jumaat (28-May-2010)
14hb Jamadilakhir 1431H
ULANGTAHUN ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI (ABDB)KE 49 TAHUN
Wahai kaum Muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Islam adalah agama yang mencintai keamanan dan kedamaian yang merupakan antara nikmat kurniaan Allah Subhanahu Wata'ala yang amat berharga. Dengan keamanan, agama dapat dipelihara, kemajuan dapat dijana dan keselamatan dapat dinikmati bersama. Justeru itu, kita hendaklah mensyukuri nikmat keamanan yang kita kecapi di negara ini kerana sebagaimana yang diketahui bahawa negara yang dilanda peperangan, persengketaan dan perpecahan, kehidupan rakyat negara berkenaan terdedah kepada bahaya dan sentiasa berada dalam ketakutan dan penderitaan.
Kerana itulah negara sentiasa berusaha keras untuk mengekalkan keamanan negara masing-masing antaranya membuat hubungan diplomatik dengan negara-negara jiran dan antarabangsa serta menubuhkan pasukan pertahanan bagi mempertahankan negara dari sebarang ancaman dan pencerobohan pihak musuh. Maka dengan tujuan yang sama, negara kita juga menubuhkan pasukan tentera iaitu Angkatan Bersenjata Diraja Brunei bagi menjaga dan mengekalkan keamanan, kesejahteraan dan kedaulatan negara ini.
Ahli Jumaat yang dirahmati Allah,
Menjaga keamanan itu adalah tugas dan tanggungjawab yang sangat besar yang memerlukan komitmen dan pengorbanan dari setiap anggota tentera yang berkhidmat. Kita patut berbangga dan bersyukur kerana ramai anak bangsa kita sendiri yang menyertai pasukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei untuk berkhidmat kepada raja, agama, bangsa dan negara supaya kita terus menikmati kehidupan yang aman dan sejahtera. Sebagaimana yang kita ketahui bahawa anggota tentera di negara kita juga memiliki kemahiran yang tinggi dalam bidang ketenteraan serta dilengkapi dengan peralatan yang canggih dan moden.
Namun perlu kita sama-sama ketahui bahawa kesemua itu belumlah cukup untuk menjamin kekuatan pertahanan sesebuah negara. Kerana sejarah silam telah membuktikan bahawa kekuatan dan kemenangan sebenar tentera Islam bukanlah terletak kepada keramaian tentera dan kelengkapan peralatan perangnya tetapi berpunca dari kekuatan iman. Iman itulah yang akan membuahkan keikhlasan dan kesabaran, keberanian dan ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada ketua, mempunyai semangat yang kental dan rela berkorban serta tidak gentar dan tidak takut mati dalam perjuangan yang ditempuhi.
Percayalah bahawa dengan adanya kekuatan iman yang ada dalam diri setiap anggota tentera, maka insya Allah akan melahirkan tentera yang kuat sebagaimana kekuatan tentera pada zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang dapat dijadikan iktibar dan dapat dicontohi dalam menjalankan tugas sebagai anggota angkatan bersenjata. Sebagaimana yang berlaku ketika perang Badar dimana anggota tentera Islam yang bilangannya lebih kecil yang hanya 313 orang berbanding dengan bilangan tentera Musyrikin Mekah yang seramai 1000 orang dengan kelengkapan yang mencukupi. Tetapi dengan keimanan yang? kuat, keikhlasan dalam berjihad dan sentiasa berdoa kepada Allah Subhanahu Wata'ala, berzikir dan bersatu hati dalam mempertahankan agama, akhirnya tentera Islam dapat mengalahkan tentera Musyrikin dalam peperangan Badar tersebut.
Manakala dalam perperangan Hunain pula, pada ketika itu buat pertama kalinya orang Islam mempunyai pasukan tentera yang besar dari tentera pihak musuh sehingga ramai dari kalangan mereka yakin bahawa mereka akan beroleh kemenangan. Apabila tentera Muslim yang besar itu tiba di lembah Hunain, pihak musuh tiba-tiba menyerang mereka dengan hujanan anak panah. Serangan yang tidak diduga itu telah memecah barisan pertahanan orang Islam dan ramai dari mereka berundur dan lari meninggalkan barisan pertahanan sehingga menjadi tidak teratur dan kucar kacir kerana panik dan terkejut. Peristiwa tersebut telah disebutkan dalam Al-Quran surah At Taubah ayat 25 tafsirnya :
"Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai, maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun dan semasa kamu merasa bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu, kemudian kamu berpaling undur melarikan diri".
Namun dalam keadaan tersebut, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tetap tenang dan tidak menunjukkan tanda-tanda terkejut atau gentar. Baginda memanggil para tentera untuk segera bersatu dan berkumpul. Akhirnya semangat kepahlawanan kembali semula dalam diri masing-masing lalu mereka menyerang musuh dengan semangat yang berkobar-kobar dan seterusnya tentera Islam mencapai kemenangan dengan izin Allah Subhanahu Wata?ala. Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah At Taubah ayat 26 tafsirnya :
"Kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada Rasul-Nya dan kepada orang-orang yang beriman. Dan Allah menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya serta Ia menyiksa orang-orang kafir itu dengan kekalahan yang membawa kehancuran dan yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang yang kafir".
Dari tafsiran ayat itu tadi ada menyebut bahawa Allah Subhanahu Wata'ala menolong Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan orang-orang yang beriman sehingga akhirnya tentera Muslimin beroleh kemenangan. Dalam kisah ini dapatlah kita mengambil beberapa pengajaran yang sangat besar faedahnya kepada kita semua, antaranya ialah jumlah tentera yang ramai tidaklah menjamin bahawa kita telah memiliki pertahanan yang kuat atau pun boleh membawa kemenangan dalam pertarungan tetapi apa yang lebih penting ialah iman yang kuat dalam setiap anggota tentera. Kerana adanya imanlah juga yang menyebabkan mereka menyahut panggilan Rasulullah untuk bersatu kembali dan terus berjuang walaupun pada mulanya mereka lari meninggalkan pasukan kerana gentar akibat serangan musuh yang secara tiba-tiba. Jikalau tiada iman, sudah tentu mereka akan terus lari menyelamatkan diri dari terus berjuang kerana takut dibunuh atau ditawan oleh pihak tentera musuh lebih-lebih lagi pada ketika itu tentera Islam seolah-olah hampir mengalami kekalahan.
Begitulah juga, dengan keimanan yang tetap mereka taat mematuhi perintah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai ketua pasukan tentera. Inilah kunci kejayaan dalam sebuah pasukan anggota tentera kerana sebarang bantahan dan perbuatan khianat hanya akan mengakibatkan sesebuah pasukan itu berpecah dan hancur. Sebagai umat Islam kita dikehendaki untuk mentaati pemimpin termasuklah yang memimpin dalam medan peperangan. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah An Nisaa' ayat 59 tafsirnya :
"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan Ulil Amri iaitu orang-orang yang berkuasa dari kalangan kamu".
Maka adalah menjadi tanggungjawab anggota tentera mematuhi arahan dan perintah ketua mereka samalah apa yang diperintah tidak bercanggah dengan hukum dan peraturan Islam kerana sebarang persengketaan dan pepecahan hanya akan menyebabkan kemusnahan dan kehancuran.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Sememangnya perjuangan dalam mempertahankan negara bukan hanya pada anggota tentera tetapi perlu ada pada semua lapisan masyarakat kerana negara memerlukan rakyat yang sanggup berjuang dan berkorban bagi mempertahankan negaranya. Oleh itu perasaan cinta kepada agama, raja, bangsa dan tanahair perlu disemai. Kita perlu sedar bahawa musuh yang sebenarnya bukanlah sekadar musush yang beradu kekuatan dengan kita, akan tetapi musuh yang sebenar ialah hawa nafsu yang mendorong kepada kemungkaran yang cuba menggugat kesejahteraan, keharmonian, mengancam kesucian agama dan merosakkan budaya seperti penyalahgunaan dadah, judi, pergaulan bebas dan bermacam-macam lagi gejala-gejala sosial yang boleh membawa keruntuhan moral. Sebagai rakyat dan penduduk di negara ini, kita seharusnya memerangi gejala ini daripada terus merebak meracuni pemikiran bangsa kita.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Dalam menjalankan tugas menjaga keamanan dan mempertahankan negara, ada di kalangan anggota tentera yang berkorban semasa menjalankan tugas. Bagi mengenang jasa-jasa mereka, sama-samalah kita berdoa semoga Allah Subhanahu Wata'ala menerima segala pengorbanan yang dicurahkan serta tergolong di kalangan insan yang beroleh keampunan dan rahmat Allah Subhanahu Wata'ala.
Akhirnya, dalam kita memperingati Ulangtahun Angkatan Bersenjata ini, setiap anggota tentera hendaklah sentiasa mempertingkatkan keimanan dan kekuatan kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan seterusnya bertawakal kepada Allah Subhanahu Wata'ala dalam menjalankan tugas dan menanai tanggungjawab untuk menjaga kestabilan dan keamanan negara. Mudah-mudahan agama, raja, bangsa dan negara kita akan terpelihara dan selamat serta mendapat inayah (pertolongan) dari Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbal'alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Ali 'Imran ayat 200 tafsirnya :
"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan dan kuatkanlah kesabaran kamu dan bersiap sedialah dengan kekuatan pertahanan di sempadan negeri kamu serta bertakwalah kepada Allah supaya kamu berjaya mencapai kemenangan".
Guna steroid baru badan jadi ??
15 jam yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan