ummusya

Selasa, 22 Jun 2010

FADILAT DAN KELEBIHAN ISTIGHFAR

khutbah jumaat (18-Jun-2010)
05hb Rejab 1431H

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
MARILAH kita sama-sama meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Di samping itu kita bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata'ala di atas limpah kurnia-Nya yang tidak terhingga banyaknya kepada kita. Mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata'ala akan mengurniakan umur yang panjang kepada kita supaya dapat menikmati kurniaan Allah itu dan dapat mengerjakan amal ibadat dan segala suruhan-Nya sehingga kita menjadi hamba-hamba-Nya yang dikasihi-Nya di dunia dan di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Kehidupan di dunia adalah persediaan dan jalan bagi kehidupan kita di akhirat nanti. Maka kita sebagai Muslim yang beriman kepada Allah Subhanahu Wata'ala, amal ibadat adalah penentu bahagianya dan berjayanya kita di akhirat nanti. Dalam kita menempuh kehidupan di dunia ini kita tidak terlepas dari menghadapi dugaan, cabaran, ujian dan juga tidak terlepas dari melakukan kesalahan dan dosa. Melakukan dosa adalah perbuatan yang dibenci oleh Allah Subhanahu Wata'ala dan Islam mewajibkan setiap orang yang berbuat dosa agar segera bertaubat sama ada ia melakukan dosa besar atau kecil.

Al-Quran dan As-Sunnah telah mengajarkan kita beberapa langkah yang dapat dipraktikkan dalam membantu seseorang untuk membersihkan jiwanya daripada sebarang kotoran dosa. Antaranya ialah menjauhkan diri daripada maksiat, berkawan dengan kawan yang baik-baik, melawan pujukan syaitan dan hawa nafsu, sentiasa menyesal terhadap dosa yang lalu, melakukan amal soleh, berdoa, sentiasa muhasabah diri dan membenyakkan istighfar.

Hakikat istighfar adalah menundukkan jiwa, hati dan fikiran kepada Allah Subhanahu Wata'ala untuk memohon ampun atas segala dosa. Allah Subhanahu Wata'ala memerintahkan hamba-hamba-Nya supaya beristighfar sebagaimana firman-Nya dalam surah Al Mu'min ayat 55 tafsirnya :

"Dan pohonlah ampun bagi dosamu serta bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu pada waktu pagi dan petang".

Allah Subhanahu Wata'ala juga menganjurkan kepada hamba-hamba-Nya agar sentiasa beristighfar bukan saja untuk diri sendiri malahan juga untuk orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Muhammad ayat 19 tafsirnya :

"Dan mintalah ampun kepada-Nya bagi salah silap yang engkau lakukan dan bagi dosa orang-orang yang beriman (lelaki dan perempuan)".

Muslimin yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya istighfar sangat dituntut oleh agama Islam. Oleh itu adalah menjadi kewajipan bagi umat Islam untuk sentiasa beristighfar sebagai tuntutan yang perlu dipenuhi di samping untuk merebut fadilat istighfar.

Sememangnya banyak fadilat atau kelebihan yang dikurniakan Allah Subhanahu Wata'ala bagi mereka yang mengamalkan istighfar. Ini merupakan peniup semangat agar hamba-hamba-Nya akan tekun beristighfar. Adapun antara kelebihan istighfar dan taubat itu, Allah Subhanahu Wata'ala akan memberi nikmat dengan kurnian-Nya yang berupa keluasan rezeki dan kesenangan hidup, sebagaimana dalam sebuah hadis yang maksudnya :

"Daripada Ibni Abbas Radiallahu Anhuma, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Sesiapa yang selalu beristighfar nescaya Allah akan menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi setiap kesedihan dan memberi rezeki tanpa diduga olehnya". (Riwayat Al-Imam Abi Daud)

Allah Subhanahu Wata'ala juga menjanjikan syurga bagi mereka yang memohon keampunan kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan menyesali atas segala perbuatannya sebagaimana firman-Nya dalam surah Ali 'Imran ayat 135-136 tafsirnya :

"Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka, dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui akan salahnya dan akibatnya. Orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan daripada Tuhan mereka dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka pula kekal di dalamnya dan demikian itulah sebaik-baik balasan bagi orang yang beramal".

Muslimin yang dirahmati Allah,
Di dalam Al-Quran dan hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam banyak mengajar tentang doa-doa yang mengandungi lafaz istighfar yang bertujuan untuk mengharap keampunan daripada Allah Subhanahu Wata'ala, antaranya :

Pertama :?Astaghfirullah, Astaghfirullah maksudnya : Aku memohon ampun kepada Allah, Aku memohon ampun kepada Allah.

Kedua : Rabbana Faghfirlana Zunubana Wakaffir Anna Sayyihatina Watawaffana Mahal Abrar tafsirnya : Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah bagi kami dosa-dosa kami dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti yang banyak berbuat kebajikan.

Ketiga : Rabbana Zalamnaa Amfusana Wa'ilam Taghfirlana Watarhamna Lanakunanna Minal Khasirin tafsirnya : Wahai Tuhan kami! Kami telah menganiaya diri kami sendiri. Dan kalau engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami nescaya jadilah kami daripada orang-orang yang rugi.

Keempat : Rabbanag firli Waliwaa lidaya Walil Mukminina Yauma Yakumul hisab tafsirnya : Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah keampunan kepadaku dan kedua ibu bapaku serta kepada orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hisab dan hari pembalasan.

Kelima : Astaghfirullah hallazi Laa 'illaha illa Huwwal Hayyul Qayyumu Wa'atubu ilaih maksudnya : Aku memohon ampun kepada Allah, tiada Tuhan kecuali Dia, Yang Tetap Hidup dan Kekal dan aku bertaubat kepada-Nya.

Manakala penghulu istighfar pula ialah yang maksudnya : Ya Allah engkau adalah Tuhanku tiada Tuhan melainkan Engkau, Engkau menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu, aku tetap pada ikatan-Mu dan janji-Mu selagi aku mampu. Aku berlindung kepada-Mu daripada kejahatan yang aku lakukan. Aku mengakui dengan nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosa-dosaku, maka ampunilah aku. Tiada yang mengampunkan dosa-dosa kecuali Engkau.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Sememangnya istighfar itu penting dalam kehidupan, maka tidak sewajarnya ia diabaikan apatah lagi dilupakan. Sedangkan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri menjadikan istighfar sebagai amalan harian. Walaupun Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mahsum (bebas daripada dosa), namun Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam tetap beristighfar setiap hari sebanyak seratus kali agar dipelihara daripada melakukan perkara-perkara yang menyebabkan dosa, betapa pula kita yang hanya sekadar manusia biasa. Oleh itu marilah kita menjadikan istighfar sebagai doa dan zikir sepanjang hari. Ini sesuai dengan azam dan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam Negara zikir yang sentiasa mengagungkan Allah Subhanahu Wata'ala.

Sebagai orang yang beriman, janganlah kita mudah leka dan lalai dengan kehidupan di dunia ini. Marilah kita sentiasa berdoa memohon perlindungan daripada Allah Subhanahu Wata'ala, sentiasa beristighfar dan bertaubat kepada-Nya serta berusaha menghindarkan diri dari berbuat perkara yang boleh mendatangkan dosa sama ada secara senghaja atau tidak dan mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata'ala menerima taubat dan istighfar kita. Amin Ya Rabbal'alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Nuh ayat 10-12 tafsirnya :

"Pohonlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia amat pengampun, kiranya kamu berbuat demikian, Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu. Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak pinak dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai yang mengalir di dalamnya".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan