khutbah jumaat
(25-Jun-2010)
12hb Rejab 1431H
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
MARILAH kita sama-sama meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Di samping itu kita bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata'ala diatas limpah kurnia-Nya yang tidak terhingga banyaknya kepada kita. Mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata'ala akan mengurniakan umur yang panjang kepada kita supaya dapat menikmati kurniaan Allah itu dan dapat mengerjakan amal ibadat dan segala suruhan-Nya sehingga kita menjadi hamba-hamba-Nya yang dikasihi-Nya di dunia dan di akhirat.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Umat Islam yang berjaya dan beruntung ialah umat Islam yang hidup dalam suasana fitrah kemanusiaan yang selari dengan prinsip ajaran syariat Islam. Kesempurnaan syariat Islam dalam mentarbiah kehidupan manusia meliputi akidahnya, peribadatannya dan juga akhlaknya.
Namun dalam mengharungi kehidupan, fitrah manusia itu seringkali dicemari dan dirosakkan oleh tingkah laku dan perbuatan yang keji yang membawa kemusnahan dan kerugian kepada manusia.
Antara faktor yang membawa kemusnahan dan penyelewengan fitrah manusia ialah melibatkan diri dengan perkara yang diharamkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala seperti minum arak, zina, judi, penyalahgunaan dadah dan pengedaran dadah dan sebagainya.
Penglibatan diri dengan dadah, bukan sekadar merosak akal fikiran dan pertimbangan manusia bahkan juga menjatuhkan maruah diri sendiri, memporak perandakan keluarga, mencemarkan martabat bangsa dan agama. Seorang penagih sanggup melakukan jenayah seperti mencuri, merompak, meragut, mencederakan orang bahkan sanggup membunuh semata-mata untuk memenuhi keperluan ketagihannya, inilah manusia yang telah merosakkan fitrah kemanusiaan mereka sendiri.
Allah Subhanahu Wata'ala telah berfirman dalam surah Al Maa-idah ayat 91 tafsirnya :
"Sesungguhnya syaitan itu mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab minum arak dan bermain judi dan menghalangi kamu daripada mengingati Allah dan mengerjakan sembahyang, maka tidakkah kamu mahu berhenti daripada melakukan perbuatan keji itu".
Muslimin yang dirahmati Allah,
Allah Subhanahu Wata'ala melarang setiap individu mendekati perkara yang boleh memudaratkan kesihatan dan membawa kepada kebinasaan. Malah mewajibkan kita memelihara keselamatan diri, akal, tubuh badan, harta, keturunan dan yang paling utama ialah memelihara agama. Kemudaratan semua jenis dadah adalah dilihat kepada kesan dan bukan pada namanya. Kesan kemudaratan dadah adalah sama dengan arak yang mana kedua-duanya mengkhayalkan dan merosakkan. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dari Abu Malik Al-Ashari bahawa ia mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda maksudnya :
"Pasti akan ada manusia di kalangan umatku yang minum khamar, namun mereka menamakannya dengan nama-nama yang lain".
Muslimin yang dirahmati Allah,
Hari Menentang Penyalahgunaan Dadah dan Pengedaran Dadah Haram diadakan pada setiap 26 Jun dan kempen dadah sedunia pada tahun ini membawakan tema 'Fikirkan Kesihatan - Bukannya Dadah'. Dadah mempunyai kesan yang boleh menyebabkan penagihnya menanggung penyakit fizikal dan mental yang kronik sepanjang hayat. Sehingga kini tidak ada pakar-pakar perubatan yang berpendapat bahawa penyalahgunaan dadah membawa kebaikan kepada manusia sama ada bagi jangka masa pendek ataupun panjang.
Melihat kepada kesan penyalahgunaan dadah maka jelaslah kepada kita bahawa dadah adalah merosakkan dan membawa akibat yang buruk. Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala melarang setiap individu Muslim mendekati apa jua perkara yang boleh menyebabkan kebinasaan pada dirinya, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al Baqarah ayat 195 tafsirnya :
"Dan janganlah kamu senghaja mencampakkan diri kamu dengan tangan kamu sendiri ke dalam bahaya kebinasaan".
Muslimin yang dirahmati Allah,
Ketahuilah bahawa pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memainkan peranan dan sentiasa bertindak dalam menangani masalah sosial yang melanda kehidupan rakyat di negara ini. Namun begitu perlu ditegaskan bahawa tanggungjawab melaksanakan 'Amar Makruf Nahi Munkar' adalah tanggungjawab kita bersama. Salah satu cara yang berkesan membantu mereka yang telah terlibat dengan penyalahgunaan dadah ialah dengan khidmat terapi kaunseling iaitu proses membantu secara komunikasi dan saikologi secara sistematik untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Dari aspek penerokaan kaunseling mendapati kebanyakan dari penagih dadah tiada keyakinan pada diri mereka, kurang mempunyai nilai-nilai kekeluargaan, kurang matang dalam pengendalian kehidupan harian dan yang lebih mendukacitakan kurang dalam pendidikan agama dalam jiwa mereka. Ketahuilah bahawa golongan yang terlibat dengan dadah perlu diberi sokongan, dorongan dan motivasi untuk meningkatkan ketahanan diri khususnya mereka yang dalam proses pemulihan dadah. Oleh itu, sebagai masyarakat kita adalah bertanggungjawab memberikan bimbingan dan dorongan kepada mereka untuk kembali ke pangkal jalan, lebih-lebih lagi sebagai ibu bapa yang menjadi tunjang kekuatan keluarga, hendaklah membimbing kehidupan keluarga supaya berada dalam landasan fitrah yang betul.
Jika peranan ini dapat dilaksanakan dengan sebaiknya maka akan tercapailah objektif dasar dadah negara iaitu keluarga bebas dadah, sekolah bebas dadah, tempat kerja bebas dadah dan seluruh pelusok tanahair bebas daripada dadah.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama peka dan berusaha untuk meningkatkan pengetahuan serta kefahaman pencegahan mengenai kesan keburukan penyalahgunaan dadah. Keprihatinan dan peranan yang aktif dari semua pihak dalam membanteras gejala dadah adalah sangat-sangat diharapkan. Mudah-mudahan dengan demikian masyarakat kita bebas dari penyalahgunaan dadah dan pengedaran dadah haram.
Akhirnya sama-samalah kita berdoa semoga dengan adanya masyarakat terutamanya belia kita yang bebas dari penyalahgunaan dadah, maka negara kita akan lebih dapat mencapai kemajuan dan seterusnya kita dapat menikmati kehidupan yang bahagia dan aman damai.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Ali 'Imran ayat 104 tafsirnya :
"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan (kebaikan) dan menyuruh berbuat yang makruf serta melarang daripada yang munkar. Dan mereka itulah orang-orang yang berjaya".
Guna steroid baru badan jadi ??
15 jam yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan