berkualiti dan cemerlang akan memerlukan kepada peraturan dan etika kerja kerana tanpanya sudah setentunya warga kerja yang menjalankan tugas dalam pentadbiran sesebuah organisasi akan bertindak sesuka hati tanpa mengikut peraturan dan undang-undang sehingga boleh menyebabkan berlakunya perkara-perkara seperti khianat, pecah amanah, penyelewengan, salah guna kuasa dan lain-lain lagi. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Anfaal ayat 27, tafsirnya:
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati amanah Allah dan RasulNya dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)".
Justeru, setiap orang tidak kira mereka yang memegang jawatan dalam perkhidmatan awam mahupun mereka yang bekerja dengan pihak swasta atau persendirian hendaklah mematuhi peraturan dan mengamalkan etika kerja yang murni. Antara etika kerja yang penting bagi setiap warga kerja ialah bersifat ikhlas dalam melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan. Sesungguhnya orang yang ikhlas bekerja kerana Allah Subhanahu Wataala akan menerima tangungjawab dengan penuh keredhaan dan akan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh bagi menghasilkan prestasi kerja yang terbaik.
Orang yang ikhlas adalah orang yang bijaksana. Mereka bijak menggunakan masa dan waktu kerja secara produktif dan berkesan, tidak menlengah-lengah kan kerja yang diberikan dan tidak akan melakukannya sambil lewa atau asal siap sahaja. Bahkan mereka juga tidak akan mengambil kesempatan membazirkan masa kerja dengan banyak berbual losong, ponteng kerja, datang akhir tetapi cepat hendak pulang dan sebagainya.
Muslimin yang dirahmati Allah, sebenarnya pekerjaan yang dilakukan itu juga merupakan suatu ibadat dengan syarat ianya dilakukan dengan niat yang ikhlas, kerana kerja yang dilakukan tanpa keihlasan hanyalah sia-sia dan tidak akan mendapat ganjaran pahala. Perkara ini telah dijelaskan dalam sebuah hadis riwayat Imam An-Nasaie daripada Umamah Al-Bahili katanya: Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:
"Sesungguhnya Allah tidak menerima suatu amalan melainkan dilakukan dengan ikhlas semata-mata kerana Allah Subhanahu Wataala sahaja".
Orang yang ikhlas dalam pekerjaannya tidak akan berkira dalam melaksanakan tugas dan tidak mengharapkan pujian atau ganjaran duniawi semata-mata. Orang yang ikhlas juga akan bersikap terbuka, suka membantu rakan sekerja bahkan mereka akan bersifat jujur dan amanah dalam pekerjaan mereka. Sifat jujur dan amanah itu sangat penting kerana sifat tersebut akan dapat memelihara diri seseorang itu daripada berbuat khianat, pilih kasih, hasad dengki, zalim, melakukan rasuah, penipuan dan penyelewengan dalam pekerjaan, menyalahgunakan kuasa dan kedudukan bagi kepentingan peribadi dan sebagainya.
Keikhlasan dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan dan dipertanggungjawabkan dapat melahirkan sifat mahmudah seperti bersifat sabar, tabah dan berbudi bahasa dimana melalui sifat-sifat tersebut mereka akan mempunyai daya ketahanan hati atau perasaan dalam menghadapi sebarang tekanan, desakan disekeliling atau menerima sebarang kesulitan. Dalam keadaan seperti ini, mereka tidak akan terburu membuat sesuatu keputusan, tidak akan mudah berputus asa apatah lagi berkasar bahasa dan tingkah laku, sebaliknya mereka akan sentiasa tenang menghadapi masalah, bersikap terbuka apabila menerima kritikan, tidak cepat marah malahan bersifat pemaaf dan berhemah tinggi.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Semua negara di dunia ini menginginkan agar sistem perkhidmatan awamnya berfungsi dengan sempurna dan lancar, serta setiap warga kerjanya menghasilkan kesempurnaan dan kecemerlangan dalam tugas masing-masing. Apabila wawasan ini terlaksana, masyarakat dan negara insyaAllah akan berjaya mencapai hasrat menjadi sebuah negara yang berkemampuan tinggi dalam semua aspek perkhidmatan dan sekali gus menjadikan negara mampu menjana kehidupan rakyatnya menjadi makmur, sejahtera dan harmoni.
Akhirnya marilah kita sama-sama berdoa semoga warga kerja perkhidmatan awam dapat meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan yang lebih baik dan efisyen dalam mencapai hasrat untuk meningkatkan lagi kualiti kerja bagi menuju kearah kecemerlangan duniawi dan ukhrawi. Seterusnya kita juga berdoa semoga semua warga kerja perkhidmatan awam dan seluruh rakyat serta penduduk negara ini mendapat taufik, hidayah dan keredhaan Allah Subhanahu Wataala. Amin Yarrabal Alamin.
Surah Fusilat ayat 46, tafsirnya:
"Sesiapa yang mengerjakan amal saleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri. Dan tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambanya".