ummusya

Jumaat, 19 November 2010

MAKANAN TERJANA NEGARA SELAMAT

Muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Allah Subhanahu Wata'ala menciptakan manusia hidup di atas muka bumi ini adalah semata-mata untuk beribadah kepadanya dengan penuh keimanan dan ketakwaan. Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala tidak mengharapkan sesuatu daripada apa yang dilakukan oleh manusia. Perkara ini jelas dinyatakan di dalam surah Azariat ayat 56-58 tafsirnya:

"Dan ingatlah aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadah kepada Ku, Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian daripada mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepada Ku. Sesungguhnya Allah Dia-lah sahaja yang memberi rezeki kepada sekalian makhluk dan Dia-Lah sahaja yang mempunyai kekuasaan yang tidak terhingga, lagi yang Maha kuat kukuh kekuasaan-Nya".

Pengertian ibadah itu sebenarnya amat luas, bukan hanya khusus terhadap ibadah sembahyang, puasa, zakat dan haji sahaja, akan tetapi ibadah itu merangkumi segala amal perbuatan yang dilakukan dalam kehidupan ini, termasuklah juga dalam usaha kita mencari rezeki melalui pelbagai pekerjaan untuk menyara kehidupan sama ada dalam bidang pendidikan, perniagaan, pengurusan dan semua bidang pekerjaan dengan syarat semuanya itu disertakan dengan niat yang ikhlas semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Qasas ayat 77 tafsirnya:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebaikan hari akhirat dan jangan lah engkau melupakan bahafianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia".

Muslimin yang dirahmati Allah,
Agama Islam mengalakkan umatnya mencari rezeki untuk hidup kerana ia adalah satu tuntutan atau kewajipan keatas manusia bagi memenuhi keperluan kehidupan seharian seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan keperluan lain samada untuk diri sendiri mahupun orang yang berada dibawah tanggungannya. Namun apa yang penting dan perlu diingat bahawa rezeki yang dicari dan diperolehi itu biarlah dari sumber yang baik dan halal serta diberkati oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Agama Islam juga menuntut umatnya supaya berusaha dan bekerja dengan bersungguh-sungguh bagi meningkatkan taraf kehidupan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Islam melarang dan memandang rendah kepada umatnya yang malas bekerja yang hanya bergantung nasib kepada pertolongan orang lain.

Dalam suasana kehidupan yang penuh persaingan pada masa ini, sikap memilih pekerjaan sudah tidak sesuai lagi. Selain peluang berkhidmat dengan kerajaan atau pihak swasta, ada banyak peluang pekerjaan lain yang boleh diceburi dan diusahakan seperti pertanian, perikanan, penternakkan dan sebagainya.

Sesungguhnya pekerjaan dibidang pertanian, penternakkan dan perikanan itu adalah satu kerja yang murni disisi agama, masyarakat dan negara khususnya untuk mempastikan negara kita tidak terlalu bergantung kepada bekalan dari luar negara yang belum tentu selamat dan halal.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Seperti yang telah diketahui pada setiap 1 November telah diishtiharkan sebagai hari peladang, petani, penternak dan nelayan di Negara Brunei Darussalam, dan pada tahu ini hari tersebut disambut dengan tema "Makanan Terjana, Negara Selamat". Sesungguhnya menjana makanan negara ada satu usaha murni yang digalakkan dalam membentuk kehidupan masyarakat yang berdikari dan berupaya memberi sumbangan kepada negara keperluan penduduk sendiri dengan mengurangkan kebergantungan kepada bekalan dari negara luar.

Jaminan keselamatan makanan negara ini adalah mustahak terutama sekali dalam menengani masa-masa kritikal seperti krisis kekurangan makanan yang disebabkan oleh pergolakkan politik, bencana alam, perubahan iklim, jangkitan wabak penyakit dan lain-lain.

Apa yang penting, makanan yang dihasilkan hendaklah dijamin kebersihannyam kehalalannya, selamat dan memenuhi penyawaian dan peraturan kebersihan dan keselamatan makanan yang digariskan dan tidak dicemari oleh bahan-bahan yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesihatan awam atau daripada benda yang haram dan meragukan.

Sesungguhnya bidang pertanian, perikanan, penternakkan khususnya dalam pengeluaran makanan dan produk halal membuka peluang pekerjaan dan keuntungan besar kepada pelabur dan pengusaha. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Mulk ayat 15 tafsirnya:

"Dia-lah yang menjadikan bumi untuk kamu, mudah digunakan, maka berjalanlah dimerata-rata jarak rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah, dan ingatlah kepada Allah jualah tempat kembali kamu sesudah dibangkitkan hidup semula, maka hargailah nikmat dan takutilah kemurkaan-Nya".

Muslimin yang dirahmati Allah,
Islam amat menitikberatkan bidang pertanian kerana ina bukan sahaja untuk kepentingan agama tetapi juga memberi sumbangan yang besar kepada peningkatan ekonomi negara dan kesejahteraan kehidupan manusia sejagat.

Rasulullah Sallahu Alahi Wasalam telah menekankan di dalam sabdanya tentang betapa perlunya tanah pertanian dibangunkan untuk menghasilkan bahan makanan dan tidak mengizinkan sama sekali tanah dibiarkan dan dibazirkan begitu sahaja. Perkara ini dijelaskan dalam sebuah hadith baginda maksudnya:

"Dari Sulaiman bin Yasar, bahawa Rapi' bin Khadij berkata: Rasulullah Sallahu Alahi Wasalam bersabda: Sesiapa yang mempunyai tanah hendaklah dia mengerjakannya dengan bertani atau jika dia tidak berupaya melakukannya hendaklah menyerahkannya kepada saudaranya supaya diusahakan dan janganlah dia menyewakan hanya seper tiga dan seper empat" (Riwayat Al-Imam Abu Daud)

Berdasarkan hadith tersebut, jelas bahawa manusia bertanggungjawab untuk memakmurkan bumi ini sebagai tanda kesyukuran dengan memanfaatkan hasil ciptaan Allah Subhanahu Wata'ala untuk kebajikan manusia.

Oleh yang demikian, kita hendaklah memajukan dan mempertingkatkan lagi bidang pertanian, perikanan dan penternakkan dengan cara menjadikannya sebagai sumber perniagaan kerana bidang tersebut nyata memberi keuntungan, manfaat kepada manusia sejagat dan memperluaskan pengeluaran makanan halal dunia. Akhirnya marilah kita berdoa semoga negara kita akan sentiasa maju dalam bidang pertanian, perikanan dan penternakan, dan sekaligus akan meningkatkan ekonomi negara. Amin Ya Rabbal Alamin.

"Dan makanlah yang halal lagi baik dari rezeki yang Allah telah kurniakan kepada kamu, dan bertakwalah kepada Allah yang kepadanya sahaja kamu beriman". (Surah Al-Maidah ayat 88)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan