ummusya

Ahad, 6 Mac 2011

terimalah bekas banduan kembali ke pangkuan masyarakat.

Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,

MARILAH kita meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah Subahanahu Wata'ala dengan sebenar-benarnya iaitu dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi muslim yang beriman dan bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat, Amin Ya Rabbal Alamin.

Ahli jemaah yang dirahmati Allah,

Kita bersyukur kehadrat Allah Subahanahu Wata'ala kerana menganugerahkan kepada kita dengan nikmat yang tidak terhitung banyaknya. Di antaranya ialah nikmat keamanan sehingga kita dapat hidup dalam keadaan harmoni dan selamat di negara ini. Walaubagaimanapun, kita juga tidak terkecuali daripada menghadapi situasi yang mengugat keselamatan dan keamanan negara kita seperti penjenayah-penjenayah dan pesalah-pesalah yang melanggar undang-undang negara. Adapun penjenayah dan pesalah yang telah sabit bersalah, ada di antara mereka telah dikenakan hukuman penjara ataupun hukuman-hukuman yang lain. Mereka yang menjalani hukuman di penjara ditangani oleh sebuah institusi yang dikenali sebagai Jabatan Penjara di mana pada 1 Mac yang telah lalu penubuhan Jabatan Penjara telah mencapai usia 57 tahun.

Bagi mereka yang menjalani hukuman dalam penjara telah disediakan pelbagai program dari segi pemulihan bagi memperbaiki diri mereka agar berjaya menjalani kehidupan yang baik apabila dibebaskan. Di antara program-program tersebut, mereka diberikan pendidikan dari segi kerohanian dan kemahiran, mereka juga diberikan kesedaran agar menyesali salah laku mereka dan tidak akan mengulangi lagi perlakuan yang menyalahi undang-undang apabila kembali kepangkuan keluarga dan masyarakat. Apabila mereka telah keluar dari penjara, kita berharap mereka telah insaf dan dapat memanfaatkan ilmu mereka yang mereka perolehi dari program-program yang telah mereka ikuti.

Ahli jemaah yang dirahmati Allah,

Sebagai masyarakat Brunei yang prihatin, kita hendaklah mengikis sebarang sikap berburuk sangka atau sentimen yang boleh menghalang kita daripada menerima banduan-banduan yang telahpun dibebaskan dengan memberikan kerjasama dalam meneruskan proses pemulihan kepada mereka ini. Kita hendaklah juga bertolak ansur terhadap mereka dan memberi perhatian dalam membantu mereka untuk berubah. Janganlah disebabkan seseorang itu bergelar bekas banduan menjadi penghalang kepada pembinaan masyarakat negara kita untuk bersatu padu kerana mereka ini juga adalah di antara aset negara yang boleh menaikkan pencapaian potensi kemajuan negara kita. Tanpa bantuan kita selaku masyarakat, proses pemulihan yang disediakan dan dilaksanakan oleh Jabatan Penjara tidak akan tercapai dengan jayanya.

Kita hendaklah menerima mereka yang sudah bertaubat dan ingin menjadi kehidupan yang baru, siapalah kita yang hanya manusia biasa untuk tidak menerima penyesalan dan taubat sesama manusia, sedangkan Allah Subahanahu Wata'ala lagi menerima taubat hamba-Nya sebagaimana firman Allah Subahanahu Wata'ala dalam surah Al-Maidah ayat 39 tafsirnya:

"Maka sesiapa yang bertaubat sesudah melakukan kejahatan itu dan memperbaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih"

Firman Allah Subahanahu Wata'ala lagi dalam surah Al-Zamr ayat 53 tafsirnya:

"Katakanlah wahai Muhammad: Wahai hamba-hambaku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri dengan perbuatan-perbuatan maksiat, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa, sesungguhnya Dia-lah juga yang Maha Pengampun lagi Maha Pengasihani"

Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam juga ada bersabda:

"Dari Ibni Umar Radia Allahu Anhuma: Dari Nabi Sallahu Alaihi Wasalam, baginda bersabda: Sesungguhnya Allah Subahanahu Wata'ala tetap menerima taubat seseorang hamba-Nya, selama nyawanya belum sampai dikerongkong" (Riwayat Imam At-Tarmizi)

Kepada mereka yang sudah dibebaskan dari penjara pula hendaklah membuktikan bahawa mereka benar-benar bertaubat dan menyesali segala kesalahan dan dosa yang telah dilakukan serta berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Mereka hendaklah sentiasa membersihkan jiwa daripada sebarang kotoran dosa, iaitu dengn mengikut ajaran Al-Qur'an dan Al-Sunah. Antaranya ialah, menjauhkan diri daripada maksiat, berkawan dengan kawan yang baik dan menjauhi serta tidak berkawan lagi dengan kawan-kawan yang pernah menyebabkan mereka melakukan kesalahan sehingga mereka dimasukkan ke penjara, melawan pujukan syaitan dan hawa nafsu, sentiasa menyesal terhadap dosa yang lalu, memperbanyakkan istigfar, melakukan amal soleh, berdoa dan sentiasa muhasabah diri.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sebagai manusia yang tidak terlepas dari melakukan kesalahan dan dosa, marilah kita sentiasa muhasabah diri dan sentiasa berusaha untuk menjauhi segala larangan Allah Subahanahu Wata'ala serta sentiasa bertaubat dan berazam untuk tidak mengulangi dosa-dosa yang telah kita lakukan. Sama-samalah kita berdoa semoga kita semua menjadi orang yang dilindungi Allah Subahanahu Wata'ala serta menjadi orang yang berjaya di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah At-Tahrim ayat 8 tafsirnya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, ..."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan