ummusya

Isnin, 8 November 2010

MENJAGA KEBERSIHAN TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Agama Islam adalah agama yang menitik beratkan soal kebersihan samada kebersihan rohani atau jasmani. Kebersihan rohani ialah bersih hati dan jiwa dari sifat-sifat mazmumah (sifat-sifat tercela). Manakala kebersihan jasmani pula ialah bersih seluruh anggota zahir termasuklah kebersihan persekitaran, permakanan, pakaian dan tempat tinggal. Sesungguhnya menjaga kebersihan itu sangat penting kerana kebersihan adalah salah satu dari cabang iman, sebagaimana yang dijelaskan dalam sebuah hadith Rasulullah Sallahu Alaihi Wassalam:

"Dari Abi Malik 'Ash'ari berkata: Sabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wassalam: Kebersihan itu sebahagian daripada iman" (Riwayat Al-Imam Muslim)

Adapun kebersihan yang dianjurkan oleh Islam meliputi kebersihan dalam semua aspek termasuk diri sendiri, keluarga, masyarakat, organisasi dan negara, kerana kebersihan boleh mendatangkan suasana yang tenang, kesihatan yang terjamin dan mencapai kesejahteraan kepada kita semua.

Setiap amalan baik dan bersih dari segi rohani atau jasmani adalah disukai Allah Subhanahu Wata'ala. Sebagai hamba Allah kita hendaklah mengabdikan diri kepada-Nya dengan mengerjakan amalan yang tidak bercanggah dalam Islam atau yang boleh mendatangkan mudarat. Kita hendaklah membersihkan diri dari mensyirikan Allah Subhanahu Wata'ala, dari kekufuran dan segala perkara yang boleh membawa kepada bahaya dan dosa. Allah Subhanahu Wata'ala sentiasa menyukai hamba-Nya yang sentiasa mensucikan diri, sebagaimana firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 222 tafsirnya:

"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri"

Muslimin yang dirahmati Allah,
Sikap menjaga kebersihan hendaklah dijadikan sebagai amalan atau budaya dalam kehidupan kita. Bukan setakat menjaga kebersihan diri, tempat tinggal dan tempat sembahyang, malah tempat-tempat awam seperti di restoran-restoran, gerai-gerai, dan segala kemudahan awam yang disediakan oleh kerajaan seperti tempat-tempat peranginan, taman-taman rekreasi, perhentian-perhentian bas dan tandas-tandas awam hendaklah dijaga supaya sentiasa baik dan kelihatan bersih.

Bayangkanlah jika penguna tandas-tandas awam bersikap mengotor-mengotorkan dan merosak-rosakkan kemudahan tersebut, bagaimana pula keadaan penguna yang lain yang ingin mengunakan kemudahan tersebut. Di mana jati diri kita selaku orang Brunei yang pemedulian, bertimbang rasa dan lutanan, kalau kemudahan awam tersebut dikotorkan dan dirosakkan.

Kita juga hendaklah peka dan bertanggungjawab untuk menjadikan masjid, surau dan balai ibadat sentiasa dalam keadaan bersih. Dalam hal ini, sukacita diingatkan kepada pemilik premis-premis (bangunan-bangunan) yang ada menyediakan kemudahan tempat sembahyang agar memastikan tempat-tempat tersebut sentiasa dalam keadaan yang baik, selesa dan bersih.

Perlu kita sedari, bahawa mengabaikan kebersihan menyebabkan tersebarnya pelbagai penyakit seperti H1N1, kolera, cirit-birit, denggi, keracunan makanan dan sebagainya. Dengan mengabaikan kebersihan juga akan mengakibatkan suasana alam sekitar tidak segar dan tidak sihat.

Selain itu, kita digalakkan juga untuk menjaga kebersihan alam sekitar dari pencemaran dan kemusnahan, berusaha menjadikan alam sekitar berada dalam keadaan bersih sepanjang masa di samping mengekalkan keindahan alam semula jadi di negara kita untuk menarik orang ramai dan pelancong.

Untuk mewujudkan persekitaran yang bersih, sihat dan menarik, perkara-perkara berikut perlulah kita hayati bersama iaitu:
Pertama: Kita hendaklah mempertingkatkan kesedaran terhadap kebersihan diri, tempat tinggal, tempat sembahyang, tempat kerja dan seluruh tempat awam sebagai cermin kemurnian umat Islam yang mengutamakan kebersihan dalam semua bidang kehidupan.

Kedua: Setiap individu hendaklah sama-sama memikul tanggungjawab dan menanam sikap suka kepada kebersihan pada setiap masa dan ketika.

Ketiga: Hendaklah kita sama-sama mendisplinkan diri, keluarga dan masyarakat bagi menjaga imej Islam yang sukakan kebersihan dengan melahirkan persekitaran yang yang sejahtera dan selesa.

Keempat: Mengamalkan sikap ingat beringat, tegur menegur dan nasihat menasihati sesama kita dalam hal menjaga kebersihan. Dengan demikian, ia akan melahirkan perasaan suka dan cinta kepada kebersihan, dan sebaliknya tidak suka dan benci kepada kekotoran, di samping memastikan agar penyakit berjangkit tidak mudah merebak.

Kelima: Menggunakan kemudahan yang disediakan dengan sebaik mungkin seperti tong sampah, tong ktiar semula dan tempat pembuangan sampah tanpa membiarkan sampah sarap dan kekotoran bertaburan merata-rata.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Adapun salah satu amalan yang menjadi kebangaan masyarakat kita ialah bergotong-royong. Alangkah baiknya jika kita sama-sama bergotong-royong membersihkan persekitaran rumah, tempat sembahyang, tempat riadah dan tempat-tempat awam. Jangan semata-mata mengharapkan pihak berkuasa atau pekerja-pekerja yang terlibat sahaja melakukannya. Kita juga dapat memainkan peranan dan ikut serta bekerjasama menjalankan amalan ini.

Selain dari itu, amalan bergotong-royong dapat mengeratkan hubungan silaturrahim kita dan masyarakat. Ini bertepatan dengan firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Maidah ayat 2 tafsirnya:

"Dan tolong-menolonglah kamu dalam kebajikan dan keta'waan dan janganlah kamu tolong menolong dalam dosa dan permusuhan (melanggar hukum-hukum Allah Subhanahu Wata'ala)".

Semangat gotong-royong dan bekerjasama perlu wujud dalam budaya kita semua, malah menjadi sebahagian dari kehidupan di mana sahaja kita berada, semangat ini hendaklah disuburkan. Kesedaran menjaga kebersihan boleh menjamin diri, masyarakat dan negara untuk mencapai kesejahteraan dan kemakmuran.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Prinsip kebersihan di dalam Islam seperti yang ditekankan dalam bewudu' dan bersuci dalam ibadah, sepatutnya dihayatai dan dijadikan budaya dalam aktiviti hidup seharian. Adapun membudayakan amalan hidup bersih ini adalah bermula dari rumah. Oleh itu, ibubapa hendaklah membimbing dan mengajar ahli keluarga tentang aspek kebersihan. Jadilah keluarga yang mementingkan kebersihan, yang akhirnya akan menjadikan masyarakat yang mengutamakan kebersihan.

Marilah kita sama-sama menghayati dengan sebenar-benarnya erti kebersihan dalam kehidupan ini. Sesungguhnya kebersihan adalah lambang kemurnian dan kesucian umat Islam, kerana itu, hendaklah kita menjadikan amalan kebersihan sebagai budaya hidup muslim sejati. Akhirnya, kita berdoa semoga negara kita menjadi sebuah negara yang bersih dan terhindar daripada segala penyakit. Mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata'ala melimpahkan rahmat dan perlindungan serta keredhaan kita semua. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Ash-Mas ayat 9-10 tafsirnya:

"Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih dengan iman dan amal kebajikan. Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenas kebersihannya dengan sebab kekotoran maksiat".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan