ummusya

Sabtu, 19 Mac 2011

ISLAM MENYURUH KITA MENJAGA TEPI KAIN ORANG UTK KEBAIKAN

Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,

MARILAH kita meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah Subahanahu Wata'ala dengan sebenar-benarnya iaitu dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi muslim yang beriman dan bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat, Amin Ya Rabbal Alamin.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Agama Islam menuntut umatnya agar mengamalkan Amar Makruf Nahi Munkar iaitu menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah melakukan kejahatan, kerana itulah Allah Subahanahu Wata'ala mengutus rasul-rasul-Nya di atas muka bumi ini untuk menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah melakukan kejahatan. Seandainya Amar Makruf Nahi Munkar itu diabaikan atau tidak diperdulikan, makan akan berleluasalah kemunkaran di sana-sini.

Kadangkala terdapat di kalangan kita tidak mengambil kisah, tidak mengambil berat dan tidak mengambil peduli perbuatan jenayah atau gejala sosial yang berlaku di persekitaran kita. Mengapakah sikap seperti ini terdapat di kalangan kita? Adakah kerana mereka bukan keluarga kita, maka menyebabkan kita tidak memperdulikan, tidak mengambil tahu apa yang berlaku di sekeliling kita sehingga menyebabkan banyak kejadian yang tidak diingini berlaku seperti kejadian kanak-kanak didera, warga emas diabaikan atau jiran tetangga melakukan dosa dan maksiat atau melakukan perkara yang mencurigakan dan sebagainya. Firman Allah Subahanahu Wata'ala dalam surah Al-Maidah ayat 2 tafsirnya:

"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha berat azab siksa-Nya bagi sesiapa yang menlanggar perintah-Nya"

Muslimin yang dirahmati Allah,

Rasulullah Sallahu Alaihi Wassalam memberi peringatan kepada umatnya dalam sebuah hadith baginda maksudnya:

"Dari Anas Radia Allahu Anhu, Nabi Sallahu Alaihi Wasalam bersabda: Tidak beriman seseorang itu sehinggalah ia mengashihi saudaranya seperti mana ia mengasihi dirinya" (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Berdasarkan peringatan Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam itu maka marilah kita melaksanakan Amar Makruf Nahi Munkar dalam masyarakat seperti dalam kehidupan berjiran kerana dengan melaksanakannya akan meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita. Amalan ini juga boleh meningkatkan persaudaraan dan semangat kejiranan serta memberi peluang untuk mengenali lebih dekat lagi siapa jiran tetangga, dapat membantu masalah hidup jiran dan juga dapat mengenal pasti orang-orang yang mencurigakan di sekitar kita.

Dalam perkara Amar Makruf Nahi Munkar, kita hendaklah bersikap terbuka dalam menerima teguran dan nasihat dari orang lain, contohnya apabila anak-anak kita ditegur dan dinasihati oleh orang lain, janganlah kita mudah cepat marah atau terus melawankan anak-anak kerana teguran itu mungkin untuk membimbing dan mendidiknya. Kita mungkin tidak nampak apa yang dilakukan oleh anak kita, jadi tidak salah jika orang lain yang melihat itu menegur mereka, seperti anak-anak bermain di tempat yang berbahaya, melakukan kegiatan yang tidak bermoral dan sebagainya. Kita sewajarnya bersyukur jika ada orang lain perihatin dan mengambil peduli dengan menegur dan menasihati anak-anak kita kerana teguran dan nasihat itu memberi manfaat yang besar kepada mereka.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya amalan nasihat menasihati, tegur menegur dan saling ingat mengingati adalah amalan yang terpuji dan sangat penting dalam kehidupan kita kerana ia membawa kebaikan, sebagaimana firman Allah Subahanahu Wata'ala dalam surah Al-Zariats ayat 55 tafsirnya:

"Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendapatkan faedah kepada orang yang beriman"

Di dalam Al-Qur'an ada menyebutkan bahawa Allah Subahanahu Wata'ala melaknat Bani Israel disebabkan oleh perbuatan mereka yang mengabaikan Amar Makruf Nahi Munkar, sebagaimana firman-Nya dalam surah Al-Maidah ayat 78 hingga 79 tafsirnya:

"Orang-orang kafir dari Bani Israel telah dilaknat melalui lisan Nabi Daud dan Nabi Isa bin Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu melampaui batas. Mereka itu tidak saling melarang satu sama lain terhadap kemungkaran yang mereka lakukan. Sesungguhnya sangat buruk apa yang mereka lakukan"

Muslimin yang dirahmati Allah,

Semua pihak adalah bertanggungjawab melaksanakan tugas Amar Makruf Nahi Munkar ini. Institusi kekeluargaan juga tidak terkecuali bahkan memainkan peranan yang amat penting. Oleh itu ibubapa dan semua ahli keluarga hendaklah sentiasa menitik beratkan setiap ahli keluarga mereka dalam melaksanakan perintah Allah Subahanahu Wata'ala seperti menunaikan sembahyang lima waktu, membaca ayat-ayat suci Al-Qur?an dan menjauhi segala perbuatan dosa dan maksiat. Dengan demikian akan melahirkan suasana kekeluargaan yang harmoni dan beroleh keberkatan serta taufik dan hidayah Allah Subahanahu Wata'ala.

Akhirnya, marilah kita sama-sama menjadi masyarakat yang perihatin dengan bertanggungjawab di atas apa sahaja yang berlaku disekeliling kita dalam kehidupan berkeluarga dan berjiran. Mudah-mudahan dengan izin Allah Subahanahu Wata'ala kita akan mampu menjadi umat yang terbaik, menjadi yang mengamalkan Amar Makruf Nahi Munkar. Ingatlah bahawa setiap kebaikkan yang kita lakukan pasti akan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah Subahanahu Wata'ala.

Surah Al-Imran ayat 104 tafsirnya:

"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melaran daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang berjaya".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan