ummusya

Selasa, 30 November 2010

seminar kepimpinan pegawai2 masjid seluruh negara

selama 2 hari berkampung di pusat persidangan antarabangsa. ummusya salah seorang rapporteur di seminar tersebut.

para peserta seminar

diselajurkan dengan perasmian newsletter wadah masjid

suasana di bilik urusetia, sibuk dengan kertas kerja

hari kedua, ummusya tak sempat balik tengahari ke rumah sebab terpaksa menyiapkan resolusi untuk majlis penutup sebelah petang. makan tengahari di sana dan sempat juga membedal cheese cake yang dikidnap dari bilik vip.

ihtifal alfalaah school

hari ahad lepas, menghadiri majlis ihtifal anak-anak yang bersekolah di alfalaah school. fuuuh, hari ahad yang sangat meletihkan... jam 8 pagi ke pusat persidangan antarabangsa untuk membuat kerja-kerja terakhir untuk seminar pegawai2 masjid seluruh negara yang turut mengundang pembentang2 kertas kerja dan peserta seminar dari negara2 mabims.

geng rapporteur

jam 10 pagi balik rumah, bersiap untuk ke majlis ihtifal. jam 12 tengahari, bertolak ke bangunan yayasan pengakap di beribi (majlis ihtifal)
syahmi dan kawan2 membaca surah yasin, membaca doa penutup dan menerima sijil k3.

tetamu kehormat majlis, timbalan menteri hal ehwal ugama, ustaz pg. bahrom sedang memberi ucapan

Jumaat, 26 November 2010

graduan kecil

setiap ibu pasti bahagia dan terharu bila anaknya memperolehi kejayaan. itulah yang ku rasakan juga. syukur alhamdulillah, segala usaha, doa, marah, tangis demi menyuruh anak belajar selama ini berbalui jua.

syafiq dan kawan baiknya hj faridnur

ummusya mengiring syafiq mengambil sijil dan hadiah

sijil graduan, hadiah terbaik p.s.r dari bank taib dan dari bakti dewa school

the best p.s.r result award 2010

tahniah syafiq... semoga berjaya dalam kehidupan seterusnya di dunia dan di akhirat, amin ya rabbal alamin.

selesai majlis, perut lapar, kepala berdenyut, singgah di big papa's restaurant, ummusya order honey grill chicken rice

Rabu, 24 November 2010

majlis hari jadi di aidil adha

pada hari raya haji yang lepas, 2 orang cucunda (tua rasanya eh) telah menyambut hari lahirnya, tapi cucunda saudara, hehe... seorang umur setahun, seorang lagi umur 2 tahun. orang lain potong kambing, kerbau dan lembu, tapi mereka potong kek.

inilah kek mereka yang telah ummusya usahakan

Isnin, 22 November 2010

anggak

anggak oh anggak..
Namamu tidaklah seindah mana,
rupamu tidaklah sekacak mana,
tetapi kini kau digilai,
kau menjadi buruan ramai,
kau dicari ke sana kemari,
kau mampu memberi kemewahan,
bagi sesiapa yang memilikimu,
di sana sini kau dicari,
kerna kau sangat brnilai,

oh anggak...
di manakah kau anggak,
datanglah kepadaku..
akan ku jaga dirimu,
makan minummu akan terurus,
akan kupastikan kesejahteraanmu,
kerna aku tahu,
kemewahan yang akan kau balas padaku.

Jumaat, 19 November 2010

hari jadi ahli lajnah

selamat hari puja usia Hj. Kamaluddin a.k.a "Tuan Syeikh Muhammadiy"
ummusya hadiahkan kek chocolate cheese, tapi kek itu tercedera sedikit pada tulisan namanya semasa di kereta. Rupanya dengan rosaknya tulisan namanya itu mempunyai makna/alamat sesuatu perubahan pada namanya akan berlaku, ada cerita tersirat di sebaliknya.
deko yang ringkas, dibuat pada jam 5 subuh.

"Tuan Syeikh Muhammadiy" sedang memotong kek puja usianya.

MAKANAN TERJANA NEGARA SELAMAT

Muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Allah Subhanahu Wata'ala menciptakan manusia hidup di atas muka bumi ini adalah semata-mata untuk beribadah kepadanya dengan penuh keimanan dan ketakwaan. Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala tidak mengharapkan sesuatu daripada apa yang dilakukan oleh manusia. Perkara ini jelas dinyatakan di dalam surah Azariat ayat 56-58 tafsirnya:

"Dan ingatlah aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadah kepada Ku, Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian daripada mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepada Ku. Sesungguhnya Allah Dia-lah sahaja yang memberi rezeki kepada sekalian makhluk dan Dia-Lah sahaja yang mempunyai kekuasaan yang tidak terhingga, lagi yang Maha kuat kukuh kekuasaan-Nya".

Pengertian ibadah itu sebenarnya amat luas, bukan hanya khusus terhadap ibadah sembahyang, puasa, zakat dan haji sahaja, akan tetapi ibadah itu merangkumi segala amal perbuatan yang dilakukan dalam kehidupan ini, termasuklah juga dalam usaha kita mencari rezeki melalui pelbagai pekerjaan untuk menyara kehidupan sama ada dalam bidang pendidikan, perniagaan, pengurusan dan semua bidang pekerjaan dengan syarat semuanya itu disertakan dengan niat yang ikhlas semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Qasas ayat 77 tafsirnya:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebaikan hari akhirat dan jangan lah engkau melupakan bahafianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia".

Muslimin yang dirahmati Allah,
Agama Islam mengalakkan umatnya mencari rezeki untuk hidup kerana ia adalah satu tuntutan atau kewajipan keatas manusia bagi memenuhi keperluan kehidupan seharian seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan keperluan lain samada untuk diri sendiri mahupun orang yang berada dibawah tanggungannya. Namun apa yang penting dan perlu diingat bahawa rezeki yang dicari dan diperolehi itu biarlah dari sumber yang baik dan halal serta diberkati oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Agama Islam juga menuntut umatnya supaya berusaha dan bekerja dengan bersungguh-sungguh bagi meningkatkan taraf kehidupan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Islam melarang dan memandang rendah kepada umatnya yang malas bekerja yang hanya bergantung nasib kepada pertolongan orang lain.

Dalam suasana kehidupan yang penuh persaingan pada masa ini, sikap memilih pekerjaan sudah tidak sesuai lagi. Selain peluang berkhidmat dengan kerajaan atau pihak swasta, ada banyak peluang pekerjaan lain yang boleh diceburi dan diusahakan seperti pertanian, perikanan, penternakkan dan sebagainya.

Sesungguhnya pekerjaan dibidang pertanian, penternakkan dan perikanan itu adalah satu kerja yang murni disisi agama, masyarakat dan negara khususnya untuk mempastikan negara kita tidak terlalu bergantung kepada bekalan dari luar negara yang belum tentu selamat dan halal.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Seperti yang telah diketahui pada setiap 1 November telah diishtiharkan sebagai hari peladang, petani, penternak dan nelayan di Negara Brunei Darussalam, dan pada tahu ini hari tersebut disambut dengan tema "Makanan Terjana, Negara Selamat". Sesungguhnya menjana makanan negara ada satu usaha murni yang digalakkan dalam membentuk kehidupan masyarakat yang berdikari dan berupaya memberi sumbangan kepada negara keperluan penduduk sendiri dengan mengurangkan kebergantungan kepada bekalan dari negara luar.

Jaminan keselamatan makanan negara ini adalah mustahak terutama sekali dalam menengani masa-masa kritikal seperti krisis kekurangan makanan yang disebabkan oleh pergolakkan politik, bencana alam, perubahan iklim, jangkitan wabak penyakit dan lain-lain.

Apa yang penting, makanan yang dihasilkan hendaklah dijamin kebersihannyam kehalalannya, selamat dan memenuhi penyawaian dan peraturan kebersihan dan keselamatan makanan yang digariskan dan tidak dicemari oleh bahan-bahan yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesihatan awam atau daripada benda yang haram dan meragukan.

Sesungguhnya bidang pertanian, perikanan, penternakkan khususnya dalam pengeluaran makanan dan produk halal membuka peluang pekerjaan dan keuntungan besar kepada pelabur dan pengusaha. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Mulk ayat 15 tafsirnya:

"Dia-lah yang menjadikan bumi untuk kamu, mudah digunakan, maka berjalanlah dimerata-rata jarak rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah, dan ingatlah kepada Allah jualah tempat kembali kamu sesudah dibangkitkan hidup semula, maka hargailah nikmat dan takutilah kemurkaan-Nya".

Muslimin yang dirahmati Allah,
Islam amat menitikberatkan bidang pertanian kerana ina bukan sahaja untuk kepentingan agama tetapi juga memberi sumbangan yang besar kepada peningkatan ekonomi negara dan kesejahteraan kehidupan manusia sejagat.

Rasulullah Sallahu Alahi Wasalam telah menekankan di dalam sabdanya tentang betapa perlunya tanah pertanian dibangunkan untuk menghasilkan bahan makanan dan tidak mengizinkan sama sekali tanah dibiarkan dan dibazirkan begitu sahaja. Perkara ini dijelaskan dalam sebuah hadith baginda maksudnya:

"Dari Sulaiman bin Yasar, bahawa Rapi' bin Khadij berkata: Rasulullah Sallahu Alahi Wasalam bersabda: Sesiapa yang mempunyai tanah hendaklah dia mengerjakannya dengan bertani atau jika dia tidak berupaya melakukannya hendaklah menyerahkannya kepada saudaranya supaya diusahakan dan janganlah dia menyewakan hanya seper tiga dan seper empat" (Riwayat Al-Imam Abu Daud)

Berdasarkan hadith tersebut, jelas bahawa manusia bertanggungjawab untuk memakmurkan bumi ini sebagai tanda kesyukuran dengan memanfaatkan hasil ciptaan Allah Subhanahu Wata'ala untuk kebajikan manusia.

Oleh yang demikian, kita hendaklah memajukan dan mempertingkatkan lagi bidang pertanian, perikanan dan penternakkan dengan cara menjadikannya sebagai sumber perniagaan kerana bidang tersebut nyata memberi keuntungan, manfaat kepada manusia sejagat dan memperluaskan pengeluaran makanan halal dunia. Akhirnya marilah kita berdoa semoga negara kita akan sentiasa maju dalam bidang pertanian, perikanan dan penternakan, dan sekaligus akan meningkatkan ekonomi negara. Amin Ya Rabbal Alamin.

"Dan makanlah yang halal lagi baik dari rezeki yang Allah telah kurniakan kepada kamu, dan bertakwalah kepada Allah yang kepadanya sahaja kamu beriman". (Surah Al-Maidah ayat 88)

islam melarang perbuatan meminta-minta

Saudara-saudara umat Islam sekalian,
AIDILADHA atau hari Hari Raya Haji adalah salah satu di antara hari-hari yang besar dalam Islam yang mesti dibesarkan menurut selayaknya dengan bertakbir, bersembahyang sunat hari raya dan menyembelih binatang korban.

Memperkatakan tentang ibadah korban pula, sebenarnya ibadah korban itu mendidik umat Islam supaya bersifat dermawan dan murah hati, kerana semua nikmat yang ada pada hakikatnya adalah pinjaman dan amanah Allah Subhanahu Wata'ala, yang kelak pasti akan diambilnya satu persatu, maka segala nikmat yang ada pada diri kita hendaklah dimafaatkan dengan sebaiknya.

Oleh itu bagi mereka yang mampu, lakukanlah penyembelihan korban pada setiap tahun, yang daging dijadikan sedekah kepada fakir miskin dan boleh dijadikan hadiah kepada orang-orang yang mampu seperti jiran tetangga serta rakan taulan yang beragama Islam.

Pada kelazimannya, pihak yang berkorban akan mencari dan menjemput mereka yang berhak menerima daging-daging korban, dan bukannya para penerima yang meminta-minta. Keadaan beginilah yang amat terpuji kerana seperti yang kita sedia maklum bahawa agama Islam melarang umatnya dari perbuatan meminta-minta. Walaupun seseorang itu ditakdirkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala untuk menjadi seorang miskin atau fakir, namun mereka tetap tidak digalakkan untuk meminta-minta. Ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah Sallahu Alahi Wasalam maksudnya:

"Dari Abi Hurairah Radiaallahu Anhu, bahawa Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam bersabda: Orang fakir miskin bukanlah orang yang menadah tangan meminta-minta kesana kemari kepada orang ramai, yang apabila ia mendapat sesuap atau dua suap makanan, atau mendapat sebiji atau dua biji buah kurma, ia akan pergi ke tempat lain. Akan tetapi fakir miskin itu ialah orang yang tidak mempunyai sesuatu yang mencukupi bagi menyara hidupnya. Dan orang ramai pula tidak mengetahui keadaan penderitaan untuk diberi bantuan dan ia pula malu hendak meminta-minta bantuan kepada orang ramai". (Riwayat Al-Imam Bukhari)

Muslimin yang dirahmati Allah,
Agama Islam mengalakkan umatnya supaya berusaha dan bekerja dengan bersungguh-sungguh bagi meningkatkan taraf kehidupan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Justeru agama melarang orang dari malas bekerja dan hanya bergantung nasib kepada pertolongan orang lain.

Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam juga ada berpesan bahawa orang yang bekerja mencari rezeki itu walaupun hasilnya sedikit, itu adalah lebih baik dari perbuatan meminta-minta, sebagaimana sabda baginda dalam sebuah hadith maksudnya:

"Dari Aniz Zubar bin Uwam Radiaallahu Anhu, dari Nabi Sallahu Alaihi Wasalam baginda bersabda: Sekiranya salah seorang dari kamu membawa tali lalu pergi ke bukit untuk mencari kayu, kemudian ia pikul kayu tersebut ke pasar untuk menjualnya demi menjaga kehormatannya, yang demikian itu adalah lebih baik daripada meminta-minta kepada orang lain, baik diberi mahupun ditolak". (Riwayat Al-Imam Bukhari)

Dalam sebuah riwayat pula ada diceritakan bahawa telah datang seorang sahabat daripada ansar kerana meminta sesuatu pertolongan. Maka ditanya oleh baginda: Apakah tuan ada menyimpan sesuatu barang yang boleh dijual di rumah tuan. Sahabat menjawab: Ya ada, sehelai kain cadar yang lebar, separuh daripadanya hamba pakai untuk selimut dan separuh lagi hamba tinggalkan di rumah, selain itu hamba juga ada menyimpan sebuah mangkuk piring untuk hamba minum. Rasul Allah bersabda: Bawalah kemari keduanya. Setelah ia mengambil dan diserahkan kepada baginda, maka segeralah baginda menawarkan barang tersebut kepada sahabat-sahabat yang hadir, siapakah di antara kalian yang mahu membeli barang ini? Seseorang berkata: Saya akan membelinya satu derham, baginda menawarkan kembali: Siapakah yang mahu membeli lebih dari satu derham? Maka seorang sahabat yang lain berkata: Saya beli keduanya dua derham, setelah wang itu diterima baginda, maka diserahkannya kepada sahabat anasir tadi sambil bersabda: Satu derham supaya kamu belikan makanan untuk keluarga mu dan yang satu derham supaya kamu pakai untuk membeli kapak dan bawa kemari. Setelah orang itu membeli kapak dan dibawanya kepada Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam, maka baginda memasang kayu sebagai pegangan kapak tersebut seraya bersabda: Pergilah mencari kayu dan jual lah dan janganlah datang kemari selama 15 hari, maka dia menuruti perintah baginda dan hasil penjualannya sudah mencapai sepuluh derham digunakannya. Kemudian ia datang kepada Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam untuk memberitahu tentang keadaannya, maka baginda bersabda: Tidakkah ini lebih baik bagimu daripada datang pada hari kiamat dengan titik hitam di mukamu akibat perbuatan meminta-minta dan mengemis.

Jika kita amat-amati daripada kisah tadi jelas bahawa Islam sangat mengalakkan umatnya berusaha dan bekerja dan melarang umatnya meminta-minta dan hanya mengharapkan bantuan orang lain. Orang yang malas bekerja hanya akan menjadi beban kepada orang lain. Sesungguhnya siapa yang berusaha untuk mencukupi keperluan keluarganya dan tidak berharap kepada bantuan orang, maka itu adalah jihad Fi Sabilillah.

Orang yang demikian, wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah, kita sebagai umat Islam hendaklah mengelakkan diri daripada perbuatan meminta-minta. Sesungguhnya perbuatan meminta-minta tanpa sebab yang mengharuskan itu hanya menjatuhkan maruahnya dan menjejaskan imej dirinya. Malahan perbuatan meminta-minta hanya akan mencerminkan sikap yang negatif dalam masyarakat iaitu sentiasa bergantung kepada ihsan dan bantuan orang ramai atau pihak tertentu. Sebagai orang Islam, kita hendaklah rajin berusaha dan bersungguh-sungguh mencari rezeki yang halal serta sentiasa bersyukur, sabar dan redha dengan apa jua kurnia dan pemberian Allah Subhanahu Wata'ala. Semoga dengan demikian, mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata'ala mengurnuakan rezeki yang melimpah ruah lagi berkat keatas kita semua. Amin Ya Rabbal Alamin.

"Katakanlah Wahai Muhammad, sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakinya di antara hamba-hambanya, dan ia juga yang menyempitkan baginya dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan meningkatkannya, dan dialah juga sebaik-baik pemberi rezeki" (Surah Saba' ayat 39)

kisah menyayat hati

Saudara-saudara umat Islam yang dirahmati Allah,
ALHAMDULILLAH, marilah kita bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala yang telah melimpahkan taufik dan hidayah serta nikmat-Nya yang tidak terhingga kepada kita. Nikmat adalah satu anugerah daripada Allah Subhanahu Wata'ala yang semestinya kita syukuri dengan melakukan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Apa yang jelas, umat Islam pada hari ini telah dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala dengan dua nikmat yang besar iaitu:

Pertama: Sebahagian umat Islam pada ketika ini mendapat nikmat kerana menjadi dhufurrahman atau tetamu Allah di tanah suci untuk menunaikan ibadah haji.

Kedua: Bagi kita yang tidak menunaikan ibadah haji, masih berpeluang menikmati dan menghayati syiar Aidiladha yang agung dan bermakna dalam suasana yang selesa, rukun damai, sejahtera dan sentiasa berada dibawah perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala.

Sebagaimana yang kita maklumi Aidiladha mengandungi faedah sejarah agung iaitu Nabi Ibrahim Alaihi Salam bersama isterinya Siti Hajar dan anaknya Nabi Ismail Alaihi Salam dalam mentaati perintah Allah Subhanahu Wata'ala yang sepatutnya dicontohi oleh segenap lapisan masyarakat dalam membina syahsiah diri dan seterusnya meraih kecemerlangan yang meliputi aspek jasmani dan rohani, duniawi dan ukhrawi. Kisah ini mengandungi nilai ketaatan dan kesabaran yang luar biasa yang tiada tolak bandingnya.

Dalam peristiwa ini, Nabi Ibrahim Alaihi Salam telah diperintahkan Allah Subhanahu Wata'ala untuk membawa isterinya Siti Hajar, bersama puteranya Ismail yang masih menyusu, meredah padang pasir yang luas dengan keadaan cuaca yang panas terik di waktu siang dan terlalu dingin di waktu malam dari Palestin menuju ke Mekah, yang jarak di antara kedua-duanya melebihi seribu batu. Betapa sulitnya dan susahnya perjalanan pada waktu itu, hingga akhirnya sampai di satu tempat yang telah ditentukan oleh Allah Subhanahu Wata'ala iaitu di suatu lembah yang gersang yang tidak ada tumbuh-tumbuhan. Bayangkanlah betapa susahnya kehidupan mereka di tempat yang sedemikian tanpa ada sumber makanan dan minuman.

Kemudian, demi untuk mematuhi perintah Allah Subhanahu Wata'ala, dengan perasaan sedih, baginda meninggalkan anak dan isterinya dalam keadaan hidup yang serba kekurangan dan suasana yang sunyi sepi untuk kembali ke Palestin. Betapa sedih dan cemasnya Siti Hajar ketika akan ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim Alaihi Salam seorang diri bersama dengan anaknya yang masih kecil di tempat yang sunyi sepi dari segala-galanya kecuali batu, gunung dan pasir. Ia lalu merintih dan menangis, memohon belas kesihan agar tidak ditinggalkan. Tetapi atas perintah Allah Subhanahu Wata'ala, Nabi Ibrahim Alahi Salam yakin bahawa Allah Subhanahu Wata'ala tidak akan membiarkan mereka berdua tanpa perlindungan, rahmat dan pemeliharaannya. Sebelum meninggalkan anak dan isteri yang disayangi, Nabi Ibrahim Alaihi Salam telah berdoa sebagaimana yang terkandung dalam firman Allah Subhanahu Wata'ala, surah Ibrahim ayat 37 tafsirnya:

"Wahai Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (tanah suci mekah) yang tidak ada tanaman padanya, disisi rumah mu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, mereka ditempatkan di situ supaya mereka mendirikan sembahyang dan memakmurkannya dengan ibadah. Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, supaya datang beramai-ramai ke situ, dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur".

Akhirnya, berkat doa Nabi Ibrahim Alaihi Salam dan berkat ketakwaan dan kesabaran Siti Hajar, Mekah telah menjadi sebuah kota suci yang aman dan makmur, sentiasa dikunjungi oleh umat Islam dari seluruh pelusuk dunia sepanjang tahun untuk menunaikan haji dan umrah.

Saudara-saudara umat Islam yang dirahmati Allah,
Pengorbanan dan kesabaran Nabi Ibrahim Alaihi Salam teruji lagi apabila Allah Subhanahu Wata'ala memerintahkannya untuk menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail Alaihi Salam sebagai korban. Alangkah hebatnya pengorbanan yang ditunjukkan oleh mereka berdua apabila Nabi Ismail Alaihi Salam sendiri menyatakan kepada ayahnya supaya melaksanakan apa yang telah diperintahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala itu tanpa ragu-ragu sambil berkata:

"Aku hanya meminta dalam melaksanakan perintah Allah itu agar ayah mengikatku kuat-kuat supaya aku tidak banyak bergerak sehingga menyusahkan ayah. Kedua, agar menanggalkan pakaian ku supaya tidak terkena darahku yang dapat menyebabkan berkurangnya pahala ku dan terharunya ibuku bila melihatnya. Ketiga, tajamkanlah parangmu dan percepatkanlah pelaksanaan menyembelih agar meringankan penderitaan dan rasa pedihku. Keempat, sampaikanlah salamku kepada ibu ku, berikanlah kepadanya pakaianku ini untuk menjadi penghiburnya dalam kesedihan dan cenderahati serta kenang-kenangan baginya dari putera tunggalnya"

Kemudian Nabi Ibrahim Alaihi Salam memeluk Nabi Ismail Alahi Salam dan mencium pipinya lalu berkata: Bahagialah aku mempunyai seorang putera yang taat kepada Allah, berbakti kepada orang tua dengan ikhlas hati menyerahkan dirinya untuk melaksanakan perintah Allah Subhanahu Wata'ala.

Perkara ini merupakan satu ujian yang dahsyat dan menyayat hati kerana sejak muda lagi Nabi Ibarahim Alaihi Salam telah bercita-cita untuk memperolehi anak yang soleh. Tetapi setelah mendapat anak dalam usia yang lanjut, baginda diperintahkan pula untuk menyembelihnya dengan tangan sendiri.

Saat penyembelihan yang mengerikan pun tiba, diikatlah kedua tangan dan kaki Nabi Ismail Alaihi Salam, dibaringkan di atas lantai, lalu Nabi Ibrahim Alaihi Salam pun mengambil parang tajam yang sudah tersedia. Sambil memegang parang di tangannya dengan kedua mata Nabi Ibrahim Alaihi Salam yang bergenang air mata berpindah memandang dari wajah puteranya ke parang yang mengilap di tangannya, seakan-akan pada masa itu hati baginda menjadi tempat pertarungan antara perasaan seorang ayah di satu pihak dan kewajipan seorang rasul di lain pihak. Pada akhirnya dengan memejamkan matanya, parang diletakkan di leher Nabi Ismail Alaihi Salam dan penyembelihan pun dilakukan. Akan tetapi, parang yang sudah sedemikian tajamnya itu ternyata tidak dapat berfungsi sebagaimana semestinya. Apabila Nabi Ismail Alaihi Salam merasa bahawa parang itu tidak memotong lehernya, berkatalah ia kepada ayahnya: Wahai ayahku! Rupa-rupanya engkau tidak sampai hati memotong leherku kerana melihat wajahku, cubalah telengkupkan aku dan laksanakanlah tugas tanpa melihat wajahku.

Akan tetapi parang itu tetap tidak berdaya mengeluarkan setitis darah pun dari daging Nabi Ismail Alaihi Salam walau ia telah ditelengkupkan dan dicuba memotong lehernya dari belakang.

Dalam keadaan bingung dan sedih hati, kerana kekal dalam usaha menyembelih puteranya, datanglah wahyu Allah kepada Nabi Ibrahim Alaihi Salam dengan firmannya dalam surah As-Safat ayat 104 yang tafsirnya:

"Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anaknya dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dan Kami kekalkan baginya nama yang harum dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian"

Kejadian tersebut merupakan suatu mukjizat dari Allah Subhanahu Wata'ala yang menegaskan bahawa perintah pengorbanan Nabi Ismail Alaihi Salam itu hanya suatu ujian bagi Nabi Ibrahim Alaihi Salam berhubung sejauh mana rasa cinta dan taat mereka kepada Allah Subhanahu Wata'ala, dan inilah asal permulaan sunah berkorban yang dilakukan oleh umat Islam pada setiap Hari Raya Aidiladha di seluruh dunia.

Saudara muslimin muslimat sekalian,
Demikianlah kisah perjuangan dan pengorbanan agung yang dicontohkan oleh Nabi Ibrahim Alaihi Salam dan keluarganya dalam mentaati perintah Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh kesabaran, keimanan dan ketakwaan, yang sememangnya sukar dilakukan oleh manusia biasa seperti kita. Oleh itu marilah kita menanamkan sifat ingin berkorban umpamanya berkorban wang ringgit, masa, pikiran, tenaga dan sebagainya dalam mentaati perintah Allah Subhanahu Wata'ala. Tetapi apa yang paling penting, setiap pengorbanan itu hendaklah disertakan dengan keikhlasan semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala.

"Dan ingatlah, ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa kalimah suruhan dan larangan, maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. Setelah itu Allah berfirman: Sesungguhnya aku melantikmu menjadi imam (pemimpin ikutan) bagi umat manusia. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: Jadikanlah juga apalah jua kiranya dari keturunanku pemimpin-pemimpin ikutan. Allah berfirman: Permohonanmu diterima, tetapi janjiku ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim". (Surah Al-Baqarah ayat 124)

Isnin, 15 November 2010

berhati2 dari terpengaruh dengan ajaran yang menyeleweng

Muslimin yang dirahmati Allah,
Agama Islam adalah agama yang syumul (lengkap) kerana Islam diasaskan atas tiga dasar utama iaitu akidah, syariat dan akhlak. Ketiga-tiga dasar ini menjadi tunggak utama kepada kekuatan, kesempurnaan dan keindahan Islam.

Rahsia kebenaran Islam adalah berdasarkan kepada dua sumber iaitu Al-Qur'an dan Al-Sunnah. Maka keselamatan umat Islam di dunia dan di akhirat adalah terletak pada ukuran sejauh mana seseorang itu berpegang teguh kepada kandungan Al-Qur'an dan Al-Sunnah. Hal ini ditegaskan dalam sebuah hadith Rasulullah Sallahu Alaihi Wassalam:

"Dari Abi Abas Radiallahu Anhuma "Sesungguhnya Rasulullah Sallahu Alaihi Wassalam bersabda: "Sesungguhnya aku tinggalkan untuk kamu, selama kamu masih berpegang kepadanya maka kamu tidak akan tersesat selama-lamanya, iaitu kitab Allah (Al-Qur'an) dan sunnah nabi-Nya" (Riwayat Al-Imam Hakim)

Muslimin yang diberkati Allah,
Perlu kita sedari bahawa umat Islam pada masa ini terdedah dengan berbagai anasir yang memesongkan akidah umat Islam yang dilakukan oleh orang-orang yang cuba memperdayakan umat Islam dengan ajaran-ajaran yang jauh menyimpang dari ajaran Islam. Mereka bertopengkan Islam tetapi hakikatnya mereka jauh tersasar dan menyeleweng dari landasan dan akidah Islam.

Penyelewengan tersebut kebiasaanya bermula dalam bentuk yang halus dan teliti supaya tidak mudah dikesan. Kemudian penyelewengan itu semakin meningkat dan membesar dengan keahlian yang ramai sehingga ahli-ahli berkenaan tidak menyedari ajaran tersebut menyimpang dan tersasar daripada akidah Islam yang sebenar. Mereka begitu mudah terpengaruh dengan fahamn yang berselindung disebalik lebel Islam yang mereka amalkan. Mereka yang berpegang dengan ajaran-ajaran sesat akan tertarik dengan ajaran yang dibawa itu bersandarkan dakwaan-dakwaan kononya para pengikut akan memperolehi keistimewaan, keajaiban, kekuatan luar biasa seperti kebal, kebahagiaan sejati, mengetahui persoalan-soalan ghaib dan sebagainya.

Sesungguhnya amalan-amalan tersebut adalah bertentangan dengan ajaran agama Islam. Sejarah telah membuktikan bahawa tidak terdapat sebarang dalil Al-Qur'an dan Al-Sunnah yang menunjukkan bahawa amalan-amalan itu wujud dan dipraktikkan oleh para sahabat dan salapusaleh. Sedangkan Rasulullah Sallahu Alaihi Wassalam sendiri yang merupakan manusia utusan Allah yang teragung pernah tercedera dalam perperangan Uhud, dan terdapat juga para sahabat yang terkorban sebagai syahid.

Begitu juga dengan perkara-perkara yang berhubung kait dengan kuasa-kuasa ghaib seperti mendakwa mengetahui pintu-pintu langit dibuka. Menurut ajaran Islam, perkara ghaib seperti ini hanya Allah Subhanahu Wata?ala yang mengetahuinya, kecuali Allah menghendaki untuk disampaikan perkara ghaib itu kepada hamba pilihannya iaitu nabi-nabi dan rasul-rasul. Hal ini telah ditegaskan oleh Allah Subhanahu Wata'ala melalui firman-Nya dalam surah Aj-Jan ayat 26-27 tafsirnya:

"Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapa pun. Kecuali kepada mana-mana rasul yang diredhai-Nya untuk mengetahui sebahagian daripada perkara-perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya: Apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian maka dia mengadakan dihadapan dan dibelakang rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan".

Muslimin yang dirahmati Allah,
Adapun hal yang berkaitan dengan roh adalah termasuk dalam perkara-perkara ghaib yang hanya ditentukan oleh Allah Subhanahu Wata'ala di dalam ilmu-Nya sebagaimana firman-Nya dalam surah An-Namal ayat 65 tafsirnya:

"Katakanlah: Tiada sesiapa di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah. Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula sesudah mati"

Firman Allah Subhanahu Wata'ala lagi dalam surah Al-Isra' ayat 85 tafsirnya:

"Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah: Roh itu daripada perkara urusan Tuhanku: Dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja"

Oleh yang demikian dakwaan yang berhubung kait dengan roh seperti boleh memanggil atau menghadirkan roh adalah dakwaan batil yang tidak mempunyai asas samada dari nas atau logik, bahkan Allah Subhanahu Wata'ala sahaja yang mengetahui dan menguasai roh-roh itu dan dia sahaja yang berupaya mengendalikannya sebagaimana yang dikehendakinya.
Selain itu, ajaran dan fahaman yang juga termasuk dalam ajaran sesat ialah ajaran-ajaran yang mendakwa bahwa Allah Subhanahu Wata'ala telah menzahirkan zatnya dan menjelma masuk ke dalam Rasulullah Sallahu Alaihi Wassalam, maka bersatulah dua jasad dengan roh yang satu. Fahaman itu sama seperti dakwaan golongan yang mengatakan penjelmaan Allah Subhanahu Wata'ala ada dalam diri Nabi Isa Alaihi Salam. Dakwaan itu ditolak oleh firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Maidah ayat 73 tafsirnya:

"Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: Bahawa Allah ialah salah satu dari tiga Tuhan, pada hal tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Tuhan yang Maha Esa".

Muslimin yang dirahmati Allah,
Pendapat penjelmaan zat Allah di dalam jasad manusia juga telah menjadi pegangan segolongan pelampau Syiah yang mendewa-dewakan Saidina Ali Karamaallah Wajhah. Begitu juga kaum Bahai telah mengiktikadkan bahawa rasul-rasul Allah itu adalah penjelmaan dari Tuhan. Semua pendapat ini adalah kufur yang nyata dan terkeluar dari agama Islam.

Dalam hal ini, Ahli Sunnah Wal Jamaah telah sepakat mengatakan bahawa Allah Subhanahu Wata'ala maha suci daripada menyerupai segala yang baharu, dan Allah Subhanahu Wata?ala tidak berjisim, bukannya banyak-banyak dan kembar, bukannya daging dan tulang. Hal ini dijelaskan oleh Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Ashura ayat 11 tafsirnya:

"Tidak ada sesuatu yang serupa dengan Dia dan Dia-lah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat"

Ahli Sunnah Wal Jamaah juga sepakat bahawa Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wassalam diciptakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala sebagaimana Allah menciptakan manusia yang lain. Firman Allah Subhanahu Wata?ala dalam surah Al-Kahfa ayat 110 tafsirnya:

"Katakanlah wahai Muhammad sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu"

Muslimin yang dirahmati Allah,
Penyelewengan akidah itu bukannya setakat yang berhubung kait dengan hal ketuhanan, bahkan sekarang ini terdapat ansur-ansur penyelewengan yang dilakukan oleh sebilangan orang yang berselindung dengan menggunakan ayat-ayat Al-Qur'an bahi maksud dan tujuan yang salah dan bersifat maksiat yang bertentangan dengan kehendak ayat Al-Qur'an itu sendiri. Umpamanya amalan sebahagian bomoh yang mendakwa mereka adalah orang ilmu yang mengubat pesakit secara berkurung dalam bilik tanpa orang lain, sekalipun pesakit itu bukan mahramnya seperti isteri atau suami orang, yang kadang-kadang membawa kepada kelakuan sumbang. Tidakan seperti ini, hanya bertopeng dengan ayat Al-Qur'an bagi maksud mengaburi mata orang ramai dan melindungi kesesatan aktiviti atau amalan mereka. Sedangkan pada hakikatnya perbuatan mereka jelas sekali adalah mungkar dan maksiat.

Berdasarkan ciri-ciri dan kriteria penyelewengan akidah yang telah dijelaskan tadi membuktikan bahawa mereka adalah tergolong dalam kumpulan ajaran yang salah dan sesat serta bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenar. Oleh itu kita semestinya meningkatkan ilmu pengetahuan dan berwaspada dalam memelihara kesucian dan kesempurnaan akidah dan syariah Islam serta menjauhkan diri dari terlibat dengan kumpulan yang dikaitkan dengan fahaman atau ajaran sesat. Janganlah terpengaruh dan terikut-ikut sesuatu ajaran yang kita tidak ada ilmu tentangnya kerana ditakuti akan merosakkan iman dan mengundang kemurkaan Allah Subhanahu Wata'ala. Jika kita merasa ragu dan was-was tentang sesuatu perkara hendaklah merujuk atau bertanya kepada pihak yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal akidah dan syariah atau mereka yang lebih arif dalam bidang agama.

Sama-samalah kita berdoa semoga kita terhindar dari segala anasir yang menyesatkan dan menyelewengkan akidah kita. Mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata'ala menetapkan hati kita agar terpelihara dan sentiasa berpegang teguh dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Amin Ya Rabbal Alamin.

"Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya: Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya" (Surah Al-Isra' ayat 36)

Jumaat, 12 November 2010

majlis harijadi di bulan ramadan

pada bulan ramadan yang lalu, iaitu 3 september 2010 kami telah mengadakan majlis 'all in one' iaitu - hari jadi, akikah, tahlil, menyungkaikan, doa selamat dan sembahyang berjemaah maghrib, isya dan tarawih. kami memilih tarikh ini kerana 3 september adalah tarikh lahir syazwan rahimahullah. kami ingin menyampaikan keinginan semasa hidupnya yang tidak kesampaian, iaitu dia ingin menyambut harijadinya dengan menjemput ramai orang.

kebetulan harijadi syawana baru beberapa hari sebelum tarikh itu iaitu 18.8, jadi diselajurkanlah jua. dibubuhkan jua harijadi 2 orang sepupu mereka yang harijadi mereka pada bulan ogos. maka ummusya ada tugas untuk menyiapkan 4 biji kek pada hari itu di samping menyiapkan untuk hidangan bersungkai. dari subuh mula beroperasi hinggalah ke petang. yang lucunya sewaktu mendeko kek birthday, lemah longlai tak bermaya, letih campur mengantuuuuk....

alhamdulillah, kek mampu disiapkan dangan ala kadarnya, inilah hasilnya....

kek harijadi Syazwan rahimahullah

kek harijadi syazwana


kek harijadi muhd. aisamuddin. bila tengok gambar, terasa macam perlawanan bola waktu malam di stadium sebab ada bayang2 pemain bola. hehe...

kek harijadi nurin jazlina


untuk majlis sungkai pula, ummusya masak kambing akikah masak hitam manis, ayam panggang bersos, sayur paceri nenas, telur masin, buat air bandung dan air kausar. manakala ikan sweet & sour dan cendol beli saja. nasi,lauk2,kuih muih dan minuman yang lain2 juga banyak yang dibawa oleh para jemputan. syukran jazilan...

kambing masak hitam manis, resipinya kemudian ya...

paceri nenas, resipinya juga nanti ya...

telur masin, semua pandai merebusnya, hehe....

minuman air bandung dan air kausar. resipi air kausar akan dimuatkan kemudian, bahan air bandung hanya sirap ros dan susu cair sahaja.

ayam dan ikan tak sempat diambil gambar, sibuuuk sangat.

alhamdulillah, majlis berjalan dengan lancar dan sempurna. semua jemputan juga dapat membawa balik ole-ole tapau.

Isnin, 8 November 2010

spagheti Brunei


adapun kenapa ummusya namakan spagheti Brunei, kerana ia telah diubahsuai dengan selera orang Brunei, mana ada spagheti italy original pedas, hehe... dan lagi semua herba2 italy tidak digunakan, jadilah ia spagheti Brunei...

bahan2:
mee spagheti
minyak masak
bawang besar
daging kisar
sosej hiris
sos tomato life
sos cili life
sos tiram
air
garam
gula
tepung jagung
cheese parut

cara2:
rebus mee spagheti hingga lembut.
panaskan minyak, tumis bawang besar yang dihiris halus (small sguare), masukkan daging kisar, gaul dan tunggu hingga daging masak, masukkan sosej yang dihiris bulat, masukkan sos tomato (banyak2), masukkan sos cili (sedikit), gaul dan masukkan air, bubuh garam dan gula secukup rasa, tunggu hingga mendidih. campurkan sedikit tepung jagung + air dan masukkan ke dalam kuah tadi untuk memekatkannya. semasa menghidang, tabur cheese parut di atasnya.

MENJAGA KEBERSIHAN TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Agama Islam adalah agama yang menitik beratkan soal kebersihan samada kebersihan rohani atau jasmani. Kebersihan rohani ialah bersih hati dan jiwa dari sifat-sifat mazmumah (sifat-sifat tercela). Manakala kebersihan jasmani pula ialah bersih seluruh anggota zahir termasuklah kebersihan persekitaran, permakanan, pakaian dan tempat tinggal. Sesungguhnya menjaga kebersihan itu sangat penting kerana kebersihan adalah salah satu dari cabang iman, sebagaimana yang dijelaskan dalam sebuah hadith Rasulullah Sallahu Alaihi Wassalam:

"Dari Abi Malik 'Ash'ari berkata: Sabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wassalam: Kebersihan itu sebahagian daripada iman" (Riwayat Al-Imam Muslim)

Adapun kebersihan yang dianjurkan oleh Islam meliputi kebersihan dalam semua aspek termasuk diri sendiri, keluarga, masyarakat, organisasi dan negara, kerana kebersihan boleh mendatangkan suasana yang tenang, kesihatan yang terjamin dan mencapai kesejahteraan kepada kita semua.

Setiap amalan baik dan bersih dari segi rohani atau jasmani adalah disukai Allah Subhanahu Wata'ala. Sebagai hamba Allah kita hendaklah mengabdikan diri kepada-Nya dengan mengerjakan amalan yang tidak bercanggah dalam Islam atau yang boleh mendatangkan mudarat. Kita hendaklah membersihkan diri dari mensyirikan Allah Subhanahu Wata'ala, dari kekufuran dan segala perkara yang boleh membawa kepada bahaya dan dosa. Allah Subhanahu Wata'ala sentiasa menyukai hamba-Nya yang sentiasa mensucikan diri, sebagaimana firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 222 tafsirnya:

"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri"

Muslimin yang dirahmati Allah,
Sikap menjaga kebersihan hendaklah dijadikan sebagai amalan atau budaya dalam kehidupan kita. Bukan setakat menjaga kebersihan diri, tempat tinggal dan tempat sembahyang, malah tempat-tempat awam seperti di restoran-restoran, gerai-gerai, dan segala kemudahan awam yang disediakan oleh kerajaan seperti tempat-tempat peranginan, taman-taman rekreasi, perhentian-perhentian bas dan tandas-tandas awam hendaklah dijaga supaya sentiasa baik dan kelihatan bersih.

Bayangkanlah jika penguna tandas-tandas awam bersikap mengotor-mengotorkan dan merosak-rosakkan kemudahan tersebut, bagaimana pula keadaan penguna yang lain yang ingin mengunakan kemudahan tersebut. Di mana jati diri kita selaku orang Brunei yang pemedulian, bertimbang rasa dan lutanan, kalau kemudahan awam tersebut dikotorkan dan dirosakkan.

Kita juga hendaklah peka dan bertanggungjawab untuk menjadikan masjid, surau dan balai ibadat sentiasa dalam keadaan bersih. Dalam hal ini, sukacita diingatkan kepada pemilik premis-premis (bangunan-bangunan) yang ada menyediakan kemudahan tempat sembahyang agar memastikan tempat-tempat tersebut sentiasa dalam keadaan yang baik, selesa dan bersih.

Perlu kita sedari, bahawa mengabaikan kebersihan menyebabkan tersebarnya pelbagai penyakit seperti H1N1, kolera, cirit-birit, denggi, keracunan makanan dan sebagainya. Dengan mengabaikan kebersihan juga akan mengakibatkan suasana alam sekitar tidak segar dan tidak sihat.

Selain itu, kita digalakkan juga untuk menjaga kebersihan alam sekitar dari pencemaran dan kemusnahan, berusaha menjadikan alam sekitar berada dalam keadaan bersih sepanjang masa di samping mengekalkan keindahan alam semula jadi di negara kita untuk menarik orang ramai dan pelancong.

Untuk mewujudkan persekitaran yang bersih, sihat dan menarik, perkara-perkara berikut perlulah kita hayati bersama iaitu:
Pertama: Kita hendaklah mempertingkatkan kesedaran terhadap kebersihan diri, tempat tinggal, tempat sembahyang, tempat kerja dan seluruh tempat awam sebagai cermin kemurnian umat Islam yang mengutamakan kebersihan dalam semua bidang kehidupan.

Kedua: Setiap individu hendaklah sama-sama memikul tanggungjawab dan menanam sikap suka kepada kebersihan pada setiap masa dan ketika.

Ketiga: Hendaklah kita sama-sama mendisplinkan diri, keluarga dan masyarakat bagi menjaga imej Islam yang sukakan kebersihan dengan melahirkan persekitaran yang yang sejahtera dan selesa.

Keempat: Mengamalkan sikap ingat beringat, tegur menegur dan nasihat menasihati sesama kita dalam hal menjaga kebersihan. Dengan demikian, ia akan melahirkan perasaan suka dan cinta kepada kebersihan, dan sebaliknya tidak suka dan benci kepada kekotoran, di samping memastikan agar penyakit berjangkit tidak mudah merebak.

Kelima: Menggunakan kemudahan yang disediakan dengan sebaik mungkin seperti tong sampah, tong ktiar semula dan tempat pembuangan sampah tanpa membiarkan sampah sarap dan kekotoran bertaburan merata-rata.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Adapun salah satu amalan yang menjadi kebangaan masyarakat kita ialah bergotong-royong. Alangkah baiknya jika kita sama-sama bergotong-royong membersihkan persekitaran rumah, tempat sembahyang, tempat riadah dan tempat-tempat awam. Jangan semata-mata mengharapkan pihak berkuasa atau pekerja-pekerja yang terlibat sahaja melakukannya. Kita juga dapat memainkan peranan dan ikut serta bekerjasama menjalankan amalan ini.

Selain dari itu, amalan bergotong-royong dapat mengeratkan hubungan silaturrahim kita dan masyarakat. Ini bertepatan dengan firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Maidah ayat 2 tafsirnya:

"Dan tolong-menolonglah kamu dalam kebajikan dan keta'waan dan janganlah kamu tolong menolong dalam dosa dan permusuhan (melanggar hukum-hukum Allah Subhanahu Wata'ala)".

Semangat gotong-royong dan bekerjasama perlu wujud dalam budaya kita semua, malah menjadi sebahagian dari kehidupan di mana sahaja kita berada, semangat ini hendaklah disuburkan. Kesedaran menjaga kebersihan boleh menjamin diri, masyarakat dan negara untuk mencapai kesejahteraan dan kemakmuran.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Prinsip kebersihan di dalam Islam seperti yang ditekankan dalam bewudu' dan bersuci dalam ibadah, sepatutnya dihayatai dan dijadikan budaya dalam aktiviti hidup seharian. Adapun membudayakan amalan hidup bersih ini adalah bermula dari rumah. Oleh itu, ibubapa hendaklah membimbing dan mengajar ahli keluarga tentang aspek kebersihan. Jadilah keluarga yang mementingkan kebersihan, yang akhirnya akan menjadikan masyarakat yang mengutamakan kebersihan.

Marilah kita sama-sama menghayati dengan sebenar-benarnya erti kebersihan dalam kehidupan ini. Sesungguhnya kebersihan adalah lambang kemurnian dan kesucian umat Islam, kerana itu, hendaklah kita menjadikan amalan kebersihan sebagai budaya hidup muslim sejati. Akhirnya, kita berdoa semoga negara kita menjadi sebuah negara yang bersih dan terhindar daripada segala penyakit. Mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata'ala melimpahkan rahmat dan perlindungan serta keredhaan kita semua. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Ash-Mas ayat 9-10 tafsirnya:

"Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih dengan iman dan amal kebajikan. Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenas kebersihannya dengan sebab kekotoran maksiat".

anggerik kota


nyaman mata memandang bila anggerik di halaman mengeluarkan bunganya. tak jemu merenungnya..