ummusya

Selasa, 1 Februari 2011

MENGHARGAI NIKMAT UMUR

Allah Subahanahu Wata'ala memberikan berbagai nikmat kepada hamba-hamba-Nya bagi kemudahan dan kesenangan mereka dalam mengharungi kehidupan di dunia ini. Ini membuktikan bahawa Allah Subahanahu Wata'ala itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada hamba-hamba-Nya. Sesungguhnya nikmat Allah Subahanahu Wata'ala itu amat banyak dan kita tidak akan mampu menghitungnya. Allah Subahanahu Wata'ala berfirman dalam surah An-Jal ayat 18 tafsirnya:

"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah yang dilimpahkan kepada kamu, tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu: Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani"

Walaubagaimanapun semua kenikmatan itu tidak akan mendatangkan faedah jika kita tidak memanfaatkan atau menggunakan nikmat tersebut dengan baik dan bijak. Antara nikmat yang selalu dilupakan oleh segelintir manusia yang lalai ialah nikmat umur, nikmat sihat, nikmat kekayaan, nikmat masa, nikmat hidup dan sebagainya. Kerana itu Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam telah mengingatkan dalam sebuah hadith maksudnya:

"Dari Ibni Abas Radiallahu Anhuma ia berkata: Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam bersabda kepada seorang lelaki dan baginda menasihatinya: Rebutlah lima perkara sebelum kamu didatangi oleh lima perkara yang lain. Masa mudamu, masa sihatmu sebelum sakitmu, masa kayamu sebelum fakirmu, masa lapangmu sebelum kesibukanmu dan masa hidupmu sebelum matimu".

Dalam hadith tersebut jelas mengingatkan kepada kita supaya tidak mensia-siakan nikmat yang telah diberikan kepada kita. Manfaatkanlah setiap nikmat yang Allah Subahanahu Wata'ala pinjamkan itu agar kita menjadi orang yang beriman dan bertakwa. Ini kerana jika Allah Subahanahu Wata'ala menarik balik nikmat tersebut, maka pada ketika itu kita akan menjadi orang yang rugi dan menyesal.

Ahli jemaah yang dirahmati Allah,

Dalam kita memperkatakan tentang nikmat umur, kita sering menghitung umur yang ada pada setiap tahun, tetapi sedarkah kita bahawa apabila umur itu semakin bertambah, maka semakin dekatlah pula kita kepada ajal. Sememangnya ajal dan maut adalah perkara ghaib, tiada siapa dapat mengetahuinya kecuali Allah Subahanahu Wata'ala. Kita tidak boleh menjangkakan berapa lamakah kita akan hidup di dunia ini. Perlu kita sedari bahawa ajal boleh menjemput kita pada bila-bila masa sahaja, mungkin hari ini, esok atau lusa, tidak kira jika seseorang itu masih dalam usia muda atau sudah tua, dalam keadaan sihat atau menderita sakit dan sebagainya.

Oleh itu kita hendaklah bersyukur jika kita masih dikurniakan nikmat umur yang panjang kerana masih diberi peluang untuk beribadah dan berbakti kepada agama, ibubapa, keluarga, masyarakat, raja dan negara. Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam bersabda maksudnya:

"Dari Abdul Rahman bin Abi Bakrah dari ayahnya, seorang lelaki telah berkata: Wahai Rasulullah siapakah sebaik-baik manusia? Rasulullah bersabda: Sebaik-baik manusia ialah orang yang dipanjangkan umurnya dan umurnya itu dipergunakan untuk berbuat kebajikan. Berkata lelaki itu lagi: Siapakah sejahat-jahat manusia? Rasulullah bersabda: Sejahat-jahat manusia ialah orang yang dipanjangkan umurnya tetapi dipergunakan untuk berbuat kejahatan"

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sebagai umat Islam kita telah mengetahui dengan yakin bahawa segala perbuatan yang kita lakukan di dunia ini akan diperhitungkan di hari kiamat kelak. Pada ketika itu seluruh anggota menjadi saksi dan berkata-kata terhadap apa yang kita lakukan. Antara perkara yang akan ditanya pada hari kiamat kelak ialah bagaimana kita memanfaatkan umur semasa hayat kita di dunia, sebagaimana tersebut di dalam hadith Nabi Sallahu Alaihi Wasalam yang diriwayatkan oleh Imam At-Tarmizi dari Abi Barzah Aslami maksudnya:

"Telah bersabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam: "Tidak berganjak kedua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga ia disoal tentang umurnya pada perkara apakah ia habiskan, dan tentang ilmunya untuk apakah ia gunakan, dan tentang harta bendanya dari manakah ia perolehi dan pada apakah ia belanjakannya, dan juga tentang tubuh badannya pada perkara apakah ia menggunakan kemudaan dan kecergasannya"

Ingatlah bahawa hidup ini hanya sementara,? bila-bila masa kita akan kembali mengadap Allah Subahanahu Wata'ala. Oleh itu beramalah sebelum terlibat, sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada gunanya, janganlah tunggu hingga usia sudah lanjut, baru hendak beramal, baru hidup beribadat, kerana kita tidak tahu bila ajal akan tiba. Belum tentu umur kita panjang, belum tentu kita akan sentiasa sihat. Sama-samalah kita berdoa mudah-mudahan umur yang dipinjamkan kepada kita ini menjadi umur yang bermanfaat bagi kita di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Al-Baqarah ayat 201 tafsirnya:

"Dan di antara mereka pula ada yang berdoa dengan berkata: Ya Tuhan kami! Kurniakanlah kami kebanyakkan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari azab neraka"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan