Muslimin yang dirahmati Allah,
Ibadah sembahyang merupakan tanda ketaatkan dan kesyukuran kita terhadap Allah Subahanahu Wata?ala yang telah melimpahkah bermacam-macam kenikmatan dan rahmat kerana sememangnya kita diciptakan adalah untuk menyembah dan mengabdikan diri kepada Allah Subahanahu Wata'ala. Sesungguhnya ibadah sembahyang adalah ibadah yang utama dan yang mula-mula sekali akan dihasabkan oleh Allah Subahanahu Wata'ala di hari kiamat kelak. Jika sempurna sembahyangnya nescaya berbahgia dan beruntunglah dia. Sebaliknya jika tidak sempurna akan menyesal dan rugilah dia.
Begitulah kelebihan ibadah sembahyang jika ia dikerjakan dengan sebaik-baiknya dan sesempurnanya apatah lgi jika ia dikerjakan secara berjemaah. Sememangnya sembahyang berjemaah adalah simbol atau tanda kekuatan perpaduan umat Islam dan sebagai syiar agama Islam di sesuatu tempat. Kerana itulah Rasulullah Salahu Alahi Wasalam menitikberatkan supaya sembahyang itu didirikan secara berjemaah kerana pahalanya berlipat ganda berbanding dengan hanya bersendirian. Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam bersabda dalam sebuah hadith maksudnya:
"Dari Abdullah bin Omar Radiallahu Anhuma, sesungguhnya Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam bersabda: Sembahyang berjemaah itu lebih afdal daripada sembahyang berseorangan dengan kelebihan 27 Darjat" (Riwayat Al-Imam Bukhari)
Sembahyang berjemaah itu amat besar hikmah dan manfaatnya kepada diri kita, ia bukan sahaja sebagai pengerat silaturrahim sesama umat Islam tetapi terdapat juga manfaat yang lebih besar yang kita perolehi jika kita mengamalkannya, di antaranya tidak ditimpa kefakiran (kemiskinan di dunia), dihilangkan siksa kubur daripadanya, menerima buku catatan amalnya dengan tangan kanan, melintasi silatul mustaqim dengan cepat bagaikan kilat, dimasukkan ke dalam syurga tanpa dihasab dan disiksa.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Sembahyang berjemaah boleh dilakukan di mana-mana sahaja kita berada, bukan sahaja di masjid, tetapi juga di rumah atau di tempat-tempat lain, walaubagaimanapun sembahyang berjemaah itu lebih afdal dilakukan di masjid. Perlu diingat, dalam kita mengerjakan sembahyang berjemaah itu, kita hendaklah memelihara adab-adab berjemaah, antaranya ialah meluruskan saf-saf. Menurut pendapat Jamhuru ulama, sunat bagi makmum meluruskan saf-saf mereka dalam keadaan bahu dengan bahu, kaki dengan kaki dan tumit dengan tumit makmum yang lain sehingga tidak ada ruang kosong dan longgar. Dalam hal ini, sebelum imam mengangkat takbiratul ihram, sunat bagi imam berpaling dan meminta mereka membetulkan saf masing-masing dan merapatkannya. Rasulullah Sallahu Alahi Wasalam bersabda dalam sebuah hadith maksudnya:
"Dari Abi Syajarah, sesungguhnya Rasulullah Sallahu Alahi Wasalam bersabda: Luruskanlah oleh kamu saf-saf dan sejajarkanlah di antara bahu-bahu kamu, tutupi celah-celah dan berlaku lembutlah ketika memegang tangan saudaramu (waktu merapatkan saf-saf) dan janganlah kamu biarkan celah-celah yang kosong itu untuk syaitan. Barangsiapa menghubungkan saf, maka Allah menghubungnya dengan rahmatnya dan barangsiapa yang memutuskan saf-saf, maka Allah memutuskannya daripada rahmat dan pertolongannya" (Riwayat Al-Imam Abu Daud)
Para Fuqaha juga telah sepakat mengatakan bahawa sunat bagi para jemaah untuk memenuhi sifat yang pertama terlebih dahulu sehingga tidak ada ruang yang kosong atau renggang. Kemudian barulah diikuti dengan saf yang kedua dan seterusnya, Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam bersabda dalam sebuah hadith maksudnya:
"Dari Anas sesungguhnya Rasulullah Sallahu Alahi Wasalam bersabda: Sempurnakanlah oleh kamu saf (saf yang depan yang pertama), kemudian saf-saf berikutnya, maka saf yang kurang itu (disebabkan sedikit makmum) hendaklah disaf bahagian belakang" (Riwayat Imam Abu Daud)
Sesungguhnya kelebihan atau fadilat saf yang pertama itu amat besar, di mana jika kita mengetahui akan kelebihannya, nescaya kita akan berebut-rebut untuk mendapatkannya sehingga terpaksa diadakan undian, sebagaimana dinyatakan dalam sebuah hadith maksudnya:
"Dari Abu Hurairah Radiallahu Anhu, dari Nabi Sallahu Alaihi Wasalam bersabda: Andai kata kamu tahu apa yang ada di dalam saf yang depan, nescaya akan diadakan undian" (Riwayat Al-Imam Muslim)
Adapun di antara kelebihan mereka yang berada pada saf yang pertama ialah Allah Subahanahu Wata?ala dan malaikat-malaikat mengucapkan selawat terhadap makmum-makmum yang berada pada saf yang pertama. Perlu diketahui bahawa selawat Allah Subahanahu Wata'ala itu adalah rahmat dan selawat malaikat itu adalah istigfar. Manakala di antara kelebihan atau fadhilat memenuhi celah-celah atau ruang-ruang saf yang kosong pula ialah Allah Subahanahu Wata'ala memberi rahmat dan meninggikannya dengan satu darjat serta menyediakan baginya sebuah rumah di dalam syurga.
Namun begitu, terdapat sesetengah orang yang amat berat untuk mengerakkan kakinya memenuhi ruang-ruang saf sehingga mereka lebih rela membiarkannya begitu sahaja dalam keadaan renggang atau kosong, ataupun dia lebih rela menyuruh orang lain memenuhinya. Walhal mengisi atau memenuhi saf yang kosong atau renggang itu mempunyai kelebihan yang besar. Oleh itu janganlah kita memandang ringan hal mengisi atau memenuhi saf yang kosong kerana ia berkaitan dengan kesempurnaan sembahyang berjemaah.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Dalam hal sembahyang berjemaah di masjid ini kanak-kanak memang digalakkan untuk turut serta sebagai dorongan atau untuk menarik minat mereka supaya datang ke masjid. Walaubagaimanapun adalah diingat kepada bapa atau penjaga mereka untuk menasihati dan mengingatkan anak-anak untuk menjaga tingkah laku dan adab ketika berada di dalam masjid, lebih-lebih lagi ketika menunaikan sembahyang dan ketika khutbah disampaikan. Pastikan anak-anak duduk disisi mereka atau bersama orang yang membawanya, bukannya dibiarkan anak-anak duduk berjauhan di belakang. Ini akan mengakibatkan anak-anak tersebut akan bermain-main dan membuat bising.
Akhirnya marilah kita sama-sama melazamkan dan membiasakan diri kita, anak-anak kita serta keluarga kita untuk sama-sama menunaikan sembahyang fardhu secara berjemaah. Mudah-mudahan kita semua akan mendapat ganjaran pahala yang banyak yang dijanjikan oleh Allah Subahanahu Wata'ala dan sekaligus akan menyelamatkan kita daripada bala bencana dan semoga kita semua akan mendapat keselamatan di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabbal Alamin.
Surah Toh ayat 132 tafsirnya:
"Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang dan hendaklah engkau bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepada mu, bahkan kamilah memberi rezeki kepada mu. Dan ingatlah kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa"