Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subahanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.
Alhamdulilah, bersyukur kita kehadrat Allah Subahanahu Wata'ala yang telah melimpahkan nikmat dan rahmat yang tidak terkira banyaknya kepada umat manusia, seperti nikmat hidup, nikmat sihat, nikmat rezeki dan banyak lagi. Sebagai hambanya yang bersyukur, kita tingkatkanlah lagi keimanan dan ketakwaan kepada Allah Subahanahu Wata'ala, semoga dengan demikian kita tidak tergolong menjadi orang yang kufur nikmat.
Sesungguhnya kita hidup dalam sebuah negara yang merdeka, dalam suasana yang aman makmur dan bahagia bersama keluarga, berlindung di bawah naungan raja yang adil serta kasih kepada rakyatnya, semua itu juga merupakan antara nikmat yang wajib kita syukuri. Cuba kita perhatikan keadaan pergolakkan politik yang tidak stabil di negara luar sehingga menyebabkan berlakunya rusuhan, pemberontakkan, rampas kuasa, perang saudara dan sebagainya. Kehidupan mereka tidak aman bahkan sentiasa terdedah kepada bahaya. Lebih buruk lagi apabila ekonomi negara tersebut merosot ataupun lumpuh yang mengakibatkan ramai rakyatnya hilang punca pendapatan dan sukar untuk mencari rezeki sehingga ramai di kalangan mereka yang hidup dalam kemiskinan dan serba kekurangan. Senario semasa ini sudah tentu dapat membuka mata dan hati kita betapa kita sangat bertuah dan beruntung kerana dapat berlindung dan bernaung di Negara Brunei Darussalam.
Alhamdulilah, kini telah 27 tahun negara kita mencapai kemerdekaan. Adapun tema sambuatan hari kebangsaan pada tahun ini ialah "Negaraku Brunei Darussalam". Negara Brunei Darussalam ini adalah negara kita, maka sudah sewajarnya selaku rakyat dan penduduk negara ini kita hendaklah mempunyai rasa kepunyaan terhadap negara merangkumi seluruh yang berhubung dengan negara termasuklah pemimpin, kerajaan, perlembagaan, undang-undang, warisan budaya, khazanah dan falsafahnya. Oleh itu, dengan pangkuan bahawa negara itu adalah negara kita, maka adalah menjadi tanggungjawab kita semua sebagai rakyat negara ini untuk mentaati raja, mengamalkan ajaran Islam sebagai cara hidup, memelihara warisan budaya bangsa, memelihara dan mempertahankan kedaulatan, menghormati perlembagaan, mematuhi undang-undang dan memelihara kestabilan politik. Sebagai rakyat, kita juga bertanggungjawab untuk meningkatkan kemajuan ekonomi, meningkatkan taraf sosial penduduk, menjaga imej, mengamalkan dan menghayati falsafah negara, menjaga keamanan dan kesejahteraan serta mengekalkan kesepaduan dan keharmonian.
Ahli jemaah yang dirahmati Allah,
Di antara tanggungjawab kita selaku rakyant dan penduduk negara ini ialah mentaati raja. Kita bersyukur kerana mempunyai seorang raja yang bijaksana, pengasih dan pemedulian. Kita zahirkan kesyukuran tu dengan menumpahkan kasih dan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada baginda. Allah Subahanahu Wata'ala berfirman dalam surah An-Nisa ayat 59 tafsirnya:
"Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan kepada Ulil Amar (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu"
Manakala dalam perkara taat setia kepada raja itu termasuklah dengan mematuhi dan menerima segala arahan kerajaan selagi arahan yang diberikan itu tidak bertentangan dengan hukum syarak.
Selain tanggungjawab kita untuk mentaati raja, kita juga bertanggungjawab untuk mengamalkan ajaran Islam sebagai cara hidup. Ini bertepatan dengan perintah Allah Subahanahu Wata'ala melalui firmannya dalam surah Al-Imran ayat 101 tafsirnya:
"Dan sesiapa berpegang teguh kepada agama Allah, maka sesungguhnya ia telah beroleh petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus)"
Tidak dinafikan setiap negara bercita-cita untuk mencapai kemajuan dan kemakmuran, begitulah juga dengan negara kita. Contohilah perjuangan dan hasil usaha Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam bersama para sahabat dalam membentuk sebuah negara Islam tulen dengan berpegang teguh pada ajaran dan petunjuk daripada Allah Subahanahu Wata'ala, sehinggalah umat Islam yang bermula dari kelompok kecil menjadi sebuah empayar yang besar dan dipandang oleh masyarakat dunia. Inilah yang menjadi dasar pemerintahan negara kita dengan menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi negara. Bahkan sewaktu pemashyuran kemerdekaan Negara Brunei Darussalam tekah ditegaskan bahawa Brunei akan kekal untuk selama-lamanya menjadi sebuah negara Melayu Islam Beraja yang merdeka bersendikan ajaran-ajaran agama Islam menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Terdapat banyak usaha telah dilakukan oleh pihak kerajaan bagi mengukuhkan ajaran Islam di negara ini, antaranya ialah dengan memasukan mata pelajaran agama Islam dalam sistem pendidikan dari peringkat rendah lagi serta menyediakan sekolah-sekolah agama bagi kemudahan untuk anak-anak belajar agama. Manakala bagi peringkat menengah dan lanjutan, kerajaan telah menubuhkan sekolah arab, Universiti Islam Sultan Syarif Ali, Institusi Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah serta menaik taraf Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan sebagai Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan. Ini membuktikan betapa pendidikan agama itu sangat penting kerana jika pendidikan? agama lemah, maka akan lemahlah pula bangsa.
Ahli jemaah sekalian,
Sesungguhnya agama Islam sangat penting kearah memandu umatnya menjadi insan yang beriman dan bertakwa. Berpegang dan beramal dengan ajaran agama Islam ialah dengan mentaati perintah Allah dah menjauhi larangan-Nya, dengan demikian dapat menjadikan seseorang itu memiliki akhlak yang mulia, menjadi insan yang berkualiti serta berguna kepada agama, raja, bangsa dan negara. Mereka juga akan terpelihara dari membuat perkara dosa yang boleh menjebak kepada masalah keruntuhan moral dan akhlak.
Tidak dinafikan pada masa ini pelbagai gejala negatif semakin berleluasa dan mempengaruhi kita samada golongan muda dan remaja, mahupun orang yang telah berusaha. Jika perkara ini tidak dibendung, besar kemungkinan akan menimbulkan masalah gejala sosial yang tidak sihat dan bertentangan dengan ajaran agama Islam yang seterusnya bukan sahaja boleh merosakkan dirinya, bahkan juga kepada agama, bangsa dan negara. Sebagai sebuah negara Islam, kita hendaklah mempamerkan identiti keselamatan itu dalam diri setiap individu. Sudah setentunya kita tidak mahu dikatakan sebagai sebuah negara Islam pada nama sahaja sebagaimana yang berlaku kepada beberapa negara luar di mana ajaran agama Islam tidak diamalkan sepenuhnya, sehingga menyebabkan ramai di kalangan mereka yang mengambil ringan akan hukum dan ajaran agama Islam.
Ketahuilah bahawa kemajuan sesebuah negaral tidak akan bererti jika rakyatnya hidup tanpa pedoman, tanpa berpegang kepada ajaran agama Islam yang akan membimbing mereka dalam menjalani kehidupan ini. Apabila hidup manusia tidak berpegang kepada ajaran Islam sudah tentu banyak kemunkaran dan kemaksiatan berlaku. Cuba kita bayangkan jika kita hidup dalam keadaan masyarakatnya yang porak peranda di mana orang minum arak dan bermain judi sudah menjadi perkara biasa, di sana sini pula di dengar kejadian curi, ragut, bunuh dan sebagainya, manakala rasa belas kesihan, saling bantu membantu dan hormat menghormati juga tidak diperdulikan lagi, maka apakah kita dapat hidup dengan aman dan bahagia dalam situasi tersebut? Walaupun jika sesebuah negara itu mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang seperti infrastruktur, teknologi, pendidikan, ekonomi dan sebagainya, namun pada masa yang sama jika rakyat dan masyarakat hidup dalam kemerosotan nilai moral dan itika, adakah kejayaan atau kemajuan itu yang boleh dibanggakan?.
Mungkin ada orang yang berpendapat bahawa akhlak hanyalah perangai individu yang tidak ada hubungkait dengan kemajuan dan pembangunan bangsa dan negara kerana banyak negara maju dan pasti membangun tetapi akhlak anak bangsa rosak. Adakah kemajuan sedemikian yang ingin kita capai? Sudah tentu tidak! Apa yang kita inginkan ialah pembangunan dan kemajuan selari dengan ajaran agama Islam. Oleh itu kita sangatlah bersyukur kerana tompok negara iaitu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang D-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menilai pembangunan dan kemajuan negara berdasarkan ajaran agama Islam. Ini jelas sebagaimana titah baginda sempena Hari Raya AidilAdha tahun 1417 Hijrah, antara titah baginda:
"Beta suka menegaskan bahawa ajaran-ajaran agama Islam akan tetap dihayati dan dipakai untuk memandu pembangunan ummah. Kerana adalah kurang yakin dengan kemajuan-kemajuan yang kosong dari agama, sekalipun ada orang lain yang tidak sependapat dengan kita"
Muslimin yang dirahmati Allah,
Sebagai bangsa dan rakyat yang cintakan negaranya, sama-samalah kita melaksanakan tanggungjawab kita untuk mentaati raja dan berpegang teguh kepada ajaran agama Islam. Mudah-mudahan denga demikian akan dapat membantu negara menuju ke arah kecemerlangan, kejayaan dan keamanan dengan berlandaskan ajaran Al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam, dan semoga segala usaha yang kita lakukan mendapat rahmat dan berkat dari Allah Subahanahu Wata'ala.
Sebagai tanda syukur kita kehadrat Allah Subahanahu Wata'ala dan rasa cinta terhadap negara, marilah kita sama-sama hadir ke masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di seluruh negara dengan tumpuan utama di Masjid Omar Ali Saifuddien pada petang hari selasa, 22 Februari 2011 bagi membaca surah Yasin dan membaca doa kesyukuran sempena ulangtahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke 27 Tahun. Sama-samalah kita berdoa semoga rakyat dan penduduk negara kita ini terus maju, bersatu padu dan dilimpahi dengan rahmat serta berkat dari Allah Subahanahu Wata?ala. Dan semoga negara kita akan menjadi sebuah negara "Negara kamu ini adalah negara yang baik (aman dan makmur) dan Tuhan kamu adalah Tuhan yang Maha Pengampun". Amin Ya Rabbal Alamin.
Surah Al-Imran ayat 110:
"Kamu wahai umat Muhammad adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi faedah umat manusia kerana kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah, buruk dan keji serta kamu pula beriman kepada Allah dengan sebenar-benar iman"
Guna steroid baru badan jadi ??
16 jam yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan