ummusya

Jumaat, 19 November 2010

islam melarang perbuatan meminta-minta

Saudara-saudara umat Islam sekalian,
AIDILADHA atau hari Hari Raya Haji adalah salah satu di antara hari-hari yang besar dalam Islam yang mesti dibesarkan menurut selayaknya dengan bertakbir, bersembahyang sunat hari raya dan menyembelih binatang korban.

Memperkatakan tentang ibadah korban pula, sebenarnya ibadah korban itu mendidik umat Islam supaya bersifat dermawan dan murah hati, kerana semua nikmat yang ada pada hakikatnya adalah pinjaman dan amanah Allah Subhanahu Wata'ala, yang kelak pasti akan diambilnya satu persatu, maka segala nikmat yang ada pada diri kita hendaklah dimafaatkan dengan sebaiknya.

Oleh itu bagi mereka yang mampu, lakukanlah penyembelihan korban pada setiap tahun, yang daging dijadikan sedekah kepada fakir miskin dan boleh dijadikan hadiah kepada orang-orang yang mampu seperti jiran tetangga serta rakan taulan yang beragama Islam.

Pada kelazimannya, pihak yang berkorban akan mencari dan menjemput mereka yang berhak menerima daging-daging korban, dan bukannya para penerima yang meminta-minta. Keadaan beginilah yang amat terpuji kerana seperti yang kita sedia maklum bahawa agama Islam melarang umatnya dari perbuatan meminta-minta. Walaupun seseorang itu ditakdirkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala untuk menjadi seorang miskin atau fakir, namun mereka tetap tidak digalakkan untuk meminta-minta. Ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah Sallahu Alahi Wasalam maksudnya:

"Dari Abi Hurairah Radiaallahu Anhu, bahawa Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam bersabda: Orang fakir miskin bukanlah orang yang menadah tangan meminta-minta kesana kemari kepada orang ramai, yang apabila ia mendapat sesuap atau dua suap makanan, atau mendapat sebiji atau dua biji buah kurma, ia akan pergi ke tempat lain. Akan tetapi fakir miskin itu ialah orang yang tidak mempunyai sesuatu yang mencukupi bagi menyara hidupnya. Dan orang ramai pula tidak mengetahui keadaan penderitaan untuk diberi bantuan dan ia pula malu hendak meminta-minta bantuan kepada orang ramai". (Riwayat Al-Imam Bukhari)

Muslimin yang dirahmati Allah,
Agama Islam mengalakkan umatnya supaya berusaha dan bekerja dengan bersungguh-sungguh bagi meningkatkan taraf kehidupan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Justeru agama melarang orang dari malas bekerja dan hanya bergantung nasib kepada pertolongan orang lain.

Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam juga ada berpesan bahawa orang yang bekerja mencari rezeki itu walaupun hasilnya sedikit, itu adalah lebih baik dari perbuatan meminta-minta, sebagaimana sabda baginda dalam sebuah hadith maksudnya:

"Dari Aniz Zubar bin Uwam Radiaallahu Anhu, dari Nabi Sallahu Alaihi Wasalam baginda bersabda: Sekiranya salah seorang dari kamu membawa tali lalu pergi ke bukit untuk mencari kayu, kemudian ia pikul kayu tersebut ke pasar untuk menjualnya demi menjaga kehormatannya, yang demikian itu adalah lebih baik daripada meminta-minta kepada orang lain, baik diberi mahupun ditolak". (Riwayat Al-Imam Bukhari)

Dalam sebuah riwayat pula ada diceritakan bahawa telah datang seorang sahabat daripada ansar kerana meminta sesuatu pertolongan. Maka ditanya oleh baginda: Apakah tuan ada menyimpan sesuatu barang yang boleh dijual di rumah tuan. Sahabat menjawab: Ya ada, sehelai kain cadar yang lebar, separuh daripadanya hamba pakai untuk selimut dan separuh lagi hamba tinggalkan di rumah, selain itu hamba juga ada menyimpan sebuah mangkuk piring untuk hamba minum. Rasul Allah bersabda: Bawalah kemari keduanya. Setelah ia mengambil dan diserahkan kepada baginda, maka segeralah baginda menawarkan barang tersebut kepada sahabat-sahabat yang hadir, siapakah di antara kalian yang mahu membeli barang ini? Seseorang berkata: Saya akan membelinya satu derham, baginda menawarkan kembali: Siapakah yang mahu membeli lebih dari satu derham? Maka seorang sahabat yang lain berkata: Saya beli keduanya dua derham, setelah wang itu diterima baginda, maka diserahkannya kepada sahabat anasir tadi sambil bersabda: Satu derham supaya kamu belikan makanan untuk keluarga mu dan yang satu derham supaya kamu pakai untuk membeli kapak dan bawa kemari. Setelah orang itu membeli kapak dan dibawanya kepada Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam, maka baginda memasang kayu sebagai pegangan kapak tersebut seraya bersabda: Pergilah mencari kayu dan jual lah dan janganlah datang kemari selama 15 hari, maka dia menuruti perintah baginda dan hasil penjualannya sudah mencapai sepuluh derham digunakannya. Kemudian ia datang kepada Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam untuk memberitahu tentang keadaannya, maka baginda bersabda: Tidakkah ini lebih baik bagimu daripada datang pada hari kiamat dengan titik hitam di mukamu akibat perbuatan meminta-minta dan mengemis.

Jika kita amat-amati daripada kisah tadi jelas bahawa Islam sangat mengalakkan umatnya berusaha dan bekerja dan melarang umatnya meminta-minta dan hanya mengharapkan bantuan orang lain. Orang yang malas bekerja hanya akan menjadi beban kepada orang lain. Sesungguhnya siapa yang berusaha untuk mencukupi keperluan keluarganya dan tidak berharap kepada bantuan orang, maka itu adalah jihad Fi Sabilillah.

Orang yang demikian, wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah, kita sebagai umat Islam hendaklah mengelakkan diri daripada perbuatan meminta-minta. Sesungguhnya perbuatan meminta-minta tanpa sebab yang mengharuskan itu hanya menjatuhkan maruahnya dan menjejaskan imej dirinya. Malahan perbuatan meminta-minta hanya akan mencerminkan sikap yang negatif dalam masyarakat iaitu sentiasa bergantung kepada ihsan dan bantuan orang ramai atau pihak tertentu. Sebagai orang Islam, kita hendaklah rajin berusaha dan bersungguh-sungguh mencari rezeki yang halal serta sentiasa bersyukur, sabar dan redha dengan apa jua kurnia dan pemberian Allah Subhanahu Wata'ala. Semoga dengan demikian, mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata'ala mengurnuakan rezeki yang melimpah ruah lagi berkat keatas kita semua. Amin Ya Rabbal Alamin.

"Katakanlah Wahai Muhammad, sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakinya di antara hamba-hambanya, dan ia juga yang menyempitkan baginya dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan meningkatkannya, dan dialah juga sebaik-baik pemberi rezeki" (Surah Saba' ayat 39)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan