ummusya

Isnin, 15 November 2010

berhati2 dari terpengaruh dengan ajaran yang menyeleweng

Muslimin yang dirahmati Allah,
Agama Islam adalah agama yang syumul (lengkap) kerana Islam diasaskan atas tiga dasar utama iaitu akidah, syariat dan akhlak. Ketiga-tiga dasar ini menjadi tunggak utama kepada kekuatan, kesempurnaan dan keindahan Islam.

Rahsia kebenaran Islam adalah berdasarkan kepada dua sumber iaitu Al-Qur'an dan Al-Sunnah. Maka keselamatan umat Islam di dunia dan di akhirat adalah terletak pada ukuran sejauh mana seseorang itu berpegang teguh kepada kandungan Al-Qur'an dan Al-Sunnah. Hal ini ditegaskan dalam sebuah hadith Rasulullah Sallahu Alaihi Wassalam:

"Dari Abi Abas Radiallahu Anhuma "Sesungguhnya Rasulullah Sallahu Alaihi Wassalam bersabda: "Sesungguhnya aku tinggalkan untuk kamu, selama kamu masih berpegang kepadanya maka kamu tidak akan tersesat selama-lamanya, iaitu kitab Allah (Al-Qur'an) dan sunnah nabi-Nya" (Riwayat Al-Imam Hakim)

Muslimin yang diberkati Allah,
Perlu kita sedari bahawa umat Islam pada masa ini terdedah dengan berbagai anasir yang memesongkan akidah umat Islam yang dilakukan oleh orang-orang yang cuba memperdayakan umat Islam dengan ajaran-ajaran yang jauh menyimpang dari ajaran Islam. Mereka bertopengkan Islam tetapi hakikatnya mereka jauh tersasar dan menyeleweng dari landasan dan akidah Islam.

Penyelewengan tersebut kebiasaanya bermula dalam bentuk yang halus dan teliti supaya tidak mudah dikesan. Kemudian penyelewengan itu semakin meningkat dan membesar dengan keahlian yang ramai sehingga ahli-ahli berkenaan tidak menyedari ajaran tersebut menyimpang dan tersasar daripada akidah Islam yang sebenar. Mereka begitu mudah terpengaruh dengan fahamn yang berselindung disebalik lebel Islam yang mereka amalkan. Mereka yang berpegang dengan ajaran-ajaran sesat akan tertarik dengan ajaran yang dibawa itu bersandarkan dakwaan-dakwaan kononya para pengikut akan memperolehi keistimewaan, keajaiban, kekuatan luar biasa seperti kebal, kebahagiaan sejati, mengetahui persoalan-soalan ghaib dan sebagainya.

Sesungguhnya amalan-amalan tersebut adalah bertentangan dengan ajaran agama Islam. Sejarah telah membuktikan bahawa tidak terdapat sebarang dalil Al-Qur'an dan Al-Sunnah yang menunjukkan bahawa amalan-amalan itu wujud dan dipraktikkan oleh para sahabat dan salapusaleh. Sedangkan Rasulullah Sallahu Alaihi Wassalam sendiri yang merupakan manusia utusan Allah yang teragung pernah tercedera dalam perperangan Uhud, dan terdapat juga para sahabat yang terkorban sebagai syahid.

Begitu juga dengan perkara-perkara yang berhubung kait dengan kuasa-kuasa ghaib seperti mendakwa mengetahui pintu-pintu langit dibuka. Menurut ajaran Islam, perkara ghaib seperti ini hanya Allah Subhanahu Wata?ala yang mengetahuinya, kecuali Allah menghendaki untuk disampaikan perkara ghaib itu kepada hamba pilihannya iaitu nabi-nabi dan rasul-rasul. Hal ini telah ditegaskan oleh Allah Subhanahu Wata'ala melalui firman-Nya dalam surah Aj-Jan ayat 26-27 tafsirnya:

"Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapa pun. Kecuali kepada mana-mana rasul yang diredhai-Nya untuk mengetahui sebahagian daripada perkara-perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya: Apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian maka dia mengadakan dihadapan dan dibelakang rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan".

Muslimin yang dirahmati Allah,
Adapun hal yang berkaitan dengan roh adalah termasuk dalam perkara-perkara ghaib yang hanya ditentukan oleh Allah Subhanahu Wata'ala di dalam ilmu-Nya sebagaimana firman-Nya dalam surah An-Namal ayat 65 tafsirnya:

"Katakanlah: Tiada sesiapa di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah. Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula sesudah mati"

Firman Allah Subhanahu Wata'ala lagi dalam surah Al-Isra' ayat 85 tafsirnya:

"Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah: Roh itu daripada perkara urusan Tuhanku: Dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja"

Oleh yang demikian dakwaan yang berhubung kait dengan roh seperti boleh memanggil atau menghadirkan roh adalah dakwaan batil yang tidak mempunyai asas samada dari nas atau logik, bahkan Allah Subhanahu Wata'ala sahaja yang mengetahui dan menguasai roh-roh itu dan dia sahaja yang berupaya mengendalikannya sebagaimana yang dikehendakinya.
Selain itu, ajaran dan fahaman yang juga termasuk dalam ajaran sesat ialah ajaran-ajaran yang mendakwa bahwa Allah Subhanahu Wata'ala telah menzahirkan zatnya dan menjelma masuk ke dalam Rasulullah Sallahu Alaihi Wassalam, maka bersatulah dua jasad dengan roh yang satu. Fahaman itu sama seperti dakwaan golongan yang mengatakan penjelmaan Allah Subhanahu Wata'ala ada dalam diri Nabi Isa Alaihi Salam. Dakwaan itu ditolak oleh firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Maidah ayat 73 tafsirnya:

"Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: Bahawa Allah ialah salah satu dari tiga Tuhan, pada hal tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Tuhan yang Maha Esa".

Muslimin yang dirahmati Allah,
Pendapat penjelmaan zat Allah di dalam jasad manusia juga telah menjadi pegangan segolongan pelampau Syiah yang mendewa-dewakan Saidina Ali Karamaallah Wajhah. Begitu juga kaum Bahai telah mengiktikadkan bahawa rasul-rasul Allah itu adalah penjelmaan dari Tuhan. Semua pendapat ini adalah kufur yang nyata dan terkeluar dari agama Islam.

Dalam hal ini, Ahli Sunnah Wal Jamaah telah sepakat mengatakan bahawa Allah Subhanahu Wata'ala maha suci daripada menyerupai segala yang baharu, dan Allah Subhanahu Wata?ala tidak berjisim, bukannya banyak-banyak dan kembar, bukannya daging dan tulang. Hal ini dijelaskan oleh Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Ashura ayat 11 tafsirnya:

"Tidak ada sesuatu yang serupa dengan Dia dan Dia-lah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat"

Ahli Sunnah Wal Jamaah juga sepakat bahawa Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wassalam diciptakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala sebagaimana Allah menciptakan manusia yang lain. Firman Allah Subhanahu Wata?ala dalam surah Al-Kahfa ayat 110 tafsirnya:

"Katakanlah wahai Muhammad sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu"

Muslimin yang dirahmati Allah,
Penyelewengan akidah itu bukannya setakat yang berhubung kait dengan hal ketuhanan, bahkan sekarang ini terdapat ansur-ansur penyelewengan yang dilakukan oleh sebilangan orang yang berselindung dengan menggunakan ayat-ayat Al-Qur'an bahi maksud dan tujuan yang salah dan bersifat maksiat yang bertentangan dengan kehendak ayat Al-Qur'an itu sendiri. Umpamanya amalan sebahagian bomoh yang mendakwa mereka adalah orang ilmu yang mengubat pesakit secara berkurung dalam bilik tanpa orang lain, sekalipun pesakit itu bukan mahramnya seperti isteri atau suami orang, yang kadang-kadang membawa kepada kelakuan sumbang. Tidakan seperti ini, hanya bertopeng dengan ayat Al-Qur'an bagi maksud mengaburi mata orang ramai dan melindungi kesesatan aktiviti atau amalan mereka. Sedangkan pada hakikatnya perbuatan mereka jelas sekali adalah mungkar dan maksiat.

Berdasarkan ciri-ciri dan kriteria penyelewengan akidah yang telah dijelaskan tadi membuktikan bahawa mereka adalah tergolong dalam kumpulan ajaran yang salah dan sesat serta bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenar. Oleh itu kita semestinya meningkatkan ilmu pengetahuan dan berwaspada dalam memelihara kesucian dan kesempurnaan akidah dan syariah Islam serta menjauhkan diri dari terlibat dengan kumpulan yang dikaitkan dengan fahaman atau ajaran sesat. Janganlah terpengaruh dan terikut-ikut sesuatu ajaran yang kita tidak ada ilmu tentangnya kerana ditakuti akan merosakkan iman dan mengundang kemurkaan Allah Subhanahu Wata'ala. Jika kita merasa ragu dan was-was tentang sesuatu perkara hendaklah merujuk atau bertanya kepada pihak yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal akidah dan syariah atau mereka yang lebih arif dalam bidang agama.

Sama-samalah kita berdoa semoga kita terhindar dari segala anasir yang menyesatkan dan menyelewengkan akidah kita. Mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata'ala menetapkan hati kita agar terpelihara dan sentiasa berpegang teguh dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Amin Ya Rabbal Alamin.

"Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya: Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya" (Surah Al-Isra' ayat 36)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan