ummusya

Selasa, 1 Februari 2011

lafaz "insya Allah" - jangan dipermainkan

Muslimin yang dirahmati Allah,
Akhlak yang mulia adalah merupakan keimanan dan puncak akhlak itu ialah berlaku amanah dan menepati janji, manakala pecah amanah dan tidak menepati janji pula merupakan tanda merosotnya iman dan jauh dirinya dari ketakwaan kepada Allah Subahanahu Wata'ala.

Menepati janji itu adalah tuntutan syarak, sebagaimana firman Allah Subahanahu Wata'ala dalam surah Al-Isra' ayat 34 tafsirnya:

"Dan sempurnakanlah perjanjian dengan Allah dan dengan manusia, sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya"

Agama Islam tidaklah melarang kita membuat janji dengan sesiapa pun atau mana-mana pihak asalkan janji-janji itu disempurnakan dan ditepati, kerana orang yang menyempurnakan janji itu adalah salah satu tanda orang yang bertakwa, firman Allah Subahanahu Wata'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 177 tafsirnya:

"Dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian, dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan dan dalam masa bertempur dalam perjuangan perang sabil. Orang-orang yang demikian sifatnya, mereka itulah orang-orang yang benar beriman dan mengerjakan kebajikan dan mereka itulah juga orang-orang yang bertakwa".

Ahli jemaah sekalian,
Perjanjian adalah suatu amanah yang wajib ditunaikan dan tidak dapat diambil ringan dan diambil remeh, kerana perbuatan meringan-ringankan perjanjian apatah lagi tidak menepatinya adalah dibenci dan dimurkai oleh Allah Subahanahu Wata?ala, malah tergolong ke dalam golongan orang-orang munafik. Firman Allah Subahanahu Wata'ala dalam surah Al-Saf ayat 2-3 tafsirnya:

"Wahai orang-orang yang beriman mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak lakukan. Amat besar kebenciannya disisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya".

Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam bersabda maksudnya:

"Dari Abi Hurairah Radiallahu Anhu, dari Nabi Sallahu Alaihi Wasalam bersabda: Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga iaitu apabila dia bercakap dia berbohong dan apabila berjanji dia mungkir dan apabila diamanahkan dia khianat"

Perlu diingat dan diketahui bahawa sifat munafik itu adalah sifat yang sangat keji dan balasannya pula amat berat sebagaimana firman Allah Subahanahu Wata'ala dalam surah An-Nisa aya 145 tafsirnya:

"Sesungguhnya orang-orang yang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali daripada lapisan-lapisan dalam neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka".

Sebenarnya agama Islam telah banyak menunjuk ajar dan melatih kita bagaimana cara supaya kita boleh menepati janji tetapi mungkin saja kita tidak menyedarinya. Cuba kita lihat ibadat sembahyang lima waktu yang diwajibkan ke atas umat Islam, dengan ditentukan waktunya sekali. Bukankah kita dikehendaki melakukan ibadah sembahyang tersebut dalam waktunya?. Ini bermakna ia merupakan suatu perjanjian hamba dengan Allah Subahanahu Wata'ala dan hamba tersebut wajib mentaati perintahnya. Jika sekiranya perintah ini dapat kita lakukan, setentunya kita boleh mendisiplinkan diri ke arah menepati janji.

Ahli jemaah yang dirahmati Allah,
Memandangkan janji itu suatu amanah dan mungkir janji itu pula perbuatan orang munafik dan berdosa besar, maka kerana itu agama Islam telah menentukan adab-adab yang perlu diikuti apabila membuat janji seperti mengucapkan lafaz insyaallah apabila berjanji, suruhan ini telah dijelaskan oleh Allah Subahanahu Wata'ala dalam Al-Qur'an sebagaimana firmannya dalam surah Al-Kahfi ayat 23 dan 24 tafsirnya:

"Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu yang hendak dikerjakan bahawa aku akan lakukan yang demikian itu kemudian nanti melainkan hendaklah disertakan dengan berkata insyaallah. Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhan mu jika engkau lupa dan katakanlah: Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini"

Tetapi apa yang berlaku sekarang, perkataan insyaallah itu telah disalah guna pakai oleh segelintir orang, sebenarnya lafaz insyaallah adalah untuk tujuan menunaikan janji tetapi sekarang lafaz insyaallah itu digunakan sebagai alasan tidak memenuhi janji.

Perlu diingat bahawa janji adalah wajib ditepati, manakala ucapan insyaallah itu adalah? suruhan Allah dan rasul-Nya ketika berjanji. Ini bererti? ucapan insyaallah itu bukanlah sebagai alasan untuk tidak menyempurnakan janji yang dibuat dengan berserah kepada kuasa Allah semata-mata. Tetapi perkataan Insyaallah yang dilafazkan itu hendaklah disertakan dengan azam untuk menyempurnakan janji agar kita tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang munafik.

Wahai kaum muslimin, ibubapa adalah contoh terbaik untuk diikuti oleh anak-anak, akhlak ibubapa banyak mempengaruhi watak anak-anak mereka. Sebagaimana yang berlaku terhadap masyarakat kita, ada antara ibubapa yang berjanji kepada anak-anak mereka tetapi sukar untuk menunaikannya. Perbuatan demikian itu boleh menjadi pelajaran kepada anak-anak yang berkemungkinan menganggap bahawa janji itu tinggal janji dan tidak ada apa-apa erti. Perkara seumpama ini tidak sepatutnya berlaku dan ibubapa merupakan model dan pencorak keperibadian anak-anak. Jangan sampai anak hilang kepercayaan kepada ibubapa mereka kerana pada kelazimannya orang yang mungkir janji itu tidak lagi akan dipercayai oleh orang lain.

Akhirnya, ingatlah wahai kaum muslimin betapa Islam sangat mengambil berat dalam soal janji, oleh itu berhati-hatilah sebelum berjanji. Dan jadikanlah perkataan Insyaallah itu sebagai azam yang kuat kearah menyempurnakan dan menunaikan janji yang dijanjikan. Jadikanlah diri kita orang-orang yang bertakwa dan penuh amanah, bukan daripada orang-orang yang mungkir janji yang tergolong dalam golongan orang-orang munafik.

Surah Al-Mukminun ayat 8-11 tafsirnya:

"Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya. Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. Yang akan mewarisi Syurga Firdaus mereka kekal di dalamnya"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan