ummusya

Rabu, 16 Jun 2010

khutbah jumaat

jumaat (04-Jun-2010)
21hb Jamadilakhir 1431H

AMALKAN CARA HIDUP SIHAT

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

MARILAH kita sama-sama meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Di samping itu kita bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata'ala diatas limpah kurnia-Nya yang tidak terhingga banyaknya kepada kita. Mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata'ala akan mengurniakan umur yang panjang kepada kita supaya dapat menikmati kurniaan Allah itu dan dapat mengerjakan amal ibadat dan segala suruhan-Nya sehingga kita menjadi hamba-hamba-Nya yang dikasihi-Nya di dunia dan di akhirat.

Islam menghendaki umatnya sihat dan selamat di dalam semua hal, sihat dan selamat pada jiwa, sihat dan selamat tubuh badan, sihat dan selamat akal fikiran dan juga harta benda. Kesihatan adalah antara faktor ke arah menjadikan diri masyarakat dan umat itu kuat. Umat yang kuat itulah yang diharapkan oleh agama Islam, sebagaimana hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya :

"Dari Abi Hurairah Radiallahu Anhu katanya : Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Seorang mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih disukai oleh Allah Subhanahu Wata'ala berbanding seorang mukmin yang lemah". (Riwayat Al-Imam Muslim)

Wahai kaum Muslimin yang dirahmati Allah,

Apabila kita ditimpa penyakit kita hendaklah berusaha untuk berubat, bukan membiarkannya atau berserah kepada takdir semata-mata. Alhamdulillah, di Negara Brunei Darussalam, pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menyediakan kemudahan bagi orang ramai untuk berubat dengan menyediakan pusat dan klinik kesihatan serta hospital di seluruh negara.

Kita juga sepatutnya berterima kasih kepada para doktor serta jururawat yang sentiasa sedia berkhidmat memberi rawatan kepada mereka yang memerlukan. Sesungguhnya tugas mereka ini sangat murni dan dipandang mulia. Kita sebagai masyarakat yang memerlukan dan menggunakan khidmat mereka, hendaklah sentiasa memberi sokongan dan dokongan terhadap setiap khidmat dan nasihat yang mereka berikan.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sebagaimana yang kita maklum, tema Hari Jururawat dan Bidan Antarabangsa pada 12 Mei yang lalu ialah 'Penyumbangan berkualiti, berkihidmat pada masyarakat : Jururawat memimpin penjagaan kronik'. Sememangnya penyakit-penyakit kronik telah menjadi penyakit utama global yang dihadapi oleh dunia sekarang. Penyakit ini menjadi tembok penghalang dari perkembangan dan kemajuan. Penyakit-penyakit kronik adalah keadaan penyakit yang memakan masa yang panjang dan yang datang berulang-ulang.

Perlu kita sedari, jika kita semua menjaga kesihatan, insya' Allah kita akan terhindar dari penyakit-penyakit kronik. Selain itu kita juga dapat menjimatkan wang kerajaan kerana kos penjagaan kesihatan yang berkaitan dengan penyakit-penyakit kronik adalah sangat tinggi. Bagi tahun 2008, pihak kerajaan telah membelanjakan 20.7 juta ringgit iaitu kira-kira 51 peratus dari keseluruhan perbelanjaan ubat-ubatan bagi penyakit-penyakit kronik khususnya penyakit jantung, kanser dan kencing manis. Jumlah ini tidak termasuk perbelanjaan rawatan lain seperti kos rawatan hospital, kos rawatan intensif, kos pembedahan, kos rawatan rujohan dan kos penghantaran pesakit ke luar negara.

Oleh yang demikian, dalam usaha menjaga kesihatan ini, marilah kita mengambil langkah-langkah awal penjagaan kesihatan seperti menjaga kesihatan dengan nasihat doktor atau pakar permakanan iaitu dengan bersenam, menjaga waktu makan, kualiti dan kuantiti makanan, mengurangkan makanan yang berminyak dan berlemak, mengurangkan garam dan gula dalam makanan, membanyakkan minum air serta membanyakkan makan buah-buahan yang segar. Di samping itu, kita hendaklah mempastikan makanan yang dimakan adalah makanan yang baik dan halal. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 128 tafsirnya :

"Wahai manusia! Makanlah makanan dari apa yang ada di bumi yang halal kagi baik dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan, sesungguhnya ia (syaitan) adalah musuh yang nyata bagi kamu".

Ajaran Islam telah memberikan peringatan kepada umatnya supaya jangan melakukan perkara-perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada akal dan tubuh badan dan Islam juga mengharamkan semua makanan dan minuman yang boleh membinasakan dan membahayakan diri seperti arak, babi, penyalahgunaan dadah, rokok dan sebagainya.

Sememangnya rokok atau penggunaan tembakau adalah salah satu penyebab beberapa jenis penyakit kronik seperti kanser, paru-paru, jantung dan sebagainya. Kajian telah menunjukkan bahawa penggunaan tembakau adalah penyebab kematian bagi empat juta orang di dunia pada setiap tahun. Ini bermakna pada setiap sepuluh saat, satu kematian akibat penggunaan? tembakau berlaku. Malangnya, sungguhpun bahaya tembakau telah diketahui oleh masyarakat, namun penggunaan masih juga digunakan di mana-mana.

Maka mengambil kira terhadap bahaya dan kemudaratan tembakau, beberapa buah negara di dunia termasuk Negara Brunei Darussalam telah mempunyai undang-undang yang mengawal pembekalan, penjualan, penggunaan dan pengiklanan produk tembakau. Di Negara Brunei Darussalam, perintah tembakau 2005 meliputi larangan penggunaan produk tembakau atau merokok di tempat-tempat awam. Ini adalah bertujuan untuk melindungi orang awam lain yang sedang berada di tempat tersebut daripada terdedah kepada asap rokok, selain daripada memastikan persekitaran udara yang bersih dan nyaman untuk semua. Sebagaimana yang diperuntukkan di dalam perintah tembakau 2005 dan peraturannya, sesiapa yang sabit kesalahan merokok di tempat-tempat awam boleh didenda tidak lebih dari seribu ringgit. Di antara tempat-tempat awam yang dimaksudkan adalah seperti bangunan-bangunan kerajaan, premis-premis pejabat termasuk pejabat swasta, pusat-pusat membeli belah, restoran-restoran dan kedai-kedai makan, kaki-kaki lima kedai, hospital-hospital, sekolah-sekolah, stesen-stesen dan perhentian-perhentian bas serta pasar-pasar dan tamu-tamu.

Sejak tahun 1994 lagi, pihak kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri telah mengisytiharkan semua bangunan kementerian dan jabatan kerajaan sebagai tempat ditegah merokok. Perkara ini telah berulang kali ditekankan di dalam beberapa surat-surat keliling Jabatan Perdana Menteri. Dalam hubungan ini, Kementerian Kesihatan telah mengadakan satu kaji selidik pada penghujung tahun 2009 untuk menilai langkah-langkah pencegahan merokok di bangunan-bangunan kerajaan. Daripada empat puluh satu buah bangunan kerajaan yang dilawati, empat belas buah bangunan tidak mempamerkan sebarang notis larangan merokok. Lebih mendukacitakan lagi, puntung-puntung rokok telah ditemui di tiga puluh lapan buah bangunan kerajaan yang dilawati. Malahan terdapat bangunan-bangunan kerajaan yang menyediakan tempat-tempat khas bagi perokok dengan menyediakan tempat-tempat duduk yang selesa dan tempat pembuangan puntung rokok yang khusus.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Pihak kerajaan telah mengambil langkah-langkah untuk mengawal penjualan rokok dan produk tembakau di negara ini. Dengan cara ini, penjualan rokok oleh peniaga-peniaga yang berlesen akan sentiasa dipantau dan setiap produk tembakau yang dijual adalah dikehendaki mempunyai tanda amaran kesihatan yang sah. Dalam perkara ini, sesiapa yang sabit kesalahan menjual rokok atau produk tembakau tanpa lesen yang sah boleh didenda sehingga sepuluh ribu ringgit. Begitu juga, sesiapa yang sabit kesalahan menjual rokok dan produk tembakau yang tidak mempunyai amaran kesihatan yang sah boleh didenda sehingga dua puluh ribu ringgit dan dijatuhkan hukuman penjara.

Demikian juga, denda maksima sepuluh ribu ringgit akan dikenakan kepada sesiapa yang sabit kesalahan menjual rokok atau produk tembakau kepada orang-orang yang berumur di bawah lapan belas tahun. Tindakan ini adalah tepat kerana golongan remaja dan kanak-kanak pada masa ini adalah generasi yang akan menyambung usaha kita membangunkan dan memajukan negara kita ini. Alangkah malangnya jika mereka ini terdedah kepada tabiat yang memudaratkan nyawa dan kesejahteraan mereka.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Industri tembakau sebenarnya menyedari akan kemudaratan rokok dan produk tembakau. Namun begitu, untuk memastikan keuntungan mereka berterusan dan perniagaan mereka tidak rugi, mereka sekarang semakin bijak menarik minat perokok-perokok untuk terus merokok. Terdapat alat-alat baru dan canggih yang mengaburi mata para pengguna dengan dakwaan-dakwaan kononnya produk tersebut lebih baik dari segi kesihatan. Salah satu alat yang dimaksudkan ini ialah rokok elektronik atau 'Electronic Cigarette'. Orang ramai adalah diingatkan untuk berhati-hati mengenai penggunaan rokok elektronik ini. Penjualan alat ini di Negara Brunei Darussalam adalah salah dibawah seksyen enam perintah tembakau 2005 larangan ke atas penjualan produk tembakau tiruan. Sesiapa yang sabit kesalahan membawa masuk, menjual atau menawarkan untuk jualan sebarang produk yang menyerupai suatu produk tembakau boleh didenda sehingga sepuluh ribu ringgit.

Ahli Jumaat yang dirahmati Allah,

Jika sesuatu itu sabit mendatangkan mudarat maka hendaklah ia ditinggalkan, demikian juga dalam perkara penggunaan tembakau seperti rokok, syisya dan seumpamanya, hendaklah kita jauhi dan tinggalkan. Ingatlah bahawa bahaya menggunakan tembakau bukan sedikit tetapi boleh membawa maut, bukan sahaja kepada diri sendiri bahkan juga orang lain. Marilah kita sama-sama menjadikan Hari Tanpa Tembakau Sedunia yang lalu sebagai renungan dan ingatan akan gejala tabiat buruk merokok dan yang seumpamanya dan sama-samalah kita mengambil langkah yang wajar bagi membenterasnya. Kita berdoa semoga usaha kita diberkati Allah Subhanahu Wata'ala serta kehidupan kita bahagia dan selamat di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabbal'alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata?ala dalam surah Al A'raaf ayat 157 tafsirnya :

"....Dan Dia-lah menghalalkan bagi mereka yang baik-baik dan mengharamkan keatas mereka segala yang buruk....".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan